Sunday, January 25, 2015

Jam

Saya sememangnya peminat jam tangan. Setiap kali melintasi kedai jam, hati saya meronta-ronta untuk masuk dan memilih jam yang saya berkenan. Jika boleh, saya mahu memiliki koleksi jam yang pelbagai. Pun saya tahu, membazir itu amalan syaitan.

Jam pertama saya, arwah ayah beli pada hujung tahun 1982, dan saya menggayakannya pada 1983 iaitu semasa darjah lima. Sebuah jam tangan digital yang saya lupa jenamanya, berwarna putih. Ia saya pakai sehingga tamat darjah enam. Itu pun, pada hari-hari terakhir persekolahan, sebagai tanda ingatan dan kenangan, saya bertukar jam itu dengan sahabat saya, Dewi. Dia memberi saya jam analog bertali hitam dan bermuka biru. Cantik.

Di MRSM, jam itu rosak. Ayah belikan jam baru untuk saya, juga jam digital berjenama Casio. Saiznya besar seperti jam lelaki tetapi saya suka memakainya kerana ada banyak fungsi. Saya boleh jadikannya jam loceng selain ada fungsi stopwatch yang menjadi permainan saya pada waktu lapang.

Selepas itu, beberapa kali jam saya berganti. Semuanya dibeli ayah dan tiada yang berharga mahal. Sesuailah dengan taraf saya sebagai budak sekolah.

Di universiti barulah saya merasa untuk bergaya dengan jam Alba apabila saya memiliki wang sendiri. Seterusnya pun, jam yang saya beli semuanya berjenama Alba. Saya sukakan kualiti Alba kerana ia sangat lasak dan tahan lama.

Apabila bekerja, minat saya terhadap jam terus menyala-nyala. Satu demi satu jam saya bertukar ganti. Dahulu, hanya satu sahaja yang saya pakai. Apabila jemu, saya beri pada adik dan beli yang baru. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya mula mengumpul jam tangan.

Lima daripada lapan.
Sehingga kini, saya memiliki lapan jam tangan, dan lima daripadanya masih berfungsi dengan baik. Tiga lagi sudah mati baterinya.

Rasanya, saya tidak membazir, kan?

No comments:

Post a Comment