Kata mereka, hanya apabila engkau menjadi ibu baru engkau akan tahu bagaimana dalam dan uniknya perasaan kasih dan sayang terhadap seorang anak itu.
Dan sehingga bila-bila pun, saya tentu tidak akan memilik rasa itu. Saya dipilih untuk tidak menjadi ibu di dunia ini. Tuhan menetapkan begitu dan saya terima penuh syukur lagi redha. Tidak pernah saya mahu mempersoalkannya kerana aturan Tuhan itu sentiasa yang terbaik selagi kita memandangnya penuh istimewa.
Anugerah. Bukankah?
Pun, jauh di sudut hati saya, saya yakin perasaan itu ada. Naluri kewanitaan saya masih sejati dan tidak pernah dipudar oleh apa jua. Saya tahu saya memiliki rasa itu cuma ia tidak mampu saya zahirkan dek situasi yang tidak memihak kepada saya.
Kata mereka lagi, ambillah anak angkat. Mana tahu Allah akan memberi harta yang lebih melimpah ruah.
Saya bukan tidak mahu, tetapi saya tidak pasti. Kemampuan dari segi masa dan upaya bagai membawa saya jauh dari memikirkan perkara ini. Dan dalam usia yang sudah menghampiri separuh abad ini, saya sudah tidak mahu lagi meletakkan segala impian yang tidak tergapai. Allah menjanjikan rezeki kepada hamba-Nya yang berusaha. Bukan hanya harta, mungkin masa dan kelapangan buat saya yang sentiasa memerlukannya.
Semoga Allah merahmati hidup saya dan kita semua sehingga ke akhir masa.
No comments:
Post a Comment