Saya ini peminat durian. Sangat-sangat. Tak kiralah sama ada dimakan begitu saja, dijadikan pengat, pulut durian atau cucur. Tempoyak pun ia. Saya memang hantu durian.
Tetapi itu dulu. Sewaktu durian merupakan makanan mahal yang susah untuk saya jumpa. Kalau emak dan ayah balik kampung di Golok dan membawa pulang durian, saya adalah yang paling gembira. Pun banyak manalah sangat durian pemberian saudara mara. Bukan saya boleh pulun makan pun.
Kini saya tidak lagi boleh menikmati durian sebagaimana yang saya mahukan. Faktor usia dan penyakit yang ada, durian hanyalah untuk dirasa sekadarnya sahaja.
Jumaat lepas, saya dan suami ke Laloh memenuhi ajakan abang Awang untuk menikmati durian di kebunnya. Walaupun baru beberapa pohon yang gugur buahnya, abang Awang tetap mahu menjamu kami makan.
Sedap sungguh durian segar dari kebun ini. Rasanya manis lemak dan padat. Sungguh saya ingin makan sebanyak-banyaknya. Tetapi begitulah. Saya perlu beringat. Sekadar lima ulas sahaja yang saya berani ambil.
Tengah harinya, Kak Wan menyediakan dua hidangan. Satu hidangan nasi dengan lauk kampung dan satu lagi hidangan pulut durian. Tuhan tahu terliurnya saya melihat pulut durian tetapi saya tidak berani mengambil risiko. Sudah lima ulas mendarat dalam usus saya ini, saya takut untuk menambah lagi. Apatah lagi perut saya menjadi semakin sensitif dan mudah kembung kebelakangan ini. Akhirnya saya hanya memandang pulut durian itu dan menikmati hidangan nasi sahaja. Alhamdulillah.
Begitulah putaran hidup. Sewaktu ada keinginan dahulu saya tak punya ruang. Apabila ada ruang begini saya sudah tidak boleh menurut perasaan.
Apa pun saya tetap bersyukur dengan segala nikmat kurniaan-Nya.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment