26 Ramadan, Khamis.
Hari ini akhir persekolahan sebelum kami diberi cuti selama seminggu untuk menikmati hari raya Aidilfitri.
Megah benar bunyinya Aidilfitri di negara ini. Semua perantau pulang untuk meraikannya di kampung halaman bersama-sama sanak saudara. Jarang benar yang mampu bertahan untuk beraya berjauhan daripada keluarga. Seboleh mungkin mahu juga pulang kerana Aidilfitri ini sinonim dengan eratnya ikatan persaudaraan.
Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya nilai kekeluargaan masih utuh dalam khalayak kita.
Pun, saya yang sememangnya sudah setia berada di kampung halaman ini tidak begitu teruja untuk menyambut kemeriahan Aidilfitri. Sekadar menyediakan sedikit juadah biasa-biasa sahaja untuk santapan sendiri, selebihnya saya menanti kunjungan tetamu di rumah.
Dan penantian itu sesungguhnya satu penyiksaan.
Jika boleh, saya mahu cuti raya sesingkat yang mungkin. Saya mahu kembali bekerja segera, kerana saya tidak betah beraya lama-lama!
No comments:
Post a Comment