Rabu, 28 September 2016
Harinya sudah tiba. Tiada lagi debar, hanya mengharap agar Allah memudahkan segalanya. Ini pengalaman pertama saya menyertai rombongan ke luar negara bersama-sama rakan sekerja. Semoga tiada cela menimpa.
 |
Ahli rombongan bergambar beramai-ramai di hadapan sekolah sebelum bertolak ke Rantau Panjang |
Kami dua puluh orang dibawa dengan bas ke sempadan Malaysia - Thailand seawal 7.45 pagi Rabu itu. Dalam perjalanan, kami singgah menjemput sembilan belas orang guru dari SK Mekasar, Pasir Mas yang turut menyertai program kami ini. Seusai sarapan di Rantau Panjang, kami menaiki bas lagi terus ke Narathiwat. Jam 12.30 tengah hari kami singgah makan di Restoran Chekkar yang terkenal di bandar Narathiwat itu. Seterusnya bas membawa kami pergi lagi dan lagi. Panjang sungguh perjalanan ini, tidak pernah lagi saya merasai!
 |
Restoran Chekkar terkenal dengan ikan tenggiri goreng yang lazat. |
 |
Menu tengah hari kami. |
 |
Wajah-wajah kelaparan... Hehe! |
Kami singgah di Samila Beach seketika untuk melihat pantai yang tersohor dengan kisah klasik dan patung duyung itu. Seterusnya, selesai solat di masjid Songkhla dan makan di restoran berhampiran, kami tergesa-gesa menuju ke stesen kereta api kerana masa sudah semakin suntuk.
 |
Samila Beach, Haadyai |
 |
Masjid Songkhla |
 |
Sempat juga bergambar di hadapan masjid ini walaupun masa sudah sangat suntuk. |
 |
Patung kucing besar di Samila Beach |
 |
Mahu juga merakam kenangan di sisi duyung kaku ini |
Jam 7.30 petang kami tiba di stesen kereta api dan 7.45 petang kereta api kami bertolak. Alhamdulillah, ia berjalan seperti yang kami harapkan walaupun sepanjang perjalanan tadi saya berdebar-debar juga takut ketinggalan kereta api!
Dan sesungguhnya pengalaman pertama saya menaiki kereta api ini berbaur antara manis dan mual. Apa tidaknya, kepala saya berpusing dan perut saya memulas mahu muntah pada malam itu. Saya cuba bertahan. Usai solat saya baringkan diri, lumurkan balm pada kepala untuk sedikit bau wangi dan aura sejuk, dan mencuba untuk tidur.
Saya diletakkan di gerabak kelas kedua dan ada kemudahan katil yang agak selesa untuk saya berbaring. Ditirai sempurna dengan langsir, dapatlah saya tidur tanpa diganggu. Alhamdulillah apabila saya terjaga pada kali pertama sekitar jam 2 pagi, pening dan mual saya sudah hilang. Saya menyambung lena.
Esoknya, kami tiba di Bangkok pada jam 12 tengah hari. Lebih enam belas jam di atas kereta api tidaklah terlalu membosankan kerana keceriaan bersama kawan-kawan memberi ruang rasa yang berbeza. Saya amat hargai kenangan itu.
 |
Bermesraan dalam kereta api, sebelum tempat duduk ditukar menjadi katil. |
No comments:
Post a Comment