Ayah mula mengadu sakit pada bahagian abdomennya pada awal tahun 1999. Suatu malam, ayah kesakitan yang amat sangat dan emak meminta tolong jiran sebelah menghantar ayah ke hospital. Doktor hanya memberi suntikan penahan sakit sahaja tanpa sebarang rawatan susulan.
Sejak hari itu ayah semakin lemah dan badannya mula menjadi kuning. Ayah ke HUSM untuk rawatan tetapi entah mengapa ayah hanya dirawat sebagai pesakit luar sahaja. Kasihan ayah. Keluarga ayah dari Selatan Thailand mula bimbang dengan kondisi ayah dan hairan dengan prosedur rawatan di sini. Mereka memutuskan untuk membawa ayah ke hospital swasta di Yala dan membuat pemeriksaan di sana. Doktor di hospital tersebut mengesahkan ayah mengalami masalah batu di dalam hempedu. Dengan membawa surat dari hospital itu, barulah ayah dimasukkan ke wad HUSM untuk rawatan seterusnya.
Lebih kurang seminggu di HUSM, ayah semakin pulih. Batu dalam hempedunya berjaya dikeluarkan dan ayah sihat semula. Ayah mula ke pejabat dan majlis pernikahan Aziah pada Jun 1999 dapat dilangsungkan seperti yang dirancang. Kami sangat gembira kerana ayah kembali sihat. Ayah juga menghadiri majlis konvokesyen Aziah dan Rifqi yang berlangsung di UM pada tahun sama.
Rupanya sihat ayah tidak lama. Sekitar Oktober, ayah kembali lemah dan badannya kekuningan semula. Ayah ke HUSM lagi, dan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Kali ini doktor mengesahkan ayah menghidap barah pankreas. Hanya Allah yang tahu betapa sedihnya kami semua menerima berita ini, namun jauh di sudut hati kami berdoa agar ayah akan pulih kembali.
November 1999, ayah dibedah dan doktor mendapati kanser ayah sudah berada pada tahap yang kritikal. Kanser ayah sudah merebak ke paru-paru, hati dan usus. Doktor tidak mampu berbuat apa-apa lagi kecuali membuat 'by-pass' agar makanan yang ayah makan tidak melalui bahagian kanser ayah.
Sedihnya melihat ayah waktu itu. Tetapi ayah berjiwa kuat dan positif. Selama di rumah, walaupun lemah ayah tetap bergerak ke sana ke mari. Sepanjang Ramadan 1420, ayah masih mampu untuk berpuasa penuh. Ayah juga mahu meraikan hari raya aidilfitri di kampungnya di Golok. Kami penuhi hajat ayah dan pulang beramai-ramai ke kampungnya. Nyata ayah sangat gembira di sana.
Menjelang Februari 2000, ayah makin lemah. Kami berusaha secara tradisional dengan memberinya minum air rebusan akar kayu. Itu sahaja usaha yang kami ada selain doa.
26hb. Mac 2000, saya dan suami pulang dari Kuala Krai untuk bermalam di rumah, menemani ayah. Saya tiba pada sekitar jam 6 petang dan ayah sedang berbaring di ruang tamu. Saya hampiri ayah, saya usap wajah ayah yang semakin cengkung itu. Ayah hanya memandang sayu, dan terlalu lemah untuk berkata-kata.
Malam itu adik saya Rifqi membawa pelajar-pelajar tahfiz untuk sama-sama membaca Yaasin untuk ayah. Selesai bacaan Yaasin itu, ayah diberi minum sedikit air. Tidak lama kemudian ayah muntah, dan selepas itu ayah semakin lemah dan kesakitan.
Pagi esoknya, saya dapati keadaan ayah makin kritikal. Saya sepakat dengan suami untuk bercuti dan berada di sisi ayah sepanjang hari. Saya baca surah Yaasin dan Ar-Ra'd di sisi ayah berkali-kali bersama-sama adik beradik yang lain. Ayah sudah tidak sedarkan diri, dan sebelum azan Zohor berkumandang ayah pergi untuk selama-lamanya dengan penuh ketenangan.
Air mata kami bagaikan hujan. Luruh tanpa henti atas satu kehilangan yang amat besar dalam hidup kami. Memandang wajah adik Ismah dan Zahidah yang masing-masing baru berusia 13 dan 10 tahun waktu itu, menerbitkan rasa pilu yang tidak terungkap. Mereka kini menjadi yatim. Namun kami sedar, Allah lebih menyayangi ayah. Perancangan Allah tentu yang terbaik buat kami. Biarpun ayah dipanggil pulang, kami masih di sini untuk menjaga emak dan adik-adik.
Ayah selamat dikebumikan selepas solat Asar iaitu kira-kira jam 5 petang. Begitu mudah menguruskan jenazah ayah, tanpa perlu menunggu lama. Rindu benar ayah untuk bertemu Al-Khaaliq. Semoga ayah bahagia dan damai di sisi-Nya.
Kini, sepuluh tahun telah berlalu tanpa ayah. Bagai baru semalam semuanya berlaku, bagai masih ternampak-nampak wajah ayah tersenyum manis menyaksikan anak-anak dan isterinya bermain dan bergurau senda. Bagai terdengar suara ayah menabur nasihat dan dorongan buat kami semua. Ayah masih ada di sini, di hati kami. Semoga kita berkumpul bersama di sana nanti.

No comments:
Post a Comment