Friday, January 16, 2015

Baiti Jannati



Kecil dahulu, saya sering mendengar emak bercerita tentang impian untuk memiliki rumah sendiri. Waktu itu, kami menetap di rumah sewa. Kata emak, saya lahir di rumah sewa di Kota Bharu, kemudian kami berpindah ke Mulong, ke Batu 8 dan ke Mulong semula. Semasa saya berusia sepuluh tahun, barulah ayah mula membina rumah. Itu pun secara sangat perlahan bergantung kewangan yang ada. Ayah tidak membuat pinjaman walaupun layak kerana gaji ayah tidak sebesar mana untuk dipotong bulan-bulan.

Apabila saya berusia dua belas tahun iaitu pada tahun 1984 barulah rumah itu sedia didiami. Seronok bukan kepalang rasa hati apabila berada di rumah sendiri. Tidak lagi emak perlu membayar sewa bulan-bulan kepada tuan rumah!

Alhamdulillah, selepas dua tahun saya berkahwin, suami saya mula berkira-kira untuk membina rumah. Awal juga dia merancang, dan saya memberi sokongan.

Awal 2001, kami mula menimbus tanah sawah pemberian Mek. Kosnya tidak mampu kami tampung tanpa membuat pinjaman. Saya dengan rela hati demi membantu suami, membuat pinjaman sejum;ah RM15000 dari Bank Rakyat. Wang itulah kami guna untuk kerja-kerja menimbus tanah dan membayar harga jalan.

Selepas dua tahun, tanah yang ditimbus sudah kemas molek. Kami pun bersedia untuk membina rumah. Suami mula memohon pinjaman perumahan kerajaan dan menguruskan segala keperluan untuk pembinaan. Tukang rumah, pelan rumah, peguam, dan segala macam hanya suami saya sahaja yang menguruskan.

Jun 2003, segalanya selesai. Kami memulakan pembinaan dengan wang simpanan yang ada. Selepas terbina tiga puluh peratus barulah wang pinjaman dikeluarkan. Alhamdulillah, semuanya berjalan baik dan rumah kami siap sepenuhnya pada September 2004.

Pun, kami hanya berpindah pada November 2004. Itu pun sekadar menghantar barang-barang sahaja ke rumah baru sedang kami tidur di rumah Mek. Selagi proses jahitan langsir belum siap, tentu kami tidak boleh menginap lagi.

Secara rasminya, kami berpindah ke rumah baru kami pada 4 Februari 2005. Kami mengadakan sedikit majlis solat hajat, dan terus bermalam di situ.

Hari ini, kami sudah berada berdua di sini selama sepuluh tahun. Betapa pantas masa berlalu, betapa banyak kisah dan cerita yang terakam, betapa bahagianya kami berada di sini, hanya kepada Allah jua kami panjatkan kesyukuran.

Rumah ini, lambang kasih sayang kami. Kami akan menghargainya dengan penuh rasa kesyukuran.

No comments:

Post a Comment