Tuesday, July 29, 2014

Kehilangan

Pada suasana Aidilfitri yang masih baru, saya dikejutkan dengan satu kehilangan.

Laila Al Azra binti Abdul Fattah, teman sekolah menengah saya di MRSM Kuala Terengganu telah kembali ke pangkuan Ilahi pada jam 5.30 pagi tadi.

Beberapa minggu lalu, dia dimasukkan ke wad kerana sesak nafas. Tidak lama selepas itu doktor mengesahkan dia menghidap kanser paru-paru tahap 3 atau 4.

Rupa-rupanya selama ini dia sering keletihan dan sukar bernafas. Sangkanya kerana faktor usia. Sedikit pun tidak terlintas di fikirannya yang dia menghidap kanser.

Progres penyakitnya sangat cepat. Semalam dia dimasukkan ke wad lagi dan pagi tadi pergi untuk selama-lamanya.

Tinggallah suami, tiga orang anak lelakinya serta seluruh ahli keluarganya juga kami rakan-rakan seperjuangan merinduinya.

Semoga Laila ditempatkan di sisi mereka yang soleh.

Al fatihah.

Sent from Samsung Mobile

Sunday, July 27, 2014

Sambal Sotong


Esok hari raya.

Emak kata mahu masak nasi lemak special pada pagi raya esok. Kata emak, lauk nasi lemak kali ini akan ada pelbagai. Selain daripada yang wajib - bilis, telur dan timun - emak mahu juga sambal sotong, rendang kerang dan ayam goreng berempah. Jadi untuk memudahkan kerja, kami dibahagikan tugas. Saya diberi tugas memasak sambal sotong.

Sebenarnya, saya ini memang peminat nasi lemak sambal sotong. Sejak di sekolah menengah lagi, teman-teman saya tahu kegemaran saya yang satu ini. Hinggakan sahabat saya Ratna selalu memanggil saya "Talisa Soto" sewaktu makan nasi lemak. Apa tidaknya, setiap kali membeli nasi lemak di kantin tentu saya memilih sambal sotong. Jarang benar saya meminta sambal-sambal lain yang ada iaitu sambal tumis ayam dan sambal tumis daging.

Jika nasi lemak itu bersambal bilis sahaja, harganya enam puluh sen sebungkus. Tetapi jika mahu sambal lain, kena bayar lapan puluh sen sebungkus.

Dan nasi lemak Kak Katie di kantin MRSM Kuala Terengganu itu memang sedap!

Malam ini, saya akan menyediakan bahan untuk memasak sambal sotong ini. Saya akan kisar beberapa biji bawang besar, bawang merah dan bawang putih. Kemudian saya akan tumis dalam minyak yang sederhana banyak dan dicampur pula serbuk cili.

Saya akan masukkan sotong yang sudah disiang dan dipotong kecil ke dalam tumisan itu bersama sedikit air. Setelah dirasakan garam dan gula serta asamnya, siaplah sambal sotong saya.

Pagi esok, saya akan bawa sambal iti ke rumah emak untuk dinikmati bersama nasi lemak istimewa!

Sent from Samsung Mobile

Friday, July 25, 2014

Larat

Tidak pasti saya, mampu atau tidak.

Selepas sahur tadi saya cuba untuk tidak tidur. Usai Subuh, saya berehat di ruang tamu seketika sambil menonton tv. Mencari semangat kononnya, untuk memulakan kerja. Di mana mesti saya bermula?

Jam 7.15 saya ke dapur. Segala pinggan mangkuk yang kotor saya cuci. Segala bekas yang bersepah saya kemas. Kuih-kuih raya saya susun dengan teratur. Air dalam peti saya penuhkan. Meja dapur saya bersihkan.

Jam 8.15 saya sudah kepenatan.

Kini, saya terbaring di katil. Ruang tamu belum disentuh. Beranda belum dicuci. Kain belum dikutip.

Baru di dapur satu jam saya sudah mengah.

Laratkah untuk meneruskan agenda berikutnya?

Sent from Samsung Mobile

Thursday, July 24, 2014

Lagu Raya

Lagu raya sudah mula berkumandang. Seperti selalu, yang lama juga menjadi pilihan. Begitulah, selera manusia sukar diubah.

Saya paling senang dengan hasil karya Allahyarham P. Ramlee ini. Ada rasa yang menusuk setiap kali mendengarnya. Waktu kecil dahulu, saya pernah melihat arwah ayah mengikut alunan lagu ini saat ia bergema di radio. Saya juga terbuai dengan merdu melodinya juga indah senikatanya.

Ia tidak khusus untuk Aidilfitri. Boleh juga lagu ini dikumandangkan pada Aidiladha kerana liriknya kena untuk kedua-dua hari raya.

Versi asal dendangan P Ramlee tetap indah didengar walaupun versi baru yang lebih segar banyak dirakam oleh penyanyi kini. 
Suara Takbir

Dengar beduk berbunyi
sayup bergema di Subuh sunyi
memanggil kepada Muslimin
segera berbakti 
kepada Ilahi

Suara azan mengalun
terdengar sayup memecah sunyi
memohon restu dengan bakti
kepada Ilahi
Tuhan Maha Suci

Terdengar suara takbir
memuji nama Ilahi
rasa dalam kalbu
tenteram dan aman selalu

Kini tiba masanya
hati gembira di hari raya
bertemu sanak dan saudara
bermaaf-maafan 
dengan keikhlasan.

Akhir

26 Ramadan, Khamis.

Hari ini akhir persekolahan sebelum kami diberi cuti selama seminggu untuk menikmati hari raya Aidilfitri.

Megah benar bunyinya Aidilfitri di negara ini. Semua perantau pulang untuk meraikannya di kampung halaman bersama-sama sanak saudara. Jarang benar yang mampu bertahan untuk beraya berjauhan daripada keluarga. Seboleh mungkin mahu juga pulang kerana Aidilfitri ini sinonim dengan eratnya ikatan persaudaraan.

Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya nilai kekeluargaan masih utuh dalam khalayak kita. 

Pun, saya yang sememangnya sudah setia berada di kampung halaman ini tidak begitu teruja untuk menyambut kemeriahan Aidilfitri. Sekadar menyediakan sedikit juadah biasa-biasa sahaja untuk santapan sendiri, selebihnya saya menanti kunjungan tetamu di rumah.

Dan penantian itu sesungguhnya satu penyiksaan.

Jika boleh, saya mahu cuti raya sesingkat yang mungkin. Saya mahu kembali bekerja segera, kerana saya tidak betah beraya lama-lama!

Wednesday, July 23, 2014

Kepada-Mu Kekasih

Kepada-Mu kekasih
Aku berserah
Kerana kutahu
Kau lebih mengerti
Apa yang terlukis di cermin wajahku ini
Apa yang tersirat di hati
Bersama amali

Kepada-Mu kekasih
Aku bertanya
Apakah kau akan menerimaku kembali
Atau harus menghitung lagi
Segala jasa dan bakti
Atau harus mencampakku ke sisi tanpa harga diri

Hanya pada-Mu kekasih
Aku tinggalkan
Jawapan yang belum kutemukan
Yang bakal aku nantikan
Bila malam menjemputku lena beradu

Kepada-Mu kekasih
Aku serahkan
Jiwa dan raga
Jua segalanya

Apakah kau akan menerima penyerahan ini
Apakah kau akan menerimaku
dalam keadaan begini

Berlalu

Selesai bersahur untuk hari ke-25 Ramadan. 

Isnin minggu depan Ramadan pun akan berlalu pergi. Pergi bersama sejuta ketenangan yang ada di sisinya. Jika ada kesempatan, insyaallah bertemu lagi Ramadan tahun depan dengan semangat yang tidal berkurang sedikit pun.

Rindu padanya akan dirasai sepanjang menanti kedatangannya kembali.

Tuhan, terimalah aku.


Sent from Samsung Mobile

Friday, July 18, 2014

MH17





Dear all, first, my condolences to the families and friends of all the passengers and crew of MH17. Such unbearable sadness in an already sad world. May their souls all rest in peace.

I think now more than ever we all need to come together in peace and unity, not just here in Malaysia but all over the globe. Conflict in one part of the world, as we can see, can affect people from other parts of the world. How many of us are working for peace, instead of pointing fingers , hurling accusations and making threats at others? We need to stop and take a good hard look at ourselves.

How many of us are working, truly working, not just typing opinions, for justice and equality and trying to make this a better world? How many of us just spend all our time contributing to the toxic brew we call social media? We can use social media for good, yet we choose to use it to spread hate.

Right now take a moment and remember those families who have lost their loved ones on mh17 as well as those losing someone every day in conflict zones around the world, especially the beleaguered people of Gaza. We are all human beings and every loss causes pain in a human's heart. We have to remember that.

Let's stop differentiating between whether they're Malaysian or not, Muslim or not, near or far. There can be no peace at home if there is no peace in the world. There can be no peace in the world if there is no peace at home.

So to stand in solidarity with each other, please join us tomorrow for ‪#‎Puasa4Msia‬. We all fast together for unity and in memory of those lost. And for just one day at least, let's puasa from hatred.

Alfatihah.

(Marina Mahathir)

Tuesday, July 15, 2014

Bantuan

Hari ini cuti. Seperti biasa saban kali peristiwa nuzul Quran disambut, kami di Kelantan akan bercuti. Dan ia berharga sekali.

Sahur pagi ini saya sediakan ikan kikik goreng ditemani sayur kangkung belacan dan telur goreng. Biasalah, selera pagi-pagi begini tidak menyerlah mana. Sepinggan cuma, tapi Alhamdulillah. Moga mampu memberi keberkatan. 

Jam 9.30 pagi kami keluar untuk sedikit urusan peribadi. Tahulah cuti-cuti begini suasana jalan akan sangat sesak tapi kami tiada pilihan. Pun hari masih awal benar, harapnya kesesakan belum berlaku. 

Kami ke bank mengeluarkan sedikit ringgit Malaysia. Oh! Hari ini bantuan khas raya dikredit ke akaun gaji kami. RM500 cuma. Terima kasih jua daripada kami. Cukuplah, banyak-banyak pun buat apa...

Seterusnya kami singgah di DZ untuk membeli sedikit barang keperluan. Dalam sedikit pun, habis juga RM122.30. Tak mengapalah, bukankah tujuan duit itu untuk dibelanjakan?

Bantuan raya daripada kerajaan sememangnya sangat diharapkan. Walaupun sedikit, ia tetap memberi senyuman pada wajah setiap kakitangan awam. Saya tidak terkecuali. Cuma, berhemahlah dalam apa jua keadaan. Tak perlu baju raya berpasang-pasang jika keperluan lain masih perlu diutamakan.

Sekian.

Sent from Samsung Mobile

Monday, July 14, 2014

BOIKOT

Kini ia kembali lagi – boikot bermusim.

Nampak benar rakyat Malaysia ini tidak istiqamah. Sekali terhantuk, baru berbondong-bondong produk diboikotnya. Kemudian apabila reda isu Gaza, tanpa silu mereka berbondong-bondong pula mengunjungi dan membeli produk boikotan mereka itu. Bila akan selesai?

Selagi penjanaan ekonomi bukan di tangan orang Islam, usahlah mengharap boikot memboikot ini berjaya. Masalah timbul kerana pegangan kita juga. Suka sangat mengejar akhirat, dunia langsung ditinggalkan. Sudahnya, semua barang keperluan dari makanan hingga media sosial dikuasai orang bukan Islam. Orang bukan Islam ni tak nampak akhirat, sebab tu beria-ia mencari kejayaan dunia kan?

Kebanyakan orang-orang kita nampak bab ekonomi dan inovasi ini berkait rapat dengan dunia dan tidak ada nilai akhirat. Lalu mereka tidak menggalakkan langsung anak-anak mereka menjadi economist atau berjiwa inovatif. Mereka nampak dunia itu lain, akhirat itu lain. Mereka nampak dunia itu lalai.

Lihatlah, apa yang berlaku sekarang?

Selagi minda orang Islam memisahkan dunia dan akhirat, selagi itulah orang Islam ini tidak akan ke mana.

Sekian pasal boikot. Seterusnya isu kedua.

Aduhai, siapa-siapa yang mengemaskini status di Facebook tentang Piala Dunia, bersedialah untuk dihentam kaw-kaw oleh para keyboard warriors tak bertauliah yang bersepah-sepah di sana sini. Kata mereka, kamu tak peka dengan kemelut yang berlaku di Gaza. Kamu tak kisah dengan penderitaan orang Islam Palestin yang setiap hari dibedil Israel. Kamu taksub dengan bola sepak agenda Yahudi itu. Kamu tahu tak, Messi dan Neymar itu penyokong Israel?

Saya mengeluh dalam hati. Siapalah saya untuk menilai hati orang lain tetapi saya cukup terkesan dengan penilaian bertaraf dunia oleh para keyboard warriors ini. Hebat! Mereka setaraf Tuhan yang boleh menghukum dan mengetahui isi hati orang lain!

Ajaklah umat Islam untuk sama-sama berkongsi penderitaan rakyat Palestin itu tetapi biarlah dalam nada yang lebih harmoni. Serulah rakyat Malaysia untuk lebih prihatin tetapi bukan dalam nada sarkastik. Itu bukan cara berdakwah yang diajar Rasulullah.

Saya bukanlah sempurna, malah sangat jauh dari kesempurnaan tetapi saya mencuba untuk tidak menilai negatif setiap perkara yang ada di depan saya.