Setiap kali kami keluar dari rumah, sayalah yang akan mengunci pintu bilik dan pintu utama sebelum masuk ke kereta. Suami saya sudah tentu keluar dahulu untuk menghidupkan enjin kereta.
Semalam, lebih kurang jam 4.10 petang kami bersiap-siap untuk turun ke rumah mek. Plan kami, mula-mula kami akan ke kedai lauk untuk membeli juadah berbuka puasa. Kemudian kami akan menuju ke rumah mek, menghantar lauk pauk itu sebelum kami berpecah ke destinasi berbeza. Suami akan ke masjid untuk berjemaah Asar manakala saya akan berjalan kaki ke rumah ma.
Segalanya lancar, tiada apa-apa kekalutan. Berada di rumah ma memberi ruang saya bercerita dan bertanya khabar. Ma kata bibirnya mengering dan pecah. Cuaca panas begini menyebabkan ma sedikit kekeringan. Saya sarankan ma menggunakan tuala basah untuk mengelap bibir supaya kekal lembap.
Adik-adik saya juga turut bertandang memeriahkan suasana petang pada bulan puasa ini. Sehinggalah jam menunjukkan pukul 6.20, saya meminta diri untuk kembali ke rumah mek. Tidak lama selepas itu suami saya sampai. Rupanya saya terlupa mengambil radio di dapur tadi, mujur suami saya nampak radio itu dan membawanya ke rumah mek. Jika tidak, susahlah kami mahu mendengar azan berbuka.
Tetapi, suami saya kata ada satu lagi kelupaan saya yang sangat menyentak jantung suami saya. Hah? Apa dia?
Selepas solat Asar di masjid, suami saya pulang ke rumah. Terkejut dia melihat pintu gril rumah kami terbuka, tidak berkunci. Hanya pintu sliding sahaja bertutup. Jantungnya berdetak laju, ada orang memecah masukkah? Pantas dia meluru dan melihat sekeliling, tiada siapa. Di dalam rumah juga tiada orang. Pintu bilik berkunci, mujur! Di dalam bilik itu ada banyak duit masjid yang belum selesai dikira tadi. Juga yang sudah disusun dalam beg. Ada ribu-ribu! Kalaulah ada orang pecah masuk, memang nahas! Dia bercerita kepada saya dengan wajah yang muram.
Baru saya tersedar, sayalah yang lupa mengunci pintu tadi. Tapi sungguh, saya betul-betul lupa. Saya membimbit beg yang banyak, jadi saya meletakkan dahulu beg-beg itu di tepi tangga, dan berjalan mengambil selipar. Sepatutnya selepas memakai selipar saya kunci rumah dahulu, baru menuju ke tempat beg-beg tadi untuk dibawa ke kereta. Tetapi saya cuai, selepas memakai selipar saya terus mengambil beg-beg itu tanpa menyedari pintu rumah belum ditutup dan dikunci.
Begitulah. Mujurlah suami saya berpatah balik ke rumah, tidak terus menuju ke rumah mek. Jika tidak, terbukalah pintu rumah saya itu sampai pagi esok!
Itu cerita semalam.
![]() |
| Saya hari ini. |
Hari ini, saya kembali ke sekolah selepas bercuti hujung minggu tiga hari. Hari ni juga bermula peperiksaan bagi Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Saya sudah menyemak jadual saya, dan meletakkan dalam fikiran saya tentang kelas-kelas yang akan saya masuk nanti.
Rupanya saya tersilap. Saya melihat jadual hari Ahad pada hal hari ini Isnin. Saya sepatutnya ke kelas pada 8.40 pagi, tetapi dalam fikiran saya kelas akan bermula pada 9.10. Saya sedang menguruskan banyak perkara di meja kerja saya, sehinggalah telefon berdering.
"Kak Ti, masa Kak Ti ni di 4C4." Tutur rakan guru saya Haida di corong telefon itu. Hah? Ye ke? Terkejut saya dan terus saya tersedar hari ini Isnin! Laju saya bergerak ke kelas 4C4 dan meminta maaf atas kelalaian saya itu. Malu juga! Berpeluh-peluh saya, mujur meja guru betul-betul di bawah kipas yang berpusing pada kelajuan maksima.
Aduhai, begitu keadaannya dalam usia sebegini. Saya sebenarnya tidak suka menyalahkan usia kerana sesungguhnya kesilapan itu berpunca daripada kelalaian saya sendiri atas ketidakcermatan dalam bertindak. Semoga selepas ini saya lebih berhati-hati dan dapat mengelak daripada menjadi manusia pelupa.
Amin.


