Inilah buku-bukuku yang belum sempat kukhatamkan. Sebenarnya banyak lagi, tapi tak muat nak letak dalam satu gambar! Fuh! Macam bagus je....
Buku pertama - "Islam and Wealth" baru saja dibeli di LCCT pada 16 Mac. Baru dibelek-belek sahaja, sedang mengharap masa terluang untuk menelaahnya.
"Anda berfikir, bagaimana?" pula saya beli secara online di e-kedai.net tahun lepas lagi. Sudah baca beberapa bab, tapi belum habis lagi.
"Ketika Cinta Bertasbih 2" bukan hak milik saya, tolong simpan bagi pihak Zahidah sebenarnya. Baru dibelek-belek, belum dibaca lagi. Prekuelnya di mana ya?
"Men are from Mars, Women are from Venus" memang menarik dan berinformasi tetapi belum habis dibaca juga. Buku ini sangat sesuai untuk semua orang dalam mendalami perbezaan dua gender. Saya beli di kedai buku Popular, KB Mall tahun lepas.
"50 Days Ranting by MM" tulisan Marina Mahathir ialah catatan beliau di blognya sewaktu Dr. Mahathir dirawat di IJN. Agak seronok dibaca, dan saya beli buku ini di LCCT.
"Asmaul Husna, dengan Nama-Mu aku Hidup" tulisan Tuan Guru Nik Aziz, pemberian dari adik saya. Terima kasih banyak-banyak, tapi masih belum sempat membacanya lagi buat masa ini.
Novel klasik, "Ranjau Sepanjang Jalan" tulisan Shahnon Ahmad saya beli secara online juga, dan akan cuba mencari ruang waktu untuk menatap dan menikmati keindahan novel yang begitu gah ini.
"Bila Tuhan Berbicara", novel dari Faisal Tehrani memiliki kelainan dan aura tersendiri apabila diselitkan elemen drama. Saya sudah membaca beberapa bab, dan akan menghabiskannya tidak lama lagi.
"The Last Song", Nicholas Sparks. Novel ringan tetapi mampu menyentuh perasaan sebagaimana novelnya yang pernah saya baca - "A Walk to Remember". Sekarang sedang menunggu giliran untuk dibaca.
Akhir sekali - "L.U.V.E" dari Pingu Toha. Juga sedang saya tela'ah secara santai dan agak menarik kerana bahasanya yang mudah dan indah.
Sememangnya saya mudah tertarik pada buku-buku, tidak kira yang baru atau lama. Saat Pesta Buku Antarabangsa sedang berlangsung di PWTC ini, saya jadi semakin teruja untuk memiliki dan terus memiliki. Bagi saya, membeli buku bukan satu pembaziran kerana jika kita tidak membacanya sekarang, ia masih boleh dibaca sepuluh atau dua puluh tahun lagi tetapi dengan syarat, ia dijaga rapi.
Apa pun, selamat berpesta buku buat semua yang berkesempatan ke sana.
Salam, saya mencari buku Ranjau Sepanjang Jalan sebagai bahan kajian tesis saya. Jika saudari berminat untuk menjual novel tersebut, boleh emel kepada saya shuhadahrosli93@gmail.com
ReplyDelete