Sangka saya, tiada sambutan hari raya peringkat sekolah diadakan pada tahun ini.
Apa tidaknya, betapa padatnya pengisian minggu-minggu belakangan ini, sehingga saya tidak rasa ada masa yang sesuai untuk sambutan itu. Selain sukan tahunan yang terlewat, pelajar-pelajar tingkatan tiga juga sedang kalut dengan ujian lisan untuk PT3. Majlis konsultansi pelajar tingkatan lima juga sedang dirancang. Kelas tambahan tidak mahu pula dibatalkan walaupun latihan sukan sudah diarahkan saban petang. Kem kecemerlangan di Aura Training Centre juga tetap setia menanti kedatangan kami hujung minggu ini. Bukankah ini sangat memenatkan?
Rupa-rupanya pelajar-pelajar tingkatan lima tetap berharap sambutan hari raya diadakan. Adu mereka pada saya, tahun ini tahun terakhir mereka di sini. Mereka mahu satu kenangan. Dan mereka membawa harapan mereka itu kepada pihak pentadbir.
Harapan mereka tertunai jua.
Pun, tiada waktu lain yang sesuai selain hari Khamis 14hb Ogos, sehari selepas kejohanan sukan usai. Juga pada hari yang sama pelajar tingkatan lima perlu bergerak ke kem Aura. Terpaksa majlis itu diadakan seawal yang boleh kerana bas mereka bakal tiba jam 11.30. Nasi hari raya mereka dibungkus dan dibawa ke kem sebagai makanan tengah hari. Begitulah!
Saya?
Mereka sibuk di dewan sejak awal pagi, menyediakan segala persiapan majlis. Saya pula sibuk di bilik cetak dan bilik peperiksaan menyediakan bahan untuk kem tingkatan lima. Langsung tidak sempat saya menonton segala acara sambutan kerana kekangan ini. Mujurlah awal pagi tadi saya turun sekejap ke dewan selepas sarapan untuk meninjau keadaan. Ada jugalah sekeping dua rakaman kenangan bersama murid-murid saya untuk hari ini. Selebihnya, saya bertumgkus lumus bersama-sama Cikgu Marina menyelesaikan segala bahan tanpa bantuan pekerja pun. Entah ke mana hilangnya petugas bilik cetak itu hingga saya terpaksa mencetak 125 salinan 12 helai kertas soalan sendiri! Seterusnya, menyusun dan mengetip bersama-sama Cikgu Marina.
Saat pelajar bersedia berangkat ke kem, saya turun ke lobi untuk pendaftaran mereka dan pengagihan kad peserta. Tiada langsung hari raya buat saya.
Hanya apabila jam menjangkau ke angka 12.30 tengah hari barulah segalanya selesai. Barulah saya dan Marina bergerak ke dewan untuk makan. Guru lain sudah kekenyangan, saya dan Marina baru mahu menyertai.
Alhamdulillah, nasi arabnya sedap sekali. Dapatlah melegakan kelaparan saya.
No comments:
Post a Comment