Sunday, August 10, 2014

Duhai Hati

Hari raya sudah pun berlalu. Hari ini sudah 14 Syawal dan saya meneruskan rutin hidup seperti biasa. Persekolahan yang mendera.

Dahulu, saya seronok dan bahagia menjadi guru. Kini perasaan saya sudah bercampur baur, pun saya tidak mahu bercerita tentang penderaan yang sedang saya alami kerana dengan bercerita, apa pun tidak akan berubah. Saya akan menggalas segalanya selagi terdaya. Ada banyak yang perlu saya syukuri dengan kerjaya ini. Keluhan bukan satu jalan penyelesaian. 

Syawal baru-baru ini memang mengujakan. Ramai yang bertandang ke rumah saya yang serba tidak baru ini. Sofa tahun lepas, meja makan tiada, dan langsir yang tidak pernah bertukar sejak hampir sepuluh tahun lalu! Apa erti hari raya pada saya sebenarnya?

Entah.

Saya lebih seronok menikmati Ramadan. Jika boleh saya mahu Ramadan yang lebih lama. Ada ketenangan, ada kerehatan. Saya tenang sungguh.

Tetapi realiti tidak begitu. Rahmat Ramadan diberi Allah cuma 29 hari untuk kali ini. Semoga Allah menerima setiap yang saya usahakan dahulu, kini dan selama-lamanya.

Hari ini saya tiba di rumah pada jam 4.45 petang. Saya kepenatan. Sukan pada bulan Ogos sungguh tidak sesuai tetapi itulah yang perlu saya hadapi. Sekali lagi, saya tidak mahu mengeluh.

Semoga hari mendatang akan ada perkara yang lebih membahagiakan. Entah mengapa saya rasa hidup saya seakan terumbang ambing. Ada ketika saya mahu rehat, tetapi ada waktu saya mahu sibuk. 

Kekeliruan apakah ini, saya pun tidak pasti.

No comments:

Post a Comment