SPM sedang berlangsung. Untungnya mereka, banyak selang hari antara mata pelajaran yang mereka duduki. Dua hari periksa, selang lima hari baru periksa semula.
Kami sebagai guru tidak memandang sepi ruang yang ada ini. Saya sebagai Setiausaha Kecemerlangan SPM telah siap merangka satu jadual kelas tambahan untuk mengisi masa-masa selang itu. Minggu lepas lagi jadual itu saya edar kepada semua pelajar SPM dan guru-guru terlibat.
Isnin dan Selasa semalam, kami di Kelantan bercuti sempena Keputeraan Sultan. Dalam jadual itu tertera mata pelajaran Matematik Tambahan pada Isnin dan Matematik pada Selasa selain Sejarah pada kedua-dua hari.
Nama saya hanya tercatat pada mata pelajaran Matematik Tambahan pada Isnin walaupun saya juga mengajar mata pelajaran Matematik. Tetapi saya ikhlaskan diri untuk hadir juga pada Selasa itu kerana terasa bertanggungjawab memantau perjalanan kelas pelajar-pelajar saya ini.
Guru yang bertugas untuk mata pelajaran Matematik telah saya sediakan seramai tiga orang. Guru A telah memaklumkan yang dia tidak dapat hadir kerana ada urusan. Guru B pula meminta saya menyediakan bahan kerana dia tiada di sekolah pada hujung minggu lepas tetapi dia berjanji akan hadir membimbing pelajar-pelajar itu walaupun guru lain tiada. Guru C, tidak berkata apa-apa.
Pagi Selasa itu, saya menuju ke sekolah walaupun saya tidak bertugas.
Slot pagi ialah mata pelajaran Sejarah dan dikendali dengan baik oleh guru-guru Sejarah. Slot kedua barulah mata pelajaran Matematik, bermula 10.30 pagi.
Saya menunggu di bilik peperiksaan. Bahan-bahan untuk pelajar telah ada di sisi saya. Jangkaan saya, guru B akan tiba sebelum 10.30 untuk mengambil bahan dan memulakan kelas.
Jam 10.20, guru C datang.
"Eh, ada juga awak ya. Bukan ke awak tak bertugas hari ni? Ganti siapa?"
"Memang tak ada nama saya, tapi saja nak datang. Tak ganti siapa-siapa pun. Cikgu A memang tak dapat datang sebab dia ada hal tapi cikgu B kata dia datang."
Kami pun menunggu lagi.
Jam 10.30, masih tiada lagi guru B itu. Saya dan Guru C turun ke dewan. Selesai mengagih bahan kepada para pelajar, saya menelefon guru B tetapi tiada jawapan. Kami teruskan kelas tanpa Guru B. Tidak mengapalah.
Kehadiran pelajar pula tidaklah seramai mana. Kami bahagikan pelajar kepada dua kumpulan. Kumpulan cemerlang di bawah seliaan saya dan kumpulan sederhana dan lemah bergabung di bawah seliaan cikgu C. Pelajar kumpulan cemerlang memang tiada masalah, mereka menjawab dengan tekun dan sesekali bertanya apabila ada kemusykilan. Di kelas Guru C, pelajar kumpulan sederhana ramai juga tetapi kumpulan lemah hanya dua orang yang hadir. Pada hal, masa slot Sejarah mereka ada. Setamat kelas Sejarah pada jam 10.00 mereka terus pulang tanpa menunggu kelas Matematik. Biarlah mereka. Saya tahu mereka memang tidak mahu belajar Matematik.
Pagi ini, Rabu.
Guru B datang ke bilik saya dan memaklumkan dia lupa langsung yang semalam ada kelas. Saya kata tak apalah. Mujur saya datang, kalau tidak kumpulan cemerlang ketiadaan guru. Dia hanya tersenyum dan meminta maaf. Saya tidak rasa apa pun. Dia lupa, apa nak buat.
Benar, saya tidak apa-apa. Sedikit pun saya tidak marah cuma saya mengingatkan dia yang hari Sabtu ini ada satu lagi slot Matematik. Saya maklumkan saya tidak akan datang pada hari itu dan dia mesti datang mengendalikan kelas tersebut. Bahan sudah pun saya sediakan. Dia cuma perlu memantau dan membantu seadanya.
Apabila saya memberitahunya yang pelajar lemah dalam kelas Guru C hanya dua orang sahaja yang datang semalam, responnya mengejutkan saya.
"Oh, mungkin sebab saya tiada.."
Selamba sungguh! Saya hampir tergelak.
"Hah? Apa dia?"
"Sebab saya tak ada kot, tu diorang tak datang." Jelasnya lagi. Yakin.
"Eh, tak lah! Diorang mana tau awak tak datang. Lepas Sejarah je terus chow!!"
"Hah? Apa dia?"
"Sebab saya tak ada kot, tu diorang tak datang." Jelasnya lagi. Yakin.
"Eh, tak lah! Diorang mana tau awak tak datang. Lepas Sejarah je terus chow!!"
Ya, budak-budak itu tidak tahu pun guru B tidak datang kerana mereka pulang sebaik slot Sejarah tamat. Dalam jadual yang saya edar, memang tertera dengan jelas ketiga-tiga nama guru A, B dan C yang akan mengendalikan kelas tambahan Matematik itu. Nama saya sahaja yang tiada. Logiknya, budak-budak itu lari pulang kerana mereka nak belajar dengan saya, tetapi saya tiada. Rasanya, jika saya maklumkan lebih awal yang saya akan datang juga walaupun tidak bertugas, tentu mereka akan tunggu. Mereka pulang kerana saya yang tiada, bukan kerana guru B yang tiada.
Kan?
Hahahaha!!! Memang saya perasan.
No comments:
Post a Comment