Peperiksaan Percubaan SPM 2016 bermula minggu ini. Jadual hari ini meletakkan mata pelajaran Sejarah 1 pada jam 9.00 hingga 10.00 pagi dan Sejarah 2 pada jam 11.15 hingga 1.45 tengah hari.
Jadual peribadi saya pula tertera kelas 5 Ibnu Haitam pada jam 10.40 hingga 11.20 pagi. Terus saya pasakkan dalam kepala untuk ke dewan pada sekitar 10.45 pagi untuk memulakan peperiksaan. Walaupun peperiksaan hanya akan berlangsung pada 11.15 pagi, saya perlu memastikan banyak perkara di sana. Kedudukan meja teratur, murid-murid terkawal dan kertas soalan dan jawapan ada tersedia.
Ada tujuh kelas tingkatan lima semuanya, bermakna ada tujuh orang guru yang bertugas pada waktu itu. Sebagai guru pembuat relief, saya sudah maklum yang tiga orang daripada tujuh itu tidak hadir hari ini atas sebab-sebab tertentu. Maka, ada lagi empat orang. Cukuplah.
Saya bergerak ke dewan seperti yang saya rancangkan.
Kelihatan cikgu Norma sedang mengedar kertas pada setiap meja calon. Saya menyapa, "eh! Ma seorang saja?"
"Yang lain belum sampai. Rehat ni kak Ti," jawabnya.
"Taklah, rehat dah habis. Ni masa kelas dah ni..."
Norma bukan bertugas waktu itu. Dia berada di situ sebagai penyelaras kertas Sejarah. Sepatutnya dia cuma meletakkan kertas dan bahan-bahan sahaja di dewan dan guru bertugas akan mengagihkan. Apabila dia melihat tiada orang, dia sukarela mengagihkan sendiri. Saya membantu. Jam belum lagi pukul 11.00 waktu itu.
Siap semuanya, saya duduk di bangku. Cikgu Zaid yang bertindak sebagai ketua pengawas mula memanggil murid-murid masuk. Saya memandang Norma dan bertanya, "kenapa semua orang belum datang bertugas? Nanti saya tulis dalam WhatsApp baru tahu..."
Saya sebenarnya sangat jengkel dengan keadaan ini. Profesionalisme keguruan mahu diangkat dan dimuliakan tetapi sikap guru yang acuh tak acuh dengan tugas sebegini amat mengecewakan saya.
"Tulis aje lah kak Ti, biar orang tahu.."
Norma memberi saya galakan nampaknya.
Saya tanpa lengah terus mencapai telefon dan menghantar pesanan melalui WhatsApp rasmi sekolah.
Tujuan saya bukan lain, biar empunya diri terasa dan biar pentadbir turut membaca. Biar begitu. Biarlah, saya bukan bertindak khianat atau mengadu domba, saya cuma mahu mencipta kesedaran. Tadi saya sudah nampak seorang guru lelaki yang bertugas di dewan pada waktu ini tetapi menuju ke kantin. Hanya apabila jam ke angka 11.15 dan calon sudah mula menjawab baru dia masuk ke dewan. Apa dia fikir tugasnya cuma mengawas sahaja tanpa perlu mengagih kertas?
Seorang lagi guru perempuan tiba sekitar jam 11.08 dan dia sebenarnya sedikit kurang sihat. Saya faham situasinya yang terkejar-kejar ke tandas dan terkejar-kejar pula ke dewan. Dia tiba tidaklah lewat mana dan dia meminta maaf atas kelewatan itu.
Seorang lagi? Sampai ke sudah tidak muncul.
Dan ini pesanan balasnya kepada saya.
Bayangkanlah. Jadual yang sudah lapan bulan pun masih boleh tertukar, saya sedikit sukar mahu percaya. Apa pun siapalah saya untuk menilai.
Cuma, saya ada sedikit pesanan.
Sebagai guru, jadikanlah tugas kita masuk kelas itu sebagai tugas utama. Sebaik tiba di sekolah, silalah semak dulu jadual peribadi dan rancang segalanya dengan teliti. Rujuk jadual peperiksaan dan pastikan kita berada di dewan pada waktu yang sepatutnya. Jadilah guru yang profesional yang bekerja kerana Allah.
Saya sedih melihat segelintir guru yang tega menjadikan bidang ini hodoh di mata masyarakat. Segelintir yang tidak boleh ditegur, yang sering sahaja ada alasan dan segalanya bukan salah dia. Tidak pernah mahu berubah tetapi gemar benar menyalahkan orang lain. Entah sampai bila segelintir ini akan sedar diri, saya hanya mampu berdoa.
Ya Allah, peliharalah SMK Kg Chengal yang indah ini daripada anasir-anasir pemusnah. Bukakanlah hati-hati guru yang tidak mahu sedar kesalahan dan kesilapan mereka, agar berubah menjadi lebih profesional dan sanggup menerima teguran.
Amin.
Ya Allah, peliharalah SMK Kg Chengal yang indah ini daripada anasir-anasir pemusnah. Bukakanlah hati-hati guru yang tidak mahu sedar kesalahan dan kesilapan mereka, agar berubah menjadi lebih profesional dan sanggup menerima teguran.
Amin.
No comments:
Post a Comment