Saturday, January 24, 2015

Zamani

Riuh di laman sosial minggu ini cerita tentang Zamani. Seorang vokalis tersohor yang punyai suara merdu bak buluh perindu, tiba-tiba ditangkap polis kerana terlibat dengan penagihan dadah. Wajah kacaknya yang pernah menjadi pujaan ramai kini cengkung tidak bermaya.

Zamani.

Saya juga pernah meminatinya separuh nyawa. Pada zaman prapernikahan dahulu, selain M. Nasir yang saya kagumi seni muziknya, Zamani juga termasuk dalam senarai penyanyi kegemaran. Suaranya sungguh lunak menusuk ke jantung hati saya. Lagu-lagunya menyentuh jiwa. Apatah lagi jika liriknya disusun indah oleh Habsah Hassan atau Awang BPR.

1995, itulah tahun yang membawa dia kepada saya. Saya sedang berpraktikal di Telekom Jalan Duta waktu itu dan menyewa rumah pangsa di Keramat Wangsa. Rakan serumah yang juga sekursus dengan saya di UKM membeli album SLAM yang saban hari diputar tanpa henti. Lagu-lagunya menjadi belaka. Semua lekat dalam hafalan saya.

Kembali Terjalin, Tak Mungkin Berpaling, Bukan Niat Membalas Derita, Nur Kasih antara yang masih saya simpan dalam koleksi lagu kegemaran saya di laptop ini. Ada juga Kurnia, Mentari Muncul Lagi, dan Syair Si Pari-Pari.

Ternyata wajah cengkungnya yang mengundang curiga di hati saya beberapa tahun ini terjawab dengan jelas kini. Beberapa kali saya menangkis kata-kata suami saya saat menonton Zamani di kaca TV. Suami saya dengan yakin berkata, "kurus begini mesti ambil dadah," tetapi saya menolak kata-kata itu. Tak baik menuduh, kata saya.

Entahlah, Saya sudah terlalu tua untuk terus-terusan menjadi peminat fanatik seorang penyanyi seperti Zamani. Dia cuma penyanyi, tidak lebih daripada itu.

Pun, dari segi kemanusiaan, saya sesungguhnya simpati padanya. Biarpun dia hanya penyanyi, dia tetap seorang manusia yang punya maruah dan ada keluarga yang perlu dihormati. Doa saya tetap ada buatnya, agar dia kembali berpaut pada dahan yang kukuh, bukan lagi mencari ranting yang rapuh.

No comments:

Post a Comment