Wednesday, August 31, 2016

Merdeka

Hari ini Hari Kebangsaan ke-59. Sehati Sejiwa.

Seperti selalu, hari ini cuti umum. 

Semalam, sekolah saya mengadakan majlis sambutan ambang kemerdekaan bermula pada jam 5 petang hinggalah ke 12 malam. Saya dengan nekadnya, ponteng.

Maafkanlah. Bukan saya tidak menyokong segala usaha dan penat lelah mereka yang terlibat dalam menyusun dan merancang segala aktiviti dan aturcara bagi menjayakan majlis sebegini sebagai tanda menghargai nilai kemerdekaan yang dikecapi, tetapi saya tetap mahu ponteng atas alasan yang rahsia.

Selamat menyambut kemerdekaan. Saya cinta Malaysia. 


Sent from Samsung Mobile

Tuesday, August 30, 2016

Petai Jeruk

Eksotik, kan?

Faktor genetik mungkin amat mempengaruhi. Petai jeruk menjadi makanan kegemaran sejak dulu hingga kini. Belum jemu lagi saya menikmatinya.

 Sewaktu ke Laloh Jumaat lepas, selain menikmati durian segar dari kebun, kami juga dibekalkan petai untuk dibawa pulang. Banyak juga, tak habis dimakan begitu sahaja.

Lalu saya mahu bereksperimen. Saya mahu menjadikannya petai jeruk kegemaran saya. Semua petai itu saya celur, keluarkan isinya dan direndam air sejuk semalaman. Seterusnya saya masukkan dalam bekas bertutup dan diisi air masak dan garam. Esoknya, saya mencuba.

Wah! Ia menjadi!

Seronok benar saya dapat merasa petai jeruk buatan sendiri. Tahniah untuk saya!

Me


I do not want perfection, I want content. I feel it all - the good, the bad and the worse - but I choose to believe the good. I am caring and loving and do it with all my heart and soul. I can brighten your day with my smile. I live, I laugh and I cry too. But I never give up because I believe that life is beautiful and there is always hope.


Sent from Samsung Mobile

Monday, August 29, 2016

Durian

Saya ini peminat durian. Sangat-sangat. Tak kiralah sama ada dimakan begitu saja, dijadikan pengat, pulut durian atau cucur. Tempoyak pun ia. Saya memang hantu durian.



Tetapi itu dulu. Sewaktu durian merupakan makanan mahal yang susah untuk saya jumpa. Kalau emak dan ayah balik kampung di Golok dan membawa pulang durian, saya adalah yang paling gembira. Pun banyak manalah sangat durian pemberian saudara mara. Bukan saya boleh pulun makan pun.

Kini saya tidak lagi boleh menikmati durian sebagaimana yang saya mahukan. Faktor usia dan penyakit yang ada, durian hanyalah untuk dirasa sekadarnya sahaja.

Jumaat lepas, saya dan suami ke Laloh memenuhi ajakan abang Awang untuk menikmati durian di kebunnya. Walaupun baru beberapa pohon yang gugur buahnya, abang Awang tetap mahu menjamu kami makan. 

Sedap sungguh durian segar dari kebun ini. Rasanya manis lemak dan padat. Sungguh saya ingin makan sebanyak-banyaknya. Tetapi begitulah. Saya perlu beringat. Sekadar lima ulas sahaja yang saya berani ambil.

Tengah harinya, Kak Wan menyediakan dua hidangan. Satu hidangan nasi dengan lauk kampung dan satu lagi hidangan pulut durian. Tuhan tahu terliurnya saya melihat pulut durian tetapi saya tidak berani mengambil risiko. Sudah lima ulas mendarat dalam usus saya ini, saya takut untuk menambah lagi. Apatah lagi perut saya menjadi semakin sensitif dan mudah kembung kebelakangan ini. Akhirnya saya hanya memandang pulut durian itu dan menikmati hidangan nasi sahaja. Alhamdulillah. 

Begitulah putaran hidup. Sewaktu ada keinginan dahulu saya tak punya ruang. Apabila ada ruang begini saya sudah tidak boleh menurut perasaan.

Apa pun saya tetap bersyukur dengan segala nikmat kurniaan-Nya.


Sent from Samsung Mobile

Sunday, August 28, 2016

Haji

Musim haji tiba lagi. Dan setiap kali itulah hati saya akan bernostalgia mengimbau kembali setiap detik waktu saya bermusafir menunaikan rukun kelima itu.

Selama di sana, saya mencatat pengalaman dan perasaan saya di dalam sebuah buku. Buku itulah yang saya belek dan tatap apabila rindu menjelma. 



Syukur saya kepada Allah yang menjemput saya ke sana enam tahun lalu masih saya ukir pada setiap waktu. Tidak terhitung rasa syukur itu kerana pada saat saya berada di sana, saya diberi kekuatan untuk melalui segalanya dengan mudah. Bukan tiada payah tetapi ia bagai tidak terasa.

Semoga kalian juga akan dijemput ke sana pada waktu yang cocok. 

Yang pasti, jangan lengahkan ia. Daftar dahulu sebagai langkah pertama dan menabunglah untuk langkah seterusnya. Jika tarikh keberangkatan ke sana terlalu jauh, jangan khuatir. Kita punya ruang untuk merayu dari tahun ke tahun. Doa juga jangan pernah putus. Dia maha tahu keikhlasan kita. Jangan hanya menunggu tanpa apa-apa usaha. Jika tabungan melimpah ruah, tidak salah untuk menggunakan kuota pakej haji swasta yang lebih mahal. Tentu nama kita akan tersenarai lebih awal.

Semoga begitulah. 

Sent from Samsung Mobile

Tuesday, August 23, 2016

Menilai

Peperiksaan Percubaan SPM 2016 bermula minggu ini. Jadual hari ini meletakkan mata pelajaran Sejarah 1 pada jam 9.00 hingga 10.00 pagi dan Sejarah 2 pada jam 11.15 hingga 1.45 tengah hari.

Jadual peribadi saya pula tertera kelas 5 Ibnu Haitam pada jam 10.40 hingga 11.20 pagi. Terus saya pasakkan dalam kepala untuk ke dewan pada sekitar 10.45 pagi untuk memulakan peperiksaan. Walaupun peperiksaan hanya akan berlangsung pada 11.15 pagi, saya perlu memastikan banyak perkara di sana. Kedudukan meja teratur, murid-murid terkawal dan kertas soalan dan jawapan ada tersedia.

Ada tujuh kelas tingkatan lima semuanya, bermakna ada tujuh orang guru yang bertugas pada waktu itu. Sebagai guru pembuat relief, saya sudah maklum yang tiga orang daripada tujuh itu tidak hadir hari ini atas sebab-sebab tertentu. Maka, ada lagi empat orang. Cukuplah. 

Saya bergerak ke dewan seperti yang saya rancangkan.

Kelihatan cikgu Norma sedang mengedar kertas pada setiap meja calon. Saya menyapa, "eh! Ma seorang saja?"

"Yang lain belum sampai. Rehat ni kak Ti," jawabnya.

"Taklah, rehat dah habis. Ni masa kelas dah ni..."

Norma bukan bertugas waktu itu. Dia berada di situ sebagai penyelaras kertas Sejarah. Sepatutnya dia cuma meletakkan kertas dan bahan-bahan sahaja di dewan dan guru bertugas akan mengagihkan. Apabila dia melihat tiada orang, dia sukarela mengagihkan sendiri. Saya membantu. Jam belum lagi pukul 11.00 waktu itu.

Siap semuanya, saya duduk di bangku. Cikgu Zaid yang bertindak sebagai ketua pengawas mula memanggil murid-murid masuk. Saya memandang Norma dan bertanya, "kenapa semua orang belum datang bertugas? Nanti saya tulis dalam WhatsApp baru tahu..."

Saya sebenarnya sangat jengkel dengan keadaan ini. Profesionalisme keguruan mahu diangkat dan dimuliakan tetapi sikap guru yang acuh tak acuh dengan tugas sebegini amat mengecewakan saya.

"Tulis aje lah kak Ti, biar orang tahu.."

Norma memberi saya galakan nampaknya.

Saya tanpa lengah terus mencapai telefon dan menghantar pesanan melalui WhatsApp rasmi sekolah.



Tujuan saya bukan lain, biar empunya diri terasa dan biar pentadbir turut membaca. Biar begitu. Biarlah, saya bukan bertindak khianat atau mengadu domba, saya cuma mahu mencipta kesedaran. Tadi saya sudah nampak seorang guru lelaki yang bertugas di dewan pada waktu ini tetapi menuju ke kantin. Hanya apabila jam ke angka 11.15 dan calon sudah mula menjawab baru dia masuk ke dewan. Apa dia fikir tugasnya cuma mengawas sahaja tanpa perlu mengagih kertas?

Seorang lagi guru perempuan tiba sekitar jam 11.08 dan dia sebenarnya sedikit kurang sihat. Saya faham situasinya yang terkejar-kejar ke tandas dan terkejar-kejar pula ke dewan. Dia tiba tidaklah lewat mana dan dia meminta maaf atas kelewatan itu.

Seorang lagi? Sampai ke sudah tidak muncul.

Dan ini pesanan balasnya kepada saya.

 

Bayangkanlah. Jadual yang sudah lapan bulan pun masih boleh tertukar, saya sedikit sukar mahu percaya. Apa pun siapalah saya untuk menilai.

Cuma, saya ada sedikit pesanan.

Sebagai guru, jadikanlah tugas kita masuk kelas itu sebagai tugas utama. Sebaik tiba di sekolah, silalah semak dulu jadual peribadi dan rancang segalanya dengan teliti. Rujuk jadual peperiksaan dan pastikan kita berada di dewan pada waktu yang sepatutnya. Jadilah guru yang profesional yang bekerja kerana Allah. 

Saya sedih melihat segelintir guru yang tega menjadikan bidang ini hodoh di mata masyarakat. Segelintir yang tidak boleh ditegur, yang sering sahaja ada alasan dan segalanya bukan salah dia. Tidak pernah mahu berubah tetapi gemar benar menyalahkan orang lain. Entah sampai bila segelintir ini akan sedar diri, saya hanya mampu berdoa.

Ya Allah, peliharalah SMK Kg Chengal yang indah ini daripada anasir-anasir pemusnah. Bukakanlah hati-hati guru yang tidak mahu sedar kesalahan dan kesilapan mereka, agar berubah menjadi lebih profesional dan sanggup menerima teguran.

Amin.

Monday, August 22, 2016

Niaga

Zaman ini bukannya seperti dua puluh tahun dulu, sewaktu saya tamat ijazah di UKM. Ketika itu kerja yang mencari saya. Saya ada banyak pilihan tetapi saya mahu menjadi guru.

Telekom mempelawa, kerana saya pernah beramali di tempatnya. MFI di Bangi juga mahu menerima, tetapi waktu itu saya sedang berKPLI di Terengganu. Ayah pula bagai tidak menggalakkan saya memilih swasta. Dia mahu saya menjadi penjawat awam yang ada pelbagai kelebihan.

Kerana itu saya memilih guru.

Kini, anak-anak didik saya yang sudah tamat belajar ramai yang masih mengintai peluang pekerjaan. Pun mereka tidak berdiam diri dan saya kagum dengan kerajinan mereka mencipta tapak permulaan sebuah perniagaan.

Atika Sari kini berjinak-jinak dengan perniagaan kosmetik dan kelihatannya ada sambutan. Saya mencuba juga produknya tanda sokongan dan saya menyukainya. 


Shamimi pula menjadikan perniagaan makanan sebagai pemula medan. Durian crepe dan pavlova yang dibawa ke sekolah mendapat sambutan hebat. Sedap. Saya membeli berkali-kali.

Pavlova
Durian crepe yang lazat

Ramai lagi anak-anak didik saya yang menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan. Asal rajin dan bersemangat, semuanya akan menjadi mudah. Keuntungan mungkin tidak terus mencanak tetapi dengan kerajinan dan kesabaran, In Shaa Allah ada jalannya.

Saya mendoakan segala yang terbaik buat mereka.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, August 18, 2016

Baharu

Samsung Galaxy Note 2
Dia sudah mula meragam. Tetapi saya masih sayang.

Hari ini umurnya tiga tahun tiga bulan dua minggu. Ini yang paling lama dalam hidup saya. Tiada yang pernah selama ini. Selalunya tidak sampai pun dua tahun.

Samsung Galaxy Note 2.

Ragamnya sudah berbagai-bagai. Pagi semalam, semua mesej WhatsApp tidak dapat diterima. Petang pula, cas tidak menjadi. 

Hari ini entah apa lagi.

Mahu menukar yang barukah? Hati memang mahu. Mampu memang mampu. Jadi apa lagi yang ditunggu?


Idamanku
Sent from Samsung Mobile

Saturday, August 13, 2016

Bunga

Minggu lepas, kami di sekolah terkejut gembira melihat seorang rakan guru kami menerima sejambak bunga kiriman suaminya sempena ulangtahun perkahwinan mereka. Wah! Romantik sungguh!

Sangat cantik jambangan bunga itu. Mawar merah yang disulami hijau dedaun dan bunga-bunga kecil yang dibalut kemas dalam kertas warna. Teruja saya melihatnya.

Apa tidaknya, seumur hidup saya ini belum pernah lagi saya dihadiahi bunga! Tentunya saya rasa teringin juga.

Jujurnya, keinginan menerima sejambak bunga itu memang ada kerana saya masih wanita yang mempunyai naluri sukakan bunga. Tetapi realitinya, apa saya akan buat dengan bunga itu? 

Saya tidak pandai menggubah ia menjadi cantik untuk menghiasi jambangan. Nanti lama-lama bila bunga itu layu saya tentu tidak akan menyimpannya lagi. Tentu hati saya sayu untuk membuangnya kerana ia hadiah untuk saya.

Kesimpulannya, tidak perlulah bunga. Nanti membazir. Berikan saja saya hadiah berbentuk emas atau permata. Tentu ia amat saya hargai dan akan menyimpannya hingga akhir hayat!

Sent from Samsung Mobile

Wednesday, August 03, 2016

Kasih

Kata mereka, hanya apabila engkau menjadi ibu baru engkau akan tahu bagaimana dalam dan uniknya perasaan kasih dan sayang terhadap seorang anak itu.

Dan sehingga bila-bila pun, saya tentu tidak akan memilik rasa itu. Saya dipilih untuk tidak menjadi ibu di dunia ini. Tuhan menetapkan begitu dan saya terima penuh syukur lagi redha. Tidak pernah saya mahu mempersoalkannya kerana aturan Tuhan itu sentiasa yang terbaik selagi kita memandangnya penuh istimewa.

Anugerah. Bukankah?

Pun, jauh di sudut hati saya, saya yakin perasaan itu ada. Naluri kewanitaan saya masih sejati dan tidak pernah dipudar oleh apa jua. Saya tahu saya memiliki rasa itu cuma ia tidak mampu saya zahirkan dek situasi yang tidak memihak kepada saya.

Kata mereka lagi, ambillah anak angkat. Mana tahu Allah akan memberi harta yang lebih melimpah ruah.

Saya bukan tidak mahu, tetapi saya tidak pasti. Kemampuan dari segi masa dan upaya bagai membawa saya jauh dari memikirkan perkara ini. Dan dalam usia yang sudah menghampiri separuh abad ini, saya sudah tidak mahu lagi meletakkan segala impian yang tidak tergapai. Allah menjanjikan rezeki kepada hamba-Nya yang berusaha. Bukan hanya harta, mungkin masa dan kelapangan buat saya yang sentiasa memerlukannya.

Semoga Allah merahmati hidup saya dan kita semua sehingga ke akhir masa.






Tuesday, August 02, 2016

Guru

Apalah yang hendak digeger dengan segala kepincangan akhlak yang sedang berlaku sekarang jika setiap tanggungjawabnya tidak lain tidak bukan diletak atas bahu guru? Ya, guru.

Murid nakal disebabkan guru. Murid bodoh pun disebabkan guru. Murid biadap, sebab guru tidak pandai mendidik. Bukankah tugas guru untuk semua itu? Tidak akan wujud murid nakal, bodoh dan biadap jika guru-gurunya menjalankan tugas dengan baik dan amanah.

Semudah itu bahu guru dijadikan tempat kesalahan digalas.

Sedang ibu bapa di rumah, bolehlah melepas tangan dan merehatkan fikiran daripada mencari segala penyelesaian. Bukankah sudah ada guru yang akan memikul segala tanggungjawab itu? Guru kan dibayar gaji yang mahal, tidak kurang lima ribu sebulan untuk menjaga anak-anak kamu dan mendidik mereka hingga kamu boleh sahaja bersenang-senang dengan perkara lain yang lebih kamu gemari. 

Terima kasih semua kerana memberi kami keyakinan yang sebegitu tinggi dan meletak sepenuh kepercayaan atas keupayaan kami.

Semoga masa depan mereka - anak-anak kamu itu - akan menjadi jawapan terbaik untuk kamu menilai diri kamu sendiri.

Sent from Samsung Mobile