Wednesday, June 25, 2014

Setulus cinta Aqilah

Seronok juga menonton drama yang patuh syariah seperti ini. Walaupun ada beberapa adegan yang tidak logik, tetapi itulah harga yang perlu dibayar untuk mengekalkan kepatuhan.

Amin seorang pemuda kampung yang hidup dalam tekanan emosi apabila ayahnya menyalahkan Amin atas kematian ibunya. Walaupun begitu, Amin sangat mengasihi bapanya dan sanggup menolak tawaran untuk menyambung belajar di ibu kota demi menjaga ayahnya yang sakit. 

Suatu hari, satu insiden berlaku di mana Amin yang terburu-buru pulang ke rumah kerana ayahnya diserang strok telah terlanggar Dato' pengusaha kolam udang sehingga Dato' itu terjatuh ke dalam sungai. Amin membantu Dato' itu terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanannya ke rumah. Setibanya di rumah, ayahnya telah meninggal dunia.

Amin yang kesedihan menyalahkan Dato' itu tetapi Dato' itu mengambil keputusan yang di luar jangka iaitu meminang Amin untuka anak gadisnya, Aqilah.

Di sinilah konflik bermula. Rumahtangga Amin dan Aqilah dingin kerana sikap Amin yang suka memendam. Aqilah tertekan tetapi tetap berusaha untuk menyelamatkan rumahtangga mereka. 

Tentulah kesudahan cerita ini penuh kegembiraan apabila Amin mula berubah selepas kemalangan menimpa Aqilah akibat kecuaian Amin.

Mior Hashim Manap sebagai pengarah dan penerbit begitu menjaga mutu lakonan dan juga aspek syariah. Tiada langsung adegan berpegang tangan lelaki dan perempuan juga adegan pendedahan aurat. Lucu juga apabila Aqilah bertudung dan berstokin tangan setiap ketika walaupun pada waktu tidur!

Apa pun, saya suka drama ini. Watak utama lelakinya bukan tergolong kacak tetapi Amerul Affendi cemerlang bermain emosi. Faralyna pun hebat sebagai Aqilah walaupun tidak bermekap tebal.

Saya menunggu produk Mior Hashim Manap yang seterusnya. 


Sent from Samsung Mobile

2 comments:

  1. saya setuju cerita ini sememangnya mengangkat martabat islam itu sendiri.....

    ReplyDelete