Rupa-rupanya ada cerita yang dia simpan tentang kisah hidupnya, yang jarang-jarang dikongsi dengan siapa-siapa, walaupun dengan saya, isterinya. Kisah silam yang mengalirkan air mata saya saat mendengar setiap rentetan hidup yang dilaluinya sejak di bangku sekolah rendah sehinggalah berjaya melalui setiap liku itu dan membina hidup di sisi saya kini.
Saya tahu dia anak kampung yang kehidupannya berlatarkan sawah bendang dan kebun. Saya tahu arwah Ciknya cuma seorang petani dan Mek pula bukan sekadar suri rumah tetapi turut turun ke sawah juga menoreh getah. Saya tahu mereka bukan tergolong berada, malah sederhana juga jauh sekali.
Namun petang tadi, tiba-tiba dia bercerita. Asalnya saya memberitahunya saya sedih membaca satu tulisan di sebuah blog tentang kisah anak miskin yang setiap hari ke sekolah membawa bekal roti untuk dicecah dengan air sirap. Sekali sahaja dia membawa bekal nasi goreng, itu pun setelah diminta berbuat demikian oleh kawannya kerana mahu merasa nasi goreng masakan ibunya pula. Dan apa yang berlaku, nasi goreng yang cuma dibubuh bawang dan telur itu dibawa di dalam bekas sabun basuh pinggan. Kawannya terkejut dan baru menyedari kemiskinan yang membelit sahabatnya itu.
Lalu, dia pun membuka kisah silam yang lama disimpan rapi.
Kantin sekolah rendahnya dulu adalah tempat yang sangat jarang dikunjungi. Waktu makannya adalah sarapan pagi di rumah, dan makan tengah hari juga di rumah. Wang belanja ke sekolah jarang benar dibawa.
Pernah sekali, waktu membawa wang ke sekolah, dia berkejar-kejar ke kantin untuk membeli kuih cakue. Kuih itu besar, jadi dia mahu makan bersama-sama adiknya Imah. Berlari-lari dia ke kelas Imah, tetapi dia terjatuh kerana berlanggar dengan pelajar lain. Kuihnya kotor. Dikutipnya kuih itu dan dibawa ke paip air untuk dibersihkan sebelum dibawa ke kelas Imah dan makan bersama-sama.
Sewaktu di tingkatan enam, dia langsung tidak menjejak kantin kerana harga makanan di kantin SMIP sangat mahal. Wang yang ada hanya cukup untuk tambang bas pergi dan pulang sekolah. Semasa cuti sekolah, dia seronok mencari wang dengan bersawah padi dan menoreh getah. Wang yang diperoleh itulah digunakan untuk membeli baju dan kasut raya. Dia tidak pernah mengharapkan wang dari Cik dan Mek kerana sangat sedar kesusahan mereka.
Sewaktu dia dipanggil untuk temuduga kemasukan ke maktab, tiada satu pun pakaiannya yang sesuai untuk dipakai. Terpaksalah dia meminjam baju, seluar dan tali leher kawannya. Apabila diterima masuk ke maktab, barulah dia mampu bernafas lega kerana ada elaun bulanan sebanyak RM345, satu jumlah yang agak besar pada tahun 1985.
Banyak lagi kisahnya yang dikongsikan pada saya petang tadi. Tersentuh benar rasanya, kerana selama ini saya sangka kesusahannya tidaklah setahap itu. Malah saya berasa betapa jauhnya beza saya seorang anak kerani dengan dia seorang anak petani. Betapa saya wajib bersyukur dan menghargai kehidupan lampau kerana saya tidak pasti, jika saya sesusah dia adakah saya mampu memiliki semangat seperti dia? Ramai orang di sekeliling saya yang tenggelam dalam kesusahan, dan tidak mampu keluar dari belenggu kemiskinan kerana motivasi diri yang tiada.
No comments:
Post a Comment