Sunday, February 27, 2011

Sudirman



1986, saya di tingkatan dua. Waktu itu sepupu saya tinggal bersama-sama saya dan dia membeli kaset Sudirman berjudul "Orang Kampung". Antara lagu-lagunya yang saya masih ingat, Apa Khabar Orang Kampung, Jauh di Sudut Hati, Kesian Dia dan Salam Terakhir.

Sewaktu cuti sekolah, saya kerap memutarkan kaset tersebut dan saya gemar lagu Kesian Dia yang begitu manis sekali lirik dan iramanya. Saya tidak langsung memberi perhatian pada lagu Salam Terakhir kerana saya rasa ia agak mendayu dan meleret-leret.

Pada hari raya tahun tersebut, ada satu rancangan hiburan TV dihoskan oleh Sudirman. Saya menyaksikan dari awal hingga akhir. Penutup rancangan, Sudir mendendangkan lagu Salam Terakhir (klip video di atas). Entah kerana apa, saya menangis menyaksikan beliau menyanyi. Saya tidak pasti apa yang sedih sangat tetapi saya benar-benar menangis! Esoknya, saya tidak henti-henti memutar lagu Salam Terakhir kerana baru saya sedar, liriknya sangat menyentuh hati dan lebih menyentuh lagi apabila menonton Sudirman menyanyi dengan penuh perasaan.

Semoga Allah merahamati arwah Sudirman. Al Fatihah.

Suami awak ok?

"Ti, awak tak buat rawatan kesuburan ke sekarang?"

"Ada, ke HUSM tiga bulan sekali. Tapi bukan rawatan kesuburan. Saya cuma monitor cyst dan fibroid sahaja. Ikut kata doktor, saya ni dah tak boleh mengandung, kak."

"Dah berapa lama awak kahwin ya?"

"Hmm, dah masuk tahun ke-14 ni.."

"Suami awak ok?"

"Setakat ni ok. Masa depan tak taulah...!"

Perbualan saya dan seorang guru di sekolah saya pada beberapa hari yang lalu. Saya sudah lali dengan soalan tentang kesihatan saya, dan saya sudah jangka soalan soalan tentang suami juga akan ditanya.

Bukan sekali begitu. Ia sentiasa berlaku. Setiap kali bersembang tentang diri saya, akan timbullah soalan, "suami awak ok?"

Dan jawapan saya memang tidak berubah, "Setakat ni ok. Masa depan tak taulah...!"

Saya bukan jemu melayan pertanyaan mereka tetapi saya rasa itulah jawapan terbaik yang mampu saya berikan. Saya tidak tahu masa depan, tetapi setakat ini dia memang ok.

Mereka - sahabat dan kenalan saya - begitu prihatin tentang suami saya rupanya. Agaknya mereka bimbang jika suami saya 'tidak ok'. Oh!! Jangan begitu... Saya sendiri sejujurnya tidak bimbang sedikit pun. Saya malah pernah menawarkan pilihan padanya. Pilihan untuk mencari seorang lagi isteri!

Jangan kata saya tidak normal. Saya benar-benar maksudkannya. Saya tidak mahu kekurangan saya ini menghalang dia mendapat zuriat sendiri sedangkan dia seorang lelaki sempurna. Apatah lagi saya menawarkan sesuatu yang halal, yang direstui Tuhan. Saya mungkin boleh menumpang kasih dengan zuriatnya nanti, siapa tahu?

Tetapi suami saya enggan memikirkan perkara itu. Katanya dia bosan dan serabut jika saya berulang-ulang menyuarakan hal sedemikian. Saya akur, dan saya tidak mahu menyerabutkan lagi fikirannya.

Saya simpulkan, dia masih terlalu amat sayang pada saya dan dia belum bersedia menduakan isterinya walaupun isterinya ini punya kekurangan.

Alhamdulillah!

Saturday, February 26, 2011

Banglo Kambing

Lama saya membiarkan blog saya ini bersawang dan berdebu. Entah mengapa kerajinan menghadap blog ini bagai tiada. Kerap kali idea datang mengetuk benak fikir saya, tetapi tidak mampu dikarang untuk menjadi tatapan. Ada-ada sahaja halangan.

Minggu ini, suami saya bertungkus lumus menyiapkan ‘banglo’ kambing peliharaannya. Sebenarnya bukan dia yang bertukang. Dia mengupah jiran kami tetapi dek kerana jiran itu datang seorang diri, terpaksalah suami saya membantu apa yang perlu. Bimbang juga saya kerana suami saya masih dalam rawatan hipertiroidismenya. Sepatutnya dia tidak boleh bekerja kuat kerana keupayaannya masih kurang. Bila saya menegur, katanya bukan kerja berat sangat, sekadar membantu pakcik itu memegang kayu sahaja. Hmmm, entahlah. Harap-harap kesihatannya tidak terganggu dek hobi menternaknya itu. Saya sebenarnya sudah melarang dia dari memelihara kambing buat masa ini kerana dia perlukan rehat yang banyak, tetapi dia degil. Katanya, hatinya tenang melihat aksi-aksi kambing peliharaannya. Hai! Macam-macam pe’el manusia ni ya. Tak tercapai akal saya. Saya tidak nampak ketenangan pada wajah-wajah kambing itu. Apatah lagi bila setiap hari terpaksa melayan suara mengembeknya yang tidak menentu waktu. Tak mengapalah, dah itu hobi dia, saya tidak mahu ambil kisah lagi. Asalkan jangan dilibatkan saya dalam urusan kambing-kambingnya itu, cukuplah…!

Setiap manusia sememangnya berbeza. Setiap orang punya hobi, minat dan kecenderungan yang tidak serupa. Saya dan suami saya umpama langit dan bumi dari segi minat dan hobi. Dia seorang naturalist, minat pada alam semula jadi dan haiwan sedang saya tidak mengambil kisah langsung tentang semua itu. Saya tidak pandai bermesra dengan kucing, membelai arnab atau melihat ikan-ikan berenang. Berkebun apatah lagi. Pohon-pohon bunga, buah-buahan dan pokok hiasan di keliling rumah saya semua ditanam suami. Saya hanya melihat sahaja. Sungguh, saya tidak punya keinginan berhobi sebegitu.

Saya gemar buku-buku, internet dan muzik santai. Saya juga gemar keluar membeli belah dan sesekali berehat-rehat di pantai sambil makan-makan. Saya juga gemarkan suasana sunyi dan bersendiri pada waktu-waktu tertentu. Kerana itu saya tidak rasa jemu atau bosan berada di rumah, walau sendirian.

Alhamdulillah, perbezaan ini tidak mencetus sebarang konflik. Saya biarkan dia dengan hobinya dan dia tidak melarang saya melayan hobi saya asal tahu batas dan sempadan. Kami bahagia menyusuri hari-hari kami dengan penuh ketenangan.

Semoga akan sentiasa begini, indah dan penuh bahagia. Amin.


Friday, February 18, 2011

Kereta Kedua


Jam 6.00 petang semalam, Perodua Kelisa 1.0(A) WMS3728 selamat tiba di perkarangan rumah kami. Sebuah kereta terpakai, keluaran 2005 menjadi pilihan hati kami sebagai kereta kedua selepas kereta kami Perodua Kancil 850EZ (A) DAF1735 keluaran 1998 dijual minggu lalu.

Apa rasionalnya ya, menjual Kancil dan membeli Kelisa?

Semenjak sebulan dua ini, saya dan suami berhasrat menjual sahaja Kancil kami kerana ia sudah banyak ragam. Saya memberi cadangan untuk membeli Perodua Myvi baru. Awalnya kami setuju, tetapi entah macam mana, fikiran berubah pula. Rasa bagai tidak berbaloi pula untuk membeli kereta baru hanya sebagai kereta kedua yang belum tentu lagi saya dapat memandunya! Lalu kami memutuskan sebuah kereta kecil terpakai – Kelisa, Kenari atau Atos – sebagai pilihan.

Selama seminggu juga, suami saya membuat survey dari kedai ke kedai. Akhirnya, berjumpalah dia dengan kereta Kelisa ini di kedai kereta terpakai New Era, Wakaf Che Yeh. Dengan harga RM24,500 dan bayaran pemprosesan RM1400, kami memandu pulang kereta berwarna perak ini.

Kancil kami pula, dibeli oleh seorang Ustaz yang bertugas di YIK dengan harga RM6000.

Dengan bayaran bulanan RM314 selama 7 tahun, kini Kelisa ini bersedia untuk berkhidmat. Semoga ia tidak meragam dan mampu berkhidmat dengan baik untuk satu tempoh yang lama.

Saya kira, saya masih belum bersedia untuk memandu sendiri, walaupun Kelisa ini menyudikan dirinya…..

Wednesday, February 16, 2011

Anak

Layakkah seorang yang tiada anak berbicara tentang anak?

Hmm... saya ada sesuatu untuk dikongsi di sini. Sesuatu tentang anak. Benar saya tiada anak, tetapi saya ialah seorang anak, dan atas kapasiti inilah saya ingin mengongsi sedikit rasa.

Saya sebenarnya simpati dan kasihan kepada ibu dan bapa yang tidak pernah berhenti ‘menjaga’ anak sehingga ke usia tua. Kasihan sungguh melihat ibu dan bapa yang terpaksa bergolok dan bergadai malah berhutang untuk membantu anak yang sepatutnya sudah boleh membantu diri sendiri, kalaupun tidak mahu membantu ibu dan bapa. Anak-anak sebegini bagi saya, lebih baik tiada daripada ada.

Apabila usia sudah menjangkau ke angka yang sepatutnya boleh bekerja, maka bekerjalah wahai anak. Apabila punya wang sendiri, bantulah ibu bapa wahai anak, supaya mereka dapat berehat dan memenuhi hari-hari tua mereka dengan aktiviti sihat, amal ibadah atau apa-apa sahaja yang mereka gemari yang ada antaranya tidak sempat dilakukan ketika menjaga kamu sewaktu kecil dahulu. Jangan biarkan mereka resah memikirkan pelbagai cara untuk membantu kamu meneruskan kehidupan sedang kudrat mereka semakin tiada. Tanggungjawab mereka menyara kamu biarlah selesai sebaik kamu tamat pengajian, atau sebaik kamu mengerti makna kehidupan.

Entahlah, saya masih lagi berasa hairan. Hairan kerana seorang anak tega membebani ibu dan bapa mereka walau usia sudah pun terlebih matang dan tenaga sedang menyala-nyala. Lebih-lebih hairan lagi kerana ibu dan bapa tetap mahu membantu anak yang sedemikian rupa dengan menyesakkan akal dan fikiran sendiri, menghitung dan mengumpul hutang, menjual dan menggadai harta benda. Di mana silapnya?

Itu ujian dari Allah kepada mereka. Dikurniakan anak yang enggan mengenang budi, enggan menghargai.

Tetapi Allah itu Adil. Telah digariskan panduan dan cara mendidik anak, berpandukan al Quran dan Sunnah. Jika kita sebagai ibu bapa melaksanakan tanggungjawab seiring kehendak Allah, rasanya anak-anak akan menjadi lebih berkualiti dan tahu diri. Bukan saya ingin menyalahkan ibu bapa tersebut, tetapi secara halusnya, renunglah apa yang telah kita beri untuk anak-anak kita.

Didikan yang sempurna bukanlah semestinya melalui persekolahan formal sahaja. Teladan diri yang paling utama. Cuba kita ingat kembali sewaktu kita kecil dahulu, pengaruh ibu dan ayah sangat besar dalam diri terutama sewaktu usia sekitar empat hingga sepuluh tahun. Apa sahaja yang keluar dari mulut emak atau ayah saya, seumpama satu fatwa bagi saya. Apa sahaja yang dilakukan emak dan ayah juga, sering menjadi pedoman secara tidak langsung dalam hidup saya. Kerana itulah, teladan itu sangat penting. Anak-anak adalah pemerhati yang cekap. Mereka sedang mencari-cari diri dan melalui pemerhatianlah mereka membina personaliti.

Jangan takut untuk marah pada anak-anak. Mereka patut diajar untuk memahami apa itu perasaan marah, sedih, kecewa dan terkilan. Janganlah terlalu memenuhi kehendak mereka ketika kecil, kerana nanti mereka akan terbawa-bawa dengan perangai sama sehingga dewasa. Mereka tidak akan rasa bersalah untuk terus memohon itu dan ini daripada ibu dan bapa mereka kerana kehendak mereka sering tertunai semenjak kecil lagi. Biarlah kita melihat mereka menangis dan meraung ketika kecil kerana kehendak terhalang, daripada kita sendiri yang menangis dan meraung kerana melihat mereka dewasa tanpa tahu berdikari.

Monday, February 14, 2011

Kelebihan Berselawat

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa, "Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail A.S. telah berkata kepadaku.

Berkata Jibril A.S. : "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak sepuluh kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar."

Berkata pula Mikail A.S. : "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu."

Berkata pula Israfil A.S. : "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah S.W.T dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah S.W.T mengampuni orang itu."

Malaikat Izrail A.S pula berkata : "Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut ruh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut ruh para nabi-nabi."

Apakah kita tidak cinta kepada Rasulullah S.A.W.? Para malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang-orang yang berselawat ke atas Rasulullah S.A.W.

Dengan kisah yang dikemukakan ini, janganlah kita lepaskan peluang untuk berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang kesayangan Allah, Rasul dan para malaikat.

Saturday, February 12, 2011

Lagu Kehidupan

Debunga Wangi

sepi yang mencengkam
saban waktu
membawa aku ke lembah berduri
yang aku sendiri
tidak pasti
apakah aku dapat mengharungi

siapakah akan datang
menyudikan dirinya
menghulur tangan membawaku naik
ke daratan yang penuh debunga wangi

kucari
ku mencari
pada daratan yang penuh debunga wangi

Meniti Titian Usang

Kertas putih salju
kucoretkan kedukaanku
hitam dan kelabu
adalah warna dalam hidupku

kejutkanlah aku kawan
aku sedang bermimpi
kejutkanlah aku yang
sengsara dalam sepi

gementar kakiku
meniti titian usang
berdegup jantungku
apa dapatku ke seberang?

sambutlah tanganku kawan
aku takut tenggelam
sambutlah tanganku kawan
jurangnya sangat dalam

jurangnya sangat mengerikan
ramai yang telah kecundang

dia sedang menunggu
untuk memimpinku
di seberang sana
adanya cahaya

Mereka Yang Rebah

Lihatlah sekeliling kita
betapa saban hari pasti ada saja
harapan serta bunga bangsa
yang rebah

tak memadai sekadar keluhan
apatah lagi jelingan serta cemuhan
yang jatuh dan yang rebah itu
adalah anak watanmu

untukkan sedikit masa emasmu
kerana mereka memerlukanmu
tersesat mereka di hujung jalan
marilah bersama memberi bimbingan

tak daya mengawali diri
lantaran terlalu menurut kata hati
mereka bagaikan kehilangan
pedoman di masa depan

Anak-anak Kita

Anak-anak kitakah yang berlari telanjang
Di bawah mentari sumbing
Sambil bernyanyi lagu
Ketakutan hari-hari ini

Anak-anak kitakah yang memikul beban
Kesilapan kita
Hingga dia tak kenal
Budaya canggung bangsa sendiri

Selamatkan anak kita
Dari padang jerangkap samar
Selamatkan anak kita
Orde baru politikus usang

Anak-anak kitakah yang bermain
Di hutan belukar
Dengan senapang kayu ubi
Cambah tak kenal bahaya

Anak-anak kitakah yang tak tahu nak pulang
Bila petang
kerana terlalu sibuk main lastik
Dan berpistolan
Pistol-pistolan

Jaga-jaga anak kita
Jangan sampai jadi hamba
Jaga-jaga anak kita
Kita ini orang merdeka

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan sendiri lagi

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan dimomok lagi

Fikir
Selamatkah kita di tangan tukang karut itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan dalang wayang itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan ahli koporat itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan doktor jiwa itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan pakar kitab itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan Tuhan-Tuhan itu

Friday, February 11, 2011

Women...

The Perfect Woman

A friend once asked a gentleman how is it that he is still single and never marries? The gentleman softly replied, "well, I guess I just never get the opportunity to meet the right woman... I guess I've been looking for a perfect woman."

"Oh, come on...," said the friend, "I am very sure you must have met at least one girl that you might have wanted to get married with..."

"Yes, there was once this girl, I guess she was the only one that makes a perfect woman, the only perfect girl I really ever met. She was just the right everything... I really mean that she would be the perfect woman for me."

"Well, why didn't you marry her then?" asked the friend.

"She was looking for the perfect man," replied his friend.

10 Men and 1 Woman

Eleven people were hanging on a rope, under a helicopter.
10 men and 1 woman.
The rope was not strong enough to carry them all, so they decided that one had to leave,
Because otherwise they were all going to fall.

They weren't able to choose that person,
Until the woman gave a very touching speech.
She said that she would voluntarily let go of the rope, because,
As a woman, she was used to giving up everything for her husband and kids or for men in general, and was used to always making sacrifices with little in return.


As soon as she finished her speech,


All the men started clapping .......

Saturday, February 05, 2011

Kenduri Kendara

Begitulah adanya. Setiap kali musim cuti sekolah - tak kiralah cuti penggal ke, cuti raya ke, cuti tahun baru cina ke - kenduri kendara pun mulalah bertebaran di sana sini. Ada tu, dalam sehari dapat sampai lima jemputan! Entah yang mana perlu diutamakan. Kadang-kadang rasa seram nak pergi sebab memikirkan masalah kesesakan lalu lintas yang amat sangat dahsyatnya.

Sebenarnya, saya pun berfikir-fikir untuk mengadakan satu majlis makan-makan yang sederhana di rumah saya ini. Sejak mula menetap di sini pada bulan Februari 2005, belum pernah sekali pun majlis makan-makan diadakan. Hanya sekali majlis solat hajat sempena naik rumah baru dan sekali majlis barbecue anak beranak pada raya 2006 yang lalu. Itu sahajalah. Selebihnya kalau ada apa-apa hajat yang terkabul, majlis kesyukuran hanya dilakukan di madrasah di hadapan rumah dengan menempah makanan bungkus sekadar yang patut.

Sejak pulang dari Makkah baru-baru ini, suami saya ada menyuarakan hasratnya untuk menjemput sahabat, jiran dan keluarga ke majlis kesyukuran di rumah kami. Namun dek kesihatannya yang tidak mengizinkan, majlis itu masih belum menjadi nyata.

Insya Allah jika tiada aral, dalam sebulan dua lagi kami akan usahakan agar majlis itu dapat terlaksana seadanya. Semoga Allah mempermudah segala urusan.

Dan insya Allah juga, kami tidak akan melangsungkan majlis itu pada musim cuti sekolah...

Tuesday, February 01, 2011

Emas


Emas dan wanita. Tiada terpisah kedua-duanya...

Benar sangat dan betul sungguhlah itu. Sampai bila-bila pun wanita akan tetap bersatu hati dan jiwa dengan emas dan perhiasan. Wanita sangat gemar keindahan, kecantikan dan kemeriahan, apa lagi kemewahan!

Saya wanita, maka saya pun begitu. Ikutkan hati, saya ingin sekali memiliki barang kemas yang bersinar-sinar, berkelip-kelip itu sebanyak mungkin. Saya ingin memakainya dengan rasa bangga dan penuh keyakinan. Saya ingin memakainya untuk keyakinan diri, bukan ingin menunjuk-nunjuk!

Tetapi mujurlah saya masih seorang yang rasional. Hati memang suka, tetapi akal menasihati agar tidak berlebih-lebih. Cukuplah sekadar apa yang ada kerana jika banyak pun saya tidak mungkin memakainya sekali gus. Apatah lagi menyimpannya amat memerlukan pengawasan yang rapi. Cukuplah seutas dua yang ada di badan, tak perlu ada dalam simpanan.

Kadang-kadang saya rasa hairan, mengapa wanita gemar mengikut kata hati berbelanja membeli barang kemas tanpa tahu erti had dan limit? Mungkin bagi mereka, ia umpama pelaburan masa depan, tetapi bagi saya ia tetap tidak menguntungkan.

Emas yang banyak hanya menyukarkan pergerakan. Biarlah kita bersederhana, memiliki sekadar yang perlu dan selebihnya, bersedekahlah....

Wallahua'lam.

Aku sebutir pasir


Senandung rindu mendayu
mengiring langkah yang makin tersungkur
terlalu jauh pendakian
begitu tingginya harapan
bermusim lama mencari
tak kutemui sampai kini

tak henti jiwa dipalu
dugaan demi dugaan menguji
rebah dan bangun sendirian
mencari bumbung perteduhan
mereka riang ketawa
aku hanya sebatang kara

perjalanan masa mengajar hati
semakin tabah kini
di dalam kemarau dan gerimis
aku tetap gagah mengharungi

Tuhan
aku bagaikan sebutir pasir
yang lemah lagi kerdil
teguhkan keimanan jiwaku
agar tidak terpesong darimu

beribu teman ketawa
payah kutemu yang sanggup bersatu
di dalam susah dalam senang
yang hadir cuma kepalsuan
dugaan demi dugaan
aku pasrah menadah tangan

Masa yang berlalu

Februari menjelma sudah, bermakna sebulan dalam tahun ini sudah dibawa pergi, tinggal lagi sebelas bulan. Hmmm.. kalau sering-sering menghitung begini terasa masa yang berlalu itu terlalu laju. Pun hakikat kehidupan begitulah. Masa itu, bukankah kehidupan kita?

Berbicara tentang masa. Alangkah bahagianya bila dikenang kembali waktu-waktu dahulu. Teringat zaman belajar, terasa ingin kembali ke sana. Kembali bergelut dengan nota dan kuliah, juga peperiksaan. Kembali menghitung wang biasiswa yang menyusut dengan kadar eksponen hari ke hari. Kembali mengintai insan terpilih, yang menghuni hati. Semuanya terasa amat indah, amat wangi... Tetapi semuanya hanyalah kenangan yang tak mungkin berulang kembali.

Apa khabar sahabat-sahabatku? Berjauhan dari keluarga, sahabatlah tempat bermanja. Sahabatlah yang menjadi teman bicara, teman berbalah juga. Seronok memiliki sahabat sehati sejiwa tetapi kini masing-masing sudah punya cerita hidup sendiri. Apa pun doa saya semoga bahagia sentiasa menemani kalian.

Masa,
seandainya kau bisa berulang lagi
malam,
kiranya kau menceritakan kisah ini
biar kusimpan rahsia hatiku yang terluka
sepi