Sunday, February 27, 2011

Suami awak ok?

"Ti, awak tak buat rawatan kesuburan ke sekarang?"

"Ada, ke HUSM tiga bulan sekali. Tapi bukan rawatan kesuburan. Saya cuma monitor cyst dan fibroid sahaja. Ikut kata doktor, saya ni dah tak boleh mengandung, kak."

"Dah berapa lama awak kahwin ya?"

"Hmm, dah masuk tahun ke-14 ni.."

"Suami awak ok?"

"Setakat ni ok. Masa depan tak taulah...!"

Perbualan saya dan seorang guru di sekolah saya pada beberapa hari yang lalu. Saya sudah lali dengan soalan tentang kesihatan saya, dan saya sudah jangka soalan soalan tentang suami juga akan ditanya.

Bukan sekali begitu. Ia sentiasa berlaku. Setiap kali bersembang tentang diri saya, akan timbullah soalan, "suami awak ok?"

Dan jawapan saya memang tidak berubah, "Setakat ni ok. Masa depan tak taulah...!"

Saya bukan jemu melayan pertanyaan mereka tetapi saya rasa itulah jawapan terbaik yang mampu saya berikan. Saya tidak tahu masa depan, tetapi setakat ini dia memang ok.

Mereka - sahabat dan kenalan saya - begitu prihatin tentang suami saya rupanya. Agaknya mereka bimbang jika suami saya 'tidak ok'. Oh!! Jangan begitu... Saya sendiri sejujurnya tidak bimbang sedikit pun. Saya malah pernah menawarkan pilihan padanya. Pilihan untuk mencari seorang lagi isteri!

Jangan kata saya tidak normal. Saya benar-benar maksudkannya. Saya tidak mahu kekurangan saya ini menghalang dia mendapat zuriat sendiri sedangkan dia seorang lelaki sempurna. Apatah lagi saya menawarkan sesuatu yang halal, yang direstui Tuhan. Saya mungkin boleh menumpang kasih dengan zuriatnya nanti, siapa tahu?

Tetapi suami saya enggan memikirkan perkara itu. Katanya dia bosan dan serabut jika saya berulang-ulang menyuarakan hal sedemikian. Saya akur, dan saya tidak mahu menyerabutkan lagi fikirannya.

Saya simpulkan, dia masih terlalu amat sayang pada saya dan dia belum bersedia menduakan isterinya walaupun isterinya ini punya kekurangan.

Alhamdulillah!

No comments:

Post a Comment