Saya sesungguhnya sentiasa mencuba untuk memberi yang sehabis baik demi memartabatkan bidang perguruan yang saya ceburi. Cita-cita dan harapan saya tentunya mahu melihat guru-guru di Malaysia ini mempunyai kebijaksanaan yang tinggi, sentiasa rasional dalam membuat penaakulan dan tahu harga diri. Saya mahu guru-guru yang benar-benar mahu menjadi guru dan punya keperibadian guru sahaja yang berada di dalam bidang ini. Bukan apa, saya nampak bidang ini semakin dipandang rendah bukan kerana orang lain, tetapi kerana guru sendiri yang merendahkannya.
Apabila ada kisah tentang guru yang tular di media, saya akan membaca komen dan pandangan guru-guru di laman sosial. Pada kebanyakan masa, saya hanya mampu menggeleng kepala dengan setiap ungkap kata dan butir bicara yang mereka lontarkan. Banyak benar yang tidak indah, yang buruk dan yang tidak layak keluar dari fikiran seorang guru tetapi dengan rasa tidak bersalah mereka kongsikan di media. Saya kesal dan hiba. Inilah guru-guru Malaysia. Ya, bukan semua tetapi ramai.
Di sekolah saya sendiri pun, ada watak-watak guru yang saya kurang senangi. Peribadi mereka boleh menjatuhkan nilai seorang guru yang benar-benar mahu menjadi guru. Saya bukan mendabik dada mengatakan sayalah yang terbaik, kerana saya juga serba kekurangan tetapi saya tidak tega untuk mencemarkan profesion saya dengan apa cara sekali pun.
Wajarkah seorang guru berkata dia datang ke sekolah setiap hari tanpa sebarang niat? Jenaka apakah yang sedang dia lakukan? Jika pun mahu berjenaka, bukanlah pada semua perkara.
Hati saya membara kala mendengar dia berkata demikian. Ia berlaku sewaktu sesi taklimat formal berkaitan pencapaian sekolah yang dikendali oleh penceramah luar. Begini dialognya.
Penceramah : Cikgu, pagi tadi sebelum turun ke sekolah, apa yang cikgu niatkan dalam hati cikgu?
Cikgu A : Saya mahu mengajar murid-murid saya di sekolah.
Penceramah : Cikgu B?
Cikgu B : Saya tiada niat apa-apa.
Penceramah : Apa? (Nada seperti mahukan penjelasan)
Cikgu B : Saya tidak ada niat apa-apa pun.
Saya yang turut berada di dalam majlis itu berasa amat terkejut dengan jawapan daripada seorang guru bertaraf pentadbir itu. Berjenakakah dia?
Penceramah itu seterusnya membidas dengan lembut, mengatakan tidak boleh begitu wahai cikgu. Apa-apa pun yang kita lakukan mestilah beserta dengan niat Lillahi Taala agar kita mendapat pahala daripada kerja kita.
Guru-guru yang begini sememangnya menakutkan. Saya risau dengan kualiti guru yang tidak punya niat apa-apa pun untuk ke sekolah. Entah apa yang dia mahu, saya tidak pasti. Tetapi guru-guru beginilah yang akan menjadi punca kepada banyak isu tentang guru dan pendidikan.
Adik saya ada menulis tentang kata-kata muridnya apabila mengetahui sewaktu SPM dahulu adik saya mendapat keputusan 9A. Kata muridnya, "kenapa dapat 9A tetapi jadi cikgu sahaja?"
Cikgu sahaja.
Kerana kedudukan cikgu itu entah pada nombor berapa di belakang segala profesion lain. Sedih bukan? Pada hal, gurulah yang sepatutnya mencapai keputusan paling baik berbanding profesion lain kerana daripada gurulah lahirnya profesional-profesional itu. Tetapi realitinya memang ironi. Bidang perguruan dicebik sehabis daya oleh masyarakat, dan kita yang berada di dalamnya enggan mengembalikan kehormatan bidang ini yang pernah menghiasi.
No comments:
Post a Comment