Thursday, August 31, 2017

Niat

Saya sesungguhnya sentiasa mencuba untuk memberi yang sehabis baik demi memartabatkan bidang perguruan yang saya ceburi. Cita-cita dan harapan saya tentunya mahu melihat guru-guru di Malaysia ini mempunyai kebijaksanaan yang tinggi, sentiasa rasional dalam membuat penaakulan dan tahu harga diri. Saya mahu guru-guru yang benar-benar mahu menjadi guru dan punya keperibadian guru sahaja yang berada di dalam bidang ini. Bukan apa, saya nampak bidang ini semakin dipandang rendah bukan kerana orang lain, tetapi kerana guru sendiri yang merendahkannya.

Apabila ada kisah tentang guru yang tular di media, saya akan membaca komen dan pandangan guru-guru di laman sosial. Pada kebanyakan masa, saya hanya mampu menggeleng kepala dengan setiap ungkap kata dan butir bicara yang mereka lontarkan. Banyak benar yang tidak indah, yang buruk dan yang tidak layak keluar dari fikiran seorang guru tetapi dengan rasa tidak bersalah mereka kongsikan di media. Saya kesal dan hiba. Inilah guru-guru Malaysia. Ya, bukan semua tetapi ramai.

Di sekolah saya sendiri pun, ada watak-watak guru yang saya kurang senangi. Peribadi mereka boleh menjatuhkan nilai seorang guru yang benar-benar mahu menjadi guru. Saya bukan mendabik dada mengatakan  sayalah yang terbaik, kerana saya juga serba kekurangan tetapi saya tidak tega untuk mencemarkan profesion saya dengan apa cara sekali pun.

Wajarkah seorang guru berkata dia datang ke sekolah setiap hari tanpa sebarang niat? Jenaka apakah yang sedang dia lakukan? Jika pun mahu berjenaka, bukanlah pada semua perkara.

Hati saya membara kala mendengar dia berkata demikian. Ia berlaku sewaktu sesi taklimat formal berkaitan pencapaian sekolah yang dikendali oleh penceramah luar. Begini dialognya.

Penceramah : Cikgu, pagi tadi sebelum turun ke sekolah, apa yang cikgu niatkan dalam hati cikgu?

Cikgu A : Saya mahu mengajar murid-murid saya di sekolah. 

Penceramah : Cikgu B?

Cikgu B : Saya tiada niat apa-apa.

Penceramah : Apa? (Nada seperti mahukan penjelasan)

Cikgu B : Saya tidak ada niat apa-apa pun. 

Saya yang turut berada di dalam majlis itu berasa amat terkejut dengan jawapan daripada seorang guru bertaraf pentadbir itu. Berjenakakah dia?

Penceramah itu seterusnya membidas dengan lembut, mengatakan tidak boleh begitu wahai cikgu. Apa-apa pun yang kita lakukan mestilah beserta dengan niat Lillahi Taala agar kita mendapat pahala daripada kerja kita.

Guru-guru yang begini sememangnya menakutkan. Saya risau dengan kualiti guru yang tidak punya niat apa-apa pun untuk ke sekolah. Entah apa yang dia mahu, saya tidak pasti. Tetapi guru-guru beginilah yang akan menjadi punca kepada banyak isu tentang guru dan pendidikan.

Adik saya ada menulis tentang kata-kata muridnya apabila mengetahui sewaktu SPM dahulu adik saya mendapat keputusan 9A. Kata muridnya, "kenapa dapat 9A tetapi jadi cikgu sahaja?"

Cikgu sahaja.

Kerana kedudukan cikgu itu entah pada nombor berapa di belakang segala profesion lain. Sedih bukan? Pada hal, gurulah yang sepatutnya mencapai keputusan paling baik berbanding profesion lain kerana daripada gurulah lahirnya profesional-profesional itu. Tetapi realitinya memang ironi. Bidang perguruan dicebik sehabis daya oleh masyarakat, dan kita yang berada di dalamnya enggan mengembalikan kehormatan bidang ini yang pernah menghiasi.

Merdeka!

Sukan SEA pun tamatlah. Merdeka pun tibalah. Tanggal 31 Ogos enam puluh tahun yang lalu, menjadi detiknya.

PM Malaysia bermurah hati memberi cuti umum pada Isnin 4 September ini sempena kejayaan negara dalam Sukan SEA. Tentunya saya antara yang begitu gembira dan amat berterima kasih. Sehari pun, ia cukup bermakna.

Esok, Aidiladha pula tiba memberi ruang untuk umat Islam meraikan pengorbanan. Seperti selalu, rutin hari raya saya rasanya akan masih sama. Begitu-begitu sahaja.

Saya tidak menyertai korban pada tahun ini. In shaa Allah tahun depan saya akan melakukannya.

Doa saya pada hari mustajab ini, agar Allah menambahkan keimanan dan ketaqwaan dalam hati-hati kita, dan mengurniakan bahagia di dunia dan di akhirat. Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, August 27, 2017

Inilah Cuti

Sepuluh hari, bermulalah hitungannya sejak Jumaat. Sudah hari ketiga ini. 

Pengisian kali ini banyak untuk urusan umrah yang bakal kami laksanakan dengan izin Allah pada Disember nanti. Selain itu tentunya kenduri dan kelas tambahan - agenda wajib yang tidak boleh tidak.

Kelas tambahan saya ialah pada esok, Isnin. Bermula jam 8 pagi hinggalah 12 tengah hari. Saya in shaa Allah akan cuba memberi yang sehabis baik.

Kadang-kadang hati rasa geram apabila kita bersungguh-sungguh bersedia untuk kelas tambahan tetapi yang hadir tidak sampai separuh. Tahulah ini cuti, tetapi kalau memang tidak mahu hadir, apa guna kelas dibuat? Ingat cikgu-cikgu suka sangat ke bekerja waktu cuti sekolah begini? Urusan cikgu pun banyak tau!

Pun begitulah. Marah-marah tak guna. Terima sahajalah seadanya. Saya tidak mahu besar-besarkan benda begini kerana banyak pro dan kontranya. Sudahnya, saya telan sahaja pahit yang ada.

Kalaulah murid-murid dibiar sahaja berusaha sendiri tanpa perlu kelas tambahan, tentu hati cikgu-cikgu tidak sakit, kan? Tetapi apakan daya, sudah budaya sekarang cikgu-cikgu kena berhempas pulas biar pun murid-murid malas. Redha sahajalah!

Lupakanlah cerita itu. Biar sahaja berlalu dibawa bayu.

Masih berbaki tujuh hari untuk saya warnai cuti ini dengan warna-warna indah. Sementelah hujungnya nanti diseri dengan Aidiladha, tentunya saya perlu lebih menghayati erti pengorbanan. Bukankah hidup perlu berkorban?

Selamat bercuti. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, August 23, 2017

SEA

Tengah berlangsung sekarang Sukan SEA bertuanrumahkan negara kita, Malaysia.

Saya mengikuti begitu-begitu sahaja. Entah ke mana hilangnya mood, saya belum mahu tahu. Cuma ada kerinduan yang tidak terubat pada sukan kali ini.

Hasbullah Awang.

Rahim Razali.

Abdullah Hashim. 

Merekalah pengulas sukan yang hebat. Legenda. Selain kelunakan suara unik mereka, saya tenang mendengar ulasan selari yang mereka kendalikan. Bahasa yang indah, isi yang perlu dan nada yang sesuai. Segar perasaan saya biar pun jantung berdebar. Tenang jiwa saya walaupun hati bergetar.

Sewaktu saya menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Myanmar malam Isnin lalu, saya sangat geram dan rasa terbakar dengan cara ulasan si pengulas di Astro Arena. Entah dari mana dia belajar cara mengulas, semberono gila! Langsung tidak mampu memberi rasa gembira, apatah lagi rasa tenang kepada si penonton seperti saya. Rasa mahu tutup TV walaupun waktu itu Malaysia sedang mendahului. Pengulas beginikah sahaja yang ada pada waktu kini?

Begitu juga sewaktu larian pecut 100 meter, yang memberikan emas kepada Malaysia. Bukankah kegembiraan itu perlu dikongsi sepenuhnya tanpa perlu leteran apa-apa? Tahniah Khairul Hafiz Jantan kerana memberi kami kegembiraan ini biar pun tercemar dengan reaksi pengulas yang entah apa-apa.

Hasbullah Awang tidak mungkin kembali lagi. Penggantinya pun belum ada. Yang ada ini, belum mampu setara dan seiring dengan mutu pengucapan saudara Hasbullah. Semoga Allah merahmati beliau.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, August 21, 2017

Khas

Awal pagi ini, saya tidak terkocoh-kocoh. Lena saya yang terganggu sebentar ketika suami bangkit ke bilik air, saya sambung kembali.

Hari ini saya bercuti rehat khas, yang cuma tujuh hari setahun untuk seorang guru seperti saya. Sudah Ogos, saya baru mengisi borang untuk kali ketiga. Masih ada empat hari dan saya berhasrat untuk menghabiskannya.

Jam 6.15 baru saya celikkan mata. Kebetulan uzur, saya tidak perlu tergesa-gesa. Suami saya bersiap seperti biasa seadanya. Saya hanya memerhati dan melayan bualnya sambil terbaring di katil. Masih enggan bangun lagi.

Jam 6.45, suami saya turun. Saya masih mahu melayan malas di katil. Tergolek sana, tergolek sini. Tangan memegang telefon, mencari cerita dan berita.

Sukan SEA.

Hafiz Hamidun.

Dan coretan kawan-kawan di alam maya.

Jam 7.30, perut mula berlagu. Saya ke dapur panaskan mi goreng malam tadi. Cukuplah untuk sarapan, berteman teh panas yang kaw-kaw.

Televisyen dihidupkan. Satu persatu saluran ditukar ganti tetapi tiada yang menghiburkan. Semuanya tawar hambar dan bosan. 

Saya masih mahu bermalas-malasan. Instagram, Facebook, Lazada, Youtube, Google semuanya indah untuk saya tatapi. Seronoknya begini, sendirian tanpa gangguan!

8.30 pagi, barulah saya memulakan sesuatu yang berbeza. Saya mengemas kain baju untuk disusun dan disangkut dalam almari baru yang suami saya tempah dengan kawannya. Dua buah almari bersaiz 4 kaki panjang, 2 kaki lebar dan 6 kaki tinggi itu sangat memuaskan hati saya dari segi rupa dan harga. Terima kasih suami, memenuhi impian saya untuk menukar almari baru selepas 12 tahun. Tidaklah mahal, RM1800 untuk dua buah almari sangatlah berbaloi.

Berselang seli saya bekerja dan berehat sehinggalah perut saya menyanyi-nyanyi lagi. Jam 11, saya ke dapur menjerang nasi. Dua keping roti dicurah susu pekat saya jadikan alas perut sementara menanti nasi masak.

Lauk?

Malasnya nak masak pelik-pelik. Suami saya ada jamuan sempena persaraan guru PKPnya jadi saya tak perlu memasak banyak. Cukup untu saya seorang sahaja.

Ayam masak lemak cili api campur kentang. Wah! Sedap tu!

Sekejap sahaja saya memasak. Ayam dan kentang saya masukkan terus ke dalam periuk berisi santan. Bawang merah dan cili api saya kisar dan curah ke dalam periuk. Beberapa helai daun limau purut dan garam saya campak sekali. Api dihidupkan dan saya kacau sahaja.
Tak sampai setengah jam, gulai saya siap.

Aduhai, bahagia rupanya menjadi suri rumah begini. Nak buat apa pun suka hati kita. Tak payah masuk kelas, tak payah tanda kertas, tak payah tulis buku rekod.

Rasa saya, CRK yang tujuh hari setahun ini tidak perlulah disimpan-simpan untuk ganjaran golden handshake bila bersara nanti. Nikmat memilikinya tidak terbanding dengan wang. Sungguh! Kerana itulah saya akan menghabiskan CRK saya pada setiap tahun. Wang boleh dicari, tetapi masa yang berkualiti begini tidak boleh dibeli!

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, August 20, 2017

Kadang-kadang

Kadang-kadang, kita tidak perlu sebab pun untuk bercuti. Biar kerja menimbun, biar SPM sudah dekat, biar budak-budak tengah stress, biarlah apa pun, tetapi minda dan jiwa terasa seperti mahu bercuti maka, bercutilah.

Tidak perlu lama-lama, sehari sudah memadai.

Asal sahaja kita tahu meletak nilai pada cuti itu. Ia bukan saja-saja dan ia bukan selalu-selalu. Setahun kita diberi tujuh hari, lalu gunalah ia dengan kadar bersesuaian.

Saya sudah mengisi borang untuk bercuti sehari pada esok. Saya mahu menyendiri dan melayan perasaan tanpa gangguan. Tiada sebab lain, cuma itu sahaja.

Esok sehari saya bercuti, lusa saya akan kembali ke sekolah semula. Kembali memberi yang sehabis baik demi sebuah janji dan harapan.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, August 19, 2017

Sambal Belacan

Hujung minggu biasalah, aktiviti tunjuk pandai masak memasak akan berlaku. Semalam Jumaat, saya masak ikan tenggiri goreng kicap saja. Sedikit kangkung goreng belacan dan ayam goreng kunyit sudah cukup melengkapkan keseimbangan diet kami.

Tengah hari ini, saya mahu yang berbeza. Tidak perlu pun mencari lauk pauk di kedai kerana di dalam peti ais saya sudah cukup banyak lauk yang ada. Ikan tenggiri masih berbaki, ada ikan kembung, daging kambing dan ayam. Idea pula mencurah-curah hari ini. Ikan percik? Kari kambing? Paprik ayam?

Muktamadnya, saya pilih kari kambing.

Mudah sahaja kerana semua bahan sudah ada. Rempah menumis, serbuk kari, ubi kentang, santan kotak, semuanya sedia untuk diguna.

Alhamdulillah, kari kambing saya sedap teramat. Saya temankan dengan ayam goreng kunyit, ulam kacang panjang dan sambal belacan. 

Ya Tuhan! Lamanya saya tidak menyediakan sambal belacan versi emak ini. Pada hal ia sangat mudah. Hanya perlu lada, belacan, garam dan limau nipis. Tidak payah susah-susah membakar bawang atau memotong tomato atau menambah gula dan cuka sebab rasa sambal belacan versi emak memang sudah sedap tanpa semua itu.

Maka selera saya terbuka benar hari ini dengan kari kambing dan sambal belacan. Suami saya pun memuji-muji masakan saya. Aduhai!

Rasanya, saya akan makan lagi untuk kali kedua selepas Asar nanti. Tak apa kan?

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, August 17, 2017

Isabella


Ini kenangannya. 

1989, ketika lagu Isabella dendangan Search sedang popular, kami dari tingkatan 5I di MRSMKT pun menamakan kelas kami sebagai 5 Isabella. Biasa, bukan? Memilih apa yang digemari untuk dimiliki.

Gambar ini kiriman sahabat saya di kumpulan WhatsApp kami. Terulang kembali segala kenangan waktu itu. Waktu meraikan majlis perpisahan kelas kami, kami menempah makanan di kantin sekolah sahaja. Yalah, pelajar asrama mana boleh keluar malam!

Wajah-wajah itu semuanya masih saya kenali dan ingati. Alin, Shikeen, Lira, saya, Azni, Asmahan, Zam dan Opie. Dua di hadapan itu pula Zeed dan Juli.

Yang ada dalam gambar tetapi terlindung dari pandangan ialah Zaini, Edi, Hanina dan Norlida. Manakala Asilah, Maizan dan Azlina tidak hadir.

Kami sangat rapat kerana selain sekelas, kami tinggal di asrama yang siang malam boleh berjumpa. Akrabnya kami seumpama adik beradik dan boleh berkongsi segala.

Biar pun kini kami terpisah oleh pelbagai sebab, kasih di hati kekal terjalin. Biar pun kini ada WhatsApp yang kembali menghubungkan, kenangan lama ini tetap tersimpan. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, August 12, 2017

Menu

Tekak saya ini memang bercitarasa antarabangsa. Hampir semua jenis makanan saya mampu telan, walaupun tidak pernah kenal atau jumpa sebelumnya. Sebagaimana saya menggemari tempe, tau fu fa, gulai tempoyak patin, dan banyak lagilah yang saya baru kenal sewaktu di universiti. Semuanya sedap. Apa tidaknya, rakan saya datang dari serata pelosok negara. Ada Jawa, ada Minang, Cina dan India tidak terkecuali. Apabila mereka membawa makanan mereka, tentu saya akan diajak bersama.

Sebab itu saya risau kalau orang bertanya rasa sesuatu makanan. Contohnya di kantin, saya makan mi goreng. Apabila ada yang tanya sedap tak, saya takut nak jawab. Tekak saya ok je, tapi mana saya tahu tekak orang? Ada rakan saya yang cerewet benar. Kalau pesan makanan selalu sahaja tak kena. Masinlah, tumis tak masak lah, mi tak celurlah. Macam-macam. Saya perhati je perangai orang, sebab saya tak macam tu. Tekak saya senang kena. Jarang benar meragam.

Malam tadi sekali lagi saya masak masakan yang saya tak pernah kenal masa kecil dulu. Asam pedas ikan pari. Emak saya dulu selalu masak asam pedas ikan kerisi je. Tu pun rebus, bukan tumis. Suami saya puji sakan masakan saya malam tadi. Sedap katanya. Boleh buka restoran. Wah!

Bila orang puji, tentu semangat bertambah. Tengah hari ini saya nak masak kari kepala ikan pula. Harap-harap mendapat pujian lagi! 




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, August 10, 2017

Aku

Indahnya bulan mengambang pagi ini. Cahayanya bersinar walaupun dilitupi awan. Terpegun seketika aku menatap keindahan ciptaan Tuhan. Menenangkan. 

Pun tidak boleh lama-lama, aku perlu bergerak ke tempat kerja untuk mencari rezeki. Perlahan pintu pagar kututup dan menuju ke kereta yang dipandu suamiku, untuk membawaku ke SMK Kampong Chengal yang aku kasihi.

Ruang kerja aku sememangnya tersendiri. Aku selesa berteleku di situ, biar pun sempit dan berselerak. Yang penting, kerjaku bisa selesai dalam apa bentuk ruang sekali pun.

Murid-muridku di tingkatan lima masih meneruskan perjuangan peperiksaan percubaan mereka di dewan hari ini untuk kertas Sejarah. Manakala yang tingkatan empat, kuteruskan pengajaran seperti biasa.

Hari masih bersisa untuk aku lalui di sini hari ini. Semoga Allah memberkati.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, August 07, 2017

Musykil

Sudah berkali-kali saya mengalaminya. Rasanya pertama kali pada 2014, dan sehingga kini ia masih ada. Dalam perkiraan saya, selang tiga atau empat bulan ia berlaku sekali. Terbaru, Ahad semalam.

Jam sekitar pukul 2.15 petang. Saya sedang berada di bilik mesyuarat bersama guru-guru jabatan Sains Matematik untuk sesi dialog profesional. Tanpa petanda, ia tiba.

Jantung saya berdegup laju, selaju-lajunya sehingga dada saya sakit dan tidak selesa. Badan pun mula berpeluh dan saya hilang fokus. Saya cuba menarik nafas sepanjang-panjangnya tetapi tidak memberi apa-apa kesan. Degupan jantung terus melaju.

Mujur sesi dialog yang bermula jam 1.40 itu sudah di penghujung. Hajat saya untuk mengadakan kelas Matematik Tambahan pada jam 2.45 petang dengan pelajar-pelajar saya tidak dapat saya teruskan. Saya mohon seorang rakan guru untuk memaklumkan pembatalan kelas itu kepada pelajar saya agar mereka tidak tertunggu-tunggu.

Saya terus menelefon suami saya, meminta dia menjemput saya. 

Setiba di rumah, saya rehatkan diri sepenuhnya. Apabila saya mengambil tekanan darah, bacaannya 138/95 dengan nadi 151. Dada masih sakit dan tidak selesa. Saya cuba tidur, tetapi lenanya tidak seberapa.

Suami mahu membawa saya ke klinik tetapi saya enggan. Untuk apa? Saya sudah pernah ke klinik kerana serangan seperti ini dan sudah pun melakukan ujian ECG. Semuanya normal. Doktor pun tidak mampu mendiagnos apa yang saya alami ini.

Alhamdulillah, sekitar jam 6 petang, saya rasa pulih. Denyutan nadi sudah turun menjadi 99. Dada saya pun sudah rasa normal kembali.

Rasa saya, apa yang saya alami ini cumalah isyarat untuk jantung mengepam lebih laju apabila bekalan oksigen saya terganggu dek hemoglobin yang rendah. Agaknyalah!



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Kursus

Lama benar rasanya saya tidak dihantar berkursus ke mana-mana. Selalunya cuma kursus di PPD sahaja, tanpa perlu bermalam.

Minggu lepas, nama saya terpilih untuk satu kursus yang memerlukan saya bermalam. Ia berlangsung pada hujung minggu iaitu bermula pada jam 4 petang Jumaat 4 Ogos dan tamat jam 12 tengah hari Sabtu 5 Ogos.

Mengetahuinya, saya tiada perasaan. Saya tahu kursus ini baunya politik. Tentulah, kerana ia ditaja TSAM. Pun minda saya berkata, biarlah. Saya mahu melaluinya juga untuk sebuah pengisian yang mungkin ada maknanya untuk saya.

Jam 3.05 petang Jumaat itu, saya menuju ke Villa Danialla, Bachok menaiki kereta sahabat saya, Meriam. Kami pergi berenam, menaiki dua buah kereta. Empat lagi yang turut menyertai ialah kak Amalina, kak Zainon, Niswatillaily dan Azaraini (pembantu makmal). 

Perjalanan kami lancar dan selamat tiba pada 3.45 petang. Usai pendaftaran, kami ke dewan untuk slot pertama, bersama TSAM.

Orang politik, bicaranya tentu sekali lantang dan bersemangat. Saya khusyuk mendengar, sambil menganalisis intipatinya. Ya, saya faham apa yang TSAM mahukan.

Jam 6.10 minit barulah bicaranya berhenti dan kami bergerak ke anjung selera untuk sedikit minum petang. Pisang dan ubi goreng ditemani teh panas amat menyegarkan rasa apabila dinikmati di pesisiran pantai sambil dibelai angin nyaman yang sepoi-sepoi bahasa.

6.40 petang barulah kami ke bilik, bersolat Asar dan berehat sebentar sementara menanti Maghrib. Kami diberi bilik yang memuatkan empat orang, dengan kemudahan yang tidak seberapa. Untuk menggosok baju kami perlu ke suatu tempat tersorok yang agak menakutkan. Apalah salahnya jika diletak satu seterika pada setiap bangunan? Suasana persekitaran juga pada saya kurang indah kerana najis binatang ada di atas jalan. Entah mengapa, saya tidak berapa mahu memesrainya lagi.

Jam 10 malam, selesai solat Isyak dan makan, kami ke dewan lagi untuk slot ceramah kedua. Kali ini penceramah kami ialah Dato' Prof. Dr. Mohamad Naser Disa, didatangkan dari IKSIM, KL.

Saya masih menghidu bau politik dalam ceramah ini biarpun tidak secara langsung. Pun penyampaiannya bagus dan mudah untuk saya memahami tentang kedudukan agama Islam dalam perlembagaan juga ancaman Evangelism di Malaysia.

Ceramah ini membawa ke pukul 12 malam dan mata saya sudah layu benar. Malangnya, dal kantuk yang terlalu itu pun, lena saya tidak seberapa. Mungkin berada di tempat berbeza mengurangkan sedikit keupayaan saya untul melayan tidur dengan baik.

Esoknya, Sabtu, kami turun bersarapan pada jam 7.15 dan memulakan sesi bersama pengarah pada jam 8.30 pagi. Sempatlah kami meninjau-ninjau kolam dan bergambar sementara menanti slot pengarah itu.

Sememangnya, Tn. Hj. Jaafar Ismail seorang pengarah yang hebat. Saya mengagumi beliau yang begitu komited dalam membantu dan memastikan dunia pendidikan di negara ini diberi kewajaran yang betul. Ucapannya bersahaja, nadanya lembut tetapi penuh makna. Semoga hasrat beliau meningkatkan kualiti pendidikan menjadi sesuatu yang sentiasa diperjuangkan biar pun tempoh beliau sebelum bersara cuma tinggal dua bulan sahaja lagi.

Segalanya tamat pada jam 11.30 pagi dan seusai makan tengah hari, kami bergerak pulang. Ada sesuatu untuk saya fikirkan daripada kursus ini dan tentunya saya bakal mencari keputusannya.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, August 04, 2017

Kaya

Apabila ada segelintir selebriti menayang kekayaan, semua pun mula mencaci maki, marah-marah. Riak, kata mereka. 

Apabila Neelofa melancong dengan penerbangan mewah Emirates yang bernilai RM40K, membazir kata mereka. Baik sedekah pada orang miskin atau buat masjid. Ada pahala.

Dan seterusnya begitulah. Semua benda rupa-rupanya tak boleh. Susahnya jadi orang Islam. Yang haram banyak sangat!

Mengapa?

Jadi Islam kena miskinkah? Kalau kaya pun, duit tu kena sedekah, kena derma. Kalau nak guna untuk mewah-mewah, nanti membazir.

Jadi?

Saya semakin tidak faham dengan pemahaman dan mentaliti Muslim di Malaysia ini. Tentang perkara macam ni pun gaduh panjang-panjang. Entah bila nak selesai. Semua negatif.

Penat!

Saudara-saudaraku, pastikan kenderaan kamu adalah yang paling murah harganya. Jangan beli Honda, Toyota, apalagi Mercedes dan BMW. Cukup pakai Axia sahaja. Membazir, baik bersedekah.

Rumah pun, buat muat-muat duduk sahaja. Jangan besar-besar. Membazir, baik bersedekah.

Nak mewah, nak selesa, tunggu masuk syurga.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, August 02, 2017

Sulit

Isu yang sebegini sensitif sebenarnya bukanlah layak untuk saya kupas. Saya lulusan Matematik, yang sering disempadankan daripada garis jalur keilmuan, dan dipersoalkan kepentingannya (oleh sebahagian orang). Biarlah. Itu saya enggan kisah. Hanya saya yang tahu mengapa saya memesrai bidang ini. Jika tiada manfaat untuk sebahagian besar insan, sekurang-kurangnya masih ada segelintir yang mahu menerima.

Dalam Matematik, saya dilatih untuk sentiasa tepat dalam mencari keputusan dan sentiasa ada logik dalam pembuktian. Tidak ada jawapan yang hadir tanpa kaedah dan untuk aras kemahiran tinggi, saya perlu membuka minda untuk memahami situasi.

Situasi yang sedang tular kini, sulit sekali pemahaman dan penerimaannya.

Satu pihak mahu ia begitu, satu pihak lagi mahu ia begini. Masing-masing ada pandangan yang boleh diklasifikasikan sebagai logik tetapi berbeza kepentingan. Saya sendiri masih mencari keseimbangannya.

Dalam keadaan begini, saya benar-benar berharap wujud agamawan yang proaktif, yang bijaksana, rasional dan tidak dipengaruhi sebarang sentimen. Yang mampu meletakkan wajah Islam agar sentiasa indah di mana-mana. Saya sudah muak malah pedih membaca tulisan yang memperlekeh keputusan agamawan kita.

Jika ada non-Muslim yang berkata, "I don't want to be in a religion that reject the child out of wedlock" maka di mana indahnya agama kita? Mungkin kerana dia non-Muslim, maka dia tidak nampak rasional di sebalik setiap fatwa dan hukum yang ada. Tetapi bukankah dia seorang manusia normal, punya akal kurniaan Tuhan, dan boleh menyimpulkan segala pemerhatiannya? Tercapaikah objektif dakwah jika keputusan dan hukuman menimbulkan perasaan tidak senang dalam hati non-Muslim?

Ya, sulit. Sulit untuk membuat satu keputusan yang seimbang. Mengapa?

Sehingga kini saya masih sedang mencari. Meneliti. Dan menanti sesuatu yang boleh disepakati. Biarpun sulitnya, hanya Tuhan yang tahu.