Monday, June 30, 2014

Ramadan

Esok 3 Ramadan 1435H.

Tujuh belas tahun yang lalu - 3 Ramadan 1428H - saya dan dia diijabkabulkan. Tahun ini kami menyambut Ramadan buat kali kelapan belas bersama-sama. Jika tujuh belas tahun lalu kami berdua, tahun ini pun kami masih kekal berdua. Rasanya, jika ada usia untuk Ramadan mendatang, akan masih berdua begini jugalah kami.

Alhamdulillah.

Jemukah melalui segala hari dan bulan, tahun serta dekad hanya berdua begini?

Bohong jika tidak jemu tetapi hati dan jiwa saya tidak pernah mahu mengutamakan kejemuan itu. Dalam jemu pun, ada manis dan indahnya. Ada senyum dan tawanya. Ada rasa yang apabila saya timbang tara, saya peroleh banyak kebahagiaan. Syukur pada-Mu Tuhan.

Hidup ini anugerah. Saya terima segalanya dengan minda yang positif. Saya bahagia dalam meniti segala jemu dan sunyi. Saya gembira dalam mengharung segala pahit dan kelam. Saya tahu, jemu atau sunyi, pahit atau kelam, ia tetap sebuah anugerah. Anugerah yang saya syukuri selalu.

Doa saya agar kami tetap berjiwa kental untuk meneruskan sebuah perjalanan. Biar pun nanti akan ada pelbagai cabaran, sehatilah kami menempuhnya. Biar pun nanti akan ada yang ditinggalkan, bertemu di syurgalah jua menjadi tujuan.

Hidup ini untuk kita layari dengan kepatuhan. Akhirat nanti kita tuai segala yang kita tanam.

Lega

Alhamdulillah, hari ini baru saya berasa lapang. Beban yang memberat dalam diri sudah hilang apabila selesai segalanya semalam. Lega.

Berminggu-minggu saya memikul beban yang satu ini. Sebagai Setiausaha Kecemerlangan SPM sekolah, setiap kali mesyuarat Post Mortem akan diadakan, sayalah yang paling berdebar. Walaupun tidak perlu bersuara dalam mesyuarat itu, tetapi segala persediaan untuk menghadapinya terletak di bahu saya. Minit mesyuarat lepas perlu saya siapkan sebaik mungkin dan diedarkan pada waktunya. Analisis peperiksaan dalam setiap aspek dan kategori perlu saya keluarkan kerana saya juga Setiausaha Peperiksaan bahagian Headcount. Juga, mencatat segala butir bicara sebagai minit untuk diedar pada mesyuarat berikutnya.

Khamis lalu, mesyuarat itu usai dan saya lega. Pun ia belum tamat di situ. Senarai nama pelajar untuk kelas tambahan berfokus perlu saya langsaikan. Jadualnya sudah siap, tetapi belum sempurna. Seperti biasa, sebaik diedar pada para guru, akan ada yang datang memohon pindaan. Saya bersedia untuk itu kerana saya tahu kekangan mereka tidak sama dengan saya.

Ahad semalam, segalanya selesai. Jadual baru dan senarai nama lebih empat puluh kumpulan pelajar untuk kelas berfokus itu telah saya edarkan kepada semua yang terlibat. Terasa gugur satu beban yang memberat sejak berminggu-minggu itu. Terasa ringan benak fikir yang bagai tersumbat itu.

Hari ini, baru saya berpeluang mengintai ruang di blog kesayangan saya ini. Terasa mahu tersenyum saya sepanjang hari ini kerana memiliki ruang rehat yang agak panjang di sekolah pada minggu ini dan boleh sahaja saya melakukan aktiviti-aktiviti bersesuaian dengan tugas pengajaran dan pembelajaran saya.



Wednesday, June 25, 2014

Setulus cinta Aqilah

Seronok juga menonton drama yang patuh syariah seperti ini. Walaupun ada beberapa adegan yang tidak logik, tetapi itulah harga yang perlu dibayar untuk mengekalkan kepatuhan.

Amin seorang pemuda kampung yang hidup dalam tekanan emosi apabila ayahnya menyalahkan Amin atas kematian ibunya. Walaupun begitu, Amin sangat mengasihi bapanya dan sanggup menolak tawaran untuk menyambung belajar di ibu kota demi menjaga ayahnya yang sakit. 

Suatu hari, satu insiden berlaku di mana Amin yang terburu-buru pulang ke rumah kerana ayahnya diserang strok telah terlanggar Dato' pengusaha kolam udang sehingga Dato' itu terjatuh ke dalam sungai. Amin membantu Dato' itu terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanannya ke rumah. Setibanya di rumah, ayahnya telah meninggal dunia.

Amin yang kesedihan menyalahkan Dato' itu tetapi Dato' itu mengambil keputusan yang di luar jangka iaitu meminang Amin untuka anak gadisnya, Aqilah.

Di sinilah konflik bermula. Rumahtangga Amin dan Aqilah dingin kerana sikap Amin yang suka memendam. Aqilah tertekan tetapi tetap berusaha untuk menyelamatkan rumahtangga mereka. 

Tentulah kesudahan cerita ini penuh kegembiraan apabila Amin mula berubah selepas kemalangan menimpa Aqilah akibat kecuaian Amin.

Mior Hashim Manap sebagai pengarah dan penerbit begitu menjaga mutu lakonan dan juga aspek syariah. Tiada langsung adegan berpegang tangan lelaki dan perempuan juga adegan pendedahan aurat. Lucu juga apabila Aqilah bertudung dan berstokin tangan setiap ketika walaupun pada waktu tidur!

Apa pun, saya suka drama ini. Watak utama lelakinya bukan tergolong kacak tetapi Amerul Affendi cemerlang bermain emosi. Faralyna pun hebat sebagai Aqilah walaupun tidak bermekap tebal.

Saya menunggu produk Mior Hashim Manap yang seterusnya. 


Sent from Samsung Mobile

Monday, June 23, 2014

Sekali Ini Saja




Bersamamu
kulewati 
lebih dari seribu malam
 
Bersamamu 
yang kumahu
namun kenyataan yang tak sejalan

Tuhan 
bila masihku diberi kesempatan
izinkan aku untuk mencintanya
 
Namun
bila waktuku telah habis dengannya
biar cinta 
hidup sekali ini saja

Tak sanggup bila harus jujur
hidup tanpa hembusan nafasnya

Tuhan
bila waktu dapat kuputar kembali
sekali lagi untuk mencintanya

Namun 
bila waktuku telah habis dengannya
biarkan cinta ini
biarkan cinta ini
hidup untuk sekali ini saja

Friday, June 20, 2014

Jumaat

Kerana saya seorang guru, bekerjalah saya kembali selepas berehat sembilan belas hari.

Berat benar kaki mahu melangkah ke sekolah. Pagi Ahad itu saya bagai belum bersedia untuk menempuh kembali kepadatan rutin harian saya. Bagai mahu sahaja saya meneruskan cuti ini untuk setahun lagi!

Apa pun, saya tidak mahu calarkan semangat dalam diri. Ini tanggungjawab, saya wajib akur.

Alhamdulillah, minggu pertama telah selesai. Hari ini saya berehat sehari, sebelum kembali menyambung tugas pada esok. Ya, esok hari Sabtu. Siapa pun tidak gemar bersekolah pada Sabtu tetapi kami tiada pilihan. Raya nanti nak cuti lama, kan? Jadi, ikut sahaja apa yang diarahkan.

Apabila suami berkata dia perlu mengikuti program perkhemahan di Besut selepas solat Jumaat, saya pada awalnya mahu sahaja berseronok di rumah emak. Tetapi fikiran saya berubah serta merta apabila teringat yang esok saya sekolah. Banyak agenda perlu saya selesaikan. Terpaksalah saya korbankan keinginan bersama emak dan adik-adik untuk itu.

Sekarang, jam 10.24 malam. Suami saya masih belum pulang. Saya sudah selesai membasuh baju, menjemur dan menggosok. Kini masa untuk saya melayan diri sendiri.

Youtube, here I come!

Friday, June 13, 2014

Terliur

Sewaktu bersekolah menengah dahulu, kawan-kawan saya ramai. Ada yang dari keluarga senang, tak kurang juga yang susah. Namun berada di asrama menyebabkan semua itu tidak kelihatan. Miskin atau kaya, kami sama sahaja. Makan makanan yang sama di dewan makan, berpakaian pun lebih kurang sahaja. Tidak nampak sangat perbezaan kelas sosial antara kami.

Reena anak doktor. Fadzilah dan Asnadina anak YB. Roslini anak pemandu bas. Lizawati anak tukang kebun. Azlin dan Aziana anak cikgu. Saya anak kerani. Shafeena anak atendan hospital. Semua berbeza tetapi kami tidak pernah nampak perbezaan itu. Duit bukan satu keperluan pun di asrama saya. Sepuluh ringgit seminggu itu sudah terlalu mewah.

Apabila menapak selangkah ke universiti, barulah saya mengerti perbezaan itu.

Barulah saya berasa betapa sesaknya saya berbanding Rose yang wang pinjamannya tidak berusik pun. Aishah pula, memperuntukkan sedikit wang pinjaman untuk membantu ibu di kampung. Alhamdulillah, walau saya tidak sesenang Rose tetapi masih mampu menguruskan wang pinjaman itu untuk diri sendiri. Jika kehabisan baru saya meminta dari ayah.

Waktu itu saya sering terliur menjadi Rose. Jika ke bandar, dia membeli pakaian yang mahal. Waktu laptop belum mampu dibeli semua orang, ayahnya sudah menghadiahkan padanya. Purse nya mahal, lebih mahal daripada jumlah wang yang saya ada.

Saya terfikir, seronok menjadi dia yang tidak perlu mengira-ngira baki duit yang tinggal. Sedang saya, setiap kali selepas membeli saya akan bahagikan jumlah wang yang masih ada dengan baki hari belajar yang perlu saya selesaikan. Melihat kasut yang cantik, saya hanya menahan perasaan. Kain pasang yang mahal hanya mampu saya usap sahaja buat menghilangkan kempunan.

Saya takut berbelanja lebih akan menyebabkan emak dan ayah saya terbeban. Saya cuba menggunakan sehabis berhemah wang yang ada.

Azam saya, apabila bekerja nanti dan punya wang sendiri barulah saya akan berbelanja sepuas hati.

Melihat persekitaran kini, saya rasa sebak. Seorang ibu yang bergaji DG48 pun merungut dengan citarasa anaknya. Mahu yang mahal-mahal sahaja kerana menjaga status. Jika beli yang murah, rajuknya sukar dipujuk.

Di universiti pun, pelajar kini gemar bergaya mewah walaupun ibu bapa tidak mampu. Telefon pintar berjenama itu menjadi lambang kehebatan pada hal dibeli dengan wang PTPTN. Gaya menjadi keutamaan. Kesian ibu bapa di rumah yang tidak sesenang mana.

Payah mengubah minda mereka yang seperti ini. Belum memiliki wang sendiri pun sudah mementingkan gaya, tentu sekali bila berduit akan habis begitu sahaja.

Sent from Samsung Mobile

Wednesday, June 11, 2014

Makan Angin

Cuti sekolah yang agak panjang kali ini memberi ruang untuk kami berjalan-jalan. Sejak awal tahun lagi saya berhasrat untuk ke Terengganu, mencari batik di situ, dan Alhamdulillah, ia terkabul jua.

Pagi Sabtu 7hb Jun, sekitar jam 10.00 pagi kami memulakan perjalanan. Seperti biasa, apabila deruan enjin kereta seirama dengan ayunannya yang membuai rasa, mata saya mula memberat. Saya melayan lena sepanjang perjalanan. 

Tiba di bandar Kuala Terengganu baru saya mampu mencelikkan mata. Itu pun masih terpisat-pisat. Suami mula bersuara, kelaparan. Dengan minda yang masih belum terjaga sepenuhnya, saya membantu mencari label restoran di tepi jalan.

Kami berhenti di Restoran Lempeng di Jalan Kuantan pada jam 2.00 petang. Hidangan tengah harinya boleh tahan walaupun layanannya kurang berbintang. Selesai mengisi perut, kami meneruskan perjalanan.

Menuju ke Dungun, kami bergerak agak perlahan. Musim cuti begini, kereta amat banyak memenuhi setiap ruang. Rupanya bukan kami sahaja yang mahu bersantai. Mujur juga Kelantan kalah pada separuh akhir Piala FA minggu lepas, jika tidak tentu perjalanan kami semakin perlahan kerana rakyat Kelantan tentu akan berpusu-pusu menuju ke Kuala Lumpur. Walaupun jalan kami ini bukan laluan utama ke sana, tentu ada yang memilihnya jua.

Di Dungun, kami mencari-cari bilik penginapan. Ke Mayang Sari Resort, penuh. Ke Hotel UiTM juga penuh. Kami ke bandar mencari-cari di sana, semua penuh. Dengan bantuan sahabat kami Haji Roslan yang kami kenali semasa di Mekah, dapatlah kami menginap di Hotel Sura yang agak sempit. Jadilah.

Menjelang petang, kami bertandang ke rumah Haji Roslan dan Hajah Zaharah. Kami disajikan dengan murtabak, roti canai dan keropok lekor. Sebelah malamnya pula, mereka membelanja kami makan di restoran masakan panas di bandar. Turut bersama-sama kami ialah Haji Razali dan anak-anaknya yang juga kenalan kami ketika di Mekah. Sayang isterinya bekerja shift malam, jadi tidak dapatlah saya bertemu dengan Hajah Rohani, seorang jururawat di hospital Dungun.

Terima kasih sahabat-sahabat semua. Bersama-sama di Madinah dan Mekah pada 2010 dahulu selama 52 hari, rupa-rupanya menjalin ikatan persaudaraan yang berpanjangan. Alhamdulillah.

Esoknya, kami ke bandar Kuala Terengganu. Kali ini kami membeli belah dahulu di Pasar Payang sebelum mencari bilik penginapan. Alhamdulillah, bilik di bandar ini banyak dan kami memilih Batu Burok Beach Resort sebagai tempat berehat kami. Seronok menyusuri pantai di sini, ada rindu yang enggan pergi.

Selepas Asar, suami menghubungi rakan lamanya sewaktu di maktab dahulu, Cikgu Zaid. Dia dan keluarganya segera datang ke hotel kami dan membelanja kami minum petang serta menjemput kami makan di rumahnya esok.

Malam ini kami berdua menjamu selera di Tenang Seafood bersebelahan hotel kami.

Pagi Isnin, kami berehat sahaja. Jam 11.00 kami check out dan Cikgu Zaid datang mengambil kami ke rumahnya. Rupa-rupanya Cikgu Zaid ini berjiran dengan Kak Zaiha. Sayang Kak Zaiha tiada di rumah, jika tidak boleh kami mengganggu mereka juga!

Selesai menikmati nasi ayam yang lazat hasil air tangan isteri Cikgu Zaid, kami meminta diri untuk pulang. Perjalanan kami kali ii ditemani rintik-rintik hujan dan saya tidak pula mengantuk. Kami berhenti bersolat di Masjid Kg. Anak Ikan di Setiu, dan minum petang di gerai kecil di Bukit Jawa. Jam 5.00 petang, kami selamat tiba di rumah.

Thursday, June 05, 2014

Cuti

Sudah hari kesepuluh saya bercuti. Ada lagi sembilan hari.

Bermula Selasa, cuti hari pertama saya terisi dengan menghadiri temujanji di klinik pakar O&G du HUSM. Kali ini saya tidak menunggu lama, jam tiga petang selesai bertemu doktor. Semuanya masih seperti biasa dan saya diminta meneruskan ubat-ubatan yang sedia ada.

Hari Rabu, saya dan suami keluar ke bandar. Mula-mula ke Tabung Haji untuk sedikit urusan. Seterusnya membeli belah di Pantai Timur dan KB Mall.

Hari Khamis, berada di rumah Kak Rohaini kerana dia mengadakan majlis solat hajat untuk Aiman. Kebetulan Ma dan Adik Zahidah pulang dari Johor hari ini. Jadi saya berada di sana hingga petang.

Hari Jumaat, saya mengemas rumah.

Hari Sabtu, kami bertolak ke Jengka dan pulang pada Ahad.

Isnin, saya ke pasar membeli barang-barang keperluan dan juga keluar menemani suami ke klinik.

Selasa dan Rabu, saya ke sekolah untuk kelas tambahan. Juga menerima kunjungan Cikgu Ayub sekeluarga pada petang Rabu itu. Saya menyediakan mi goreng untuk hidangan kami.

Hari ini, barulah saya sempat berehat sepenuhnya di rumah. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengganti puasa yang masih berbaki tiga hari lagi. 

Esok, saya akan berada di rumah Ma untuk bermesra dengan kaum kerabat pula.

Sabtu dan Ahad, saya dan suami berhasrat untuk melancong dan hanya akan pulang pada Isnin.

Selasa saya perlu ke sekolah lagi.

Rabu pula saya dan suami akan ke bandar untuk urusan peribadi.

Khamis, insyaallah saya puasa lagi. 

Jumaat saya berehat dan Sabtu hadir kenduri sepupu di Pasir Mas.

Semoga segalanya berjalan seperti yang dirancang.

Jengka

Untung juga pendaftaran pelajar baru di UiTM Jengka berlaku semasa cuti sekolah, jika tidak tentu jenuh saya memohon cuti dari seorang ketua yang susah sekali mengerti keperluan orang-orang di bawahnya.

Teringat saya apa yang berlaku pada tahun lepas sewaktu saya memerlukan cuti sehari untuk menghantar Adilah ke USIM. Adilah cuma anak saudara, bukan anak sendiri, kata ketua saya itu. Nada suara dan riak wajah ketara enggan membenarkan tetapi saya merayu juga. Siapa lagi yang boleh menghantar anak yang tiada ayah sepertinya itu jika tidak dialihkan tanggungjawab itu ke bahu suami saya selaku bapa saudara sebelah ibunya? Dan saya, seorang isteri yang masih sihat ini tentunya wajib menemani suami kerana dia memerlukan bantuan saya dalam banyak segi. 

Begitulah mentaliti ketua saya. Bukan sekali saya berdepan dengan kesukaran sebegini, tetapi berkali-kali. Memikirkan Aiman yang bakal menjadi pelajar universiti dan kami yang perlu menghantarnya, saya cukup risau. Mujur pendaftarannya pada musim cuti. Saya lega sekali, Alhamdulillah.

Pagi Sabtu itu, kami bergerak ke Jerantut. Menaiki Toyota Camry DAB1881, kami berlima - saya dan suami di depan, Aiman, kak Rohaini dan Zulhusnie bertiga di kerusi belakang. Perjalanan agak lancar tetapi kasihan kak Rohaini yang mabuk sepanjang perjalanan. Banyak kali juga kami terpaksa berhenti untuk dia melegakan diri. 

Jam sembilan kami bertolak, jam tiga petang kami selamat tiba di Hotel Jerantut Hill Inn, Bandar Inderapura. Terima kasih kepada cikgu Ayub dan isterinya yang begitu baik melayani kami berlima di sana. Dari menempah bilik penginapan itu, membelanja kami makan malam dan membawa kami ke UiTM Jengka keesokan harinya. Hanya Allah yang mampu membalas kebaikan kalian.



Jam 11.00 pagi Ahad, pendaftaran selesai. Kami tinggalkan Aiman di sana dikelilingi suasana dan sahabat-sahabat yang baru. Kami iringkan doa dan restu agar pengajian Aiman berlangsung sempurna dan dalam redha Allah jua. Seterusnya, kami berangkat pulang.