Monday, October 10, 2016

Bangkok - Hari 2

Khamis, 29 September 2016

Lawatan kami ke Bangkok selama lima hari empat malam ini ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Bakti Negara, dengan Dato' Ezani Yahya sebagai pengurus acara dibantu oleh petugas-petugas dari Amazing DJ Tours, Narathiwat sebagai pemandu pelancong. Menariknya, petugas-petugas itu kebanyakannya adalah anak Melayu kelahiran Narathiwat yang pelatnya menjadi tarikan kerana slanga Siamnya amat ketara. Sepanjang perjalanan, kami diberi penerangan penuh jelas dan terperinci oleh Saudara Saidee Sands, yang membahasakan dirinya sebagai 'Abe Di' dan tuturnya penuh lembut dan sopan walaupun pelatnya ada kala melucukan. Dibantu oleh Deknie (ibu muda beranak satu) dan New (gadis comel berbangsa Siam), perjalanan kami sangat mudah dengan adanya mereka.

Tiga orang pemandu pelancong yang sangat komited; Abe Di, New dan Deknie.
Berbalik kepada kisah hari kedua perjalanan.

Usai solat Subuh, perut saya sudah kelaparan. Makanan yang dijual di atas kereta api ini tiada yang halal, maka tidaklah dapat kami membelinya. Mujur juga ada bekal roti dan maggi, maka itulah sarapan saya pagi ini sebelum menjejak bumi Bangkok beberapa jam lagi.

11.45 pagi, kereta api kami tiba di Stesen Kereta Api Bangkok dengan selamatnya. Alhamdulillah.

Kami sudah tiba!
Stesen kereta api Bangkok
Sesungguhnya tujuh belas jam di atas kereta api (dari 7.45 petang Rabu hingga 11.45 pagi Khamis) amat meletihkan. Apatah lagi tanpa mandi pagi, hanya membasuh muka dan menggosok gigi sebelum menukar pakaian. Ia pengalaman, dan saya menghargainya.

Dari Stesen Kereta Api itu kami dibawa ke restoran Jeerapan untuk menikmati hidangan tengah hari berupa nasi kuning, sup daging, ayam bakar dan rojak. Sedap sekali hidangan itu kerana perut kami amat lapar.

Berselera sekali kami menjamah makan tengah hari di Restoran Jeerapan.
Saya mengharapkan agar kami dibawa ke hotel dahulu untuk sedikit rehat dan membersihkan diri, tetapi tentatif perjalanan sudah diatur sebegitu rupa bagi mengoptimumkan masa. Tanpa mandi dan sempat rehat, kami meneruskan perjalanan ke Kanchanaburi yang sejauh tiga jam dari Bangkok. Kami berhenti untuk solat di sebuah surau (atau mungkin masjid) yang kecil dan sempit, dan seterusnya bergerak lagi hingga tiba di Kanchanaburi sekitar jam 6 petang.

Kanchanaburi terkenal dengan batu-batu permata dan barang perhiasan wanita dan lelaki yang amat mempesonakan hati. Saya tertarik, berkenan dan mahu membeli tetapi entah apa yang menghalang, saya tidak berani. Sudahnya, saya tidak membeli apa-apa selain empat pokok batu permata kecil yang boleh dijadikan cenderahati.
Koleksi cincin yang mengujakan

Kak Sofiah. Saya sudah tidak mampu bergambar di sini, Wajah berminyak saya tidak merangsang keinginan bergambar
Ini sahaja yang saya beli

Ikut hati mahu saja saya beli yang besar begini, tetapi bagaimana mahu bawa pulang. Ia amat cantik!

Sangka saya seusai membeli belah di kedai ini, kami akan pulang berehat. Rupanya belum lagi! Kami dibawa untuk makan malam dan seterusnya ke rumah rakit untuk melihat suasana malam di sini. Rasa lama benar saya berjalan. Kepala saya sudah mula berdenyut-denyut kerana sejak semalam berada dalam tudung dengan cuaca yang agak panas. Mujur tidak berlarutan.

Restoran makan malam kami, Restoran Dawood Chaa. Hidangan di sini sentiasa menyelerakan

Ini rumah rakit. Rumah ini bergerak di sungai Chao Phraya ini membawa kami selama dua jam. Lihat wajah saya. Sudah tidak berseri lagi dek penat dan tidak mandi seharian!
Dua jam di atas rumah rakit sepatutnya menyeronokkan tetapi dek penat dan badan sudah tidak selesa, saya berasa dua jam itu terlalu lama. Acara di sini pun tidak sesuai dengan jiwa saya.

Jam 11.00 malam barulah kami tiba di hotel kami. Alhamdulillah, dapatlah saya mandi dengan sepuas hati dan lena mengulit saya penuh indah hingga ke pagi.

No comments:

Post a Comment