Sewaktu bersekolah menengah dahulu, kawan-kawan saya ramai. Ada yang dari keluarga senang, tak kurang juga yang susah. Namun berada di asrama menyebabkan semua itu tidak kelihatan. Miskin atau kaya, kami sama sahaja. Makan makanan yang sama di dewan makan, berpakaian pun lebih kurang sahaja. Tidak nampak sangat perbezaan kelas sosial antara kami.
Reena anak doktor. Fadzilah dan Asnadina anak YB. Roslini anak pemandu bas. Lizawati anak tukang kebun. Azlin dan Aziana anak cikgu. Saya anak kerani. Shafeena anak atendan hospital. Semua berbeza tetapi kami tidak pernah nampak perbezaan itu. Duit bukan satu keperluan pun di asrama saya. Sepuluh ringgit seminggu itu sudah terlalu mewah.
Apabila menapak selangkah ke universiti, barulah saya mengerti perbezaan itu.
Barulah saya berasa betapa sesaknya saya berbanding Rose yang wang pinjamannya tidak berusik pun. Aishah pula, memperuntukkan sedikit wang pinjaman untuk membantu ibu di kampung. Alhamdulillah, walau saya tidak sesenang Rose tetapi masih mampu menguruskan wang pinjaman itu untuk diri sendiri. Jika kehabisan baru saya meminta dari ayah.
Waktu itu saya sering terliur menjadi Rose. Jika ke bandar, dia membeli pakaian yang mahal. Waktu laptop belum mampu dibeli semua orang, ayahnya sudah menghadiahkan padanya. Purse nya mahal, lebih mahal daripada jumlah wang yang saya ada.
Saya terfikir, seronok menjadi dia yang tidak perlu mengira-ngira baki duit yang tinggal. Sedang saya, setiap kali selepas membeli saya akan bahagikan jumlah wang yang masih ada dengan baki hari belajar yang perlu saya selesaikan. Melihat kasut yang cantik, saya hanya menahan perasaan. Kain pasang yang mahal hanya mampu saya usap sahaja buat menghilangkan kempunan.
Saya takut berbelanja lebih akan menyebabkan emak dan ayah saya terbeban. Saya cuba menggunakan sehabis berhemah wang yang ada.
Azam saya, apabila bekerja nanti dan punya wang sendiri barulah saya akan berbelanja sepuas hati.
Melihat persekitaran kini, saya rasa sebak. Seorang ibu yang bergaji DG48 pun merungut dengan citarasa anaknya. Mahu yang mahal-mahal sahaja kerana menjaga status. Jika beli yang murah, rajuknya sukar dipujuk.
Di universiti pun, pelajar kini gemar bergaya mewah walaupun ibu bapa tidak mampu. Telefon pintar berjenama itu menjadi lambang kehebatan pada hal dibeli dengan wang PTPTN. Gaya menjadi keutamaan. Kesian ibu bapa di rumah yang tidak sesenang mana.
Payah mengubah minda mereka yang seperti ini. Belum memiliki wang sendiri pun sudah mementingkan gaya, tentu sekali bila berduit akan habis begitu sahaja.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment