Sunday, July 27, 2014

Sambal Sotong


Esok hari raya.

Emak kata mahu masak nasi lemak special pada pagi raya esok. Kata emak, lauk nasi lemak kali ini akan ada pelbagai. Selain daripada yang wajib - bilis, telur dan timun - emak mahu juga sambal sotong, rendang kerang dan ayam goreng berempah. Jadi untuk memudahkan kerja, kami dibahagikan tugas. Saya diberi tugas memasak sambal sotong.

Sebenarnya, saya ini memang peminat nasi lemak sambal sotong. Sejak di sekolah menengah lagi, teman-teman saya tahu kegemaran saya yang satu ini. Hinggakan sahabat saya Ratna selalu memanggil saya "Talisa Soto" sewaktu makan nasi lemak. Apa tidaknya, setiap kali membeli nasi lemak di kantin tentu saya memilih sambal sotong. Jarang benar saya meminta sambal-sambal lain yang ada iaitu sambal tumis ayam dan sambal tumis daging.

Jika nasi lemak itu bersambal bilis sahaja, harganya enam puluh sen sebungkus. Tetapi jika mahu sambal lain, kena bayar lapan puluh sen sebungkus.

Dan nasi lemak Kak Katie di kantin MRSM Kuala Terengganu itu memang sedap!

Malam ini, saya akan menyediakan bahan untuk memasak sambal sotong ini. Saya akan kisar beberapa biji bawang besar, bawang merah dan bawang putih. Kemudian saya akan tumis dalam minyak yang sederhana banyak dan dicampur pula serbuk cili.

Saya akan masukkan sotong yang sudah disiang dan dipotong kecil ke dalam tumisan itu bersama sedikit air. Setelah dirasakan garam dan gula serta asamnya, siaplah sambal sotong saya.

Pagi esok, saya akan bawa sambal iti ke rumah emak untuk dinikmati bersama nasi lemak istimewa!

Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment