Sudah acap kali dia bersikap begitu. Sikap yang memberi ruang untuk saya membuat satu penilaian yang kurang enak. Bukan salah saya, tetapi dia sendiri.
Benar, ada klausa dan peraturan yang perlu dipatuhi dalam etika kakitangan awam. Tetapi akan rugikah dia jika mengutamakan sedikit ruang untuk budi bicara? Saya bukan meminta sesuatu yang luar biasa. Saya cuma memohon apa yang dibenarkan. Tidak langsung dia bertanya kenapa dan mengapa saya perlu ke sana. Nada bicaranya kedengaran angkuh dan saya hilang rasa hormat yang selama ini cuba saya kepilkan di sudut naluri saya buat dia.
Benar, dia meluluskan permohonan saya itu tetapi dengan penuh keterpaksaan. Seolah-olah apa yang saya pohon itu satu kesalahan yang tidak sepatutnya saya lakukan. Sungguh, itu yang saya rasa hingga kini.
Telah hampir tiga bulan peristiwa itu berlaku tetapi saya masih gagal melenyapkan dari fikiran.
Tadi, sekali lagi naluri kepekerjaan saya tersentuh. Melihat dia terpaku di meja sambil menelaah akhbar tanpa sedikit pun bertanya perihal saya yang bakal berdepan dengan persoalan hidup dan mati, menimbulkan rasa cuak yang berkepul-kepul dalam jiwa. Saya bukan kecil hati, apa lagi tersinggung kerana saya tidak rugi apa-apa pun tanpa keprihatinan dia. Cuma saya sedikit keliru kerana saat saya menghampirinya untuk memohon tandatangan, masih dia enggan bertanya apa-apa. Apakah ini?
Kerana saya tidak bercerita secara langsung padanya kah?
Saya ini anak buah dan dia ketua. Jika sekalipun saya tidak bercerita kepadanya, masih dia wajib mengambil tahu. Jika sekalipun saya ini sukar meluah kata, menjadi tugasnya untuk memulakan sebuah bicara. Kenapa perlu meletak nilai diri setinggi langit sehingga gagal saya menggapainya?
Saya bukan marah. Bukan juga kecil hati. Saya cuma keliru.
No comments:
Post a Comment