Saturday, February 05, 2011

Kenduri Kendara

Begitulah adanya. Setiap kali musim cuti sekolah - tak kiralah cuti penggal ke, cuti raya ke, cuti tahun baru cina ke - kenduri kendara pun mulalah bertebaran di sana sini. Ada tu, dalam sehari dapat sampai lima jemputan! Entah yang mana perlu diutamakan. Kadang-kadang rasa seram nak pergi sebab memikirkan masalah kesesakan lalu lintas yang amat sangat dahsyatnya.

Sebenarnya, saya pun berfikir-fikir untuk mengadakan satu majlis makan-makan yang sederhana di rumah saya ini. Sejak mula menetap di sini pada bulan Februari 2005, belum pernah sekali pun majlis makan-makan diadakan. Hanya sekali majlis solat hajat sempena naik rumah baru dan sekali majlis barbecue anak beranak pada raya 2006 yang lalu. Itu sahajalah. Selebihnya kalau ada apa-apa hajat yang terkabul, majlis kesyukuran hanya dilakukan di madrasah di hadapan rumah dengan menempah makanan bungkus sekadar yang patut.

Sejak pulang dari Makkah baru-baru ini, suami saya ada menyuarakan hasratnya untuk menjemput sahabat, jiran dan keluarga ke majlis kesyukuran di rumah kami. Namun dek kesihatannya yang tidak mengizinkan, majlis itu masih belum menjadi nyata.

Insya Allah jika tiada aral, dalam sebulan dua lagi kami akan usahakan agar majlis itu dapat terlaksana seadanya. Semoga Allah mempermudah segala urusan.

Dan insya Allah juga, kami tidak akan melangsungkan majlis itu pada musim cuti sekolah...

No comments:

Post a Comment