Saturday, March 21, 2015

Gulai Lemak Telur Itik


Ini kegemaran saya. Tetapi begitulah, sering sahaja kegemaran saya tidak dikongsi suami. Jika telur itik, dia lebih suka digoreng sahaja. 

Sudah dua kali saya menggoreng telur itik dalam minggu ini. Memanglah sedap sebab saya tumbuk rencahnya. Bukan apa sangat, cuma bawang merah, halia dan kunyit sahaja. Kemudian dicampur garam dan lada sulah. Dikepuk-kepuk hingga sebati dan digoreng dalam minyak yang betul-betul panas. Hasilnya, telut itik dadar yang wangi dan menyelerakan! 

Hari ini saya berpuasa. Puasa ganti yang kedua daripada sembilan hari. Suami saya pula ada dua jemputan kenduri dan tentunya saya hanya perlu memasak untuk diri sendiri kali ini.

Apa lagi, gulai lemak telur itiklah yang terbit dalam fikiran saya.

Tidak susah, kerana saya menggunakan santan kotak. Rempahnya pun mudah sekali. Hanya perlu bawang merah, bawang putih, lengkuas, halia, kunyit dan cili padi.

Saya kisar sahaja semuanya dengan pengisar Panasonic saya dan masukkan ke dalam santan yang sudah sedia menanti dalam periuk di atas dapur. Saya masukkan garam dan kacau.

Apabila menggelegak sedikit, api saya kecilkan dan saya pecahkan telur itik satu persatu. Tidak banyak, tiga biji sahaja untuk saya seorang. Ya lah, saya cuma masak satu lauk ini sahaja. Sedang eloklah tu..

Saya letak sekeping asam gelugur untuk menyeimbangkan rasa.

Tadaaa! Bila azan berkumandang nanti, santaplah saya makanan kegemaran ini bersendirian.

Tak mengapa, saya tetap berselera.

Sent from Samsung Mobile

Thursday, March 19, 2015

Musim Kenduri

Rasanya sudah pernah saya berbicara tentang kenduri pada musim cuti begini.

Setiap kali cuti sekolah tiba, akan bersusun-susunlah jemputan kenduri yang kami terima. Apalah daya, sudah menjadi budaya. Lagi pun, ramai benar anak beranak yang bekerja sebagai guru maka cuti sekolahlah masa yang terbaik untuk berkenduri. Barulah tidak ada sanak saudara yang tertinggal. 

Seminggu ini, saya menerima sepuluh jemputan kenduri. Ada kenduri kahwin, ada kenduri aqiqah, ada kenduri arwah dan ada juga kenduri sempena naik rumah baru. Tidaklah sebanyak mana, dan saya berusaha untuk memenuhi kesemuanya biar jauh atau dekat.

Hari ini, seawal pagi saya memenuhi jemputan adinda kesayangan saya untuk bersarapan di rumahnya. Oh ya, yang ini tidak termasuk dalam sepuluh jemputan yang saya terima kerana majlis ini istimewa dan berbeza. Ia majlis keluarga yang objektifnya lebih berfokus dan saya suka.

Roti jala kuah kari dan bihun goreng menjadi menu utama ditemani puding triffle dan dadih jagung yang enak sekali. Kami seronok melayan bual dan karenah anak beranak sambil bergambar untuk mengabadi kenangan.

Seterusnya, menjelang tengah hari saya menuju ke tiga lagu tempat kenduri. Satu di Perol, satu di Tunjung dan yang terakhirnya di Kor. Alhamdulillah. 

Pulang ke rumah, jam sudah menghampiri empat petang. Cuaca memang sangat panas dan saya keletihan. Di bilik, saya menghidupkan pendingin hawa ke angka maksimum dan merebahkan diri di katil untuk rehat yang padu. Mata saya lena, sehingga ke jam 5.44 petang!


Sent from Samsung Mobile

Cuti sekolah kami

Alhamdulillah, kami diberi sembilan hari untuk bercuti sekolah. Kebetulan berturutan pula dengan cuti peristiwa pilihan raya DUN Chempaka maka jadilah ia sepuluh hari.

Enam hari telah berlalu. Hari ini hari ketujuh. Benarkah saya bercuti?

Jika boleh saya mahu juga ke mana-mana barang sehari dua untuk berlibur bersama suami tersayang. Hajat memang ada, cuma ruang yang tiada.

Apalah daya, cuti pun terpaksa juga bekerja. Ke sekolah juga saya untuk kelas tambahan. Di rumah pun bukanlah sepenuhnya berehat dari tugasan guru kerana ada empat berkas kertas jawapan pelajar yang perlu ditanda. Belum lagu minit mesyuarat dan program kecemerlangan yang perlu saya serahkan sebaik sahaja sekolah dibuka nanti.

Tiga hari lagi. Semoga saya sempat menyelesaikannya walaupun sesungguhnya saya bercuti.


Sent from Samsung Mobile

Monday, March 09, 2015

Redup

Cuaca redup hari ini. Kebetulan, saya berpuasa ganti. Alhamdullillah. Terasa damai dan tenang. 

Pelajar-pelajar SMK Kampong Chengal pula sedang berjuang di medan peperiksaan. Ujian sahaja sebenarnya tetapi tetap perlu sebagai kayu ukur prestasi awal mereka.

Tugas-tugas saya pula masih banyak yang tertangguh. Jadual kelas tambahan dalam cuti kelihatannya sudah siap tetapi masih ada yanv perlu dibaiki di sana sini. Minit mesyuarat kecemerlangan pula belum selesai ditaip. Esok sudah tarikh penyerahannya.

Analisis SPM pun belum sempurna dibukukan. Kebetulan pencetak di bilik peperiksaan ini rosak. Terpaksa saya mengguna pencetak saya sendiri. Malah, untuk jadual relief juga saya membenarkan pencetak saya digunakan. Biarpun ia milik peribadi, saya tidak mahu berkira. 

Lagi, kertas peperiksaan Matematik Tingkatan Lima belum lagi terusik. Mungkin sehari dua lagi apabila ada ruang yang lapang.

Esok, mesyuarat post mortem SPM akan berlangsung jam 2.15 petang. Saya perlu bersedia banyak perkara termasuk mencatat minitnya juga.

Ah! Menjadi guru kini bagai tidak punya masa untuk memikir tentang inovasi pengajaran. Tiada pembaharuan yang mampu dilakukan dek kekangan kerja yang tidak pernah mahu selesai.

Apa pun, keredupan cuaca hari ini semoganya memberi saya ketenangan jiwa untuk terua menyelesaikan kerja yang ada.

In shaa Allah. 


Sent from Samsung Mobile

Wednesday, March 04, 2015

Temujanji

Klinik Obstetrik dan Gynaekologi, HUSM Kubang Kerian.

Entah untuk kali yang ke berapa, kaki saya melangkah lagi ke situ. Sejak September 1998 sehingga sekarang, saya masih setia mengunjungi.

Begitulah. Seorang wanita seperti saya yang sinonim dengan klinik O&G ini tentu sekali sudah lali dengan segala urusan di sini. Menunggu dirawat, disuntik, diimbas dan pelbagai lagi. Saya sudah tiada rasa.

Entah sampai bila lagi saya perlu ke sini, saya tidak pasti tetapi saya tidak kisah. Selagi ada usia selagi itu ada usaha. Allah mendengar rintihan saya. Saya redha.


Sent from Samsung Mobile

Tuesday, March 03, 2015

Plan

Some things are beyond planning. Life doesn't always turn out as planned.

You don't plan for a broken heart.

You don't plan for an autistic child.

You don't plan to be single forever.

You don't plan for a lump in your breast. Or a disease. Or broken bones.

You plan to be young forever. You plan to climb the corporate ladder.

You plan to be rich and powerful. You plan to be acclaimed and successful.

You plan to conquer the universe. You plan to fall in love - and be loved forever.

You don't plan to be sad. You don't plan to be shattered. You don't plan to be hurt. You don't plan to be broke. You don't plan to be betrayed. You don't plan to be alone in this world.

Sometimes, if you work hard enough, you can get what you want. But MOST times, what you want and what you get are two different things.

We, mortals, plan. But so does Allah in the heavens. Sometimes, it is difficult to understand Allah's plans, especially when His plans are not in consonance with ours. Often, when He sends us crisis, we turn to Him in anger.

True, we cannot choose what Allah wishes us to carry, but we can carry it with courage knowing that He will never abandon us nor send something we cannot cope with.

Sometimes, Allah breaks our spirit to save our soul.

Sometimes, He breaks our heart to make us whole.

Sometimes, He allows pain so we can be stronger.

Sometimes, Allah sends us failure so we can be humble.

Sometimes, He allows illness so we can take better care of ourselves.

And sometimes, Allah takes everything away from us so we can learn the value of everything He gave us.

Make plans, but understand that we live only by Allah's grace, His Fadhal(favour) and His Rahma (mercy)..

Keputusan

1990. Bulan Mac. Keputusan SPM saya diumumkan.

Tidak seperti orang lain, saya langsung tidak merancang untuk ke sekolah mengambilnya. Saya cuma menelefon. 

Bukan tidak mahu pergi. Malah hati meronta-ronta mahu ke sana berjumpa rakan-rakan dan guru yang dirindui. Pun, saya pasrah dengan kekangan yang ada. Sungguh bukan mudah mencari ruang ke sana pada saat ayah bekerja dan ibu sarat hamil.

Alhamdulillah saya bersyukur kerana keputusan saya lebih dari yang saya harapkan.

Beberapa hari selepas itu barulah ayah mengambil cuti untuk ke MRSM Terengganu, mengambil slip saya tanpa saya menemani.

Saya tidak pernah kesal atau terkilan kerana tidak mengambilnya sendiri seperti orang lain kerana apa yang lebih penting ialah nilai di dalamnya.

Terima kasih Tuhan. Tidak terhingga anugerah-Mu untuk aku. 


Sent from Samsung Mobile

Sunday, March 01, 2015

Rempeyek



Sudah entah kali ke berapa saya menempah. Rempeyek kacang tanah, rempeyek kacang dal dan juga ikan bilis. Sedapnya tidak seperti rempeyek yang pernah saya rasa. Lazatnya berbeza. Enak. Rangup dan lemak.

Puan Rasida, guru di sekolah saya menjadi agen rempeyek yang berjaya. Ibunya sangat pakar dalam membuat rempeyek dan kami di sekolah berkali-kali menempah.

Semoga perniagaan ibu Puan Rasida ini semakin maju dan dikenali. Saya akan menjadi salah seorang pelanggan tetapnya.

Sent from Samsung Mobile

Saturday, February 28, 2015

Biskut


Tuhan, biskutkah kami ini?

Sungguh hati saya tersentuh dengan cara dakwah yang menilai wanita seperti benda, seperti material yang dimiliki kaum lelaki. Rendah benar nilai diri kami di mata mereka.

Padahal, Allah tidak pernah membezakan nilai lelaki dan wanita kecuali takwa mereka (Sebagaimana firmannya dalam surah Al-Hujurat:13).

Benci benar saya jika suara-suara lelaki meletakkan wanita hanya sebagai barangan. Bukan tidak biasa di telinga saya mendengar mereka menyamakan wanita dengan kereta. Seolah-olah dunia ini hanya untuk lelaki dan wanita cuma menjadi barang dagangan mereka. Seolah-olah mereka itu tuan dan kami cuma hamba.

Gila!

Atas nama Islam, maka keluarlah kenyataan-kenyataan bodoh seperti di atas. Konon mahu mendidik wanita tentang aurat tetapi nilai wanita tidak pernah mahu dipandang tinggi.

Cukup-cukuplah. Jadilah lelaki yang membimbing, bukan menyindir. Jadilah lelaki yang menghormati wanita, bukan yang ego. 

Jika kami tidak menutup aurat, bimbinglah kami dengan ilmu bukan dengan sindiran yang menghina kami.

Sent from Samsung Mobile

Friday, February 27, 2015

Mengidam

Jumaat lepas, seperti hari-hari minggu yang selalu, saya ke pasar. Bukanlah pasar tani atau pasar minggu pun, sekadar gerai ikan dan sayur di tepi jalan berhampiran rumah saya. Walaupun cuma kedai tepi jalan, barang jualannya sangat banyak dan bolehlah saya umpamakan kedai Pak Mat itu sebagai one stop place untuk saya.

Ikan, sotong, udang, ayam, daging, sayur-sayuran, barang runcit juga kuih muih semua ada. Saya suka ke sini walaupun manusia agak ramai dan bersesak-sesak.

Saya terpandang ikan siakap dalam timbunan ikan yang banyak itu. Oh! Itu ikan kegemaran saya tetapi suami pula tidak menyukainya. Agak tidak amali untuk saya membeli jika hanya saya seorang yang makan. Jadi saya membeli ikan yang lain.

Di rumah, saya terbayang ikan siakap itu. Masak stim memang sedap tetapi berbaloikah untuk saya membeli, menyiang, menyediakan bahan dan memasak kemudian saya seorang yang makan? Lepas tu kena masak lauk lain pula untuk si dia. Oh tidak! Saya tidak serajin itu.

Pun rasa ingin menikmati siakap stim itu tidak mahu hilang dalam diri saya. Mengidam? Entah.

Beberapa hari selepas itu, saya mengajak suami makan di luar. Saya mahu ke kedai ikan bakar di Batu 4 dan memesan ikan siakap stim untuk saya seorang. Suami saya yang baik hati itu tidak membantah.

Usai Maghrib, kami bergerak ke sana. Hati saya girang bukan kepalang melihat ikan siakap yang segar-segar dalam kotak ikan di kedai itu. Semuanya besar-bedar tetapi demi keinginan saya, tidak saya hiraukan saiznya. Terus saya ambil seekor dan meminta dimasakkan stim limau.

Suami saya memang tidak menggemari pilihan saya. Dia memilih ikannya sendiri. Seekor ikan kembung sederhana besar dan dimasak bakar berempah.

Aduhai! Seekor ikan siakap yang beratnya lebih setengah kilo itu menjadi santapan saya seorang. Sedapnya!

Sent from Samsung Mobile

Thursday, February 26, 2015

Pening

Tiba-tiba saya rasa pening.

Sedang enak saya menghadap komputer riba menyiapkan program HC3 untuk para guru menggunakannya bagi kemasukan markah ujian, ada-ada sahaja gangguan yang datang.

Rakan guru tiba bertanya tentang msword.

Sahabat di sekolah lain menelefon bertanya tentang masalah HC3.

Pelajar pula berpusu-pusu datang meminta slip peperiksaan. 

Saya hilang tumpuan. Dan pening menerkam.

Dalam kelas, saya tidak mampu mengajar lama. Mujur murid-murid saya boleh berdikari. Mereka menjawab latihan dan saya duduk berehat sambil menjawab apabila timbul persoalan.

Begitulah. Faktor usia dan bebanan kerja sememangnya berkadar langsung. Semakin bertbah usia, semakin banyak pula bebanan. Entah terpikul atau tidak.

Jujurnya, saya cintakan tugas dan tanggungjawab saya ini. Belum sedia rasanya untuk bersara biar bebanan masih mahu menghampiri saya.

Sent from Samsung Mobile

Monday, February 23, 2015

Memberi

Ya Allah ya rabbi, aku sesungguhnya memohon keampunan di atas segala keterlanjuranku sama ada dalam perbuatan atau kata-kata.

Aku ini terlalu jahil dan amat jauh daripada kesempurnaan. Sedang Engkau telah mengurniaiku dengan sebegitu banyak anugerah yang tidak mampu aku hitung. Aku mahu bersyukur ya Allah. Aku mahu.

Tetapi bagaimanakah syukur yang terbaik buat aku?

Kata mereka, bersedekahlah. Kata mereka lagi, erti hidup pada memberi. Nanti Engkau akan ganjari dengan rezeki yang berganda-ganda.

Sesungguhnya ya Allah, aku tidak pernah ragu dengan janji-Mu. Engkau Tuhan yang tidak pernah memungkiri.

Aku yakin itu.

Rezeki Engkau maha luas ya Allah. Bukan hanya pada material, tetapi jua spiritual. Pada hati yang tenang, pada jiwa yang lapang, pada kesihatan yang baik, pada keluarga yang molek, pada sahabat yang memahami, pada pasangan yang menghargai.

Semua itu rezeki dari-Mu.

Lalu aku berjanji pada diri, untuk sentiasa memberi. Apabila aku memberi, kebahagiaan aku adalah pada saat aku memikirkan bagaimana pemberian aku itu menjadi satu manfaat. Ganjaran dari-Mu ya Allah biarlah menjadi rahsia. Biarlah ia terbuka apabila aku bertemu-Mu nanti. Aku takut nanti jika aku memberi dan mengharap balasan-Mu yang semerta, aku tidak tergolong dalam pemberi yang ikhlas.

Ya Allah, ampunilah aku yang sering lalai dan lupa ini.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, February 19, 2015

Raya Cina

Saya memiliki cuti selama empat hari bermula semalam.

Rabu. 18 Februari. 

Seawal pagi saya bangun memasak nasi berlaukkan ayam kampung goreng dan sayur pucuk paku. Usai sarapan, suami menghantar saya ke rumah emak sebelum dia bertolak ke Bandar Muadzam Shah. Jam baru ke angka lapan.

Saya sepatutnya turut sama menyertai rombongan pengantin lelaki itu yang juga cucu saudara suami saya tetapi keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan. Suami saya yang amat memahami memberi saya ruang untuk berehat di rumah emak. Terima kasih. 

Tiada yang lebih seronok apabila dapat berkumpul bersama-sama adik-adik dan anak-anak saudara yang sudah lama tidak ketemu. Ustaz Rifqi dan keluarganya tiba dari Johor seawal jam 11.00 pagi dan adinda Zahidah menyusul pada 6.30 petang. Husna dan Aziah juga sama-sama memeriahi hari ini menjadikan suasana riuh dengan suara-suara kecil anak-anak manis.

Khamis. 19 Februari. 

Sarapan pagi dengan nasi berlauk sememangnya menyelerakan. Apatah lagi beramai-ramai begini.

Emak dan adik-adik saya bersiap sedia untuk agenda hari ini. Mereka bakal menziarah ipar Husna yang baru bersalin anak ketiga dan seterusnya bergerak ke Kutan untuk majlis perkahwinan ipar Rifqi pula.

Saya tidak menyertai. Selepas ke rumah mek seketika, saya mohon dihantar pulang ke teratak cinta saya di Chenok. Di rumah, saya boleh melakukan pelbagai kerja yang tertangguh sejak berbulan-bulan.

Tiadalah saya kesunyian biarpun bersendirian. 


Sent from Samsung Mobile

Tok Su

Al Fatihah. 

Pulang sudah dia ke pangkuan Ilahi. Semoga rohnya aman tenteram dalam rahmat Allah jua.

Dia nenek tiri saya. Menjadi isteri ketiga arwah datuk sebelah ibu, yang dikahwini pada 1969 selepas kematian isteri keduanya pada 1968. Selepas arwah datuk meninggal dunia pada 1978, Tok Su kekal bersendirian membesarkan sepasang cahaya mata yang kala itu baru berusia lapan dan enam tahun.

Biarpun cuma memiliki dua anak kandung, Tok Su bertuah kerana anak-anak tirinya yang seramai tujuh orang tidak pernah meminggirkannya. Mereka menganggap Tok Su seumpama ibu kandung walaupun usia anak sulung arwah datuk lebih tua daripada Tok Su.

Saya sempat mengunjungi Tok Su dua hari sebelum kematiannya. Tok Su terlantar lemah dan badannya sangat kurus. Matanya sentiasa pejam walaupun kaki dan tangannya ada kala bergerak-gerak.

Saya hanya mampu memandang. Kosong. Dalam hati saya berdoa agar Allah memudahkan segala urusan. Tiada keajaiban yang saya harapkan, hanya rahmat dan kasih sayang Allah buat Tok Su yang saya kasihi.

Sejahteralah Tok Su. Kami di sini akan menyusuli Tok Su jua nanti.



Sent from Samsung Mobile

Thursday, February 12, 2015

Al Fatihah

KOTA BAHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Pulau Melaka jam 9.40 malam tadi.

Allahyarham sebelum itu dibawa pulang pada 8.40 malam dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan ditemani kaum keluarga.

Terdahulu, anaknya, Nik Mohamad Abdul memaklumkan di dalam Facebook tahap kesihatan bapanya menurun selepas menjalani rawatan ulser, semalam.

10 Januari 1931 - 12 Februari 2015.

Lapan puluh empat tahun Allah pinjamkan Ayahanda Tuan Guru kepada kami, dan kini Allah memanggilnya kembali.

Nyamanlah dikau di sana, ayahanda. Tenanglah. Damailah. Berehatlah.

Jasamu yang ditinggalkan tetap menjadi kenangan abadi. Akan hidup sentiasa di hati kami. 
 

Sent from Samsung Mobile

Kembali Cengeng

Hari ini saya sedikit emosi. Tiada sebab, tiada punca. Jiwa saya tiba-tiba mahu cengeng.

Menatap album gambar-gambar lama, bagai saya berada semula pada waktu itu. Entah mengapa ada rasa ingin menangis. Melihat wajah-wajah yang telah tiada, hati diusik rindu.

Aduhai! Lama sudah rupanya usia saya. Lebih empat puluh tahun saya menghuni dunia dan ia rupanya peluang yang cukup besar Allah berikan. Rahmat dan nikmat. Segalanya.

Wajah emak saya tatap. Dalam-dalam. Banyak kisah hidup yang emak simpan, pelbagai nada dan irama. Nyata emak seorang yang tabah. Terima kasih emak, sudi memahami tutur saya pada saat saya belum pandai berbahasa. Terima kasih emak, berkorban segala untuk saya. Memang cuma Allah yang mampu mengganjari. Saya tidak akan terbalas semua itu sampai bila-bila!

Menilik wajah ayah, air mata bagai tidak tertahankan. Lima belas tahun tanpa ayah rindu tidak pernah padam. Terima kasih ayah, menjadi yang terbaik untuk saya. Memberi makna pada kehidupan saya. Saya yakin ayah akan terus bahagia, dan kita akan kembali bersama di syurga-Nya.

Dan di sisi mereka, ada wajah abang dan adik-adik yang amat saya cintai. Mereka anugerah terindah dalam hidup saya. Doa saya buat mereka tidak pernah putus. Moga kasih sayang antara kita berlapan sentiasa abadi.

Tuhan, berilah kebahagiaan buat kami di dunia dan di akhirat. 

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Sunday, February 08, 2015

Sesak

"Duit ni, lambatnya nak dapat. Tapi bila dah dapat, cepat pulak habis!"

Keluh seorang pengawal keselamatan sekolah saya sewaktu saya duduk-duduk di pondok jaga itu, sambil menunggu suami saya tiba.

"Ya lah, hidup kita sekarang ni terlalu banyak keperluan." Jawab saya, mengiakan kata-katanya.

Saya memang selalu bersembang dengannya apabila menunggu suami saya datang menjemput saya di sekolah. Orangnya masih muda, dalam lingkungan tiga puluhan mungkin. Peramah dan boleh diajak berbual. 

Dia menyambung cerita.

"Semalam, saya tukar tayar kereta tu. Bukan tayar baru pun, second hand je. Habis seratus. Lepas tu buat alignment pulak. Habis seratus sepuluh. Dah dua ratus lebih. Bagi kat isteri lagi... ish!" Keluh beliau lagi sambil memandang ke arah kereta Proton Iswaranya yang saya kira sudah berusia hampir dua puluh tahun.

"Lepas ni, kena tunggu sebulan pula baru masuk duit. Itu pun, tiap hari saya bawa bekal makan. Tak beli... " 

Dia berlalu ke keretanya untuk mengambil bekal tengah harinya. Kebetulan suami saya tiba dan parking betul-betul di belakang keretanya. Saya berjalan menuju ke kereta suami saya.

Dia menyapa.

"Kalau kereta macam tu, tak apalah. Tak rosak!" Katanya sambil menunjuk ke arah kereta Toyota Camry saya dengan jarinya. Saya tersenyum dan menjawab, "Eh, taklah! Rosak jugak..."

Begitulah. Saat mendengar rintihan insan-insan yang kesempitan, hati saya dipagut juga rasa bersalah. Saya yang hidup cuma berdua ini, Allah beri rezeki yang lebih daripada cukup. Sedang dia yang perlu menanggung isteri dan anak-anak, hanya bergaji tidak sampai sesuku daripada gaji saya! Lalu, apa tindakan saya? Mendengar dan melihat sahajakah?

Saya kasihan pada mereka. Saya mahu sekali berkongsi tetapi caranya bagaimana? Setiap bulan saya berzakat, tetapi saya tidak tahu ke mana wang zakat saya dibawa hingga golongan sebegini masih terus merintih. Mereka bukan tidak berusaha tetapi tuntutan hidup kadang-kadang lebih daripada apa yang mereka jangka.

Saya berasa masih banyak lagi ruang untuk saya penuhi dengan bersedekah. Saya mahu sekali, tetapi caranya sering tidak tahu. Saya tidak tahu.....

Sent from Samsung Mobile

Saturday, February 07, 2015

Dalam ingatan

6 Februari 2010. Hari Sabtu. Jam 5.30 petang. Lima tahun lalu. Dia dipanggil pulang.

Hari ini, saya teringat padanya. Seorang wanita tabah berbudi pekerti mulia yang sentiasa memberi segala yang terbaik buat saya. Rupa-rupanya sudah lima tahun dia pulang ke sisi Tuhan. Sudah lima tahun saya kehilangan kemesraannya. Sudah lima tahun dia direhatkan dari segala kemelut dunia.

Bonda Asma'. Itu nama panggilan yang ditulisnya dalam setiap surat-surat yang dikirim pada saya sewaktu saya di asrama dulu. Surat-surat yang sentiasa berisi kata-kata semangat dan panduan. Selain arwah ayah, Bonda Asma' lah yang tidak pernah lupa mengutusi saya selama saya di asrama. Sehinggalah apabila dia berumah tangga.

Siapa tidak rindu pada wanita semulia itu? Saya cuma seorang anak saudara, tetapi dia menganggap saya lebih daripada itu.

Mungkin rindu ini akan terubat apabila kami bertemu di syurga nanti.

Sehingga itu, hanya kiriman doa tulus dariku buatmu.

Allah, ampuni Bonda Asma' dan damaikan dia di sisi Mu.


Sent from Samsung Mobile

Ubat


Empat minggu lalu saya menyambut kedatangan usia saya yang ke-43 tahun. Tiada apa-apa yang berbeza selain nombornya, dan kesihatan saya.

Semalam, saya ke klinik Ikhtiar untuk BP check-up. Saya sudah lama tahu BP saya semakin meninggi tetapi berkali-kali saya yakinkan diri yang saya boleh mengawal sendiri. Jaga makan dan bersenam.

Sungguh ia tak semudah itu. Kesudahannya, doktor memberi saya bekalan ubat darah tinggi untuk sebulan. 

Semoga saya cepat sembuh. Amin.

Sent from Samsung Mobile

Sunday, February 01, 2015

Mencari Hartini

Saya baru di tingkatan satu waktu itu, waktu kali pertama novel ini saya khatam.

Novel Hartini, karya Aziz Afkar.

Latar masanya sekitar 1960-an dan latar tempatnya di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu. 

Dan saya membaca lagi untuk kali kedua pada tahun berikutnya. Dan kali ketiga sewaktu di matrikulasi.

Ia novel hebat. Bahasanya cantik, ceritanya menyayat rasa. Saya mencari novel itu untuk dijadikan simpanan peribadi tetapi hingga kini belum saya temui.

Hartini, seorang guru muda yang manis dan berjiwa murni, memberi seluruh cintanya pada seorang jejaka miskin bernama Amli tanpa Amli menyedari. 

Apa yang menyentuh sehingga saya menangis teresak-esak biarpun kali keberapa saya membacanya? Malah, pada kali pertama buku itu saya baca, tiba-tiba elektrik terputus di asrama. Saya tega meneruskan bacaan ditemani cahaya lilin dek tidak mampu menahan rasa yang sedang diamuk pilu itu,

Hartini mengenali Amli daripada novel tulisan Amli. Tidak pula dia menyangka, rumah Amli hanya beberap langkah dari tempat tinggalnya di Pasir Panjang itu. Apabila dia mengetahui si penulis novel yang bagus itu hidup miskin dan hanya menjual telur itik, dia rasa sangat kasihan dan ingin sekali membantu.

Hartini begitu lembut dan santun orangnya. Biar betapa dia amat mengasihi Amli, tetapi tidak sekali pun ucapan cinta itu diluahkan. Dia menunjukkan rasa cintanya dengan membantu Amli menjadi penulis terkenal dan keluar dari kepompong kemiskinan. Dia mahu Amli menjadi manusia yang berjasa dan punya kedudukan. Manalah dia tahu, apabila Amli terkenal begitu, ramai pula gadis yang mengejarnya.

Amli pula, sesungguhnya mencintai Hartini tetapi dia tidak berani meluahkan kerana merasa diri terlalu rendah dan hina. Dia hanya seorang anak kampung yang miskin, sedang Hartini seorang pelatih guru yang bijaksana. Biar betapa dalam cinta dan kasihnya kepada Hartini, tidak sekali pun dia meluahkan meskipun pada detik dia sudah kaya dan terkenal. Lalu apabila ada gadis yang mahu mendekatinya, dia menerima sahaja kerana sangkanya Hartini tidak akan sudi menerima cintanya.

Lalu berkahwinlah Amli dengan Azimah, yang juga rakan sepengajian Hartini.

Kecewa hati Hartini hanya Tuhan yang tahu, tetapi dia cuba menyembunyikan semampunya. Amli pula, tidak mampu hidup bahagia dengan Azimah kerana Azimah bukanlah perempuan yang baik.

Penghujung cerita, Amli dan Hartini membawa kisah kasih mereka hingga ke pusara. Hartini meninggal kerana penyakit misteri, dan Amli setelah bercerai dengan Azimah tidak mampu menahan rasa bersalahnya kerana mengecewakan Hartini. Setiap hari pusara Hartini dikunjunginya sehingga ke hujung hayatnya.

Saya rindu kisah itu untuk dihayati lagi. Tetapi pencarian saya masih enggan berakhir.

Sent from Samsung Mobile