Tuesday, March 09, 2010

Catatan PPUM

Rabu 3 Mac 2010
Aku pulang lewat ke rumah kerana menunggu suami yang bermesyuarat. Jam 3.35 baru suamiku tiba menjemputku di sekolah. Di rumah, aku kelam kabut menyiapkan segala yang perlu untuk ke KL malam nanti. Lipat kain, gosok baju, kemas beg. Mujurlah suamiku ada jemputan maka aku tak perlu memasak untuknya.

Usai solat maghrib, suami menghantar ku ke lapangan terbang. Selamat tinggal suamiku untuk empat hari. Aku akan merinduimu… hohoho!!

Tiba di KL jam 10.10. Emak, Mak Su, Kak Pah dan Aten sudah sedia menunggu dan membawa aku ke Bandar Baru Bangi yang sudah bertahun tidak kukunjungi.

Khamis 4 Mac 2010
Jam 7.45 pagi, Pak Su menghantar aku dan emak ke PPUM. Ismah sedia menunggu di sana. Urusan pendaftaran wad selesai, tetapi Ismah tidak dapat terus masuk kerana katil wad penuh. Maka kami teruskan agenda dengan urusan menyewa bilik di Anjung Penyayang, makan-makan dan berbual-bual. Memang Ismah kelihatan ceria dan tenang. Dia begitu bersedia untuk berhadapan dengan pembedahan esok. Tiada langsung riak ketakutan pada wajahnya. Bila ditanya, katanya “Kalau tak takut memang tak normallah.” Hmm.. bijak juga dia menyembunyi gusar dan ragunya.

Tengah hari, Ismah dipanggil untuk ujian darah dan x-ray. Doktor Nor Faizal turut memanggil aku dan emak untuk sedikit penerangan tentang prosedur dan risiko pembedahan esok. Katanya, pembedahan ini mempunyai 1% risiko nyawa, 3 – 5% hilang penglihatan, 10 – 12% lumpuh. Pembedahan akan mengambil masa sekurang-kurangnya empat jam. Aku gerun sungguh mendengarnya, tetapi Ismah tetap tenang setenang-tenangnya!

Jam 7.00 petang barulah Ismah dipanggil ke wad. Aku dan emak pulang ke bilik untuk membersihkan diri dan solat. Jam 9.30 malam, aku biarkan emak berehat di bilik dan aku temani Ismah di wadnya. Adikku Husna, suaminya Hawari dan anaknya Sufi beserta Zahidah tiba dari Kepala Batas pada jam 2 pagi. Aku bawa mereka ke bilik dan berehat di sana.

Jumaat 5 Mac 2010
Ismah dibawa ke bilik bedah pada jam 7.45 pagi. Hanya Allah maha tahu debaran di hati kami semua. Emak berpesan agar kami membaca Yaasin sambil menunggu pembedahan selesai. Abang Lutfi tiba pada jam 3 petang untuk sama-sama menunggu Ismah di sini.

Tepat jam 4 petang, Ismah dibawa keluar dari bilik bedah. Melihat kondisinya, aku rasa lega yang tidak terucap. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan tiada sebarang kesulitan berlaku. Ismah ditempatkan di wad ICU tingkat 5. Alhamdulillah! Alhamdulillah! Allahuakbar!

Malam ini, Ismah hanya tidur dan sekali-sekala dia muntah. Semoga Allah melindunginya. Adik-adikku – Muhammad, isterinya Farah, Areef dan Aziah tiba jam 1.30 malam.

Sabtu 6 Mac 2010
Pagi-pagi lagi aku ke tempat Ismah dan dia masih tidur lagi. Mukanya agak bengkak, tetapi kata nurse tidak perlu bimbang kerana ia akan surut dalam empat lima hari.

Menjelang tengah hari. Ismah nampak semakin positif. Dia sudah boleh bercakap dan doktor membenarkan dia minum. Kata doktor lagi, esok Ismah boleh keluar ke wad biasa.

Ahad 7 Mac 2010
Pagi ini Ismah dibawa keluar ke wad biasa. Dia sudah boleh makan dan minum. Wajahnya juga bertambah ceria. Sungguh aku lega kerana dia benar-benar kuat semangat dan proses penyembuhannya sungguh pantas. Syukur ya Allah!

Maka aku pun bertolak pulang ke Kota Bharu malam ini dengan perasaan yang sangat lega.

Isnin 8 Mac 2010
Ismah sudah dibenarkan pulang! Emak sendirian menguruskan segala urusan keluar wad kerana Abang Lutfi sudah pulang ke Pakistan tengah hari ini dan Rifqi pula demam, tidak dapat datang membantu emak. Kasihan emak, tetapi alhamdulillah Allah memudahkan segalanya. Jam 3.30 petang segalanya selesai dan Pak Su datang menjemput emak dan Ismah. Mereka pulang ke Kota Bharu dengan penerbangan jam 9.15 malam.

Terima kasih kepada semua yang ikhlas membantu. Hanya Allah mampu membalasnya.

No comments:

Post a Comment