Tiba-tiba, saya menjadi cengeng. Hiba menjelma dan semudah itu saya menangis. Menangis tanpa sebab.
Semalam saya menonton drama Filipina, "Be Careful With My Heart". Apabila melihat watak Abby di layar, saya rasa sayu tiba-tiba. Abby kanak-kanak yang sangat comel, tetapi dia tidak mampu bersuara. Walaupun babak itu bukan babak sedih, tetapi jiwa saya melihat sisi Abby sahaja. Bukan mengikuti cerita yang ingin disampaikan. Dan saya menangis kerana saya simpati pada Abby.
Tadi, saya menonton filem Sangam. Entah kali keberapa puluh filem ini saya hadap, tetapi tetap ingin juga saya tonton. Bukan kerana ceritanya, atau pelakonnya, tetapi kerana lagu-lagunya yang nostalgia.
Saat berkumandang lagu "Har Dil Jo Pyar Karega", tiba-tiba hati saya tersentuh. Bukan kerana liriknya, tetapi kenangan di sebalik lagu itu. Dan, saya menangis lagi.
Tahu apa kenangannya?
Saya baru berusia enam tahun waktu pertama kali menonton cerita ini. Saya menonton di rumah bersama-sama arwah ayah. Setiap babak cerita tidak saya fahami pun, kerana minda saya belum mampu menerima kisah-kisah sebegini. Lalu, saya bertanya ayah. Ayah, kenapa begitu? Ayah, kenapa begini? Dan ayah tidak jemu melayan tanya saya. Dia menjawab semuanya.
Dan yang paling saya ingat, dialog saya dan ayah sewaktu babak lagu "Har Dil Jo Pyar Karega" inilah. Saya bertanya, "ayah, kenapa bila lelaki tu gi dekat perempuan tu, perempuan tu lari gi kat lelaki lagi satu?"
Ayah jawab, "sebab lelaki tu nak kat perempuan tu tapi perempuan tu nak kat lelaki yang sorang lagi tu."
Saya pun berfikir, kalau macam tu sepatutnya kena la ada perempuan seorang lagi barulah cukup. Tapi saya tak cakap pun macam tu pada ayah.
Dialog sebegitu memang remeh dan tidak punya apa-apa nilai pada orang lain. Pun, ia kenangan antara saya dan ayah yang saya ingat sampai kini. Apabila ia ditayang kembali, saya jadi rindu. Rindu pada waktu yang telah tiada.
Sayu di hati saya sehari dua ini berlainan benar. Entah kerana apa. Jika kerana saya sudah sampai ke penghujung usia, maka molek benarlah saya mempersiapkan segala yang perlu untuk saya bawa ke sana. Mungkin rindu saya pada ayah akan terubat apabila dapat berkumpul dengannya di alam itu.
Siapa tahu?