Saturday, March 31, 2012

Pesta Buku Kelantan


Buku-buku yang saya beli:




Yang ini pula, adinda Ismah bagi present...

Berpoligamilah?

Saya bukan anti poligami. Sebagai Muslim, saya amat sedar terlalu banyak kebaikan dan hikmah dalam poligami, kerana itu Islam mengharuskannya. Malah saya sendiri bersedia, insyaallah zahir dan batin.

Pun, pada pandangan saya, sangat-sangatlah tidak sesuai untuk menjadikan poligami ini satu perjuangan. Sangat-sangatlah tidak molek untuk menyeru kepada lelaki-lelaki (yang layak) agar berpoligami. Seruan ini sesungguhnya tidak selaras dengan suasana, bahkan tidak pernah diajar Rasulullah.

Benar, poligami itu sunnah, namun ia bukan keutamaan. Islam mengajar kita mengutamakan yang utama, yang wajib. Poligami itu bukannya wajib. Ia dibolehkan untuk menyelesaikan masalah jika timbul. Dan ia tidak sesuai langsung untuk dijadikan bahan perjuangan.

Sekali lagi, saya tegaskan saya bukan anti poligami. Jika saudara-saudara saya berminat untuk berpoligami, silakanlah. Saya sendiri pernah menyuara hasrat pada suami agar berpoligami tetapi dia diam sahaja. Dan sekadar itulah. Perlukah saya berjuang bermati-matian meminta suami saya berpoligami sedangkan dia sendiri tidak mahu? Wajarkah?

Lihatlah sekeliling kita. Betapa ramainya lelaki-lelaki yang layak dan berkeupayaan untuk berpoligami tetapi memilih untuk memiliki seorang isteri sahaja. Dia bahagia dengan satu isteri, biarkanlah. Tidak perlu dia 'digoda' untuk bernikah lagi. Jika pun dia mahu bernikah lagi, biarlah itu pilihannya sendiri, lahir dari perasaannya sendiri, bukan kerana ada desakan suara-suara luar yang memperjuang poligami. Oh! Sungguh tidak molek!

Kata mereka, bantulah anak-anak gadis yang perlukan kehidupan berumahtangga. Mereka juga ingin mengecap kebahagiaan berkeluarga. Aduhai, kenapa alasan begini ditimbulkan? Apakah lelaki ini spesies yang sedang memupus pada masa kini? Jika inilah rasionalnya, maka kita perlu juga untuk mengasihani lelaki-lelaki bujang di luar sana. Mereka tidak boleh menikahi isteri orang! Jika anak dara semua memilih suami orang, apa akan jadi pada lelaki-lelaki bujang yang sedang mencari pasangan hidup itu? Sesungguhnya, alasan yang tidak rasional sebegini wajarlah ditolak mentah-mentah.

Kesimpulannya, berpoligamilah bagi yang mahu berpoligami. Bagi yang tidak mahu, tidak mengapa. Ia bukan suatu dosa. Kita lebih mengenali diri kita sendiri. Bagi wanita, lebih baik bersedia. Jika suami anda mahu berpoligami, jangan dihalang. Bagi lelaki, pilihan di tangan anda. Jika anda rasa layak, teruskan. Tetapi ingat, adil itu sangat payah. Berhati-hatilah.

Wallahua'lam.

Thursday, March 29, 2012

Internet

"Penat saya tengok Kak Ti buat kerja ni...", Laili sahabat di sekolah saya menyuara rasa tatkala melihat saya memantau guru-guru SMKKC memasukkan markah peperiksaan online (SAPS) di laptop saya. Saya ke sana ke mari, membantu mereka sewaktu luang, dan berkejar ke kelas apabila tiba masanya.

Sungguhlah. Minggu ini saya tercabar. Tugas mengisi markah SAPS sepatutnya beres kelmarin tetapi seperti selalu, berurusan dengan manusia ini tidak mudah. Apatah lagi hamba Allah seperti saya ini hanya pandai mengunci mulut, pada saat kerja semakin menimbun. Entah di mana silapnya.

Bukan saya salahkan guru semata. Saya tahu mereka punya kekangan masa dan kemudahan. Bukan seperti saya yang berinternet hampir 20 jam sehari! Ramai yang tiada talian internet di rumah. Malah yang lebih teruk, laptop pun tidak punya. Tak mengapalah. Itu pilihan masing-masing untuk hidup terkebelakang.

Yang saya geram, sekolah saya pun sama juga terkebelakang. Talian internet sekejap ada, berbulan-bulan tak ada. Seminggu ok, tiga bulan ko. Aduh..! Saya tahulah saya ini berada di kampung, tetapi di Ulu Kelantan nun pun ada talian internet di sekolah mereka. Sengsaranya jiwa apabila deadline menghampiri, tetapi lebih separuh yang belum mengisi.

Mujur saya ini tidak buntu. Sejak semalam, saya letakkan laptop dan broadband saya di tempat public di bilik guru, dan mengumumkan sesiapa yang belum mengisi markah SAPS, silalah ke mari. Tiada bayaran dikenakan. Percuma saja.

Alhamdulillah, akal saya menjadi. Hari ini, semuanya selesai. Nampaknya, sebagai SU Peperiksaan sekolah, saya kena juga memegang jawatan Pegawai Kebajikan Guru bahagian internet. Kalau tidak, kerja saya pasti tidak selesai-selesai lagi!

Tuesday, March 27, 2012

Rindu Ayah

Ayah, hari ini genap dua belas tahun Ayah pergi meninggalkan kami. Masa, pantas sungguh berlalu. Sewaktu kecil dahulu, jika Ayah demam, Yati akan kebimbangan. Yati takut Ayah mati. Yati tak mampu bayangkan hidup Yati tanpa Ayah.

Apabila Ayah benar-benar tiada, barulah Yati sedar betapa hidup kita ini tergenggam erat dalam kuasa Tuhan. Kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan. Yati redha, walaupun Yati sangat sedih dan sangat rindu.

Malam tadi, Yati menangis rindukan Ayah. Maafkanlah Yati kerana tidak mampu membendung rindu, yang kadangkala luar biasa sifatnya. Walaupun sempat bersama-sama Ayah selama dua puluh lapan tahun, Yati tetap berasa ia terlalu singkat. Pun, seperti Yati kata tadi, Yati redha. Yati tahu Allah lebih-lebih lagi menyayangi Ayah daripada kami semua...

Sejak Ayah pergi, Ma mengambil alih tugas mengemudi keluarga dengan penuh tanggungjawab. Kasihan Ma, dia sendirian meneruskan tugas menjaga dan menguruskan adik-adik – Muhammad, Husna, Ismah dan Zahidah – yang masih belajar pada waktu itu. Abang Lutfi di Johor, Yati di Kuala Krai, Aziah di Perak. Untung waktu itu Rifqi bertugas di Repek, dan dialah yang berada di sisi Ma penuh setia, membantu Ma mengurus pelbagai perkara, terutama tentang urusan pencen dan hutang piutang Ayah. Alhamdulillah.

Ma pula sangat komited, sangat berdisiplin. Segalanya teratur dan kemas sebagaimana sewaktu Ayah masih ada. Rupa-rupanya, Ma juga memiliki semangat dan jiwa yang kental sama seperti Ayah. Ma juga punya wawasan tinggi, sama seperti ayah. Ma juga mampu memberi yang terbaik, sehingga kesemua anak ayah mampu menjejak kaki ke menara gading. Sungguh, kami amat beruntung memiliki Ma dan Ayah.

Kini, selepas dua belas tahun, anak-anak Ayah sudah punya kehidupan sendiri. Abang Lutfi baru sahaja menamatkan tugasnya di Pakistan, dan kini berada di Kelang. Walaupun berjauhan dari keluarganya di Terengganu, namun dia sering pulang mengunjungi isterinya, Kak Zaiha (tentu Ayah ingat, kan?) dan empat anaknya yang sedang membesar.

Ayah, cucu sulung ayah, Anis sudah pun menjadi anak gadis dewasa. Walaupun Anis tidak sempat bertemu Ayah, dia tetap mengenali Ayah melalui gambar-gambar Ayah. Dia dan adik-adiknya – Ain, Aisyah dan Afnan – membahasakan Ayah sebagai “Tok Ki Myiddin”.

Ayah, Yati sudah tujuh tahun menginap di rumah sendiri. Rumah Yati dekat sahaja dengan rumah Ma. Alhamdulillah, Allah memakbulkan impian Yati selama ini untuk berada dekat dengan Ma. Sekurang-kurangnya, Yati boleh berkunjung ke rumah Ma dengan mudah, tanpa perlu memandu jauh. Yati kan tak pandai memandu! Oh ya, Ayah tentu tahu, masa kecil dahulu Yati selalu mabuk kereta. Yati masih ingat, bila balik kampung di Golok dengan menaiki teksi, Ayah akan meriba Yati di tempat duduk hadapan supaya Yati kurang mabuk. Sepanjang perjalanan, Yati menutup hidung dan bernafas melalui mulut supaya Yati tak dapat hidu bau kereta! Pernah juga Ayah menyuruh Ma dan anak-anak Ayah yang lain menaiki teksi, tetapi Yati Ayah bawa dengan motor sehingga ke Rantau Panjang, sebelum menaiki perahu menyeberang Sungai Golok.

Memori membonceng motor Ayah ke sekolah sangat indah. Sewaktu darjah dua, Yati bersekolah petang. Jadi Ayah menghantar Yati ke sekolah dengan motor Suzuki DA 5961. Ayah selalu pesan, peluk ayah kemas-kemas. Yati patuh, dan memeluk Ayah sehabis erat sehingga kepala Yati terteleng ke kiri, kadang-kadang ke kanan. Apabila kawan sekelas Yati melihat, mereka pelik. Lama-lama mereka tanya, kenapa awak peluk ayah awak sampai macam tu? Tak boleh ke buat biasa saja? Yati rasa malu, dan selepas itu Yati dah tak peluk Ayah kuat-kuat lagi….

Apabila Yati mendapat tawaran asrama penuh, Ayah menghantar Yati ke sana dengan menaiki bas. Yati memang pening waktu itu, tetapi Ayah bekalkan gula-gula Hacks. Sampai sekarang, itulah gula-gula yang sangat Yati gemari.

Setiap kali Yati menyambung pengajian, Ayahlah yang setia menghantar Yati. Sewaktu Matrikulasi, kita menaiki teksi dari KB ke Butterworth. Ada dua orang lagi penumpang waktu itu, kedua-duanya orang putih. Dalam perjalanan, Yati cuba bertahan tetapi tetap tidak mampu menghilangkan mabuk kereta. Malu pula dengan orang putih itu apabila Yati meminta Ayah beritahu pemandu agar memberhentikan kereta sebab Yati nak muntah!

Ke Kuala Pilah untuk Matrikulasi 2, kita menaiki bas ekspres. Cuma apabila Yati berjaya ke UKM, barulah sekeluarga menghantar Yati. Ayah menyewa van, berkongsi dengan teman pejabat yang juga ingin ke UKM menghantar adik perempuannya.

Ayah, Aziah sekarang sudah pulang mengajar di Kelantan. Suaminya, Syahiman juga bertugas di sini. Mereka sudah memiliki seorang anak teruna yang kacak, Muiz namanya. Rumahnya tidak jauh, dan Aziah sangat kerap ke rumah Ma. Kata Ma, lebih kerap daripada Yati! Maklumlah, dia boleh memandu. Bukan macam Yati…

Rifqi pula, sedang giat membina nama di Johor. Rupanya, anak ayah yang seorang ini punya karisma tinggi sebagai guru agama. Di sana, dia begitu popular sehingga ke tanah seberang memberi ceramah dan mejadi panel forum. Kami tumpang bangga. Anaknya sudah empat orang – Amin, Iman, Awwahah dan Imtinan. Isterinya, Zainab begitu setia memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam perjuangan Rifqi.

Muhammad juga seorang Ustaz, sama seperti Rifqi. Tidak rugi Ayah menghantar mereka ke sekolah agama kerana mereka berdua memang memiliki minat yang mendalam dalam bidang ini. Sungguh benarlah Ayah telah meletakkan anak-anak Ayah pada landasan yang betul, dengan keizinan Allah. Oh ya, Muhammad bertugas di Perak. Dia juga sudah berkeluarga. Isterinya Farah dan anaknya Areef menjadi penyejuk mata yang tiada tolok bandingnya buat Muhammad. Hmm, dia juga aktif berceramah di sana. Ayah tentu bangga dengan pencapaian anak-anak lelaki ayah ini kan? Yati juga begitu.

Husna pun sudah memiliki kehidupan sendiri. Kasihan dia Ayah, berjauhan dengan suaminya Hawari sudah hampir dua tahun kerana permohonan pertukarannya belum diluluskan. Tetapi jiwanya kental, sama seperti Ayah. Bersama-sama dua orang anak - Sufi dan Nasih - yang masih kecil, dan kini hamil lagi, dia tetap gagah dan tabah meneruskan perjuangan sebagai ustazah di Kepala Batas. Insya Allah, tidak lama lagi ayah akan menerima kehadiran cucu yang ketiga belas. Meriah sungguh keluarga kita Ayah!

Ismah sudah pun menamatkan pengajiannya di UM. Ayah, Ismah ini berjiwa waja. Semangatnya tidak goyah meskipun diuji dengan kesakitan. Dia berjaya menggenggam ijazah seperti abang-abang dan kakak-kakaknya juga, walaupun pada waktu itu dia dikesan mengidap aneurysm dan terlantar di wad berkali-kali. Alhamdulillah rawatannya berjaya, walaupun terpaksa mengambil ubat seumur hidup. Kini, Ismah sudah bekerja, dan dia juga seorang usahawan. Rasanya, dalam lapan orang anak ayah, dialah yang paling kental meneraju hidup. Paling kuat menempuh dugaan. Pun, kami tahu ada hikmah di sebalik segalanya.

Anak bongsu ayah pula, yang manja, yang paling singkat tempohnya bersama Ayah, kini sedang berjuang di USM. Zahidah memang paling cemerlang antara kami. Walaupun tanpa Ayah di sisinya, dia tetap mampu menghasilkan keputusan cemerlang semenjak dari PMR lagi. Berbahagialah Ayah, kerana anak-anak Ayah sentiasa ingat pada pesan dan amanah Ayah meskipun Ayah telah lama pergi. Insya Allah, Zahidah bakal menjadi pendidik, sama seperti lima orang kakak dan abangnya.

Ayah, alangkah pantasnya dua belas tahun berlalu. Ma kini sudah pun enam puluh tahun, namun tetap kental menempuh hidup. Sejak Ayah tiada, dialah yang menjaga rumah pusaka Ayah itu dengan baik sekali. Ma memang setia dengan rumah itu. Tidak mahu dia berpindah ke rumah anak-anak, meskipun pada kebanyakan waktu, Ma keseorangan. Agaknya, kenangan bersama Ayah di rumah itu menjadi pengubat hatinya kala sepi. Pun, Ismah kini turut berada bersama Ma sejak lebih setahun lalu. Dia menjadi peneman Ma yang setia. Sekurang-kurangnya, kami bertiga – Yati, Aziah dan Ismah – hampir dengan Ma. Anak-anak yang lain, walaupun entah bila, kami tetap doakan agar suatu hari akan pulang berada di sisi Ma.

Ayah, maafkan Yati kerana berbicara terlalu panjang kali ini. Terasa banyak lagi yang ingin Yati kongsi, tetapi cukuplah dahulu. Semakin lama Yati menulis, semakin banyak air mata yang mengalir kerana terlalu rindu pada Ayah.

Berehatlah Ayah, di sisi Tuhan. Ayah telah selesai di medan dunia. Kami ini yang masih di sini, masih diuji. Pun kami tetap berdoa untuk punya ruang rehat yang damai di sana, bersama-sama Ayah. Semoga Allah menempatkan Ayah di kalangan hamba-hambaNya yang dikasihi, dan semoga Allah mengumpulkan kita bersama-sama di syurgaNya. Amin. Al Fatihah.

Friday, March 23, 2012

Hari ini...

Hari Jumaat yang dinanti.

Saya mengharap satu kerehatan hari ini setelah begitu lama rasanya tidak memiliki masa melayan diri sendiri. Alhamdulillah, Allah memberi ruang itu buat saya, biarpun hanya untuk beberapa jam.

Pagi yang nyaman.

Selesai solat Subuh saya ke dapur menyediakan sarapan. Hanya nasi putih, telur itik goreng, ikan kering goreng dan ulam timun ditemani nescafe panas menjadi hidangan kami pagi ini. Biarpun ringkas, ia sangat menyelerakan. Akhir-akhir ini, selera saya untuk bersarapan nasi bungkus sudah semakin mengurang. Begitulah agaknya bila umur meningkat, selera juga akan turut bertukar.

Usai sarapan, suami keluar bertemu rakan-rakan manakala saya melayan tv sebentar. Entah kenapa, semua rancangan kurang menarik maka saya terlena. Jam 8.58 pagi saya terjaga apabila suami pulang. Saya bingkas bangun, mengemas dan menyapu bilik, membungkus segala sampah sarap untuk dibuang nanti, juga menggosok baju. Sekitar jam 10.00 pagi, saya dan suami keluar ke kedai.

Mula-mula kami berbelanja di DZ, sebelum menuju ke Ketereh mencari lauk pauk. Kali ini ayam kampung dan sotong serta sayur-sayuran menjadi pilihan. Selesai berbelanja, kami menuju ke rumah mek. Sekejap sahaja di sana, kami pulang.

Di rumah, saya menyelesaikan segala bayaran bil dan pinjaman melalui internet banking. Kali ini saya turut membayar bagi pihak kakak ipar saya yang sejak kematian suaminya, agak sukar untuk ke sana ke mari.

Menjelang tengah hari, saya berhajat untuk memasak ayam kampung goreng berempah, sotong masak serai dan sayur campur tetapi jiran kami datang menjemput suami makan tengah hari di rumahnya sempena majlis kenduri cukur jambul cucunya.

Kasihan suami saya. Dia kurang gemar lauk gulai di tempat kenduri, tentu makannya cuma sedikit nanti. Jam pula baru menunjukkan 12.28 tengah hari. Sempat lagi untuk saya memasak sekejap. Lalu, saya sediakan ayam kampung goreng berempah untuknya sebagai alas perut sebelum bersolat Jumaat dan ke tempat kenduri nanti.

Berselera dia makan empat ketul ayam goreng itu beserta sos pencecah. Sedap, katanya.

Sebaik suami saya turun ke masjid pada jam 1.o4 tengah hari, saya ke dapur semula. Kali ini memasak untuk diri sendiri. Tiada lagi menu tadi, kerana selera saya sudah berubah. Saya berhajatkan gulai lemak telur itik!

Santan kotak saya tuang ke dalam periuk, dicampur sedikit air. Kunyit, bawang dan lada ditumbuk dan dicampak ke dalam santan tadi. Sehelai daun limau purut, sekeping kecil asam gelugur dan beberapa hirisan timun dimasukkan sekali, beserta garam, serbuk perasa dan serbuk kunyit. Apabila mendidih, saya pecahkan dua butir telur itik. Seketika ia mereneh, maka masaklah gulai saya.

Nasi juga sudah masak. Apa lagi, masanya untuk saya menjamu selera. Walaupun makan sendirian, saya sentiasa lalu. Ikan kering goreng pagi tadi masih berbaki untuk menjadi teman gulai telur itu.


Dan alhamdulillah, saya selesai sudah santap tengah hari. Masanya untuk bersolat, berehat dan menunggu kehadiran tetamu petang nanti....

Thursday, March 22, 2012

Laporan

Lama juga saya tak melapor aktiviti saya di sini. Sibuk sikit saya seminggu dua ni, nak mencelah di blog sendiri pun tak berapa nak sempat...

Sepanjang cuti sekolah seminggu lepas, saya tak punya banyak waktu untuk diri sendiri. Mengemas rumah pun tidak. Saya ke sana ke mari untuk urusan orang lain. Tapi tak apa, saya tak kisah pun. Selagi hidup, selagi itulah tiada terpisahnya saya dan masyarakat. Maka saya berlapang dada dan berbesar hati melaksana segala kerja-kerja sedemikian.

Minggu ini, sekolah bermula sudah. Penatnya tidak tergambar. Entahlah, saya seronok mengajar dan bekerja tetapi sepulang ke rumah saya jadi lesu. Melihat habuk dan sampah bertebaran pun saya tidak terasa apa-apa kerana apa yang saya perlu ialah rehat! Bagaimana saya berehat? Tentu sekali menidurkan diri selena-lenanya dari jam 3.30 petang hingga Asar menjelang. Selesa dan nyaman, tanpa gangguan. Alhamdulillah.

Selesai solat Asar barulah aktiviti saya kembali bermula. Menyediakan minum petang (sekali sekali saja...), menggosok baju, melipat kain dan memasak makan malam. Selalunya, selepas Isyak baru kami makan. Dan jam 11.00 malam ialah waktu untuk saya tidur.

Sekian laporan saya kali ini.

Saya Enggan Sedih

Tidak, saya tidak sedih. Hidup, begitulah. Ada ketika segalanya membahagiakan namun pada ketika yang lain, terasa enggan menyimpan ingatan itu di dalam memori!

Semalam, ketakutan yang menghuni hati sejak berbulan lalu tamat dengan penuh emosi. Telahan saya benar. Pun, saya enggan sedih.

Mungkin saya tidak memberi yang sehabis baik. Mungkin saya gagal menguasai mereka untuk menjadi yang terbaik. Maka hasilnya, itulah. Merosot dengan amat ketara dan ia sangat menyakitkan. Pun, saya enggan sedih.

Kenapa saya perlu bersedih? Masih banyak yang memerlukan saya di sini, masih banyak yang mengharapkan saya memberi, dan jika saya sedih-sedih, bagaimana saya akan meneruskan tugas dan tanggungjawab itu?

Sebenarnya, hikmah di sebaliknya itulah yang perlu saya nilaikan kerana ia penuh pengajaran.

Biarlah ia berlalu. Mengingatinya pun tidak akan mampu mengubah apa-apa. Saya tahu sahabat-sahabat di sekitar saya lebih daripada memahami. Bukan bahu saya tempat kesalahan itu dibebankan. Ia takdir. (Oh! sejak bila saya pandai menyalahkan takdir ni??)

Semoga 2012 ini ada sesuatu yang indah buat saya dan mereka. Insya Allah.

Wednesday, March 14, 2012

Tragedi


Keliru saya. Kata mereka, negara ini antara yang paling selamat. Aman. Tenteram. Tetapi kenapa Nurul Nadirah yang masih terlalu kecil untuk mengerti makna keamanan telah dibunuh dengan sebegitu kejam? Bukan dia sahaja, telah banyak kali kisah sepilu ini terjadi di negara aman Malaysia ini. Kenapa berterusan? Saya risau sungguh. Dahulu, sewaktu saya seusia Nadirah, emak dan ayah saya tidak perlu berasa bimbang jika saya bersendirian keluar berjalan-jalan di sekitar kawasan kampung. Saya bebas meneroka alam, melihat kehijauan dan membina pemikiran tentang ketinggian kuasa Tuhan.

Kini ia tidak lagi begitu. Segala-galanya perlu dipantau rapi. Betapa manusia-manusia jahat itu ada di mana-mana, di negara ini. Jika pun tidak membunuh atau menculik, mereka boleh sahaja meragut dan memecah rumah. Mereka ini sangat ramai namun tiada apa-apa yang dapat kita rakyat biasa lakukan, selain menyimpan takut dan bimbang di hati. Malang benar anak-anak sekarang. Mereka bagai terpenjara.

Bayangkan ibu Nadirah. Betapa dia tidak akan mampu menanggung sengsara sebegini. Betapa ujian ini sangat hebat dan saya fikir, trauma bakal menghuni jiwanya untuk tempoh yang lama. Rasa bersalah, rasa menyesal dan segalanya tentu tidak akan hilang begitu sahaja. Ia tragedi.

Saya berdoa agar sesuatu dapat dilakukan untuk mengelak kejadian sebegini berulang. Cukuplah. Dahulu Nurin, kini Nadirah. Selepas ini jangan ia berlaku lagi. Bangkitlah wahai golongan bertanggungjawab. Jangan sekadar menghuni bumi ini untuk mendapat jawatan tinggi, namun tugas dan amanah terketepi.

Saturday, March 10, 2012

Kaset


Seperti remaja lain, saya juga mengikuti perkembangan muzik semasa pada usia remaja saya. Cuma sedikit berbeza, kerana saya ini pemilih. Saya mementingkan isi, bukan sekadar muzik dan melodi. Seindah mana pun melodi disusun, jika liriknya cacamarba, saya tidak terpikat.

Kerana itulah hati saya sangat terpaut pada karya seni Dato' M. Nasir. Sejak saya mengenali apa itu seni lagu, lagu-lagunya lah yang menjadi santapan telinga saya. Kasetnyalah yang pertama saya beli, itu pun hanya apabila mendapat duit keuntungan jualan pasar ria kelab catur dan karom di pusat matrikulasi dahulu. Yalah, 'kan saya dahulu sangat berkira. Jika duit yang ayah beri, saya tidak tergamak menggunakannya untuk perkara-perkara tidak penting tetap jika duit saya sendiri tidak mengapa. Waktu itu, elaun bulanan saya cuma RM50 sahaja, cukup-cukup untuk kegunaan peribadi. Mana ada ruang untuk membeli kaset atau majalah.

Beberapa hari sebelum tamat pengajian di matrikulasi, saya menerima RM10.00 daripada kelab catur dan karom yang saya sertai. Rasa gembira sangat-sangat! Waktu itu saya tengah mencongak-congak keinginan untuk membeli kaset M. Nasir yang baru berjudul Saudagar Mimpi. Hadirnya wang itu benar-benar merealisasikan mimpi saya. Dalam perjalanan pulang ke Kelantan, saya membeli kaset tersebut di KL dengan harga RM10.00. Sedang elok dengan duit itu...

Aduhai! Saya benar-benar menikmati setiap alunan lagu M. Nasir dalam Saudagar Mimpi itu. Indah, menghiburkan dan saya rasa sangat berbaloi memilikinya.

Tetapi jodoh saya dengan kaset itu tidak panjang. Seorang rakan meminjam kaset itu pada 1996, dan sehingga kini dia tidak memulangkannya. Sedih sungguh rasa di hati!

Mujurlah, saya masih memiliki dua lagi kaset M. Nasir yang saya beli pada tahun 1994. Kaset tersebut ialah Canggung Mendonan dan Solo (keluaran 1989 tetapi saya baru beli pada 1994). Kedua-dua kaset itu masih ada dalam simpanan saya, dan sesekali saya putarkan bagi menghilang rindu.

Kenapa tiba-tiba bercerita tentang M. Nasir ni?

Oh, saya sedang menonton Konsert Bagaikan Sakti di Astro Prima sekarang. M. Nasir sedang menyanyi dan tiba-tiba kenangan lalu mengetuk minda saya....


Hati Emas

Berjalan di tanah gersang
mentari mencengkam dada
debu-debu di jalanan
menjadi teman setia

tiada lain tujuanku
hati emas yang kucari
kisahnya di hujung dunia
mengapa tak kutemui

ku terdengar suara halus
bagai dengar dan menghilang
katanya pulanglah oh anakku
dia tiada di sini

kembara
puas sudah ku mengembara
ke mana perginya oh cahaya
mencari
hati emas bukannya mudah
di masa kini
adakah kau peduli?

Mungkinkah dikau miliki
hati emas murni suci
inginku menjadi sahabatmu
hingga akhir hayat nanti

kembara
puas sudah ku mengembara
ke mana perginya oh cahaya
mencari
hati emas bukannya mudah
mungkin selamanya
tak kan aku temui!

Friday, March 09, 2012

Dan Bermulalah...

Episod cuti sekolah!

Sembilan hari sahaja. Bunyi macam lama, tetapi setiap hari telah ada agendanya. Telah terisi dengan jadual yang sememangnya tidak boleh tidak, saya kena patuh.

Kenduri, kelas tambahan, kunjungan tetamu, ziarah keluarga, menanda kertas dan membeli belah. Semuanya tersusun indah dalam baris-baris diari agar tidak terlupakan. Segalanya perlu saya langsaikan dengan penuh tanggungjawab agar tidak kecicirian.

Semalam, hari terakhir di sekolah, kami dikejutkan dengan pengumuman tentang pelarasan gaji kakitangan awam oleh PM kesayangan. Pelbagai reaksi tergambar di wajah-wajah kami namun yang pasti, kami bersyukur, Alhamdulillah. Kali ini tiada lagi perasaan sayu dan pilu dek ketidakadilan dalam pemindahan gaji. Segalanya nampak seperti lebih teratur dan kemas, semoga begitulah.

Dalam ruangan SMS pembaca Berita Harian pula, kerap benar diutarakan perbandingan antara guru dahulu (60-an, 70-an dan 80-an) dengan guru sekarang. Entah mengapa pembaca-pembaca ini begitu galak memperkecilkan kewibawaan para guru Malaysia era millenium ini. Tergambar betapa iri dan dengkinya mereka pada kami. Biarlah, walau hati amat tersentuh namun hidup mesti diteruskan. Siapa mereka untuk menilai keikhlasan dan kejujuran kami? Biar hanya Allah yang tahu. Mereka bebas berkata apa sahaja kerana mereka bukan kami.

Semoga sembilan hari ini menjanjikan hidup yang lebih nyaman.

Thursday, March 08, 2012

Seorang Anak Kecil


Dapat kubayangkan, engkau terkedek-kedek berjalan ke kedai untuk membeli pesanan ibumu. Dengan gaya galak seorang anak kecil berusia lima tahun, tentu engkau riang berlari-lari pulang untuk menghulur belianmu itu kepada ibu tersayang, yang sedang ralit menghadap facebook. Tentu engkau setia menanti mi segera dan telur itu dimasak selazat mungkin oleh ibumu. Aduhai...

Rupanya, engkau tidak sempat pun menghulur barang belianmu itu kepada ibu. Entah mengapa ada watak jahat sedang menanti di laluanmu, dan membawamu lari, jauh. Hingga kini belum pulang- pulang.

Dira, begitu takdir tertulis namun hatiku tetap ingin meletak seribu kesalahan pada keluargamu. Sungguh tidak masuk akal seorang anak kecil seusiamu diarah ke kedai sendirian pada saat kebobrokan sosial begitu parah di negara ini. Fikiran apakah yang ada pada ibumu hingga lebih mengutamakan laman sosial berbanding keselamatan anak sendiri?

Dira yang manis, sungguh aku tidak pernah mengenalimu namun apa yang berlaku mengundang sayu di lubuk jiwa. Aku kesal dengan kecuaian ibumu. Bukankah engkau ini amanah Allah buatnya?

Sudah lapan hari berlalu. Siapa pun tidak mampu menelah apa yang sedang engkau lalui. Pun, aku mendoakan kesejahteraanmu Dira. Moga Allah melindungimu, walau di mana engkau berada...