Untung juga pendaftaran pelajar baru di UiTM Jengka berlaku semasa cuti sekolah, jika tidak tentu jenuh saya memohon cuti dari seorang ketua yang susah sekali mengerti keperluan orang-orang di bawahnya.
Teringat saya apa yang berlaku pada tahun lepas sewaktu saya memerlukan cuti sehari untuk menghantar Adilah ke USIM. Adilah cuma anak saudara, bukan anak sendiri, kata ketua saya itu. Nada suara dan riak wajah ketara enggan membenarkan tetapi saya merayu juga. Siapa lagi yang boleh menghantar anak yang tiada ayah sepertinya itu jika tidak dialihkan tanggungjawab itu ke bahu suami saya selaku bapa saudara sebelah ibunya? Dan saya, seorang isteri yang masih sihat ini tentunya wajib menemani suami kerana dia memerlukan bantuan saya dalam banyak segi.
Begitulah mentaliti ketua saya. Bukan sekali saya berdepan dengan kesukaran sebegini, tetapi berkali-kali. Memikirkan Aiman yang bakal menjadi pelajar universiti dan kami yang perlu menghantarnya, saya cukup risau. Mujur pendaftarannya pada musim cuti. Saya lega sekali, Alhamdulillah.
Pagi Sabtu itu, kami bergerak ke Jerantut. Menaiki Toyota Camry DAB1881, kami berlima - saya dan suami di depan, Aiman, kak Rohaini dan Zulhusnie bertiga di kerusi belakang. Perjalanan agak lancar tetapi kasihan kak Rohaini yang mabuk sepanjang perjalanan. Banyak kali juga kami terpaksa berhenti untuk dia melegakan diri.
Jam sembilan kami bertolak, jam tiga petang kami selamat tiba di Hotel Jerantut Hill Inn, Bandar Inderapura. Terima kasih kepada cikgu Ayub dan isterinya yang begitu baik melayani kami berlima di sana. Dari menempah bilik penginapan itu, membelanja kami makan malam dan membawa kami ke UiTM Jengka keesokan harinya. Hanya Allah yang mampu membalas kebaikan kalian.
Jam 11.00 pagi Ahad, pendaftaran selesai. Kami tinggalkan
Aiman di sana dikelilingi suasana dan sahabat-sahabat yang baru. Kami iringkan
doa dan restu agar pengajian Aiman berlangsung sempurna dan dalam redha Allah
jua. Seterusnya, kami berangkat pulang.
No comments:
Post a Comment