Tuesday, January 06, 2026

Rutin

Selepas 15 hari kesempatan diberi untuk saya berada di rumah sendiri, hari ini saya kembali bangkit pagi di rumah mek. Adik ipar saya Norhafizah dan suaminya Hisham sudah pulang ke Kemunting, Perak pagi semalam dan tanggungjawab mengurus dan menemani mek kembali kepada kami.

Jam 6.18 petang semalam kami bergerak menuju ke rumah mek meninggalkan rumah kami seketika. Jarak yang cuma 1.2 km itu tetap terasa jauh kerana sukarnya kami melintas jalan dek kereta yang sangat banyak di jalan raya pada musim cuti sekolah begini. Tiba di rumah mek, adik ipar saya Rohaimah sedang mengurut perut mek. Mek kata perutnya sakit, dan belum solat Asar lagi. Maka giliran kamilah pula kini untuk menguruskan mek. 

Saya ke bilik, menukar cadar dan mengemas beg. Begitulah, apabila kami datang ke sini semestinya beriring dengan beg yang banyak. Ada 3 beg hari ini kerana selain pakaian, telekung, tuala, cadar dan sarung bantal saya juga membawa bahan untuk memasak makan malam nanti. Sebungkus mi kuning, sepeket bebola ikan dan juga roti dan biskut.

Urusan mek solat (Asar, Maghrib dan Isyak) dan menyuap mek makan suami saya yang sempurnakan. Saya cuma memasak untuk makan malam, mengurus mek solat Subuh (termasuk tukar lampin dan bersihkan mek) dan mencuci kain kotor mek. 

Pagi ini selepas selesai uruskan segalanya, suami saya meminta saya usah pulang lagi dan temani mek dulu sementara dia pulang sendirian ke rumah kami menguruskan binatang peliharaannya. Selalunya kami pulang bersama setiap pagi dan kakak ipar saya Rohaini akan datang mengambil giliran menemani mek, tetapi pagi ini kak Rohaini berada di KL manakala kak Rohaimah pula ke airport menghantar anaknya Najmi. Saya ok sahaja. Saya temani mek sambil menulis catatan ini. 

Mek tak banyak karenah, hanya terbaring di tepi pintu sambil memerhati keluar. Entah apa yang dilihatnya tetapi setiap pagi dia akan meminta untuk berada di tepi pintu. Sesekali dia terlena, sesekali pula dia bertanya soalan yang sudah berapa kali diulang. Saya melayan sahaja.

Begitulah hidup. Apa pun tulisan takdir dari Tuhan, itulah yang terbaik untuk kita. Selagi mampu, saya akan terus reda.

No comments:

Post a Comment