Tuesday, November 19, 2013

Rehat

Mereka kata, menjadi guru sekarang sangat penat. Banyak betul kerja yang tak berkaitan dan yang tak pernah terfikir pun dalam akal seorang guru pada dua puluh tahun lalu, kini terbeban di bahu para guru millenium ini.

Lalu, terdengarlah bisik-bisik daripada kalangan yang sudah berada dalam zon pencen untuk memohon pencen awal. Tidak larat lagi mereka berdepan dengan segala beban yang tidak berkesudahan ini.

Saya?

Nak pencen, lambat lagi. Nak berhenti, sayang juga. Ini profesion saya dan saya mahu menabur segala khidmat bakti selagi boleh. Pun, dengan bebanan dan tekanan yang tidak pernah mahu mengenal waktu dan ketika, saya rasa mahu juga berehat. Seketika, jadilah.

Apabila doktor menyarankan saya menjalani pembedahan, saya pun berangan-angan. Jika diizin Tuhan, hujung Disember ini saya akan memasuki OT dan bermulalah episod saya sebagai pesakit. Dan, jika pembedahan itu berjaya, saya bakal berada di wad selama seminggu dan akan diberi MC sekurang-kurangnya untuk enam minggu.

Saya pun akan berehat daripada mengajar buat seketika.

Tentunya saya tidak lagi terbeban dengan perkara-perkara yang menekankan itu untuk selama beberapa minggu. Tentunya saya tidak lagi perlu berdepan dengan murid-murid saya, dan tidak perlu menyediakan rancangan juga bahan mengajar.

Saya mahu rehat, sungguh-sungguh. Jika tidak cukup, saya akan tambah lagi cuti saya itu dengan memohon cuti tanpa gaji selama sebulan atau lebih.

Ya, saya mahu rehat. Sungguh-sungguh.

Doakan agar perancangan saya ini diizin-Nya.

No comments:

Post a Comment