Friday, December 31, 2010

Salam Tahun Baru

Salam tahun baru.

2010 pun berlalu dan tidak akan kembali lagi. Pahatlah kenangan manis sepanjang tahun menjadi sejarah di ruang hati. Selitkan pengajaran dari setiap kepahitan, ambillah iktibar dari setiap kegagalan, agar 2011 yang tiba membawa erti. Kita tidak punya upaya menyekat perjalanan masa. Itu peraturan alam, ketetapan Tuhan. Kita hanya mampu menyimpan ingatan.

Sematkan azam untuk menjadi lebih baik terhadap insan, terhadap Tuhan.
Selamat tinggal 2010 dan kita tidak akan bertemu lagi.
Selamat datang 2011. Semoga sinarmu bercahaya gemilang.

Tuesday, December 28, 2010

Hati yang tergores

Maaf.

Ada waktu-waktunya kita melukai hati orang yang kita sayang tanpa kita sedari. Apa yang berlaku tempoh hari memang salah saya. Tidak sepatutnya saya berlalu begitu sahaja tanpa mengirim walau sepatah kata lewat talian telefon. Saya sebenarnya lalai, tapi bukan saya lupa padanya. Dia saudara saya, dan saya mengasihinya. Saya bukan sengaja. Sungguh!

Sekali lagi maaf.

Dia memang berkecil hati. Saya tidak salahkannya kerana saya tahu saya yang bersalah. Dia berhak berasa begitu dan saya pula, gagal memberi jawapan yang baik. Sungguh benar saya minta maaf.

Walaupun dia tidak membaca tulisan ini, jauh di sudut hati saya mengharap kemaafannya. Saya mengakui salah saya dan saya berjanji untuk tidak mengulanginya. Saya tahu dia tidak menyimpan rasa. Semoga kita kekal bersaudara hingga akhirat.


Minggu yang padat

Sepulangnya kami dari berehat di Dungun, kami kembali melalui rutin hari yang penuh dengan agenda. Saya yang selalunya santai bersendirian di rumah, melayan hobi sendiri dan seringnya tanpa sebarang gangguan tiba-tiba menjadi sentiasa sibuk setiap hari.

Hari Rabu, saya dan suami keluar membeli belah barang keperluan dapur di kedai berhampiran dan singgah juga di Pesona Anggun untuk menghantar batik-batik Terengganu yang dibeli semalam. Janji tukang jahit itu, minggu hadapan baju-baju saya itu bolehlah diambil untuk digayakan di sekolah sempena tahun baru…

Pulang ke rumah, saya menyediakan diri untuk masak makanan tengah hari. Kali ini saya sediakan kari kepala ikan, sayur pucuk paku goreng campur sotong dan ikan kerisi goreng. Selesai makan, saya berehat panjang hingga ke malam. Kebetulan malamnya suami saya dijemput bertahlil di rumah jiran, maka saya tidak perlu menyediakan makan malam. Hanya kue teow goreng saya sediakan untuk diri sendiri.

Khamis tiba tanpa mungkir. Suami saya ada mesyuarat di sekolahnya lalu saya minta dia hantarkan saya ke rumah emak untuk bersantai di sana pula. Sebenarnya, kerja di rumah sangatlah banyak. Kain yang belum berbasuh penuh bakul, yang belum berlipat juga sama. Bilik tetamu masih belum dikemas, sedangkan saya akan menerima tetamu dari KL pada Sabtu nanti. Beranda dan kawasan luar rumah juga masih begitu, belum dibersihkan sepenuhnya. Tetapi, saya rasa rindu dan teruja untuk berada bersama keluarga di rumah emak. Jika saya tidak pergi hari ini, susah pula untuk mencari masa lain nanti sedang adik-adik sudah pun mahu pulang ke negeri masing-masing.

Di rumah emak pun bukannya lama sangat, jam 1.00 tengah hari suami saya pulang dan menjemput saya, bersama-sama dua bungkus nasi untuk santapan tengah hari. Dia juga membawa khabar, esok (Jumaat) kami dijemput Kak Zan ke rumahnya, menyiapkan apa yang patut sempena majlis pertunangan anaknya.

Waktu malam tiba, kali ini bersama temujanji suami saya dengan tukang urutnya. Jam 8 malam, tukang urut tiba untuk mengurut suami dan saya ke dapur menyediakan makan malam. Saya sediakan ikan kerisi goreng, ayam halia dan sayur petola masak air campur udang. Jam 8.40 malam, sahabat kami dari Kuala Krai menelefon dan memberitahu mereka dalam perjalanan ke rumah kami. Jam 9.15 mereka tiba dan berada di sini hingga hampir 11 malam. Mujurlah makan malam yang saya sediakan itu mencukupi untuk mereka sekeluarga juga.

Pagi Jumaat, kami berdua ke rumah Kak Zan dan saya berada di sana hingga petang. Majlis berjalan baik dan saya pulang pada jam lima. Hmm, rumah belum berkemas juga.

Menjelang malam, saya berhasrat untuk mengemas rumah kerana esok pagi sahabat-sahabat saya akan tiba. Apa pun, rancangan tidak menjadi kerana suami saya mengajak saya menemannya ke klinik di Ketereh. Jam 8.00 kami pergi, jam 10.30 baru balik. Mata mengantuk, tetapi saya mesti kemaskan juga bilik tetamu, bilik air dan bahagian dapur yang bersepah itu. Lalu bekerjalah saya dalam kemengantukan sebegitu.

Sabtu, jam 10.15 pagi tiga orang sahabat saya pun tiba seperti yang dijanjikan. Saya sudah siapkan mihun goreng untuk mereka. Seronok berbual sambil makan, tidak sedar jam menghampiri 12 tengah hari. Kami keluar untuk makan tengah hari di KB, bersama dua orang lagi sahabat kami yang menanti di sana. Seterusnya, kami meronda bandar KB, dan menghantar mereka ke airport pada jam 6 petang. Dua orang lagi sahabat saya menghantar saya pulang ke rumah dan meneruskan agenda berbual kami hingga jam 10 malam.

Ahad, saya kira saya bakal bersendirian kembali tetapi ia tidak begitu. Jam 10 pagi, kakak ipar saya datang bersama empat orang anaknya. Seronok melayan keletah Afnan, Aisyah, Ain dan Anis yang jarang-jarang dapat berjumpa. Jam 11.30, mereka ingin pulang tetapi Afnan mahu terus bersama saya. Emaknya membenarkan, dan meminta Ain dan Aisyah turut bersama. Lalu mereka bertiga menemani saya di rumah sehingga jam 5 petang.

Apabila mereka pulang, suami menerima panggilan telefon dari sahabatnya yang tinggal di Dungun. Dia dan keluarganya dalam perjalanan dari Penang dan ingin singgah di rumah kami. Jam 6.45 petang mereka tiba. Saya sediakan karipap goreng dan kuih tradisional Kelantan – jala emas dan kaya – yang saya beli di bandar semalam. Selepas maghrib, kami bawa mereka ke rumah Kak Zan dan kami dihidangkan dengan sate dan nasi himpit. Jam 9.30 malam, mereka pulang ke Dungun.

Isnin, saya dan suami keluar ke kedai dan ke pejabat pos pada jam 9.30 pagi. Tiba di rumah semula pada jam 10.45 pagi. Saya terus masuk dapur untuk masak tengah hari – ayam halia, ikan bawal pedas, pucuk paku celur, ikan tawar dan budu. Jam 12 tengah hari siap masak dan kami terus makan. Jam 12.45, keluar ke rumah mek untuk menghantar adik ipar saya ke airport. Di sana, suami menerima panggilan daripada sahabatnya yang tinggal di Cameron Highland. Dia dan isterinya berada di Machang, dan ingin datang ke rumah kami petang nanti.

Sebaik selesai urusan di airport, saya dan suami bergegas pulang. Tiba di rumah, dengan kadar yang segera saya siapkan mi goreng dan karipap goreng untuk dihidangkan pada mereka nanti. Mujurlah sempat siap. Mereka tiba pada jam 3.30 petang dan pulang pada jam 5 petang.

Malam, selepas Isya saya dan suami ke rumah saudara kami yang juga jiran kami untuk majlis solat hajat. Kami pulang jam 10.20 malam.




Thursday, December 23, 2010

Keputusan PMR 2010

Hari ini 23hb Disember 2010, keputusan PMR diumumkan. Ramai yang berdebar-debar, dari calon PMR, ibu bapa hinggalah guru-guru.

SMK Kg Chengal (SMKKC), sekolah tempat saya mengajar sekarang dibuka pada tahun 2006. Kali pertama pelajar-pelajarnya menduduki PMR ialah pada tahun 2008. Apabila keputusan diumumkan, 18 orang pelajar berjaya mendapat semua A. Ia satu rekod baik kerana sekolah-sekolah sekitar tiada yang dapat menandingi pencapaian SMKKC. waktu itu Nama SMKKC harum semerbak secara tiba-tiba. Ramai ibu bapa berhajat menghantar anak mereka ke sekolah ini kerana pencapaian yang sebaik itu.

2009, kali kedua PMR berlangsung di SMKKC dan keputusan yang diperoleh agak mengecewakan. Hanya 2 orang pelajar mendapat semua A dan ia jauh ketinggalan dengan sekolah-sekolah sekitar. Bukan hanya ibu bapa, guru-guru juga berasa terhantuk dengan keputusan ini. Mujurlah kepercayaan ibu bapa pada sekolah tidak pudar. Masih lagi mereka berebut-rebut menghantar anak mereka ke sini. Malah, ada yang datang ke rumah meminta bantuan saya menempatkan anak mereka di SMKKC. Apalah daya saya yang ada kerana penempatan di SMKKC dibuat oleh pihak PPD, bukan pihak sekolah.

Hari ini debaran di hati guru-guru SMKKC tiada terkata. Sebaik keputusan diterima, syukur pada Allah melimpah ruah. 19 orang pelajar berjaya mendapat semua A dan ini mengatasi rekod 2008. Kali ini kami mampu bernafas lega. Alhamdulillah.

Kesimpulannya, keputusan yang baik dalam apa-apa peperiksaan pun adalah terletak pada usaha yang bersungguh-sungguh oleh semua pihak - pelajar, guru dan ibu bapa. Saya rasa sedih apabila kedengaran suara-suara sumbang menyalahkan guru apabila keputusan tidak seperti disasarkan. Kata mereka, "cikgu tak bersungguh!" apabila anak mereka tidak mendapat keputusan baik. Kasihan guru. Apabila keputusan jatuh, guru yang tidak bersungguh. Jika keputusan baik pula, anak mereka yang bijak.

Tak mengapalah, kami redha...

Wednesday, December 22, 2010

Mencari Kerehatan di Dungun

Jam 9.00 pagi Isnin 20hb Disember, saya dan suami bertolak ke Terengganu. Tujuan hanyalah sekadar berjalan-jalan makan angin sambil mencari batik Terengganu sehelai dua. Perjalanan memang nyaman kerana hujan di beberapa tempat. Kami sebenarnya ingin menuju ke Dungun, bandar kecil di hujung negeri Terengganu yang belum pernah kami kunjungi. Kenapa Dungun ya? Tiada alasan atau sebab, mungkin untuk menambah koleksi pengalaman merantau di tempat orang.

Jam 12.40 tengah hari kami pun tiba di bandar Dungun. Ia tidak sebesar mana tetapi serba lengkap juga. Kami menuju ke hotel UiTM untuk menginap di sana tetapi malang nasib kami, bilik sudah penuh. Hmm, kami tidak berapa tahu hotel-hotel lain tetapi dengan keyakinan diri kami berpatah balik ke bandar, dan mata kami meliar membaca setiap papan tanda di tepi jalan.

Kami terpandang papan tanda hotel Mayang Sari dan segera mengikut arah yang diberikan. Kira-kira jam 1.30, kami pun tiba di hotel tersebut dan disambut mesra pelayan tetamunya. Kami menginap di bilik C2, Water Villa yang cuma berharga RM75.00 untuk satu malam beserta sarapan.

Selesai solat, kami keluar mencari kedai makan. Suami saya berkenan untuk singgah di Restoran Saujana di hadapan Hospital Daerah Dungun dan kami menikmati hidangan Nasi Ayam Saujana yang boleh tahan sedap rasanya, dan harganya pun murah, cuma RM3.80.

Sambil menanti hidangan tiba, suami saya menghubungi sahabat sebiliknya sewaktu di Mekah baru-baru ini iaitu Hj Ruslan dan menjemputnya datang ke restoran. Tidak lama kemudian, Hj Ruslan tiba dengan kereta Citra kelabunya.

Selesai makan, Hj Ruslan membawa kami ke rumahnya untuk berjumpa isterinya, Hjh Zaharah dan anak-anaknya. Apabila mengetahui hajat saya ingin membeli batik, beliau dan isteri membawa saya dan suami ke kilang batik berhampiran. Saya beli sepasang kain batik berharga RM170.00 dan sehelai kaftan berharga RM25.00.

Jam 5.00 petang kami pulang ke Mayang Sari untuk berehat seketika. Selepas solat, kami keluar pula. Kali ini kami keluar bersama-sama dengan keluarga Hj Ruslan dan keluarga Hj Razali, iaitu seorang lagi sahabat sebilik suami saya ketika di Mekah. Hj Razali datang bersama isterinya Hjh Rohani dan tiga orang anaknya.

Kami menuju ke restoran Batu 50 dan menikmati makan malam di situ. Banyak juga Hj Ruslan memesan makanan - tom yam campur, ikan tiga rasa, kerabu sotong, kailan ikan masin, ayam halia, telur dadar dan sotong celup tepung. Kami makan dengan berselera dan sungguh kenyang sekali. Terima kasih banyak-banyak Tuan Haji kerana sudi belanja kami.

Selesai makan, kami berkunjung ke rumah Hj Razali pula yang terletak di belakang hospital. Lama juga berbual-bual di rumahnya sambil menikmati kopi Radix, tapai pulut dan buah limau. Jam 11.00 malam baru kami pulang.

Esoknya, selesai sarapan di restoran Sari Bayu, kami bertolak pulang. Kami tiba di bandar Kuala Terengganu pada jam 10.00 pagi dan singgah di Pasar Payang untuk mencari batik lagi. Kali ini saya berkenan dengan tiga pasang kain batik yang masing-masing berharga RM190, RM200 dan RM230. Risau juga saya kalau-kalau suami membebel kerana berbelanja sebegitu rupa, tetapi suami saya seperti memahami keinginan saya dan membiarkan sahaja saya membeli belah tanpa banyak cerita. Sebagai hadiah, saya belikan sehelai kemeja batik berharga RM120 buatnya.

Jam 11.30 pagi, kami bertolak pulang ke Kota Bharu. Dalam perjalanan kami singgah di Batu Rakit untuk membeli keropok lekor sebagai buah tangan kepada keluarga dan jiran, dan singgah makan tengah hari di gerai makan di Penarek. Kami makan banyak juga, nasi putih dengan gulai ikan tongkol, sayur lemak, daging goreng dan budu. Air pula teh o ais. Harganya? Cuma RM11.00! Murah, bukan?

Lebih kurang jam 2.45 petang, kami tiba di Batu 8. Alhamdulillah, percutian kami walaupun cuma satu hari, cukup memberi kepuasan diri.

Saturday, December 18, 2010

Makanan di Mekah

Sebelum ke Mekah lagi, kami sudah dimaklumkan oleh banyak pihak yang makanan pakej haji Tabung Haji (Muassasah) diagih secara bungkus, diberi dua kali sehari iaitu tengah hari dan malam. Makan pagi beli sendiri, tapi teh dan gula disediakan.

Saya sebenarnya kurang berkira sangat bab makan ni. Tekak saya mudah menerima makanan. Orang lain kata tak sedap pun saya selalunya boleh habiskan. Arwah ayah pernah kata, saya ni nasi dengan kicap pun lalu, maklumlah budak asrama. Emak pula cakap, senang nak bela orang macam saya ni, semua benda boleh makan!

Hmm, di Madinah dan Mekah pun begitu. Nasi yang disediakan bagi saya boleh tahan juga rasanya. Jika lauk ayam atau ikan saya selalu makan sampai habis. Tetapi bila lauk daging, kurang lalu sedikit. Di Malaysia pun saya kurang makan daging.

Semasa di Arafah dan Mina, makanan disediakan oleh pihak Muassasah, jadi rasanya berbeza sedikit daripada yang disediakan oleh pihak Tabung Haji. Saya yang sentiasa berselera ini pun tiba-tiba jadi tidak lalu. Mungkin kerana saya diserang batuk dan selesema semasa di sana menyebabkan kurang selera makan.

Apabila kembali ke Mekah, selera saya pulih semula. Alhamdulillah. Tetapi tidak lama, kerana beberapa hari sebelum pulang ke Malaysia saya demam teruk. Mujurlah ia tidak berlarutan.

Setiba di Malaysia, ramai yang menegur saya kurus. Hmm, ini sudah bagus! Saya teruja juga hendak mengetahui berat badan terkini saya. Kebetulan Selasa baru-baru ini saya ada temujanji di HUSM, jadi sempatlah saya menimbang berat badan saya.

Tahu berapa? 76 kg! Itu berat badan saya 5-6 tahun yang lalu, sewaktu masih di Kuala Krai. Sejak berpindah balik ke Kota Bharu, berat saya melebihi 80kg malah pernah menjangkau 86 kg pada 2007. Saya rasa seronok sangat tetapi saya tidak tahu sampai bila berat ini bertahan. Tambah-tambah lagi bila berada di rumah sendiri ini, kerja saya asyik makan sahaja!

Berbalik kepada cerita makanan di Mekah, pada saya ia tidaklah seteruk mana. Beberapa minggu sebelum saya bertolak ke Mekah, saya terbaca satu artikel yang disiarkan dalam akhbar tahun lepas yang mengkritik keterlaluan makanan Tabung Haji sehingga saya jadi bimbang. Rupanya ia tidak begitu. Mungkin selera manusia berbeza-beza, tetapi bagi saya ia tetap sesuai dengan kita jemaah haji Malaysia.

Friday, December 17, 2010

Demam

Sewaktu di Mekah baru-baru ini saya mengalami demam yang teruk. Sebelum itu saya hanya mengalami batuk sahaja, tetapi bermula Khamis 2 Disember, saya mula berasa tidak sedap badan. Saya telan panadol, kebah sebentar, kemudian demam balik. Malam Sabtu adalah kemuncak demam saya. Sejuk yang menikam hingga ke tulang hitam, saya menggigil dan tidak dapat tidur lena. Terjaga pagi hari, tekak saya perit amat. Suami belikan nasi goreng dan mihun, saya cuma makan dua sudu sahaja. Itu pun kerana takut perut terlalu kosong. Makanan yang ditelan tiada rasa langsung. Semua tawar. Hidung tersumbat dan tidak dapat menghidu. Tekak perit dan pedih. Saya terlantar seharian. Jam 4.30 petang, suami temankan saya ke klinik. Doktor berikan panadol, antibiotik, ubat selesema dan multivitamin. Ubat batuk sudah habis di klinik Tabung Haji! Dua, tiga hari seterusnya saya masih tidak mampu bergerak banyak dan tidak lalu makan. Kebetulan saya uzur, maka tidaklah perlu saya keluar ke masjid.

Sehinggalah hari Isnin 6 Disember, iaitu hari terakhir saya di Mekah. Saya berdoa agar uzur saya segera selesai kerana saya ingin sekali bersolat dan bertawaf di masjidilharam sebelum pulang ke Malaysia. Tidak dapat saya gambarkan bagaimana terkilannya saya jika tidak dapat ke sana.

Alhamdulillah, Allah mengizinkannya. Saya suci pada waktu maghrib dan sempat bersolat di masjidilharam sebelum bertawaf wada’ bersama suami. Syukur sungguh rasanya kerana diberi Allah kesempatan itu. Demam saya sudah baik sedikit, walaupun badan masih lemah.

Kami keluar ke masjid untuk tawaf wada’ pada jam 11.00 malam. Tiba di masjid, saya solat sunat tetapi tidak sempat lama kerana tiba-tiba perut saya memulas. Bukan sekali bahkan berkali-kali. Terpaksalah suami saya berulang alik temankan saya ke tandas. Dua kali kami ke sana, perut saya masih belum lega. Akhirnya saya tawakkal untuk meneruskan tawaf walaupun kesakitan. Kasihan suami saya yang terpaksa melayan karenah saya tetapi dia sangat sabar, sedikit pun tidak merungut walaupun berulang alik ke tandas itu bukanlah dekat!

Jam 12.35 malam kami mulakan tawaf kami. Alhamdulillah perut saya tidak sakit lagi dan kami selesai tawaf dalam tempoh 25 minit sahaja kerana orang tidak seramai mana. Sayu di hati kerana ini tawaf terakhir kami buat musim ini. Jam 1 pagi kami berjalan pulang ke hotel. Di hotel perut saya kembali memulas!
Jam 2.30 pagi kami turun ke lobi dan menaiki bas untuk ke Jeddah. Jam 3.00 pagi bas bertolak, dan air mata saya bercucuran lagi. Selamat tinggal Mekah. Saya akan merinduimu… semoga nanti saya punya kesempatan untuk kembali menyusurimu. Tunggulah saya!!

Kami kemudian tiba di Madinatul Hujjaj, Jeddah pada jam 5.00 pagi. Kami berehat di sana sehingga dibawa ke airport pada 8.30 malam, dan bertolak ke Malaysia pada jam 1.30 pagi Rabu 8 Disember.

Dalam pesawat, saya sangat tidak selesa. Batuk yang tidak henti-henti, ditambah dengan kepala yang sakit dan demam yang masih bersisa. Lapan jam setengah terasa sangat lama. Pun saya cuba bersabar dan bertahan. Ini ujian buat saya.

Hari ini, sudah sembilan hari saya pulang ke Malaysia. Dua, tiga hari pertama saya masih lagi penat dan lemah. Jiran, rakan dan saudara pula ramai yang datang bertandang, menziarah kami yang baru pulang ini. Biasalah itu, mengambil berkat kata mereka. Kami terima dengan hati terbuka dan menghulur pula sedikit buah tangan sebelum mereka pulang, sebagai kenang-kenangan. Bukan apa pun, sehelai sejadah atau sebiji kopiah sahaja.

Apabila tiada tetamu, saya terbaring lesu. Badan terasa penat dan tekak sakit. Suami ajak ke klinik tetapi saya tidak mahu. Saya cuma minta dia belikan ubat batuk sahaja. Batuk saya sangat teruk. Belum pernah dalam hidup saya mengalami batuk sebegini. Rasa sakit sampai ke kepala. Mujurlah sekarang sudah semakin berkurangan.

Alhamdulillah, saya hari ini sudah semakin sihat. Rumah pun sudah dikemas sekadar termampu. Tetamu yang berkunjung sudah berkurangan. Saya rasa ingin berehat di tempat peranginan pula. Insya Allah esok, Sabtu 18 Disember saya dan suami akan bertolak ke Tanjung Jara, Dungun dan berehat di sana barang semalam dua.
Semoga pulang nanti saya mendapat semangat baru untuk meneruskan rutin kehidupan.

Thursday, December 16, 2010

Manusia Berubah

Dulu lain, sekarang lain. Tidak perlu sebab, tidak perlu punca, manusia boleh berubah bila-bila masa.

Berubah itu biasa. Semua perkara di dalam dunia ini tidak akan dapat lari dari perubahan. Baik manusia, bangunan, pokok-pokok atau apa saja. Semua berubah. Cuma yang berbeza ialah perubahan itu. Ada yang negatif menjadi positif, ada pula sebaliknya.

Saya merenung diri saya. Saya yang dulu berbeza dengan saya yang sekarang. Dulu saya simple dan kurang berfikir sebelum bertindak. Dulu saya buat perkara yang saya ingin buat tanpa berfikir panjang. Dulu saya hanya fikir diri saya, jarang fikir orang lain.

Sekarang? Sekarang saya ingin berubah. Saya mahu menjadi saya yang lebih baik. Saya yang lebih berwaspada dalam segenap hal. Saya yang mendahulukan niat yang baik, saya yang ikhlas dan saya yang sentiasa bersangka baik pada semua orang. Insya Allah, saya akan cuba menjadi sebegitu demi masa depan dan akhirat.

Apabila saya melihat manusia lain berubah, saya tidak layak menghakimi mereka. Walaupun ada waktunya saya tertanya-tanya juga, "eh! Dulu dia tidak begitu, kenapa sekarang jadi begini?" tetapi biarlah ia menjadi rahsia Tuhan.

Manusia berubah. Saya juga berubah.

Wednesday, December 15, 2010

Tabung Haji vs Pakej Swasta

Awalnya dahulu, kami berhasrat untuk menunaikan haji melalui pakej swasta. Kata orang, ia lebih selesa dan banyak kemudahan berbanding pakej Muassasah. Tetapi apabila nama kami terpilih sebagai jemaah haji 1431H, kami mula berkira-kira. Ditambah lagi dengan kata-kata pegawai TH yang berurusan dengan kami, "Dah terpilih ni tak payahlah ikut pakej ya.."

Kebanyakan jemaah yang ke Mekah melalui pakej swasta adalah disebabkan nama mereka belum terpilih dalam senarai jemaah haji tahun tersebut, lalu mereka menggunakan kuota pakej swasta kerana enggan menunggu lama.

Setelah berbincang, saya dan suami sepakat untuk mengambil pakej Muassasah sahaja. Rasionalnya, kami masih muda dan kuat, jika menginap jauh pun tidak terlalu membebankan. Bab makan kami tidak kisah sangat kerana boleh dibeli di mana-mana. Perbezaan harga juga menjadi salah satu sebab. Jika setakat berbeza dari empat ke lima ribu rasanya masih berbaloi. Tetapi maklumat yang kami dapat, pakej swasta termurah ialah RM18 000, berbeza RM8 000 dengan pakej Muassasah. Rasa sayang juga untuk menambah duit sebanyak itu yang apabila dikali dua, sudah menjadi RM16 000. Tidak mengapalah, kami muktamad meneruskan dengan pakej Muassasah yang cuma RM9 980 seorang.

Apabila tiba di Madinah, kami menginap di hotel yang sama dengan jemaah yang datang dengan pakej TH Travel. Apa yang membezakan kami cuma makanan. Mereka makan secara buffet di restoran hotel, kami pula mendapat makanan yang dibungkus. Rasanya itu sahaja. Bilik kami sama, jarak ke masjid juga sama.

Di Mekah barulah kami dapat rasakan perbezaan dengan jemaah pakej ini. Selain makanan, perbezaannya ialah kami ditempatkan di hotel yang agak jauh dari masjid, sekitar 700 - 800 meter. Walaupun begitu, bukan semua jemaah pakej bernasib baik kerana ada yang ditempatkan sedikit jauh dari masjid. Sebenarnya bagi orang yang masih muda dan kuat, jarak 700 - 800 meter bukanlah jauh mana. Apatah lagi bila berjalan beramai-ramai, sambil meronda kedai pula....

Di Arafah dan Mina pula, semua jemaah dilayan sama oleh pihak Muassasah. Ketika ini TH dan syarikat haji swasta tidak punya banyak peranan kerana pihak Muassasah mengambil alih. Dari khemah hinggalah makanan, kami dilayan serupa selama lima hari.

Jadi pada pandangan saya, sekiranya nama telah terpilih sebagai jemaah haji, tidak perlulah bersusah-susah mencari pakej swasta kerana dengan Tabung Haji ini pun kami tidak rasa sesukar mana. Lainlah kalau belum terpilih dan ingin segera ke Mekah, bolehlah menggunakan pakej swasta ini.

Apa yang dapat saya simpulkan, saya berpuas hati dengan apa yang saya dapat daripada pihak TH. Biasalah, ada sedikit lompang di sana sini tetapi ia berbaloi dengan apa yang kami bayar. Syabas TH, semoga kecemerlangan ini berterusan.

Original?

Setiap kali saya keluar membeli belah bersama suami di kedai-kedai di Mekah, kami sering ditanya dari negara mana. Bila kami jawab, "Malaysia", dengan dahi berkerut peniaga itu akan bertanya lagi, "Original?" Mulanya kami tidak faham apa maksudnya. Rupanya dia bertanya asal keturunan kami. Kami tetap menjawab "Malaysia" tapi ditanya lagi, "father? mother"? Hmm, dia kurang puas hati hingga mahu tahu keturunan ibu bapa kami pula! Kami tetap berkata "Malaysia". Akhirnya dia sendiri menjawab, "No, not original Malaysia. You (dituju pada suami saya) India and you (dituju pada saya pula) Pakistan!"

Sewaktu saya menunggu suami di luar kedai, seorang jemaah wanita menyapa saya, "Pakistan?" Saya senyum saja, dan menjawab, "No, Malaysia." Dia mengangguk dan menyatakan yang dia dari Libya. Hmm..

Bukan sekali atau dua kali, tetapi berkali-kali ia berlaku begitu. Aduh! Paras kami tidak kemelayuan rupanya hingga menerbitkan kekeliruan di kalangan mereka. Tak mengapalah, kami bangga dengan rupa kami ini... hahaha!!!

Tuesday, December 14, 2010

Kenangan Madinah Makkah 1431H

Madinah, sebuah bandar yang nyaman dan tenang. Kami tiba di lapangan terbang Madinah sekitar jam 2.00 pagi waktu tempatan, Selasa 19/10/2010. Lama menanti urusan imigresen yang selesai pada sekitar jam 5 pagi. Seterusnya kami menaiki bas ke hotel , dan perjalanan mengambil masa hampir sejam.

Kalut juga kami mencari bilik kerana tersilap bangunan. Mujur ada petugas TH yang membantu kami menaiki lif yang betul dan alhamdulillah, akhirnya kami tiba juga di bilik kami di hotel Movenpick itu.

Lapan hari menyusur waktu di kota Madinah, rasa tidak puas. Indah sekali perasaan di sini. Aura nyaman dan tenangnya menyelinap ke segenap ruang rasa. Tiada tekanan, tiada kesukaran. Saban waktu solat kami turun ke masjid Nabawi yang hanya 50 meter dari hotel kami. Manusia memang sangat ramai. Jika kami lambat sedikit, kami terpaksa bersolat di luar masjid. Inilah pengalaman pertama saya berada dalam lautan manusia yang hampir jutaan jumlahnya.

Hari ketujuh di Madinah, kami melakukan ziarah wada’. Sayunya hati untuk meninggalkan ketenangan kota ini, meninggalkan Raudhah dan Makam Rasulullah. Doa tidak putus-putus dipanjatkan pada ilahi agar memberi lagi ruang dan peluang buat saya untuk ke mari suatu hari nanti.

Rabu, 27/10/2010 jam 8.45 pagi, bas kami bergerak ke Mekah. Selamat tinggal Madinah. Semoga kita bertemu lagi. Kami berihram umrah hari ini kerana kami bakal melaksanakan haji tamattu’.

Jam 5.30 petang, kami tiba di kota Mekah. Kota yang menggamit pelbagai rasa. Menginap di Abraj Reman mulanya mendatangkan sedikit rasa janggal di hati namun kami cuba menyesuaikan diri dan redha dengan ketetapan ini. Lama-lama kami betah juga.

Jam 8.30 malam, taklimat tawaf di lobi oleh petugas TH dan kami dibawa oleh mutawwif ke masjidilharam untuk menyelesaikan tawaf, saie dan bercukur. Jarak 750m bukanlah jauh mana, rasanya sedang-sedang elok buat saya. Hanya 15 minit berjalan kaki.
Kali pertama memasuki masjidilharam melalui pintu Bani Syaibah (Babussalam) dan dibawa ke dataran ka’abah menerbitkan rasa sayu yang tidak terucap. Demi terpandang Ka’abah di depan mata, air mata tanpa dipaksa mengalir di pipi. Ya Allah! Betapa kukagumi kebesaran-Mu dan kusyukuri rahmat-Mu…

Kami bertawaf, bersaie dan bergunting. Selesailah umrah wajib kami sekitar jam 11.30 malam. Alhamdulillah.

Hari-hari seterusnya kami lalui dengan rutin yang serupa. Bersolat di masjidilharam lima waktu sehari. Subuh kami turun jam 3.30 pagi. Zohor pula sekitar 11.00 pagi, Asar 2.30 petang dan Maghrib kami turun pada 5.00 petang dan terus tunggu Isya’. Kami tidur awal setiap malam, sekitar jam 9.00 malam.

Hari wukuf jatuh pada 15/11/2010 iaitu hari Isnin. Kami ke Arafah pada Ahad 14/11/2010 jam 12.15 tengah hari dan tiba sekitar jam 2.00. Berada dalam khemah Arafah sememangnya satu pengalaman yang manis. Alhamdulillah tiada sebarang kesulitan yang timbul dan kami dapat melaksanakan ibadah wukuf dengan lancar.

Sebaik selesai solat maghrib dan Isya’ secara jamak tamam pada malam Selasa 16/11/2010, kami bertolak ke Muzdalifah. Waktu inilah saya mula rasa sakit tekak dan batuk. Di Muzdalifah kami Cuma berehat dan mengutip batu. Jam 1.30 pagi, bas tiba untuk membawa kami ke Mina pula.

Kami tiba di Mina pada jam 3.00 pagi dan dibawa melontar Jamrah Kubra pada jam 4.00 pagi. Walaupun penat, kami gagahi jua untuk berjalan kaki sejauh 6km pergi balik. Memang mencabar tetapi ia pengalaman bermakna. Jam 6.00 pagi kami tiba di khemah semula.

Tiga hari seterusnya, kami berulang alik dari khemah ke jamrah setiap hari untuk menyempurnakan lontaran. Alhamdulillah, kami dapat melaksanakan rukun dan wajib haji dengan lancar, walaupun kesihatan sudah mula goyah. Batuk saya makin teruk, sehingga sakit kepala dan badan. Suami pula mula demam dan tidak lalu makan. Kami terima ujian ini dengan penuh kesyukuran kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Hari Jumaat 19/11/2010 kami pulang ke Mekah dan tiba di hotel sekitar jam 12.30 tengah hari. Kami selesaikan ibadah tawaf dan saie pada jam 2.00 pagi Sabtu 20/11/2010. Alhamdulillah, sempurnalah haji kami tahun ini dan semoga Allah menerima haji kami ini.

Sementara menanti hari pulang ke Malaysia, kami teruskan rutin kami bersolat di masjidilharam, berumrah dan bertawaf sunat. Sehinggalah hari terakhir kami di bumi Mekah, iaitu Isnin 6/12/2010 kami melakukan tawaf wada’. Jam 3.00 pagi 7/12/2010 kami menaiki bas ke Jeddah dan berehat di Madinatul Hujjaj sehinggalah kami dibawa ke lapangan terbang Jeddah pada 8.30 malam tersebut. Penerbangan kami berlepas pada 1.30 pagi 8/12/2010 dan kami selamat tiba di lapangan terbang Kuala Terengganu pada 2.56 petang, hari yang sama.

Thursday, October 07, 2010

Bersalah...

Saya tidak mampu membuang rasa bersalah ini. Maafkan saya!

Semalam saya rindu emak. Saya berhasrat untuk menelefon emak yang sedang berada di rumah Husna di Kepala Batas, tetapi saya bertangguh kerana menyelesaikan beberapa hal. Tiba-tiba emak yang menelefon saya dan memaklumkan dia akan pulang esok menaiki bas pagi. Panjang juga emak bercerita. Tentang Husna yang sedang alahan mengandung anak kedua, tentang Ismah yang sedang menguruskan hal bil hospitalnya di UM, dan tentang Zahidah yang sering ke rumah Husna dan banyak membantu. Emak memang prihatin dengan setiap yang berlaku pada anak-anaknya. Tapi prihatinkah saya padanya?

Jam 4.30 petang tadi, saya menelefon emak, nak tahu dia dah sampai ke KB atau belum tetapi tidak berjawab. Rupanya emak tengah solat masa tu. Dia telefon balik dan memberitahu dia akan pulang ke rumah menaiki teksi, jadi tak perlulah ambil dia di bandar.

Sebaik selesai bercakap dengan emak, hati saya rasa sebak. Kesian emak. Dari Kepala Batas sendirian pulang ke KB, dan sendirian pula menaiki teksi ke rumah. Kenapa saya tidak menyuruh emak menunggu saya dan suami mengambilnya? Kenapa saya jadi tidak prihatin begitu? Saya rasa bersalah... Saya tidak putus-putus berdoa memohon agar Allah mudahkan perjalanan emak. Ya Allah! Lindungilah emakku!

Jam 6.35 emak menelefon lagi, dan memaklumkan dia sudah sampai di rumah lebih kurang jam 6 petang tadi. Saya bertanya, mudahkah emak dapatkan teksi? Kata emak, tak mudah sangat tapi taklah payah. Kiranya lama jugalah emak menunggu. Sekali lagi saya rasa bersalah. Kenapa saya biarkan emak menunggu sendirian begitu? Mana tanggungjawab saya sebagai anak? Saya sebak dan tak mampu menahan perasaan bersalah saya ini.

Kasihan emak. Anak emak ini sungguh tidak prihatin. Sungguh mementingkan diri sendiri. Maafkan saya emak! Esok saya akan ke rumah emak. Saya dah lama sangat tak jumpa emak dan saya sangat rindu pada emak.

Monday, October 04, 2010

PMR 2010 vs SRP 1987

Esok akan bermulalah peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010, yang akan berlangsung selama lima hari dan tamat pada minggu hadapan. Selamat menjawab peperiksaan ini buat calon-calon PMR di seluruh negara. Peperiksaan ini satu peperiksaan penting tetapi bukanlah penentu segalanya. Semoga mendapat keputusan yang selayaknya, dan jangan putus asa...

Mengimbas kenangan 23 tahun lalu...

1987 merupakan tahun saya menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP, yang kini dikenali sebagai PMR). Lapan mata pelajaran saya duduki iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Geografi, Sejarah dan Perdagangan.

Sebagai pelajar asrama penuh, tiada tuisyen berbayar yang saya hadiri. Segalanya bergantung seratus peratus pada guru-guru mata pelajaran dan diri sendiri. Saya masih ingat guru-guru saya pada tahun itu. Bahasa Melayu - En. Mohd Nor Che Lah, Bahasa Inggeris - Mr. Mazlan, Matematik - Cik Zanariah, Sains - Cik Nik Rohimah, Pendidikan Islam - Ustaz Mustaffa Dahrun, Geografi - Allahyarham En. Mohd Zari, Sejarah - En. Ab Razak dan Perdagangan - En. Mustafar Che Mat. Mereka sangat gigih membimbing dan mendidik kami 160 orang calon SRP 1987 tanpa pernah mengenal jemu dan penat.

Dalam usia semuda 15 tahun, saya sebenarnya masih belum faham tentang komitmen terhadap pelajaran. Saya bukan tidak bersungguh-sungguh tetapi ada waktu-waktunya saya gemar bertangguh dan mengutamakan perkara lain. Akibatnya, peperiksaan percubaan SRP saya sangatlah tidak memuaskan hati arwah ayah. Dengan 18 agregat, ayah menganggap keputusan saya itu tidak sepadan dan selayaknya dengan kedudukan saya sebagai pelajar asrama penuh yang terpilih. Padahal, keputusan 18 agregat yang saya peroleh itu tidak menunjukkan prestasi saya yang sebenar. Saya belum begitu bersedia dan saya juga banyak dikelirukan dengan soalan-soalan ciptaan MARA yang agak berbeza dari standard Kementerian Pelajaran. Malah keseluruhannya, hanya seorang pelajar sahaja yang berjaya mendapat 5 agregat waktu itu.

Apabila berdepan dengan peperiksaan SRP sebenar, saya rasa lebih bersedia. Saya tempuhi dengan penuh keyakinan diiring doa yang tidak putus-putus agar Allah memberi saya kelulusan yang baik dan tidak mengecewakan ayah. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat juga menggembirakan hati arwah ayah apabila berjaya memperoleh 6A 2B (7 agregat).

Saya meneruskan pelajaran di sekolah yang sama dalam tingkatan empat, dan kali ini dengan cabaran yang lebih hebat lagi. Berdepan dengan 9 mata pelajaran aliran sains bukanlah cabaran enteng yang perlu digalas. Pun sepanjang 1988 saya masih belum meletakkan diri saya pada landasan sebenar. Saya hanyut, saya lalai dan saya ralit dengan kawan-kawan. Pelajaran saya merosot. Saya masih ingat pointer saya waktu itu, hanya 2.19 pada semester pertama dan meningkat sedikit kepada 2.34 pada semester kedua. Teruk!

1989 menjadi medan perubahan diri. Awalnya saya tertekan ditempatkan dalam kelas cemerlang kerana saya tidak cemerlang. Rupanya ukuran cemerlang di sekolah saya hanyalah semata-mata berdasarkan markah Matematik Tambahan sahaja. Kebetulan itulah mata pelajaran yang memberikan markah tinggi buat saya maka terpaksalah saya akur untuk turut bersaing dalam kelas hebat itu. Kecut perut saya melihat Zamzila, Juli, Opie, Fadzli, Maizan, Azni... Mereka semua top ten!

Hikmahnya, saya mula kembali pada diri dan meletakkan sasaran saya untuk turut mengekori mereka. SPM 1989 akhirnya saya tempuhi dengan pelbagai rasa kerana setamatnya peperiksaan itu MRSM Kuala Terengganu hanya akan menjadi sejarah dalam lipatan kenangan.

Mac 1990, saya menerima keputusan SPM dengan linangan air mata. Terima kasih Tuhan! Rahmat-Mu tidak terduga. Saya bukanlah pelajar terbaik tetapi keputusan 6A 3B (9 agregat) yang saya peroleh mampu menyejukkan hati emak dan ayah yang tidak pernah jemu memberi perangsang - material atau spiritual.

Benarlah, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kesukaran saya menyesuaikan diri dalam kelas 1989 rupanya cuma ujian sementara. Bersama mereka saya lebih kenal diri sendiri. Alhamdulillah.

Friday, October 01, 2010

Mengapa Dirindu

Mengapa Dirindu

Anak punai anak merbah
Terbang turun buat sarang
Anak sungai pun berubah
Ini pula hati orang
Mengapa dikenang

Asal kapas jadi benang
Dari benang dibuat baju
Barang lepas jangan kenang
Sudah jadi orang baru
Mengapa dirindu

Kasih yang dulu tinggal dalam mimpi
Kasih yang baru simpan di hati
Kasih yang dulu tinggal dalam mimpi
Kasih yang baru simpan di hati

Selat teduh lautan tenang
Banyak labuh perahu Aceh
Jangan kesal jangan kenang
Walau hati rasa pedih
Mengapa bersedih

Kalau pinang masih muda
Rasanya kelat sudahlah pasti
Kalau hilang kasih lama
Cari lain untuk ganti
Mengapa dinanti

Patah 'kan tumbuh hilang berganti
Akan sembuh kalau diubati
Patah 'kan tumbuh hilang berganti
Akan sembuh kalau diubati

Sayang mengapa dirindu

Singer: Uji Rashid (Ahmad Wan Yet / Zain Mahmood)

Thursday, September 30, 2010

Salam 1ulangtahun buat Wan Sufi Nasirullah


Selamat ulang tahun manjaku Sufi.. Moga dewasamu menjadi pembela agama.

Anakku
maafkanlah ibu
meninggalkamu setiap pagi
melepaskan pelukanmu
ketika kau ingin bermanja

di meja ini mengadap kertas-kertas
di meja ini mengadap tugas-tugas
sesekali terganggu oleh matamu yang redup
sesekali terpanggil oleh suaramu yang sayup

Sekecil itu
aku sudah meminta pengertianmu
yang kita tidak dapat bermanja dengan hidup.

(Karya Zurinah Hassan)

Monday, September 27, 2010

Benarkah?

Benarkah?

Benarkah hidup ini perjudian? Seorang sahabat berbicara tentang sebuah perkahwinan yang dilaluinya. Katanya penuh liku, banyak pahit daripada manis. Banyak duka berbanding suka. Dia tidak bahagia. Dia kecewa, malah menyesal. Sewaktu baru diperkenalkan dengan suaminya dulu, dia menyangka suaminya lelaki budiman dan beriman. Dari air muka dan penampilan kelihatan seperti orang baik-baik dan tanpa ragu dia menerima. Tidak pernah diduganya rumah tangga yang terbina penuh ranjau dan onak duri. Penuh masalah tanpa penyelesaian. Dia rasa dia sudah memperjudikan nasibnya kerana menikahi lelaki itu. Lelaki yang tidak dikenali secara mendalam.

Saya menjadi pendengarnya yang setia. Segala kemelut rasa dan sendu di jiwa diluah pada saya dalam pelbagai nada. Kadang-kadang penuh kebencian. Ada kalanya penuh penyesalan.

Saya seorang pembanding. Setiap kali dia bercerita, saya letakkan diri saya pada tempatnya. Ada waktu saya berpihak padanya tetapi kerap juga saya simpati pada suaminya. Sesungguhnya saya tidak layak menghukum kerana saya hanya pendengar sebelah pihak tetapi saya rasa ingin sekali menyuarakan perasaan saya di sini. Entah betul entah tidak, namun apa yang tercatat ini seratus peratus daripada pengamatan saya dan penaakulan saya terhadap persekitaran.

Benarkah hidup ini perjudian?

Hidup ini bukan perjudian tetapi suatu pilihan yang sukar. Dalam memilih, kemungkinan untuk berlaku kesilapan agak tinggi. Di sinilah peranan keimanan dan kepasrahan pada Tuhan, dan pengertian tentang makna ujian. Ya, hidup ini bukan perjudian tetapi ujian.

Ujian itu dari Tuhan. Dia memberi ujian, dan Dia juga menunjuk jalan. Kita ini hamba-Nya, maka bila diri diuji, kembalilah pada-Nya. Kasih dan rahmat-Nya tidak terhitung. Kita sering sedih pilu dan kecewa bila dilanda duka, tetapi jarang mempamer rasa syukur saat menerima kurnia. Lalu Dia ingin menyedarkan kita dari lena dan khayal yang panjang.

Saya juga tidak terkecuali. Sewaktu membuat keputusan memilih pasangan hidup dahulu, saya tidak punya banyak ruang untuk mengenali dan mendalami hati budi bakal suami saya. Saya menerima kerana saya punya keyakinan tentang anugerah Allah. Sejak saya mengerti tentang makna perkahwinan, saya tidak henti-henti berdoa pada Allah agar mengurniakan saya pasangan hidup yang baik dan sesuai dengan saya. Saya berdoa siang dan malam, beriring tangis dan harapan. Apabila dia tiba, saya terima kerana saya yakin dia jawapan doa saya. Bukan tidak terdetik keraguan di hati, tetapi saya tabiri dengan keyakinan yang tinggi.

Detik awal hidup bersama dipenuhi pelbagai peristiwa yang membentuk jiwa saya agar lebih kental. Sulit untuk memahami insan berlainan jantina tetapi setiap hari yang berlalu menjadi medan menimba pengalaman dan pengetahuan. Saya bersyukur dia menerima setiap kekurangan dan kelemahan saya sebagaimana saya menerima dia seadanya. Bohonglah jika dalam rumah tangga tiada badai dan gelora, cuma kebijaksanaan dan kematangan dalam menangani setiap permasalahan memberi seribu hikmah agar kesilapan tidak berulang.

Sahabat saya itu sedang mendepani cabaran perkahwinan yang amat getir. Saya tidak tahu bagaimana harus membantunya, tetapi saya doakan yang terbaik buatnya. Semoga dia matang dalam menyelesaikan kemelut ini tanpa melukakan hati banyak pihak, terutama anak-anak.

Saturday, September 25, 2010

I am testing

Now I am listening to ceramah haji. The penceramah is very enthusiastic but still he cannot stop my eyes from getting smaller (sleepy!) So I use my handphone to update my blog. But still, I'm sleepy like crazy.. Help!

Friday, September 24, 2010

Rentetan Perjalanan

Semuanya bermula apabila melihat emak terpilih ke Tanah Suci pada musim Haji 1424H. Saya rasa masanya sudah sampai untuk saya dan suami pula mendaftar sebagai bakal haji. Kebetulan pembinaan rumah kami pada waktu itu sudah hampir siap. Bolehlah kami mula menyimpan untuk melengkapkan rukun Islam kelima ini pula. Maka, pada 21hb September 2004, saya dan suami mendaftarkan nama kami di Pejabat Tabung Haji Kuala Krai. Petugas Tabung Haji di situ begitu mesra melayan kami dan memaklumkan nama kami mungkin akan dipanggil pada 2009 nanti. Dalam hati, saya berdoa supaya nama saya tersenarai lebih awal daripada itu.

Setiap tahun saya menanti surat daripada Tabung Haji, tetapi hampa. Saya menyaksikan dari jauh sahaja sahabat-sahabat serta jiran-jiran yang mendaftar terkemudian daripada saya tetapi terpilih ke Tanah Suci sebelum saya. Pada 2006, sewaktu berada di SMK Salor barulah saya tahu mereka yang terpilih lebih awal itu ialah mereka yang membuat rayuan atau pun memilih pakej haji swasta. Saya yang hanya menanti dan menanti ini tentu sahaja tidak akan dipanggil sebelum waktunya!

Berbincang dengan suami, dia memilih untuk menunggu sahaja nama kami dipanggil. Katanya insya allah, masanya akan tiba jua. Jika merayu, status sebagai calon menunggu tidak akan memberi keselesaan dalam tempoh penantian. Jika nanti keputusan terpilih hanya dimaklum pada saat-saat akhir tentu sahaja kekalutan melanda. Hmm, betul juga. Maka kami pun menunggulah dengan penuh debaran.

Awal 2009, saya makin tidak sabar. Saya ajak suami ke Tabung Haji untuk menyemak status. Petugas mereka memaklumkan nama kami tersenarai pada musim haji 1431 iaitu tahun 2010. Saya sedikit kecewa, lalu memujuk suami untuk membuat rayuan. suami akur, dan saya mula mengarang surat rasmi buat Tabung Haji. Pada Mac 2009, Tabung Haji menjawab rayuan kami dengan perkataan "dukacita dimaklumkan...". Ya, kami tidak terpilih.

Saya positif dengan setiap yang berlaku. Mungkin tahun depan akan menghadirkan peluang yang lebih baik buat kami dan alhamdulillah, awal 2010 kami menerima surat tawaran sebagai calon terpilih dari Tabung Haji. Syukur pada Allah kerana memakbulkan impian kami ini. Kami menerima tawaran tersebut dan mula menghadiri kursus haji bersiri di masjid Telipot, KB.

Kini, saya dan suami akan bersama-sama dengan tiga orang lagi - Kak Zan, Abang Man dan Kak Zaiha - akan berlepas ke Tanah Suci pada 18 Oktober nanti. Doa saya moga Allah permudahkan segala urusan kami di sana nanti, memberi kesihatan yang baik dan kekuatan tenaga untuk menjadi tetamuNya. Ya, tetamu Allah. Tetamu Allah yang istimewa. Terimalah kami Ya Allah!

Semakin Hari Semakin Sibuk

Ish! Tajuk entry mengalahkan menteri! Sibuklah kononnya... apa benda yang sibuk sangat tu? Hahaha!!

Kadang-kadang kesibukan kita tak sama dengan kesibukan orang lain. Kalau saya kata saya sibuk dan tak ada masa, ramai yang akan mencebik. Sibuk apa? Duduk berdua je, bukan kena layan anak-anak pun! Masa banyak. Bohonglah sibuk!

Betullah tu. Saya tak pernah menafikan kenyataan sedemikian. Saya punya banyak masa dan ruang waktu untuk saya isi dengan pelbagai aktiviti. Mana ada sibuk pun. Menyibuk tu ya lah.. hehe!

Sebenarnya, saya bukan sibuk tetapi banyak perkara perlu saya bereskan dalam waktu yang agak terhad. Minggu lepas saya menerima surat pemberitahuan dari Tabung Haji yang saya akan berlepas ke Tanah Suci pada 18 Oktober ini. Maka dengan terpatrinya kepastian itu, saya mula bergegas ke sana sini mencari dan mencukupkan segala keperluan untuk ke sana. Balik dari sekolah, saya terus ke bandar KB, menjelajah kedai-kedai barangan haji. Itu pun belum lengkap lagi. Minggu depan mungkin rutin yang sama saya ulangi. Maka, bila sampai di rumah lewat petang, tenaga saya cukup terhad. Penat dan mengantuk. Malam menjadi medan untuk persiapan sekolah pula. Masak untuk makan malam lagi. Itulah yang saya istilahkan sibuk bagi saya. Mungkin sibuk sedikit daripada biasa.

Kebetulan awal minggu ini saya diserang gastrik yang agak teruk. Dua hari saya menahan kesakitan. Mujurlah tidak berterusan. Khamis kelmarin pula, jiran kami Tok Wan meninggal dunia. Selepas Asar saya menziarah keluarga beliau. Doa saya, semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan insan yang dikasihi Allah dan semoga keluarganya kuat dan tabah berdepan situasi yang menekan ini.

Hari ini, saya sibuk lagi. Selepas solat Jumaat nanti saya dan suami akan menghadiri Kursus Haji Perdana peringkat Negeri Kelantan di Wakaf Mek Zainab selama dua hari satu malam. Maka persiapan untuk ke sana sedang saya bereskan. Semoga kursus itu memberi input yang optimum buat kami.

Sekian dulu. Sibuk ni, tak boleh tulis panjang-panjang.

Jumpa lagi!

Thursday, September 16, 2010

Kenangan Raya

Hari ini 7 Syawal. Mood raya masih terasa, kenduri dan rumah terbuka di sana sini. Hari ini saya ada dua jemputan. Nampaknya hajat untuk mula ganti puasa masih belum kesampaian. Untuk makluman, tahun ini menjadi satu catatan sejarah buat saya kerana saya kena ganti puasa sebanyak 13 hari! Seram memikirkannya, takut terbabas... Bukan apa, puasa pada masa orang lain tak puasa cabarannya amat berganda. Apatah lagi syaitan tidak dibelenggu! Semoga Allah memberi kekuatan untuk saya dan yang senasib dengan saya menghabiskan puasa wajib ini tepat pada waktunya, amin.

Bercerita tentang hari raya, saya biasa-biasa sahaja. Tidak terlalu mengharap kemeriahan kerana usia yang sedewasa ini sudah tidak memerlukan itu lagi. Cuma tumpang gembira melihat keriangan kanak-kanak menyambut hari raya dengan menghitung wang di dalam sampul pelbagai warna. Mewah mereka kini, tak macam saya dulu..

Waktu dulu - zaman 80-an - duit raya hanyalah dalam unit sen sahaja. Belum ada yang sanggup menghulur not kertas kecuali buat orang-orang tertentu sahaja. Maka paling banyak duit raya yang pernah saya kumpul tidak sampai pun sepuluh ringgit. Kawan-kawan saya yang rajin ke sana sini dapatlah sekitar dua puluh ringgit. Itu dah dikira sangat banyak!

Sewaktu arwah datuk masih ada, kami kerap juga pulang beraya di kampung emak dan ayah di Selatan Thailand. Seingat saya, apabila emak memaklumkan "kita balik raya di Golok" saya akan menjadi cukup kecewa kerana di sana tiada tradisi memberi duit raya! Hahaha!! Kalau diberi pun, duit baht yang tak laku di Malaysia! Sedihnya saya...

Kuih raya juga tak banyak. Yang ada cuma ketupat dimakan dengan petai jeruk dan tapai. Jangan mimpilah nak merasa kek atau biskut, memang tak ada!

Apabila arwah datuk meninggal sewaktu saya darjah tiga, kami mula beraya di sini. Emak pun sudah pandai buat biskut dan kek. Masa itulah saya rasa meriahnya raya walaupun tak sehebat kanak-kanak sekarang yang beraya dengan gilang gemilang dengan baju raya yang berpasang-pasang.

Duit raya yang saya dapat tak pernah saya simpan. Saya gunakan untuk berbelanja dengan membeli apa-apa yang tak pernah saya dapat beli dengan duit belanja sekolah harian seperti air botol. Waktu itu harga satu botol kecil air berkarbonat cuma 60 sen. Dapat minum air botol itu rasa seronoknya tak terkata! Hmmm, sampai sekarang saya masih gemar air berkarbonat, satu botol besar jika diletak dalam peti ais, saya akan habiskan dalam masa tak sampai dua hari!

Apabila dewasa, raya sudah memberi makna yang berbeza. Tiada lagi duit raya yang dikejar, tetapi memberi duit raya pula. Begitulah hidup, putaran masa akan membawa kita ke destinasi yang pelbagai selagi ajal belum tiba.

Sunday, September 12, 2010

Apa sebenarnya?


Beberapa minggu lalu hati saya umpama ditoreh apabila membaca berita seorang ustazah dan anak lelakinya yang baru berusia 10 tahun mati dibunuh di rumah mereka sendiri. Belum pun reda perasaan itu, hari ini sekali lagi hati saya bagai disiat-siat apabila mendapat tahu jutawan kosmetik terkenal bersama tiga lagi yang hilang tiga belas hari lalu juga mati dibunuh. Amankah negaraku ini?

Segalanya cukup membuat hati dan fikiran tertanya-tanya, apa jenis manusia yang tergamak bertindak kejam sebegini?

Saya sedih, apatah lagi keluarga mangsa. Semoga ketabahan mereka berganda dan redha dengan ketetapan ini. Dan semoga pelaku jenayah kejam ini menerima balasan setimpal di dunia dan di akhirat!

Friday, September 10, 2010

Salam Aidilfitri

Hari ini Jumaat 10 September 2010 bersamaan 1 Syawal 1431H. Umat Islam di seluruh negara meraikan hari raya Aidilfitri dengan penuh kesyukuran. Seawal pagi, mereka beramai-ramai memenuhi masjid-masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Selesai solat, mereka akan bersalam-salaman, ziarah menziarahi dan menikmati pelbagai juadah yang disediakan. Seterusnya mereka turut mengunjungi pusara kaum keluarga bagi mendoakan kesejahteraan pada yang telah tiada.

Berayalah dengan keimanan dan ketakwaan yang yang terhasil sepanjang bersama Ramadan. Saat ini seluruh bumi, langit, malaikat, bulan, bintang sedang bersedih mengenang Ramadan yang pergi. Semoga ibadat kita diterima Allah dan diberiNya peluang untuk bertemu lagi dengan Ramadan mendatang.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin.

Wednesday, September 08, 2010

Muhammad Qayyim Nizar


Pada hari Khamis, 2 September baru-baru ini, satu majlis penutup Ihya' Ramadan berlangsung di dataran perhimpunan sekolah. Semua guru dan murid berkumpul untuk mendengar ucapan dan perasmian penutup oleh Tuan Pengetua.

Jam menghampiri 7.45 pagi. Suasana sunyi, dan pengacara majlis masih belum membuka bicara. Hati saya tertanya-tanya, apa yang dinanti sebenarnya?

Tidak lama, muncul seorang kanak-kanak berpakaian seragam sekolah rendah berjalan menuju ke pentas perhimpunan dengan dipimpin oleh seorang guru. Wajahnya manis tersenyum. Rupanya dialah yang ditunggu-tunggu, adik Muhammad Qayyim Nizar bin Sarimi yang diundang khas untuk memperdengar bacaan al Quran sempena majlis ini. Dia baru berusia 11 tahun dan seorang yang cacat penglihatan, tetapi sungguh saya tersentuh demi mendengar suaranya mengalun ayat suci dengan menggunakan Quran Braille. Sebak, sayu dan saya tidak mampu menahan lagi air mata di pipi saya. Selesai membaca Quran, adik Qayyim memberi sedikit tazkirah yang cukup terkesan dan seterusnya melaungkan azan pula. Sebelum pulang, adik Qayyim sekali lagi menyentuh hati saya dengan suara merdunya bernasyid.

Dia memang istimewa. Sungguh bertuah ibu dan bapanya dikurniai anak sedemikian. Dia membuat hati saya tersentuh, dan timbul kagum padanya serentak dengan malu pada diri sendiri. Anak yang kurang upaya itu, baru berusia 11 tahun tetapi amat menguasai ilmu agama dan pandai pula membaca al Quran dengan baik sekali. Sedang saya yang sudah menghampiri 40 ini, belum dapat membaca al Quran sebaik itu. Cerah sungguh hatinya walau matanya tidak.

Semoga jalan di hadapan Qayyim terus terbuka luas memberi ruang dan peluang buatnya mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Ya Allah, Engkau bantulah dia!

Monday, September 06, 2010

Ku dalam kesakitan!

Bermula pagi Jumaat 3 September baru-baru ini, saya mengalami kesakitan yang agak teruk. Selepas sahur, saya rasa tidak selesa. Perut saya sakit macam senggugut. Lepas solat Subuh, saya sapu minyak angin dan tidur.

Seharian hari ini sakit itu tidak berkurang, sebaliknya semakin menjadi-jadi. Nak makan 'pain killer', saya puasa! Sungguh saya tidak mampu untuk bergerak ke mana-mana dan hanya terbaring di katil sampai petang. Kebetulan suami saya ada jemputan berbuka maka saya tak perlu memasak, cuma meminta suami belikan makanan di pasar Ramadan. Dia belikan nasi ayam, roti jala dan lai chi kang untuk saya berbuka.

Selepas Isya', saya terus tidur.

Esoknya (Sabtu), sakit itu berterusan tapi kali ini saya sudah boleh makan ubat kerana 'cuti'ku sudah tiba. Hmm, makan ubat pun tidak menghilangkan sakit itu. Sungguh amat tidak selesa dan sekali lagi saya tidak mampu berbuat apa-apa selain tergolek di atas katil! Sebenarnya semalam lagi suami mengajak saya menemaninya ke bandar, membeli barang-barang raya tapi saya tak dapat pergi sebab sakit! Hari ini pun saya belum mampu memenuhi permintaannya itu. Saya berjanji akan menemaninya esok.

Rupa-rupanya, menjelang Ahad pun sakit itu masih melanda cuma dalam kadar yang agak berkurangan. Badan saya rasa sangat lemah, tapi demi janji yang telah saya buat saya gagahkan diri menemani suami ke bandar. Kami turun jam 8.28 pagi, dan membeli belah di Laila Rawas, MPKB, Kedai kasut Bata, gerai songkok dan kopiah di sekitar situ dan juga ke Farmasi beli ubat. Hajat hati nak meronda lagi, tapi saya kesakitan lalu saya ajak suamiku pulang. Kami tiba di rumah pada jam 10.45 pagi.

Di rumah, saya merehatkan diri sahaja. Badan pula rasa seram sejuk, dan tiba-tiba saya ceret beret pula! Nak makan rasa tak lalu, tekak pun loya. Ya, saya demam! Dugaan sungguh buatku di bulan ini. Lagi pun sudah lama saya tidak diserang senggugut yang sebegini hebat. Mungkin kali ini Allah ingin menguji kesabaran saya dalam bulan yang mulia ini. Menjelang petang, selepas dua biji panadol saya telan, badan rasa segar sedikit cuma masih lemah dan kelesuan. Hajat hati ingin ke rumah ma bertemu keluarga yang baru pulang untuk beraya tapi terpaksa saya tangguhkan ke esok hari kerana tenaga saya benar-benar terhad.

Hari ini, Isnin, saat saya menaip entri ini, sakit saya masih belum sembuh sepenuhnya cuma tidak seteruk sebelum ini. Empat hari saya 'menikmati' senggugut ini, semoga menjadi penghapus dosa-dosa yang tidak terhitung itu.

Sebentar lagi saya ingin ke rumah ma. Dah rindu sangat ni!

Friday, September 03, 2010

Di hujung Ramadan

Ramadan sudah pun di penghujungnya, Syawal pula menunggu giliran untuk menyapa. Tentu pelbagai rasa menjengah dalam diri setiap insan. Sedih kerana bulan bonus berganda bakal berakhir dan jika ada usia, setahun lagi barulah ketemu kembali. Sayu kerana pengisian tidak sepertinya, namun masih mengharap rahmat Tuhan, agar ada keampunan atas segala dosa lalu. Semoga perpisahan dengan Ramadan tidak akan mengurangkan amal ibadah kita pada bulan-bulan seterusnya.

Dalam fasa ketiga bulan mulia ini, kita dijanjikan dengan pembebasan dari api neraka. Masih bersisa enam hari lagi untuk kita merebut peluang kurniaan Allah ini. Semoga kita bertemu dengan malam seribu bulan, dan memanfaatkan setiap peluang, Amin!

Selamat pulang Ramadan, kutunggu kunjunganmu lagi, jika usia masih menghuni diri...

Tuesday, August 31, 2010

Tok Wan

Dua minggu lepas, jiran kami (sebelah rumah ma) tok Wan tiba-tiba sakit. Dia sakit perut dan susah buang air besar. Bila ke hospital, doktor kata kena bedah sebab usus kecilnya bengkak. Dia dibedah pada malam Jumaat 19/08/10.

Selepas pembedahan, tok Wan ditempatkan di ICU. Dia agak kritikal tetapi stabil. Aku dan suami berhasrat untuk menziarah tetapi belum berkesempatan hinggalah hari ini.

Jam 5.10 petang kami turun dari rumah menuju ke HRPZ. Tok Wan masih di ICU untuk hari yang ke-12. Isteri, anak-anak, cucu-cucu dan saudara mara setia menanti di luar wad itu. Aku dan suami masuk melihat tok Wan. Hati aku sebak. Rasa hendak menangis. Ya Allah, engkau sembuhkanlah dia. Badannya sembab. Tiub-tiub berselirat di tubuhnya. Aku rasa sayu memandang wajah Tok Wan. Dia jiran yang baik. Sewaktu arwah ayah kami sakit dulu, dia yang menghantar ke hospital walaupun sudah tengah malam. Dia banyak berbudi, maka doakanlah dia wahai saudara-saudaraku! Doakan tok Wan sembuh dan dapat bersama-sama keluarganya semula.

Semoga keluarganya tabah menempuh ujian ini, dan kami doakan yang terbaik buat tok Wan.

Sunday, August 29, 2010

Masak sendiri hari ini

Hari ini Ahad. Maka bekerjalah aku...

Jam 7.00 pagi sampai di sekolah dan 2.15 petang balik rumah. Suami datang jemput, (macam biasa le..) dan kat atas kereta tu, aku tanya dia nak makan apa berbuka nanti. Dia diam, mungkin berfikir kot. Aku dah tau, dia mesti tak nak makan lauk beli ni! Kalau tak laju je cakap, "kita beli jelah..!"
Aku pun bagi cadangan, "saya masaklah...". Dia tanya, "masak apa?"
aku kata, "masak sayur lemak campur-campur, goreng daging dan goreng ikan." Dia angguk dan setujulah tu!

Walaupun penat setelah bekerja sehari, tetapi demi suami tercinta aku gagahkan juga diri memasak di dapur petang ini. Lepas Asar aku mulakan misi memasak aku dan selesai lebih kurang jam 6.30 petang. Suamiku sempat keluar ke kedai depan dan beli sebungkus kuih sanggupal dan sebungkus kuih buah tanjung sebagai pemanis mulut.

Akhirnya terhidanglah masakanku buat santapan suamiku berbuka hari ini. Oh ya, air minuman aku buat air laici satu tin!
Alhamdulillah.

Saturday, August 28, 2010

Catatan hari ini

Hai, hari ini dah masuk 18 Ramadan dah. Cepat sungguh masa berlari, tak terkejar olehku!

Pagi ini aku merehatkan diri di rumah saja. Sekadar mengemas apa yang patut dan melayan internet, dan tidur juga.. huhuhu!!

Jam 3.00 petang, aku keluar ke Wakaf Che Yeh dengan suami. Tujuannya ke CIMB Bank untuk keluarkan duit ma, duit aku dan duit suami aku juga. Hmm, sebaik keluarkan duit ma, mesin terus out of service!! Aduh... saja je nak menguji kesabaran ku di bulan mulia ini. Dah lah panas terik, rasa nak terbakar je! Apa pun alhamdulillah, aku masih berupaya meneruskan langkah untuk ke Ketereh pula.

Di Ketereh, dapatlah keluarkan duit kami. Lega..! Dah tu apa lagi, merayau di pasar Ramadan lah. Rasanya dah malas nak masak sebab kepenatan yang amat, jadi baiklah aku membantu peniaga-peniaga di pasar Ramadan itu dengan membeli jualan mereka.

Apa yang dibeli?
Ayam percik seketul, gulai telur itik 2 biji, sup perut sebungkus, keli paprik seekor, hati ayam masak pedas 2 ketul. Kemudian murtabak sebiji untuk aku, sebiji untuk ma, sebiji untuk mek. Air lai chi kang sebungkus untuk aku, sebungkus untuk ma, sebungkus untuk mek. Selesai.

Balik tu, singgah rumah ma bagi duit, murtabak dan lai chi kang. Kemudian ke rumah mek bagi murtabak dan lai chi kang. Lepas tu balik rumah sendiri... Lepas solat Asar, aku ke dapur untuk jerang nasi aje. Lauk dah siap segala. Mudahnya, kan!

Apabila azan maghrib berkumandang, aku dan suami pun menikmati juadah berbuka puasa yang kami beli itu dengan berseleranya dan penuh kesyukuran, alhamdulillah.

Hidangan kami hari ini - ikan keli paprik, sup perut, hati ayam masak pedas dan ayam percik. Gulai telur itik aku simpan untuk sahur.

Friday, August 27, 2010

Kesilapan ketika Ramadan

Walaupun Ramadan sudah lebih dari separuh, tidak salah rasanya untuk berkongsi sedikit maklumat. Semoga berguna.

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : 'sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu' (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. 'Sahur' itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : ' dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar' (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : 'Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :' Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu' ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya 'Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam'. (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, 'Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat'. (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, sama ada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

13) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم

Ertinya : 'Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi' ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Ertinya : 'Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak' ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Tudung Fesyen

















Orang kita cepat sangat terpengaruh. Terikut-ikut. Tidak pernah mahu menyelidik dahulu setiap yang diikut itu dibenarkan atau dilaknat Allah.

Terkini fesyen tudung bersanggul tinggi. Cepat sungguh ia menyelinap dalam segenap urat saraf muslimah Malaysia ini hingga boleh dilihat di mana-mana. Tudung sebegini haram hukumnya. Carilah maklumat dahulu sebelum terikut-ikut dengan cara yang tidak betul ini. Segalanya bukankah cuma di hujung jari sahaja?

Errrr.... apa ya yang disumbat dalam serkupnya itu?



Coretanku

Kasihan kan perempuan tua itu. Dia sepi dan sunyi. Dia bukan tiada anak, malah ramai, tetapi penghujungnya dia sepi sendiri.

Anak-anaknya terdidik belaka. Semua berjaya. Semua bekerja. Ada arkitek, ada peguam, ada pensyarah. Paling tidak, guru. Dan dia bangga. Sangat bangga kerana anaknya menjadi belaka. Menjadi manusia yang berjasa pada agama dan negara. Menjadi manusia yang berbakti pada tanah air dan masyarakat. Bertuahnya dia.

Bertuah? Ya, dia tergolong bertuah, tetapi dia sepi. Dia sering rindu pada cucu-cucunya dan tidak sabar menanti waktu cuti persekolahan atau cuti hari raya untuk bermesra dengan mereka. Dia seronok melihat cucu-cucunya yang comel dan bijak bermain dan berlari sesama mereka. Dia bahagia dikelilingi anak-anak yang berjaya dan menantu-menantu yang berjasa. Senyumnya sangat manis pada waktu-waktu itu.

Hari raya kini hampir tiba. Dia yang sepi tidak jemu menghitung hari, bukan untuk menyambut hari raya tetapi untuk menyambut kepulangan anak-anak kerinduannya.

Semoga hari raya ini akan tambah berserilah senyuman perempuan tua sepi itu apabila dikelilingi insan-insan yang dikasihinya. Amin.

(Coretan ini sekadar menterjemah sajak-sajak yang terpapar dalam entri di bawah, berkenaan nasib seorang perempuan tua. Sajak-sajak itu dipetik dari majalah Jelita beberapa tahun lalu, karya Ehsan Jamily dan Sahrunizam Mohd Taib)

Perempuan tua itu

Perempuan tua di tepi pintu
Perempuan tua itu
berdiri di tepi pintu
kulihat dia selalu
bagai tidak jemu-jemu
saban hari dia berdiri di situ
menanti dan menunggu

Perempuan tua itu
berdiri di tepi pintu
siapakah yang ditunggu?
sekian lama di laut sepimu
setelah berjam-jam waktu
hingga kini masih tidak ketemu

seorang perempuan tua itu
berdiri di tepi pintu
tiba-tiba berkata, anakku
kerana tua
aku tidak lagi menunggu sesiapa
selain janji-Nya dan masa
ajalku yang pasti datang bila-bila

Dan apabila perempuan itu
tidak lagi berdiri di tepi pintu
tahulah aku
bahawa dia telah menemui
apa yang ditunggu selama ini


Perempuan itu, engkaukah ibu?
Malam tadi engkau datang
berkunjung ke mahligai mimpiku
dengan lengkap bertelekung
engkau mengusap kepala
mengelus rambut
dan kaucium dahiku
barangkali engkau datang kepadaku
selepas bertahajjud dan berqiyamullail
pada malam yang dingin
dan tenang itu

engkau datang setelah lama aku
tidak pulang menikmati
juadah di meja kasihmu
pastinya hadirmu untuk
melunaskan segala rindu
yang terhutang di sukma keibuanmu

maafkan aku ibu
kerana waktuku banyak diragut
kesibukan tugas yang tak pernah
langsai
sediakan juadah kasihmu
di meja makan
kerana sebaik terbit mentari esok
aku akan pulang!

Friday, August 13, 2010

Ismah terima ijazah











4 Ogos 2010, Kuala Lumpur - Seorang anak Kelantan yang bersemangat waja, Noor Ismah Myiddin telah selamat menerima ijazahnya dalam majlis konvokesyen Universiti Malaya yang berlangsung penuh gilang gemilang. Beliau yang berusia 23 tahun berasa terharu dan bersyukur kerana akhirnya berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang sains dan teknologi dalam tempoh empat tahun walaupun pelbagai dugaan datang melanda. Bersaksikan ibu tercinta, Puan Kamariah Asahari, abangnya Muhammad Myiddin dan kakak iparnya, Puan Farah Dalila Mohamed, Ismah menerima ijazahnya dengan penuh kesyukuran.

"Tidak mudah sebenarnya menyelesaikan pengajian ini. Amat banyak dugaan yang saya tempuhi kerana pernah terlantar di hospital sebanyak tiga kali." Katanya.

Ismah dikesan mengidap aneurysm (bengkakan salur darah di kepala) pada September tahun lalu, dan menjalani rawatan coiling dan pembedahan untuk merawat penyakitnya itu.

"Sebaik selesai rawatan pertama, keluarga agak keberatan untuk membenarkan saya meneruskan pengajian di UM. Mereka mahu saya tangguhkan dahulu dan sambung semula apabila saya sihat sepenuhnya. Tetapi saya rasa saya masih mampu belajar walaupun belum sembuh seratus peratus. Alhamdulillah, keluarga tidak menghalang keputusan saya dan hasilnya saya dapat selesaikan juga pengajian saya dalam jangka waktu yang sepatutnya. Terima kasih kepada keluarga atas sokongan, sahabat-sahabat yang banyak membantu dan pensyarah-pensyarah saya yang sentiasa memahami kesulitan saya," Ucap Ismah dalam nada tersekat-sekat tetapi penuh yakin.

Ibunya, Puan Kamariah turut berasa terharu dengan kesungguhan anaknya itu. "Makcik memang tidak sangka semangatnya kuat. Melihat keadaannya yang lemah selepas rawatan pertama tempoh hari, berat hati makcik nak biarkan dia sambung belajar. Tetapi dia yakinkan makcik yang dia mampu. Alhamdulillah, dia dapat habiskan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan dan makcik syukur sangat-sangat."

Majlis konvokesyen itu berlangsung di Dewan Tunku Canselor dan disempurnakan oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Tuanku Pro-Canselor UM.

Wednesday, August 11, 2010

Satu Ramadan

Hari ini hari pertama puasa. Memandangkan akan bangun untuk menyediakan sahur, maka jam 11 malam tadi saya sudah masuk tidur. Tetapi mata tidak berapa nak lena, asyik terjaga beberapa kali sebelum jam berbunyi. Akhirnya pada 4.27 pagi, saya meninggalkan katil untuk ke dapur. Saya panaskan nasi, goreng ikan kerisi dan ikan kikik dan goreng sayur petola dengan telur. Bancuh air nescafe 'o'. Itu sahaja. Bila masuk ke bilik untuk kejut suami, jam baru sahaja menunjukkan 4.49 pagi. Haih! Awalnya nak sahur ni... Tapi dek kerana nasi dah dihidang, kami bersahur juga. Selesai makan, saya jemur kain, gosok baju dan mandi. Lepas subuh, kami bersedia untuk ke sekolah.

Di sekolah hari ini, pelajar-pelajar tingkatan lima masih lagi berada di dewan untuk meneruskan program pra percubaan SPM. Hari ini giliran mata pelajaran Fizik, Sains Pertanian dan Tasawur Islam. Saya hanya terlibat sebagai pembantu sahaja dari jam 8.00 hingga 9.00 pagi.

Seterusnya, saya siapkan analisis peperiksaan percubaan PMR. Alhamdulillah semua guru memberi kerjasama yang baik kerana telah memasukkan markah sebelum tarikh akhir. Maka dapatlah saya mencetak dan mem'bind' analisis untuk diserahkan kepada PKP dan Pengetua hari ini. Nampaknya hanya dua orang pelajar sahaja yang mendapat 8A, tetapi kira ok lah tu sebab baru percubaan. Harapnya ada peningkatan dalam peperiksaan sebenar.

Jam 12.00 saya masuk ke kelas 4 Ibnu Khaldun dan meneruskan topik Differentiation. Tamat kelas pada 1.20, saya susun kertas soalan yang akan saya gunakan untuk program pra percubaan SPM esok. Alhamdulillah semuanya selesai, dan jam 2.15 petang saya pulang ke rumah dijemput suami. Di rumah, saya cuma berehat.

Jam 5.30 petang, suami saya keluar ke pasar dan saya mulakan kerja di dapur pula. Menu hari ini seperti yang diminta oleh suami saya - ikan kembung bakar, budu durian, petola celur dan sotong rebus serai. Suami beli popia sira dan air lai chi kang sebagai hidangan tambahan.

Tepat jam 7.28 malam, kami pun berbuka bersama-sama. Semoga ibadah puasa kami hari ini diterima Allah. Amin.

Saturday, August 07, 2010

Dulu dan Sekarang, Satu Perbandingan



Gambar atas: Ustaz Mohd Rifqi dan Ustaz Muhammad yang dirakam pada 1986, masing-masing berusia 10 dan 7 tahun.

Gambar bawah: Mereka pada 2001, masing-masing berusia 25 dan 22 tahun.






Gambar kiri: Ustazah Noorul Husna dan Ustaz Muhammad pada 1986, masing-masing berusia 5 dan 7 tahun.

Gambar kanan: Mereka pada 2004, masing-masing berusia 23 dan 25 tahun.

Wajah-wajah Muiz




































Kupaparkan hasil karyaku buat Muiz yang kurindui... Sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih besar.

Kes hina

Saya ingin mengulas sedikit tentang isu 'hina Johor' yang sedang hangat diperkatakan di internet dan telah pun disiarkan di akhbar Sinar Harian.

Kesnya, seorang ibu muda yang sedang hamil, berasal dari Kulim sedang berkhidmat di Johor Bahru mengidam biskut Famous Amos. Jadi dicarilah kedai biskut tersebut di JB, tetapi tidak ditemui. Mungkin hatinya kecewa dan geram, maka ditulislah dalam status facebooknya, "Ya Allah! Hinanya JB, namanya dekat S'pore, belum maju rupanya.. Baik aku duk Kulim je!"

Dari situlah berbondong-bondong rakyat JB terasa hati dan marah yang amat sangat kerana wanita ini telah menghina tanah tumpah darah mereka.

Pandangan saya, memang kasar dan tidak patut wanita itu menulis perkataan 'hina' tetapi saya rasa waktu itu dia sangat kecewa kerana pada pandangannya JB itu bandar raya yang serba ada. Memang sangat mustahil biskut Famous Amos itu tidak kedapatan di sana. Lalu ter'tulis'lah akan perkataan kasar itu di facebooknya.

Marahlah pada dia, tetapi bukan dengan cara menghebohkan hal ini satu negara! Boleh saja menulis mesej peribadi di peti masuknya dan meminta dia memadamkan status itu dan mohon maaf di status baru. Semudah itu.

Tapi apa yang berlaku, dia dihentam seolah-olah tiada maaf baginya. Padahal dia telah pun meminta maaf dan memadam statusnya itu. Kes hina Johor ini rupanya sangat besar, hampir menyamai kes bunuh dan kes rogol gayanya!!

Entahlah. Masyarakat kita agaknya dah tak ada kerja lain. Perkara kecil diperbesar, perkara besar dipandang sebelah mata.

Dunia akhir zaman.

Thursday, August 05, 2010

Menanti Hari Esok

Esok hari Jumaat. Bercutilah kami untuk dua hari. Kelab Guru SMK Kadok menganjurkan program Hari Keluarga kakitangannya di Sutera Beach Resort, Merang, Terengganu untuk satu malam. Kami berdua akan bertolak ke sana esok, kira-kira jam 3.00 petang. Rasanya perjalanan hanya mengambil masa dua jam setengah, insya Allah kami akan tiba lebih kurang pada 5.30 petang.

Harap-harapnya segala perancangan dan program yang disusun berjalan lancar dan menyeronokkan semua orang. Program dijangka tamat sekitar tengah hari Sabtu, dan pulanglah kami semula ke rumah masing-masing, meneruskan aktiviti rutin kami untuk minggu seterusnya.

Minggu depan, pelajar-pelajar tingkatan lima SMK Kampong Chengal akan mengikuti program pra Percubaan SPM bertempat di Dewan Chengal Perdana. Semua pelajar akan berkumpul di dewan untuk mengikuti slot-slot yang telah disusun untuk mereka. Ada latih tubi, ada ceramah, ada seminar teknik menjawab dan ada perbincangan. Semoga pengisian selama seminggu ini dapat menyediakan diri mereka menempuh percubaan dengan lebih yakin.




Wednesday, August 04, 2010

Kad Kredit

Saya mula mendengar tentang kad kredit sewaktu berada di sekolah menengah. Itu pun sekadar tahu menyebut tetapi tidak langsung tahu penggunaannya. Melihat iklan kad kredit dalam TV pun saya tidak berapa faham. Apabila belajar di universiti barulah saya tahu apa sebenarnya kad kredit itu.

Ringkasnya, kad kredit ialah kad yang dapat menggantikan wang. Tanpa tunai di tangan pun, kita masih mampu berbelanja jika memiliki kad kredit ini.

Awalnya, saya tidak berasakan kad kredit ini sebagai satu keperluan. Setiap kali agen kad kredit datang ke sekolah mempromosi pelbagai keistimewaan kad kredit mereka, saya tidak pernah ambil pusing. Bagi saya kad ini hanya satu kemudahan yang direka-reka, bukan keperluan.

Sehinggalah pada akhir 2004, saya membuka hati saya untuk mula mengenali kad kredit ini dengan lebih dekat dan rapat. Hmmm, saya ingin mencuba memilikinya. Mana tahu ia sesuatu yang berguna. Maka saya pun melanggan (betul ke?) satu kad kredit dengan had RM7500 sebulan, tanpa yuran tahunan.

Perkara pertama yang saya lakukan dengan kad itu ialah membeli tiket Air Asia melalui online. Jika tidak silap, tiket itu bukan untuk saya, tetapi untuk adik saya Rifqi. Selepas penggunaan kali pertama itu, saya mula tertarik dan berasa mudahnya hidup dengan kad kredit ini. Saya teruskan lagi penggunaannya untuk pembelian komputer laptop secara ansuran tanpa faedah. Wah! Ini sudah bagus. Saya rasa seronok!

Saya juga rasa selamat dan terjamin dengan memiliki kad kredit kerana ia bagai pengganti wang yang tiada. Banyak agenda seterusnya yang saya lakukan dengan kad kredit, terutamanya pembelian secara online. Pun saya tidak pernah gagal membayar bil kad kredit saya pada waktu yang ditetapkan. Sekarang saya rasa kad kredit ini satu keperluan bukan sekadar gaya sahaja. Ada waktu-waktunya, saya rasa untung memiliki kad kredit kerana ia mempercepatkan urusan saya tatkala kecemasan melanda. Contohnya, apabila adik Ismah saya sakit mengejut pada bulan puasa tahun lepas. Saya dan emak bergegas ke sana dengan penerbangan Air Asia. Tunai di tangan saya tak punya, maka saya hulurkan sahaja kad kredit saya kepada cashier Air Asia tersebut dan kami selamat menaiki pesawat dan tiba di sisi Ismah tepat pada waktu dia memerlukan kami.

Juga pada saat ingin menggembirakan hati emak. Tahun lepas, saya lihat peti ais emak sudah uzur dan saya mahu membelikan yang baru buatnya. Hujung bulan, agak kekeringanlah wang saya. Tak mahu bersusah mengeluarkan simpanan di Tabung Haji, maka saya hulurkan kad kredit untuk sebiji peti asi Toshiba berharga RM980.00. Emak gembira, dan saya puas hati. Apabila bil tiba, saya tidak akan melengahkan bayarannya.

Apabila bercuti ke mana-mana tempat pun saya gemar menggunakan kad kredit untuk bil hotel dan membeli belah. Bukan apa, bila kita mengembara tidak elok membawa tunai yang banyak, jadi lebih selamat menggunakan kad kredit. Mudah dan ringkas, tetapi masih sedar dengan had keupayaan kewangan yang saya miliki.

Apabila seorang sahabat guru saya bercerita tentang betapa dia terpaksa menghentikan penggunaan kad kreditnya kerana telah tertunggak sehingga belasan ribu, saya menjadi hairan. Katanya, sejak kad kreditnya tiada, dia berasa sangat lega. Hilang satu bebanan.

Tidak sampai dalam pemikiran saya, malah tidak tahu mengapa sampai ke tahap itu kad kreditnya ‘dimangsakan’! Oh, rupanya dia tidak berseorangan. Laporan media arus perdana menyebut betapa ramainya rakyat Malaysia muflis gara-gara kad kredit.

Aduhai! Saya rasa sedih dan hampa. Rupanya mentaliti rakyat kita, tidak kira latar pendidikan sekalipun masih lagi mentaliti dunia ketiga. Biar papa asal bergaya! Maafkan saya, saya sangat tidak gemar perumpamaan ini, tetapi hakikatnya begitulah. Mereka cepat rambang mata apabila ada kad kredit di tangan. Terliur melihat beg Gucci, mereka mampu beli dengan kad kredit. Ralit membelek kasut Bonia, juga mereka mampu dengan kad kredit. Itulah kegunaan kad kredit bagi mereka. Akhirnya bila bil tiba, mereka tergaru-garu kepala yang memang berkelemumur itu kerana sudah tidak mampu membayar.

Kita ada akal yang sememangnya dijadikan untuk berfikir. Mengapa menggunakan kad kredit untuk sesuatu yang kita tidak mampu lalu menyalahkan kad kredit? Saya sakit hati jika mereka berkata, “Kad kredit tak elok. Baik jangan pakai!” Eh, kad itu alat, kita yang guna dia kenapa pula dia yang disalahkan? Aduhai rakyat Malaysia, janganlah biarkan emosi menguasai akal!! Jadikan pisau sebagai analogi. Ia suatu yang berguna untuk kerja-kerja suri rumah di dapur, tetapi jika disalahguna, nyawa pun bisa melayang!!

Hakikatnya, mereka yang gagal meletakkan kad kredit pada tempat yang sepatutnya itulah yang salah dan patut disekolahkan semula. Jangan kerana kebodohan mereka, kad kredit pula dikatakan tidak elok, tidak patut dan tidak berguna.

Sudah enam tahun saya menjadikan kad kredit sebagai sahabat saya. Dia tidak pernah mengancam keselamatan saya kerana saya tahu, apabila saya baik padanya dia juga akan baik pada saya.

Terima kasih kad kreditku!

Saturday, July 31, 2010

Pemansuhan UPSR dan PMR

Ada antara kita yang tidak menyokong idea pemansuhan UPSR dan PMR ini kerana menganggap peperiksaan itu penting sebagai kayu ukur kebolehan pelajar. Saya menjemput anda yang masih kuat berpegang pada pendapat sedemikian untuk membaca dan menghayati tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil berkaitan isu ini di blognya - Menamatkan Pendidikan Kiasu

Nilaikanlah dengan mata hati. Fikirkanlah dengan penuh tanggungjawab. Generasi yang bagaimanakah yang kita mahukan?

Wallahua'lam.

Friday, July 30, 2010

Imam Muda 2010

Tepat jam 10.22 malam, mudir program Imam Muda, Ustaz Haji Hassan Mahmud Al Hafiz mengumumkan Imam Muda Asyraf sebagai Juara Imam Muda 2010. Alhamdulillah.

Sesungguhnya program Imam Muda ini mencetuskan fenomena baru kerana ia turut mendapat perhatian banyak negara luar. Inisiatif Astro memperkenal program sebegini di tengah-tengah rancangan realiti yang melekakan anak muda amat wajar dipuji.

Tahniah buat Imam Muda Asyraf. Memang bakat dan ketokohan beliau sebagai imam amat menyerlah. Semoga perjalanan anda memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini berpanjangan dan diberkati Allah.

Info Imam Muda Asyraf:













Nama: Muhammad Asyraf bin Mohd Ridzuan
Umur: 26 tahun (12 Februari 1984)
Asal: Pulau Pinang
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Usuluddin & Fiqh, Universiti Malaya
Pekerjaan: Imam
Status: Berkahwin dengan Nur Husna Yusuff (23 tahun)

Tahniah sekali lagi. Hadiah memang lumayan! Semoga sukses selalu.

Sekarang saya nak menonton rancangan Liga Ilmu pula. Tajuk malam ini ialah "Sayang isteri tangan-tangankan" dengan ahli panel yang hebat-hebat belaka iaitu Tarmizi Ab Razak (Pakar Motivasi), Salih Yaakob (Artis), dan Dr. Harlina Halizah Siraj (JIM) dengan dipengerusikan ustaz Zulkarnain Hamzah.

Hari ini dalam kenangan

Jam menunjukkan pukul 08.52 malam. Saya baru selesai solat Isya' dan sekarang bersendirian di kamar. Suami saya bertugas di Kem Skor A pelajar-pelajarnya, jadi dia ke sana selepas Maghrib tadi. Nampaknya saya bakal bersendiri sehinggalah dia pulang, mungkin sekitar jam 12 malam. Hmm.. apa yang berlaku sepanjang hari ini ya?

Hari ini cuti hujung minggu persekolahan, jadi saya tidaklah kalut sangat. Selepas subuh tadi, saya sambung tidur sampai 7.30 pagi. Suami belikan saya nasi belauk untuk sarapan, dan selesai sarapan dia keluar bersantai dengan jiran-jiran di kedai kopi depan rumah kami. Saya siapkan basuhan kain dan menggosok baju. Sempat juga melayari internet sementara menunggu jam 10 pagi, untuk keluar ke pasar Ketereh bersama suami.

Di pasar, saya beli lauk pauk untuk beberapa hari ini - ikan bawal setengah kilo, ikan pari (ketuka) dua ekor dan ikan selayang setengah kilo. Harganya cuma RM13.00. Saya juga membeli ikan bilis (RM9.00), telur masin (RM2.00), budu sebotol (RM1.80) selain barang runcit sejumlah RM32.00 - sunquick, milo, nescafe, serbuk kunyit, bawang merah, bawang besar, rempah kari ikan dan kari daging.

Seterusnya saya membeli pula sayur-sayuran - kacang panjang, baby corn, kulat dan petola sejumlah RM6.00 dan suratkhabar Berita Harian berharga RM1.50. Dalam perjalanan pulang, suami saya singgah di gerai menjual daging dan membeli ekor berharga RM6.00 untuk dibuat sup.

Tiba di rumah, jam menunjukkan pukul 11.00 pagi. Saya menyapu ruang tamu dan balkoni yang berhabuk dan dipenuhi najis cicak itu sementara suami keluar ke rumah ibunya. Tengah hari ini suami saya ada jemputan kenduri, maka saya hanya memasak untuk saya seorang sahaja. Menu yang ringkas tetapi menyelerakan - sayur kulat masak serai, ikan bilis goreng dan telur masin. Jam 1.30 tengah hari, sewaktu suami bersolat Jumaat, saya sudah selesai menikmati hidangan saya.

Selepas solat Zohor dan berehat sekejap, saya bersiap-siap untuk ke rumah ma, kerana ma dan Ismah akan menaiki kapal terbang Air Asia ke Kuala Lumpur pada jam 5.10 petang nanti. Kami bertolak ke lapangan terbang pada jam 3.42 petang, dan tiba di sana pada jam 4.16 petang. Ramainya manusia sedang beratur di kaunter check-in. Mungkin kerana hujung minggu, ramai yang berjalan-jalan ke rumah sanak saudara. Sepasang suami isteri pertengahan usia turut sama beratur di hadapan kami, dengan membawa satu kotak buah-buahan untuk anaknya di KL. Malangnya kotak itu tidak dibenarkan dibawa naik ke pesawat kerana mengandungi lempuk dan tempoyak. Kasihan pakcik dan makcik itu, terpaksa mengeluarkan bahan terlarang itu sebelum dibenarkan ke balai berlepas.

Jam 4.40 ma dan Ismah menuju ke balai berlepas manakala saya dan suami bertolak pulang ke rumah. Kami singgah di DZ sebentar untuk membeli pencuci kain jenama Dynamo, tetapi tiada di DZ. Lalu kami singgah pula di PKT. Ternyata barang-barang di PKT lebih banyak daripada DZ, dan harga juga lebih berpatutan. Cuma susun atur sahaja yang agak padat menyebabkan sedikit sukar untuk bergerak pantas. Bila dah masuk kedai, nampaknya bukan Dynamo sahajalah yang kami beli! Akhirnya terbanglah wang saya sejumlah RM83.05.

Kami sampai di rumah pada jam 5.46 petang dan selesai solat Asar, saya makan nasi sedikit dengan lebihan lauk tadi, dan menonton Benci Bilang Cinta di Astro Ria. Entah mengapa saya gemar mengikuti siri ini kerana ia tidak terlalu stereotaip seperti sinetron-sinetron Indonesia yang lain. Apatah lagi pelakon-pelakonnya boleh tahan kacak dan jelita!

Selepas maghrib, suami saya keluar dan saya meneruskan tugas saya di rumah - solat maghrib, mengaji quran dan solat isya'. Ma, Ismah dan Zahidah nampaknya sudah berkumpul di KL Sentral sekarang, alhamdulillah. Katanya sedang mengorder makanan. Makan apa ya? Saya rindukan Burger King di sanalah!!

Sekarang jam sudah pun ke angka 9.17 malam. Astro Oasis sedang menayangkan rancangan Imam Muda Akhir secara langsung, perhitungan di antara Hizbur dan Asyraf. Dua-duanya hebat, siapa-siapa menang pun tidak mengapa bagi saya.

Saya tutup diari saya hari ini di sini kerana saya ingin menonton Imam Muda sekejap. Jika saya masih segar bugar selepas Imam Muda ini tamat, insya Allah saya sambung dengan entry lain pula.