Sunday, February 27, 2011

Sudirman



1986, saya di tingkatan dua. Waktu itu sepupu saya tinggal bersama-sama saya dan dia membeli kaset Sudirman berjudul "Orang Kampung". Antara lagu-lagunya yang saya masih ingat, Apa Khabar Orang Kampung, Jauh di Sudut Hati, Kesian Dia dan Salam Terakhir.

Sewaktu cuti sekolah, saya kerap memutarkan kaset tersebut dan saya gemar lagu Kesian Dia yang begitu manis sekali lirik dan iramanya. Saya tidak langsung memberi perhatian pada lagu Salam Terakhir kerana saya rasa ia agak mendayu dan meleret-leret.

Pada hari raya tahun tersebut, ada satu rancangan hiburan TV dihoskan oleh Sudirman. Saya menyaksikan dari awal hingga akhir. Penutup rancangan, Sudir mendendangkan lagu Salam Terakhir (klip video di atas). Entah kerana apa, saya menangis menyaksikan beliau menyanyi. Saya tidak pasti apa yang sedih sangat tetapi saya benar-benar menangis! Esoknya, saya tidak henti-henti memutar lagu Salam Terakhir kerana baru saya sedar, liriknya sangat menyentuh hati dan lebih menyentuh lagi apabila menonton Sudirman menyanyi dengan penuh perasaan.

Semoga Allah merahamati arwah Sudirman. Al Fatihah.

No comments:

Post a Comment