Sunday, March 28, 2010

Cuti sakit @ MC

Pagi ini terjaga dengan rasa yang tidak selesa dan badan jadi lemah. Hmmm... Dalam dilema, nak ke sekolah atau tidak? Suami pun bertanya juga, "nak MC ke?" Sekali fikir, kerja banyak juga yang perlu dibereskan tetapi apabila badan dan fikiran sudah tidak berada di tahap maksimum, baiklah berehat sahaja. Jika berada di sekolah dalam 'fatigue mode' pun tak guna juga, kan? Jadi saya memutuskan untuk berehat di rumah, mengembalikan tenaga dan melapangkan fikiran.

Sebaik suami turun ke sekolah jam 7.00 pagi, saya memulakan rehat saya.

Semoga esok saya akan kembali segar - Amin.

Saturday, March 27, 2010

Dear Dad,

What moves through us is a silence,
a quiet sadness,
a longing for one more day,
one more word,
one more touch,
we may not understand why you left this earth so soon,
or why you left before we were ready to say good-bye,
but little by little,
we begin to remember not just that you died,
but that you lived.
And that your life gave us memories too beautiful to forget.

Ayah


Gambar ini diambil pada hari raya aidilfitri terakhir bersama ayah, iaitu dua bulan sembilan belas hari sebelum ayah pulang ke rahmatullah. Badan ayah sangat susut berbanding sewaktu dia sihat. Waktu ini kami berhari raya di Golok, kampung emak dan ayah. Ayah ceria dan sentiasa gembira. Makan pun lalu terutama tapai pulut kegemarannya.

Kebenaran Tuhan berfirman
kerabat kita menyaksikan
27 Mac 2000, 1. 15 petang Isnin
pari-pari lumpuh di kayangan
kami di sini
yang belajar memburu Tuhan
antara igauan dan kebenaran.

Saudaraku,
sabar dan redhalah
kerana kita insan
lahir tanpa kemampuan
menahan kehendak Tuhan.

Kehilangan ini suatu kemenangan
kerana noktah hidup yang sama dinanti
dia dahulu menemui.

Hayatnya telah meninggalkan seribu haruman
yang sering hidup menyerah diri pada Tuhan
sedih seorang insan, aku turut merasakan
namun melihat kebesaran Tuhan
renunglah dalam-dalam akan iman.

Kita di sini, dia di sana
hanya ruang yang berbeza
sifat kejadian
tetap berada dalam genggaman-Nya.

Al-Fatihah.

Sepuluh tahun penuh rindu

Ayah mula mengadu sakit pada bahagian abdomennya pada awal tahun 1999. Suatu malam, ayah kesakitan yang amat sangat dan emak meminta tolong jiran sebelah menghantar ayah ke hospital. Doktor hanya memberi suntikan penahan sakit sahaja tanpa sebarang rawatan susulan.

Sejak hari itu ayah semakin lemah dan badannya mula menjadi kuning. Ayah ke HUSM untuk rawatan tetapi entah mengapa ayah hanya dirawat sebagai pesakit luar sahaja. Kasihan ayah. Keluarga ayah dari Selatan Thailand mula bimbang dengan kondisi ayah dan hairan dengan prosedur rawatan di sini. Mereka memutuskan untuk membawa ayah ke hospital swasta di Yala dan membuat pemeriksaan di sana. Doktor di hospital tersebut mengesahkan ayah mengalami masalah batu di dalam hempedu. Dengan membawa surat dari hospital itu, barulah ayah dimasukkan ke wad HUSM untuk rawatan seterusnya.

Lebih kurang seminggu di HUSM, ayah semakin pulih. Batu dalam hempedunya berjaya dikeluarkan dan ayah sihat semula. Ayah mula ke pejabat dan majlis pernikahan Aziah pada Jun 1999 dapat dilangsungkan seperti yang dirancang. Kami sangat gembira kerana ayah kembali sihat. Ayah juga menghadiri majlis konvokesyen Aziah dan Rifqi yang berlangsung di UM pada tahun sama.

Rupanya sihat ayah tidak lama. Sekitar Oktober, ayah kembali lemah dan badannya kekuningan semula. Ayah ke HUSM lagi, dan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Kali ini doktor mengesahkan ayah menghidap barah pankreas. Hanya Allah yang tahu betapa sedihnya kami semua menerima berita ini, namun jauh di sudut hati kami berdoa agar ayah akan pulih kembali.

November 1999, ayah dibedah dan doktor mendapati kanser ayah sudah berada pada tahap yang kritikal. Kanser ayah sudah merebak ke paru-paru, hati dan usus. Doktor tidak mampu berbuat apa-apa lagi kecuali membuat 'by-pass' agar makanan yang ayah makan tidak melalui bahagian kanser ayah.

Sedihnya melihat ayah waktu itu. Tetapi ayah berjiwa kuat dan positif. Selama di rumah, walaupun lemah ayah tetap bergerak ke sana ke mari. Sepanjang Ramadan 1420, ayah masih mampu untuk berpuasa penuh. Ayah juga mahu meraikan hari raya aidilfitri di kampungnya di Golok. Kami penuhi hajat ayah dan pulang beramai-ramai ke kampungnya. Nyata ayah sangat gembira di sana.

Menjelang Februari 2000, ayah makin lemah. Kami berusaha secara tradisional dengan memberinya minum air rebusan akar kayu. Itu sahaja usaha yang kami ada selain doa.

26hb. Mac 2000, saya dan suami pulang dari Kuala Krai untuk bermalam di rumah, menemani ayah. Saya tiba pada sekitar jam 6 petang dan ayah sedang berbaring di ruang tamu. Saya hampiri ayah, saya usap wajah ayah yang semakin cengkung itu. Ayah hanya memandang sayu, dan terlalu lemah untuk berkata-kata.

Malam itu adik saya Rifqi membawa pelajar-pelajar tahfiz untuk sama-sama membaca Yaasin untuk ayah. Selesai bacaan Yaasin itu, ayah diberi minum sedikit air. Tidak lama kemudian ayah muntah, dan selepas itu ayah semakin lemah dan kesakitan.

Pagi esoknya, saya dapati keadaan ayah makin kritikal. Saya sepakat dengan suami untuk bercuti dan berada di sisi ayah sepanjang hari. Saya baca surah Yaasin dan Ar-Ra'd di sisi ayah berkali-kali bersama-sama adik beradik yang lain. Ayah sudah tidak sedarkan diri, dan sebelum azan Zohor berkumandang ayah pergi untuk selama-lamanya dengan penuh ketenangan.

Air mata kami bagaikan hujan. Luruh tanpa henti atas satu kehilangan yang amat besar dalam hidup kami. Memandang wajah adik Ismah dan Zahidah yang masing-masing baru berusia 13 dan 10 tahun waktu itu, menerbitkan rasa pilu yang tidak terungkap. Mereka kini menjadi yatim. Namun kami sedar, Allah lebih menyayangi ayah. Perancangan Allah tentu yang terbaik buat kami. Biarpun ayah dipanggil pulang, kami masih di sini untuk menjaga emak dan adik-adik.

Ayah selamat dikebumikan selepas solat Asar iaitu kira-kira jam 5 petang. Begitu mudah menguruskan jenazah ayah, tanpa perlu menunggu lama. Rindu benar ayah untuk bertemu Al-Khaaliq. Semoga ayah bahagia dan damai di sisi-Nya.

Kini, sepuluh tahun telah berlalu tanpa ayah. Bagai baru semalam semuanya berlaku, bagai masih ternampak-nampak wajah ayah tersenyum manis menyaksikan anak-anak dan isterinya bermain dan bergurau senda. Bagai terdengar suara ayah menabur nasihat dan dorongan buat kami semua. Ayah masih ada di sini, di hati kami. Semoga kita berkumpul bersama di sana nanti.



Thursday, March 25, 2010

Buku-bukuku


Inilah buku-bukuku yang belum sempat kukhatamkan. Sebenarnya banyak lagi, tapi tak muat nak letak dalam satu gambar! Fuh! Macam bagus je....

Buku pertama - "Islam and Wealth" baru saja dibeli di LCCT pada 16 Mac. Baru dibelek-belek sahaja, sedang mengharap masa terluang untuk menelaahnya.

"Anda berfikir, bagaimana?" pula saya beli secara online di e-kedai.net tahun lepas lagi. Sudah baca beberapa bab, tapi belum habis lagi.

"Ketika Cinta Bertasbih 2" bukan hak milik saya, tolong simpan bagi pihak Zahidah sebenarnya. Baru dibelek-belek, belum dibaca lagi. Prekuelnya di mana ya?

"Men are from Mars, Women are from Venus" memang menarik dan berinformasi tetapi belum habis dibaca juga. Buku ini sangat sesuai untuk semua orang dalam mendalami perbezaan dua gender. Saya beli di kedai buku Popular, KB Mall tahun lepas.

"50 Days Ranting by MM" tulisan Marina Mahathir ialah catatan beliau di blognya sewaktu Dr. Mahathir dirawat di IJN. Agak seronok dibaca, dan saya beli buku ini di LCCT.

"Asmaul Husna, dengan Nama-Mu aku Hidup" tulisan Tuan Guru Nik Aziz, pemberian dari adik saya. Terima kasih banyak-banyak, tapi masih belum sempat membacanya lagi buat masa ini.

Novel klasik, "Ranjau Sepanjang Jalan" tulisan Shahnon Ahmad saya beli secara online juga, dan akan cuba mencari ruang waktu untuk menatap dan menikmati keindahan novel yang begitu gah ini.

"Bila Tuhan Berbicara", novel dari Faisal Tehrani memiliki kelainan dan aura tersendiri apabila diselitkan elemen drama. Saya sudah membaca beberapa bab, dan akan menghabiskannya tidak lama lagi.

"The Last Song", Nicholas Sparks. Novel ringan tetapi mampu menyentuh perasaan sebagaimana novelnya yang pernah saya baca - "A Walk to Remember". Sekarang sedang menunggu giliran untuk dibaca.

Akhir sekali - "L.U.V.E" dari Pingu Toha. Juga sedang saya tela'ah secara santai dan agak menarik kerana bahasanya yang mudah dan indah.

Sememangnya saya mudah tertarik pada buku-buku, tidak kira yang baru atau lama. Saat Pesta Buku Antarabangsa sedang berlangsung di PWTC ini, saya jadi semakin teruja untuk memiliki dan terus memiliki. Bagi saya, membeli buku bukan satu pembaziran kerana jika kita tidak membacanya sekarang, ia masih boleh dibaca sepuluh atau dua puluh tahun lagi tetapi dengan syarat, ia dijaga rapi.

Apa pun, selamat berpesta buku buat semua yang berkesempatan ke sana.

Wednesday, March 24, 2010

Salam Hari Rabu

Jam sudah pun melangkau dua petang. Sahabat-sahabatku sudah mula meninggalkan sekolah untuk pulang ke rumah masing-masing. Aku masih di sini, di sekolahku bertemankan komputer riba kesayanganku dan telefon Sony Erricson kegemaranku yang memungkinkan aku melayari internet biar di mana pun aku berada. Perut berkeroncong juga, maklumlah sarapan pada jam 9.00 pagi tadi sudah lama terhadam. Tak mengapa, sebentar lagi aku akan singgah di Restoran Baruh Kadok, kepunyaan Baba Hashim untuk membungkus makan tengah hariku. Sabar...

Hari ini cuaca tidak sepanas mana, awan yang agak tebal mampu meredupkan suasana meski pun hujan tiada. Awal aku tiba di sekolah hari ini, jam 07.02 pagi aku sudah melangkahi pagar utama sekolah. Murid-murid pula diarah berkumpul di Dataran Chengal untuk taklimat dan sedikit raptai sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul esok. Lama juga, hampir jam sembilan pagi baru selesai. Sempatlah aku menikmati sarapan nasi kerabu di kantin. Jam 9.40, aku mula melangkah ke kelas 5 Ibnu Sina. Pelajar-pelajarnya kelihatan sibuk menyediakan bahan untuk perarakan esok, lalu aku izinkan sahaja mereka meneruskan kerja mereka dan aku cuma duduk di meja guru sambil menyiapkan buku rekod pengajaran. Sekali-sekala mereka perlu diberi kebebasan berkarya, bukan?

Suasana agak hingar, pelajar sibuk ke sana ke mari menyiapkan apa yang perlu untuk majlis esok. Ada yang menyiapkan sepanduk, ada yang berbincang tentang pakaian, ada yang membuat bunga rampai dan tak kurang juga yang ke sana ke mari tanpa tujuan. Guru-guru juga turut bertungkus lumus menyediakan bahan untuk memasak esok. Sebenarnya, aku tidak tahu pun guru-guru wanita berkumpul di PSS untuk menyiapkan bahan-bahan itu. Hanya pada jam 12 tengah hari sahaja berita itu sampai padaku, tatkala aku perlu masuk ke kelas 4 IBK. Maka aku tidak sempat menjenguk pun aktiviti mereka itu. Maafkanlah....:-)

Esok akan berlangsung majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah. Sabtu pula menghadirkan Mesyuarat PIBG dan Sukan Sekolah berlangsung pada Ahad dan Isnin. Selasa dan Rabu kami bercuti sempena Keputeraan Sultan Kelantan, dan aku akan mengikuti rombongan suamiku ke Langkawi. Kami akan bertolak pada malam Selasa, dijangka tiba di Langkawi pada pagi Selasa, dan bermalam di sana pada malam Rabu, sebelum bertolak pulang ke rumah pada pagi Rabu. Khamis akan ke sekolah seperti biasa.

Langkawi. Ini kali keempat aku berkunjung ke Pulau Mahsuri itu. Kali pertama bersama-sama ayah, emak, Aziah, Ismah dan Zahidah pada November 1990. Kali kedua, aku mengikuti rombongan suamiku (SMK SYP1, Kuala Krai) pada 2004. Kali ketiga, aku dan suami bercuti ke sana berdua sahaja pada Mei 2008. Apa yang akan aku beli di sana ya? Ikutkan hati, memang banyak yang menarik tetapi mudahkah membawanya? Aduh... semoga hati mampu bersabar dengan godaan dan cabaran di sana.

Menjelang April nanti, aku akan meneruskan rutin hidupku sebagai guru dan sebagai isteri dengan lebih teratur harapnya. Memandangkan sudah banyak perkara selesai (berkaitan sekolahku!), maka kali ini bolehlah aku tumpukan sepenuh perhatian kepada pelajar-pelajarku pula. Sasaranku tahun ini untuk melahirkan 50 orang pelajar gred A bagi mata pelajaran Matematik ku ini. Harapnya kesampaian - Insya Allah.

Selamat tengah hari. Bunyi perutku ini meminta aku berhenti di sini. Wassalam.

Saturday, March 20, 2010

Perkongsian Kenangan

Tengok apa tu?

Kanan duit, kiri coklat, Iman nak makan sorang-sorang ke?
Abang Long pulak tersandar sebab penat bawa kereta ke tu?

Gadis kat tengah tu memang kontrol ayu... Ustaz kontrol hensem. Ma steady je kan?
Kenapa ya saya suka panggil awak Muni? Kalau senyum sikit, lagi manis...

Aksi Sufi...

Cumah, Iman, Abang Long...

Iman kata, kerusi tok ma ni macam kerusi bas. Hahaha!!!

Friday, March 19, 2010

Mana idea ni?

Ada waktu-waktunya terasa ingin menulis, tetapi tak tahu apa patut ditulis. Tiada sebarang petunjuk singgah di minda. Memori juga seakan berkarat, enggan memuntahkan isinya. Lama bermenung, memikir idea tetapi tetap tidak datang-datang. Mengapa ya?

Jauh di sudut hati, ada sesuatu sebenarnya ingin dikongsi, tetapi tidak tahu bagaimana memulakan perenggan. Banyak sebenarnya pengalaman yang dikutip saban hari untuk jadi tatapan jua pedoman tetapi terfikir sejenak, mungkinkah akan ada hati yang tersentuh dengan garapan idea sedemikian? Bimbang benar jika ada hati tergores dek tulisan yang terpapar di sini kerana bukan itu niat dan tujuan. Lalu berkali-kali juga posting di delete tanpa sempat di publish...

Sekadar ingin berpesan pada diri ssendiri untuk sentiasa menerima teguran dan bijak mengambil pengajaran dalam setiap pengalaman. Ada kalanya kita terlepas pandang terhadap iktibar yang diberi Tuhan. Bukan sia-sia setiap kejadian, melainkan diiringi pelajaran yang boleh mendidik hati dan jiwa, menjadi bekalan untuk menempuh pelbagai lagi rintangan dan cabaran masa hadapan. Jika ada sedikit terluka, terima sahaja kerana ia bakal mendewasakan pengalaman. Let's forgive and forget, but learn a lesson.

Sebentar saja lagi saya dan suami akan mengikuti kursus haji bersiri di Masjid Melor dan Insya allah setiap pagi Jumaat akan ke sana bagi melengkapkan ilmu di dada sebelum berangkat ke Tanah Suci hujung tahun nanti. Semoga kami diberi kemudahan dalam urusan di sini dan di sana. Wallahua'lam.

Thursday, March 18, 2010

Mengapakah Manusia Diciptakan?

Perlu kita perhatikan kepada tiga persoalan asas yang berkaitan dengan seluruh kehidupan kita. Persoalan-persoalan tersebut adalah:-

1. Dari manakah kita datang ?

2. Mengapakah kita didatangkan ?

3. Kemanakah kesudahan kita ?

Untuk mencari jawapannya yang tepat maka perlulah kita merujuk kepada apa yang telah dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam al Quran al Karim.

Persoalan Pertama: Dari manakah kita datang ?

Jawapannya akan kita dapati dari Firman Allah s.w.t, terjemahannya:

“ Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari Qiamat, sesungguhnya Kami (Allah s.w.t) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian daripada air mani, dari air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui “

(Surah Al Hajj ayat 5)

Dengan meneliti ayat tersebut dapatlah kita mengetahui dari manakah datangnya kita dan persoalan tersebut telah terjawab.

Persoalan Kedua : Mengapakah kita didatangkan atau mengapa kita dijadikan oleh Allah s.w.t ?.

Jawapan kepada persoalan ini terdapat di dalam firman Allah s.w.t, terjemahannya:

“ Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah (mengabdikan) diri kepada Ku “

(Surah Adz Dzariyaat ayat 56)

Para ulamak muktabar telah menghuraikan pengertian ibadah itu dengan panjang lebar, yang mana perkataan ibadah ada kesyumulannya (kesempurnaannya) dan mempunyai ruang lingkup yang luas, tidak terbatas atau terhad semata-mata kepada fardhu solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Tugas dan kewajipan kita di dunia ini adalah beribadah dan memperhambakan diri kepada Allah s.w.t berdasarkan kepada firmanNya tersebut.

Untuk menepati kehendak ibadah dalam seluruh hidup ini, maka setiap perbuatan yang kita lakukan itu mestilah semata-mata kerana Allah s.w.t serta mengikut betul-betul arahan yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.

Jika demikian, segala makanan, minuman, pelajaran, pekerjaan, pendidikan jasmani, perkahwinan dan mendidik anak adalah merupakan jalan-jalan atau faktor-faktor yang membantu kita untuk taatkan Allah s.w.t serta teguh beribadah kepadaNya. Juga menjadikan kita bertaqarrub (menghampirkan diri) kepada Allah s.w.t. Ini bermakna rumah, sekolah, kilang, pejabat, sawah ladang, padang permainan , gedung perniagaan dan sebagainya adalah medan ibadah. Bahkan seluruh bumi Allah s.w.t ini merupakan ‘ masjid ‘, tempat menunaikan ibadah dalam realiti kehidupan.

Sehubungan dengan Syaikh al Islam Ibn Taimiyyah telah menyatakan bahawa ‘ Setiap perkara yang telah Allah s.w.t perintahkan hamba-hambaNya melaksanakan adalah dikira sebagai ibadah. Ibadah yang meliputi apa sahaja yang diredhai oleh Allah s.w.t, samada tutur kata, perbuatan dan tingkah laku.

Professor Dr Yusuf Qaradhawi menyatakan di dalam bukunya ‘ al Ibadah Fi al Islam ‘ bahawa ‘ Sesungguhnya beribadah kepada Allah s.w.t tidaklah terhad kepada mengerjakan solah, puasa, zakat dan haji dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti tilawah al Quran, zikir, berdoa, beristighfar dan sebagainya sebagaimana fahaman sesetengah golongan Islam (yang mendakwa Islam). Ramai yang telah menyangka bahawa apabila mereka telah menunaikan fardhu-fardhu dan syiar-syiar yang tersebut bererti mereka telah menyempurnakan haq Allah s.w.t terhadap mereka sepenuhnya. Mereka menyangka sudah sesesai menunaikan kewajipan ‘Ubudiyyah terhadap Allah s.w.t. Pada hal tanggapan tersebut adalah meleset dari hakikatnya yang sebenar ‘

Beliau membuat penjelasan lagi bahawa “Tidaklah dikira ibadah kepada Allah s.w.t jika seseorang itu berfahaman aku solah, aku berpuasa, aku berzakat dan aku menunaikan haji tetapi aku bebas memakan daging babi, minum arak, makan riba’, berjudi serta menolak hukum-hukum syariat Allah s.w.t yang tidak sesuai dengan pandanganku. Juga tidak dikira ibadah kepada Allah s.w.t bagi orang yang menganggap ibadahnya hanya ketika berada di kawasan masjid, tetapi apabila ia keluar dari masjid dan menceburkan diri dalam bidang-bidang kehidupan lain, dia menjadi hamba kepada kehendak dirinya sendiri, bebas mengikut hawa nafsunya dengan tidak menghiraukan hukum-hukum Allah s.w.t.

Oleh kerana itu maka setiap orang yang terkeliru mestilah membetulkan kefahamannya dan kembali mengenal Islam dan ibadah kepada Allah s.w.t. Semoga seluruh kehidupannya berada dalam keredhaan Allah s.w.t. cukuplah bagi seseorang Muslim itu berfikir bahawa dia adalah khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini untuk menjalankan tugas dan arahan Allah s.w.t semata-mata. Memadai dia berbuat demikian untuk mencorakkan segala jenis amalannya dengan corak Islam hinggalah segala perkataan, perbuatan dan diamnya itu menjadi ibadah kepada Allah s.w.t.

Menurut al Qaradhawi lagi, bahawa ibadah itu merangkumi dua tugas besar yang menjadi teras bagi semua perkara yang tersebut sebelum ini. Tugas tersebut adalah:

1. Menyeru kepada kemakrufan dan mencegah daripada kemungkaran

2. Berjihad ke jalan Allah s.w.t.

Menurut huraian asy Syahid Sayyid Qutb, bahawa kerja-kerja menyuruh kepada makruf serta mencegah mungkar tidak boleh dipandang ringan. Umat ini tidak berjaya selagi makruf tidak tertegak sebagai makruf dan mungkar tidak dimusnahkan sebagai mungkar. Untuk melaksanakan tugas yang besar ini maka perlulah kepada pembentukan Ummah. Ummah yang tertegak di atas dasar Iman kepada Allah s.w.t dan Persaudaraan kerana Allah s.w.t agar hukum-hukum Allah s.w.t terlaksana, kerja-kerja makruf berjalan dengan senang, kebenaran mengatasi kepalsuan, kebaikan sentiasa disokong dan kemungkaran sentiasa di tentang. Untuk sampai kepada ummah Islam sedemikian , maka jihad yang berterusan diperlukan dan mengikut jalan-jalan yang betul sebagaimana yang telah digariskan oleh Rasulullah s.a.w.

Persoalan Ketiga : Kemanakah kesudahan kita ?

Persoalan ini tidak memerlukan kepada huraian yang panjang kerana setiap orang menyedari asal usulnya serta mengetahui akan tugas dan kewajipannya. Maka InsyaAllah ia akan menyedari pula kemanakah kesudahannya. Walaupun demikian, jawapannya tetap telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya, terjemahannya:

“ Sesungguhnya kepada Tuhan (Allah) kesudahan kamu (tempat kembali). Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dia juga yang membuatkan kamu menangis. Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali “

(Surah An Najm ayat 42 – 44 )

Dipetik dari ms.langitilahi.com, tulisan Hilal Asyraf









Saturday, March 13, 2010

Duit, duit, duit......

Kenapa ya manusia terlalu mementingkan duit? Memang benar kita kena ada duit untuk hidup, tetapi janganlah kita hidup untuk cari duit! Duit hanya alat, bukan matlamat. Bila kita ada duit, kita jangan jadi hamba duit. Biar duit jadi hamba kita. Kita belajar urus duit dengan baik, kita didik diri kita dan keluarga kita tentang perbelanjaan berhemah. Kita ajar mereka cara menghargai apa yang kita dapat walaupun sedikit.

Duit bukan segala-galanya. Jika banyak, berkongsilah. Jika sedikit, berusahalah lagi. Yang penting tahu makna syukur.

Harta bukan milikmu
untukmu hanya rezeki
terkurang himpun lagi
terlebih memberilah

Wednesday, March 10, 2010

Happy Birthday Cumah dan Abang Long

10.03.87 - Hari Selasa

Adinda Noor Ismah bt Myiddin selamat dilahirkan. Menjadi anak ketujuh emak dan ayah, juga puteri keempat dalam keluarga kami.

Kini sudah dua puluh tiga tahun berlalu, semoga bertambah matang dan cepat-cepat kahwin. Saya doakan awak bertemu jodoh dengan orang kaya yang bujang. Ada ke? Hahaha!!!

03.03.02 - Hari Ahad

Anakanda Muhammad Amin bin Mohd Rifqi selamat dilahirkan. Menjadi putera sulung Rifqi dan Nab, juga merangkap cucu kedua tok ma.

Kini Abang Long sudah pun berusia lapan tahun. Semoga bertambah pandai, cerdik, bijak dan kacak! Jadilah anak kebanggaan mama dan baba ya.. Umi saayaaaaang Abang Long!!Gambar di atas: Anis Radhiah, Noor Ismah dan Muhammad Amin.


Tuesday, March 09, 2010

Catatan PPUM

Rabu 3 Mac 2010
Aku pulang lewat ke rumah kerana menunggu suami yang bermesyuarat. Jam 3.35 baru suamiku tiba menjemputku di sekolah. Di rumah, aku kelam kabut menyiapkan segala yang perlu untuk ke KL malam nanti. Lipat kain, gosok baju, kemas beg. Mujurlah suamiku ada jemputan maka aku tak perlu memasak untuknya.

Usai solat maghrib, suami menghantar ku ke lapangan terbang. Selamat tinggal suamiku untuk empat hari. Aku akan merinduimu… hohoho!!

Tiba di KL jam 10.10. Emak, Mak Su, Kak Pah dan Aten sudah sedia menunggu dan membawa aku ke Bandar Baru Bangi yang sudah bertahun tidak kukunjungi.

Khamis 4 Mac 2010
Jam 7.45 pagi, Pak Su menghantar aku dan emak ke PPUM. Ismah sedia menunggu di sana. Urusan pendaftaran wad selesai, tetapi Ismah tidak dapat terus masuk kerana katil wad penuh. Maka kami teruskan agenda dengan urusan menyewa bilik di Anjung Penyayang, makan-makan dan berbual-bual. Memang Ismah kelihatan ceria dan tenang. Dia begitu bersedia untuk berhadapan dengan pembedahan esok. Tiada langsung riak ketakutan pada wajahnya. Bila ditanya, katanya “Kalau tak takut memang tak normallah.” Hmm.. bijak juga dia menyembunyi gusar dan ragunya.

Tengah hari, Ismah dipanggil untuk ujian darah dan x-ray. Doktor Nor Faizal turut memanggil aku dan emak untuk sedikit penerangan tentang prosedur dan risiko pembedahan esok. Katanya, pembedahan ini mempunyai 1% risiko nyawa, 3 – 5% hilang penglihatan, 10 – 12% lumpuh. Pembedahan akan mengambil masa sekurang-kurangnya empat jam. Aku gerun sungguh mendengarnya, tetapi Ismah tetap tenang setenang-tenangnya!

Jam 7.00 petang barulah Ismah dipanggil ke wad. Aku dan emak pulang ke bilik untuk membersihkan diri dan solat. Jam 9.30 malam, aku biarkan emak berehat di bilik dan aku temani Ismah di wadnya. Adikku Husna, suaminya Hawari dan anaknya Sufi beserta Zahidah tiba dari Kepala Batas pada jam 2 pagi. Aku bawa mereka ke bilik dan berehat di sana.

Jumaat 5 Mac 2010
Ismah dibawa ke bilik bedah pada jam 7.45 pagi. Hanya Allah maha tahu debaran di hati kami semua. Emak berpesan agar kami membaca Yaasin sambil menunggu pembedahan selesai. Abang Lutfi tiba pada jam 3 petang untuk sama-sama menunggu Ismah di sini.

Tepat jam 4 petang, Ismah dibawa keluar dari bilik bedah. Melihat kondisinya, aku rasa lega yang tidak terucap. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan tiada sebarang kesulitan berlaku. Ismah ditempatkan di wad ICU tingkat 5. Alhamdulillah! Alhamdulillah! Allahuakbar!

Malam ini, Ismah hanya tidur dan sekali-sekala dia muntah. Semoga Allah melindunginya. Adik-adikku – Muhammad, isterinya Farah, Areef dan Aziah tiba jam 1.30 malam.

Sabtu 6 Mac 2010
Pagi-pagi lagi aku ke tempat Ismah dan dia masih tidur lagi. Mukanya agak bengkak, tetapi kata nurse tidak perlu bimbang kerana ia akan surut dalam empat lima hari.

Menjelang tengah hari. Ismah nampak semakin positif. Dia sudah boleh bercakap dan doktor membenarkan dia minum. Kata doktor lagi, esok Ismah boleh keluar ke wad biasa.

Ahad 7 Mac 2010
Pagi ini Ismah dibawa keluar ke wad biasa. Dia sudah boleh makan dan minum. Wajahnya juga bertambah ceria. Sungguh aku lega kerana dia benar-benar kuat semangat dan proses penyembuhannya sungguh pantas. Syukur ya Allah!

Maka aku pun bertolak pulang ke Kota Bharu malam ini dengan perasaan yang sangat lega.

Isnin 8 Mac 2010
Ismah sudah dibenarkan pulang! Emak sendirian menguruskan segala urusan keluar wad kerana Abang Lutfi sudah pulang ke Pakistan tengah hari ini dan Rifqi pula demam, tidak dapat datang membantu emak. Kasihan emak, tetapi alhamdulillah Allah memudahkan segalanya. Jam 3.30 petang segalanya selesai dan Pak Su datang menjemput emak dan Ismah. Mereka pulang ke Kota Bharu dengan penerbangan jam 9.15 malam.

Terima kasih kepada semua yang ikhlas membantu. Hanya Allah mampu membalasnya.