Cuti sekolah yang agak panjang kali ini memberi ruang untuk kami berjalan-jalan. Sejak awal tahun lagi saya berhasrat untuk ke Terengganu, mencari batik di situ, dan Alhamdulillah, ia terkabul jua.
Pagi Sabtu 7hb Jun, sekitar jam 10.00 pagi kami memulakan perjalanan. Seperti biasa, apabila deruan enjin kereta seirama dengan ayunannya yang membuai rasa, mata saya mula memberat. Saya melayan lena sepanjang perjalanan.
Tiba di bandar Kuala Terengganu baru saya mampu mencelikkan mata. Itu pun masih terpisat-pisat. Suami mula bersuara, kelaparan. Dengan minda yang masih belum terjaga sepenuhnya, saya membantu mencari label restoran di tepi jalan.
Kami berhenti di Restoran Lempeng di Jalan Kuantan pada jam 2.00 petang. Hidangan tengah harinya boleh tahan walaupun layanannya kurang berbintang. Selesai mengisi perut, kami meneruskan perjalanan.
Menuju ke Dungun, kami bergerak agak perlahan. Musim cuti begini, kereta amat banyak memenuhi setiap ruang. Rupanya bukan kami sahaja yang mahu bersantai. Mujur juga Kelantan kalah pada separuh akhir Piala FA minggu lepas, jika tidak tentu perjalanan kami semakin perlahan kerana rakyat Kelantan tentu akan berpusu-pusu menuju ke Kuala Lumpur. Walaupun jalan kami ini bukan laluan utama ke sana, tentu ada yang memilihnya jua.
Di Dungun, kami mencari-cari bilik penginapan. Ke Mayang Sari Resort, penuh. Ke Hotel UiTM juga penuh. Kami ke bandar mencari-cari di sana, semua penuh. Dengan bantuan sahabat kami Haji Roslan yang kami kenali semasa di Mekah, dapatlah kami menginap di Hotel Sura yang agak sempit. Jadilah.
Menjelang petang, kami bertandang ke rumah Haji Roslan dan Hajah Zaharah. Kami disajikan dengan murtabak, roti canai dan keropok lekor. Sebelah malamnya pula, mereka membelanja kami makan di restoran masakan panas di bandar. Turut bersama-sama kami ialah Haji Razali dan anak-anaknya yang juga kenalan kami ketika di Mekah. Sayang isterinya bekerja shift malam, jadi tidak dapatlah saya bertemu dengan Hajah Rohani, seorang jururawat di hospital Dungun.
Terima kasih sahabat-sahabat semua. Bersama-sama di Madinah dan Mekah pada 2010 dahulu selama 52 hari, rupa-rupanya menjalin ikatan persaudaraan yang berpanjangan. Alhamdulillah.
Esoknya, kami ke bandar Kuala Terengganu. Kali ini kami membeli belah dahulu di Pasar Payang sebelum mencari bilik penginapan. Alhamdulillah, bilik di bandar ini banyak dan kami memilih Batu Burok Beach Resort sebagai tempat berehat kami. Seronok menyusuri pantai di sini, ada rindu yang enggan pergi.
Selepas Asar, suami menghubungi rakan lamanya sewaktu di maktab dahulu, Cikgu Zaid. Dia dan keluarganya segera datang ke hotel kami dan membelanja kami minum petang serta menjemput kami makan di rumahnya esok.
Malam ini kami berdua menjamu selera di Tenang Seafood bersebelahan hotel kami.
Pagi Isnin, kami berehat sahaja. Jam 11.00 kami check out dan Cikgu Zaid datang mengambil kami ke rumahnya. Rupa-rupanya Cikgu Zaid ini berjiran dengan Kak Zaiha. Sayang Kak Zaiha tiada di rumah, jika tidak boleh kami mengganggu mereka juga!
Selesai menikmati nasi ayam yang lazat hasil air tangan isteri Cikgu Zaid, kami meminta diri untuk pulang. Perjalanan kami kali ii ditemani rintik-rintik hujan dan saya tidak pula mengantuk. Kami berhenti bersolat di Masjid Kg. Anak Ikan di Setiu, dan minum petang di gerai kecil di Bukit Jawa. Jam 5.00 petang, kami selamat tiba di rumah.
No comments:
Post a Comment