Saturday, September 30, 2017

Wind's Hidden Love

Lom Sorn Ruk

Kali ini saya terjebak dengan drama cinta! Tetapi bukan semata-mata cinta, ada banyak rencah dan bumbu yang menyentuh rasa.

Saya sentiasa tidak sabar menanti kesudahan. Cari dan mencari, saya menemui drama ini di internet yang bersarikata Inggeris. Wah!

Malam ini saya melayarinya. Tidak perlu lagi saya tertunggu-tunggu siarannya di Astro Bella.





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, September 27, 2017

Pesta Buku

"Ti, Kak Sham dan Una nak ke Pesta Buku. Ti buat relief ya!"

Suara Kak Sham memecah hening pagi saat saya masih mengadap skrin komputer di bilik peperiksaan untuk menyiapkan jadual relief pagi ini.

"Ok Kak Sham!"

Saya meneruskan kerja dan Kak Sham berbual-bual dengan Nani yang baru tiba. Selesai urusan relief, saya turut menyertai mereka. 

"Bestnya Kak Sham pergi Pesta Buku. Nak ikut boleh?"

"Marilah Ti! Lagi seronok kalau Ti ada!"

Wah! Saya teruja! Berapi-api keinginan untuk ke sana. Sementelah jadual saya hari ini tidak padat dan murid-murid saya sudah diberi lembaran kerja. Saya cuma perlu memohon kebenaran daripada pentadbir sahaja.

Dari aras bilik peperiksaan itu, saya nampak kelibat Puan PKP di aras bawah. Terus kami menuju kepadanya dan memaklumkan yang kami mahu ke Pesta Buku bertiga. PKP terus sahaja mengizinkan. Alhamdulillah. 

Jam 8.10 pagi, saya, Kak Sham dan Una menuju ke Pesta Buku di Lundang menaiki Nissan Teana milik Kak Sham dan tiba sekitar jam 8.40 pagi.

Ramainya murid-murid yang dibawa guru ke sini. Arahan PPD demikian adanya, supaya murid-murid datang ke sini beriring guru perpustakaan. 

Pun, Pesta Buku ini kecil sahaja. Tidak banyak bahan bacaan yang mengujakan saya. Tidak mengapalah. Masih ada yang boleh saya beli.

Kak Sham yang minat memasak, membeli beberapa buah buku masakan. Saya pula, tentunya buku-buku genre yang selalu saya beli. Una? Entah di mana-mana dia. Segala jenis buku agaknya yang dia beli. Dia paling lama di dalam dewan dan paling banyak membeli buku. 

Nanti tahun hadapan, saya mahu mencelah ke sini lagi walaupun saya bukan guru perpustakaan.

Hasil pancingan saya. Majalah ADIK itu percuma ya!

Saya dan Kak Sham sedang menanti Una. Ustazah Norizan turut meneman.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, September 24, 2017

Cuma Itu

9.57 malam. Sendirian saya malam ini. Tenang dan damai. Indah. 

Sambil peti televisyen terpasang, saya melayari instagram. Melihat gambar-gambar teman, sahabat, keluarga, dan semua yang mahu berkongsi. Setiap gambar tentunya punya cerita.

Saya sendiri pun suka memaparkan gambar di instagram. Ada cerita-cerita yang mahu saya kongsi di sebalik setiap gambar itu. Nanti lama-lama, saya akan melayari kembali gambar-gambar kenangan ini untuk sebuah senyuman, atau mungkin juga sebuah tangisan.

Seperti sebentar tadi.

Gambar indah seorang ibu bersama puteri kecilnya saya tatap berkali-kali. Mulanya saya tersenyum. Saya menumpang rasa bahagia menatap ibu itu memeluk dan mencium puterinya yang manis. Mereka kelihatan bahagia sekali. Senyuman tidak lekang dari bibir kedua-duanya. Mesra dan bahagia.

Tiba-tiba hati mula tersentuh. Ada rasa yang berbeza mendatang dalam jiwa. Rasa yang halus dan sunyi tentang sebuah kenyataan. 

Saya biarkan rasa itu menguasai. Saya biarkan air mata mengalir di pipi. Saya biarkan sahaja, agar ada lega menanti.

Bukan saya tidak redha dengan sebuah ketetapan. Saya tahu segalanya dari Tuhan dan ia tentu yang terbaik buat saya. Cuma, saya sedikit rindu pada sesuatu yang saya tidak punya.

Cuma itu. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, September 22, 2017

Salam Maal Hijrah


Hari ini 1 Muharram 1439 Hijrah. Salam Maal Hijrah buat semua. 

Jujurnya, saya tidak pernah tahu blog saya ini dilawati atau tidak oleh sesiapa. Jujurnya juga, saya tidak pernah mahu tahu. Saya menulis demi sebuah kepuasan sendiri. Ada pembaca atau tidak, ia bukan suatu isu.

Saya hanya mahu menulis dari hati.

Semoga kehadiran 1439H ini bakal mewarnai dunia dengan wajah keamanan yang saya rindukan. Aman dan tenteram dalam setiap perkara. Tiada pertelagahan. Tiada permusuhan.

Yang ada hanya aman dan damai. Tenang dan bahagia.

Wednesday, September 20, 2017

Sentuh

Realitinya, hati saya sangat mudah tersentuh. Sensitif yang kadangkala tidak bertempat. Pun sejak usia bertambah ini, saya cuba untuk lebih rasional dan mengawal perasaan agar tidak terlalu rapuh. Saya mahu menjadi lebih matang, dan pada masa yang sama mengelak daripada menyentuh hati sesiapa jua. Saya mahukan ketenangan dua hala. Ya, tenang dan menenangkan. 

Namun sebagai manusia, apa yang kita pendam lama-lama, tiba waktunya akan tidak mampu lagi ia terus terpendam. Dalam nada penuh berhemah dan menjaga hati, saya meluahkan jua apa yang tersimpan agar saya tidak terus lelah memikulnya. Saya mahu ia menjadi semakin jernih.

Sesungguhnya dalam apa jua perhubungan yang saya tempuhi - suami isteri, adik beradik, ibu anak, rakan taulan, ipar duai, guru murid, pemimpin dan yang dipimpin dan semualah - saya mahu ia menjadi perhubungan yang indah dan tidak menyakitkan sesiapa. Jika ada yang tidak kena, tegurlah dengan teguran membina. Usah besarkan kesilapan kecil yang boleh dibetulkan dengan mudah. Usah memaksa pihak lain untuk berubah, tetapi biarlah kita yang mencuba untuk menyesuaikan diri dengan sikap mereka selagi ia masih dalam batasan.

Begitu saya mencuba. Begitu saya mahu membina. Dan tentunya saya sentiasa berserah dan berdoa agar apa yang saya lakukan ini diberkati Tuhan.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, September 19, 2017

Lama


Selalu begitu. Setiap kali bertemu sahabat lama, perkara pertama yang akan ditegur ialah saiz badan saya.

Waktu alam persekolahan, berat saya ideal sekali. Makanlah banyak mana pun, berat saya cuma sekitar 52-56 kg sahaja dengan ketinggian 1.62 m. Saya bukan aktif bersukan atau selalu bersenam tetapi sistem badan saya cekap membakar lemak. Kadar metabolisme saya tinggi agaknya.

Sangka saya, ia berterusan begitu sehingga bila-bila. Rupanya usia yang meningkat dan pengambilan hormon yang lama akibat penyakit yang saya hidapi telah menyebabkan berat badan saya bertambah-tambah. Bukan tiada cita-cita untuk menurunkan berat badan tetapi sukar sungguh untuk saya melakukannya.

Sekarang, berat saya sudah menjangkau 92 kg. Perlukah saya redha sahaja? Sudah jelas di wajah, ada lapisan lemak yang tidak indah dipandang. Sudah jelas di tubuh, ada lipatan-lipatan yang mengganggu keselesaan.

Saya tidak percaya dengan produk-produk menguruskan badan di pasaran. Saya lebih meyakini kaedah menjaga pemakanan dan bersenam. Itu yang saya mahu lakukan tetapi masih belum mampu memulakan.

Semoga ada kekuatan untuk saya menjaga kesihatan.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, September 17, 2017

Batu Buruk


Berkali juga kami merancang untuk ke Terengganu tetapi selalu tidak menjadi. Kali ini, saya mahu ia tercapai. Melalui booking.com saya menempah Tanjong Vista untuk semalaman. Jika ada apa-apa aral pun, saya mahu redah sahaja.

Benarlah, hari Jumaat 15 September itu kelas Matematik Tambahan diadakan. Saya dengan berani meminta pelepasan atas alasan urusan peribadi. Alhamdulillah permintaan saya dipenuhi.

Jam 9.30 pagi kami bergerak dari Kg Chenok menyusur pantai menuju ke Kuala Terengganu. Singgahan pertama kami tentunya di Pantai Baru Buruk untuk makan tengah hari. Jam 12.30 kami tiba di situ.

Selesai makan, suami ke masjid Sultan Zainal Abidin untuk bersolat Jumaat manakala saya menanti di Pasar Payang. Jam 2.00 baru kami bergerak ke Hotel Tanjong Vista untuk check in.

Lega rasanya dapat merebahkan badan di bilik 903 dengan pemandangan indah di luar jendela. Nyaman pendingin hawa menambah kenikmatan peraduan saya yang membawa ke pukul lima petang.

Kami seterusnya turun ke Pantai Batu Buruk pula untuk pusing- pusing di sana dan kebetulan ada ekspo berlangsung. Sempat kami membeli belah sedikit. Sekadar baju dan tudung yang murah-murah. 

Santapan kami petang ini di gerai tepi pantai, nasi goreng ayam dan mi sup. Kenyang, Alhamdulillah. 

Sebelah malam, kami tidak bergerak jauh, sekadar ke restoran Asia Signature di sebelah hotel sahaja. Saya memesan sepiring wedges dan segelas bandung cincau. Suami pula meminta roti canai cheese dan air laici.

Esok pagi, sarapan kami di hotel. Jam 10.00 kami turun dan check out dan menuju ke Pasar Payang pula. Dua helai kemeja batik untuk suami, sepasang kain batik sutera dan sehelai kaftan untuk saya. Cukuplah. Nanti ada ruang kami datang lagi. 

Sebelum bergerak pulang, kami membeli beberapa bungkus keropok keping untuk cenderamata keluarga di rumah.

Jam 11.15 pagi, kami menuju ke Kota Bharu. 

Jam 12.30 kami berhenti makan di Restoran Hasnik, Penarik. Ikan dan sotong celup tepung, bersama-sama semangkuk nasi air dan dua gelas air kelapa cukup mengenyangkan kami berdua. Alhamdulillah. 

Jam 2.45 petang kami selamat tiba di rumah kami.

Percutian yang sekejap begini benar-benar hanya untuk kami berdua sahaja. Bukan tidak mahu kunjung mengunjung sahabat dan saudara tetapi ruang kali ini bukan untuk itu. In shaa Allah bila kami datang lagi nanti kami akan memasukkan agenda kunjung mengunjung sahabat dan saudara pula.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Petunjuk

Masih tentang sebuah cerita duka yang tiba tanpa diduga.

Tujuh orang ditahan berkaitan kes ini, dan mereka semua masih terlalu muda untuk melakukan jenayah. Masih terlalu muda, dan mereka sepatutnya berada dalam kawalan keluarga dan tidak sewenang-wenang dibiar berkeliaran sehingga Subuh. 

Sepatutnya.

Sayang ia tidak begitu. Salahkanlah semuanya. Daripada ibu bapa, guru, sekolah, masyarakat, pemimpin, mufti juga penjual goreng pisang. Salahkanlah. Kerana memang semuanya pun bersalah.

Pun, selepas saling menyalahkan, maka diamlah semua. Nanti esok-esok, ia berlaku lagi dan salah menyalah pun berulang lagi. Tiada pengajaran langsung kerana ego masing-masing adalah di tahap paling tinggi. Semestinya yang bersalah ialah pihak lain. Kita ini benar sentiasa adanya.

Saya muak. Malah mual. Rasa mahu muntah. Semuanya hero dalam menyalahkan orang lain tetapi kecut untuk bertindak membaiki sistem yang pincang.

Tuhan, beri petunjuk-Mu!


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Khianat

Apa pun elemen yang ada, ciri keselamatan tetap tidak boleh diambil ringan. Apatah lagi jika penghuni itu sebahagian besarnya anak-anak kecil yang masih belum mampu bertindak apabila bahaya tiba.

Saling menyalahkan tidak akan memberi kesan apa-apa, kerana setiap teguran dan saranan sebetulnya perlu dipertimbangkan. 

Sakit hati saya apabila mereka masih mahu menuding jari ke sana sini, pada hal kes ini sudah pun berlaku. Mengapa masih enggan mengambil pengajaran? Nanti bila berlaku lagi, beginilah juga suasananya. 

Benar puncanya khianat (walaupun masih di peringkat awal siasatan) tetapi tanpa pengawal keselamatan, tanpa alat pemadam api, tanpa persediaan menghadapi sebarang kemungkinan seperti ini, masihkah mereka mahu berlepas diri?

Ambillah pengajaran. Sekurang-kurangnya jika ada pengawal keselamatan, kelibat pengkhianat itu dapat dikesan. Jika ada pemadam api di dalam bangunan, dan ada juga latihan kebakaran, mungkin penghuni asrama itu boleh bertindak memadam api semampu yang boleh. Pun begitulah. Benda sudah berlaku. Tiada jika-jika lagi untuk kes ini.

Cuma untuk masa mendatang, biarlah ia tidak berulang. Kepedihan hati ahli keluarga mangsa tidak akan terubat sampai bila-bila. Mereka akan terus dihantui rasa bersalah, terkilan, sedih dan pilu sepanjang hayat mereka. Sungguh.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, September 14, 2017

Belati ini

Menonton Buletin Utama malam ini, mengundang air mata yang tidak tertahankan. Tidak mampu saya meneruskan tontonan kerana sebak di dada begitu menghimpit dan jeritan batin tidak mampu mengeluarkan suara.

Tuhan, apakah ini?

Bukan mahu menyalahkan takdir. Semua itu sudah tertulis menjadi satu suratan yang hikmah-Nya Allah jua maha tahu. Tetapi apabila membayangkan tubuh-tubuh kecil anak-anak yang masih suci itu berlari berpelukan dan menjerit meminta pertolongan saat api menyala-nyala, ada belati tajam menghiris di sudut hati saya. Pilu!

Benarlah mereka itu kembali kepada-Nya dalam penuh suci. Syahid. Alhamdulillah. 

Tetapi selesaikah?

Mana tanggungjawab? 

Tolonglah, jangan jadikan takdir sebagai penutup sebuah cerita sepilu ini. Lakukanlah sesuatu kerana ini bukan kali pertama. 

Salam takziah buat keluarga mangsa. Al-Fatihah.





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, September 13, 2017

Daya

Tinggal tidak sampai dua bulan sahaja lagi peperiksaan besar yang dinantikan akan bermula. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang kami kenali juga sebagai Sijil Paling Mahal ini sememangnya sangat penting untuk pendidikan di Malaysia. Tanpa UPSR, tanpa PMR (atau PT3 sekarang) seorang pelajar masih boleh meneruskan pengajian tetapi tanpa SPM, hanya institusi swasta yang tidak diiktiraf sahaja yang akan menerima. Bukankah ia menjadi sesuatu yang mahal? Sekurang-kurangnya di Malaysia.

Syarat untuk lulus SPM mudah sahaja, lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, maka layaklah pelajar itu menerima sijil. Jika tidak, hanya pernyataan keputusan sahaja yang akan dikeluarkan dan ia tidak laku di mana-mana pun jua.

Pagi ini, saya melangkah ke kelas Tingkatan 5 Ibnu Nafis untuk meneruskan tugas saya menjelang peperiksaan SPM ini. Semua pelajar sudah sedia menanti dan saya mengedarkan soalan Matematik Model SPM Kertas 2 Bahagian A sebagai latihan ulangkaji hari ini. Saya beri mereka masa dua puluh minit untuk menjawab lima soalan tersebut, dan bakinya empat puluh minit lagi untuk perbincangan.

Pun, mereka ini bukanlah mampu. Saya tahu itu. Semua perlu dibimbing dan ditunjuk ajar berkali-kali kerana keupayaan mereka sangat terhad. Mereka pelajar kelas kedua akhir, jadi apalah yang boleh saya jangkakan tanpa bantuan seteliti mungkin?

Sewaktu perbincangan, saya bukan sahaja memberi mereka kaedah menjawab tetapi juga kaedah mengira menggunakan kalkulator.

“Ok, kamu tekan kalkulator macam ni. Lapan kuasa dua tambah lima belas kuasa dua, lepas tu sama dengan.” Saya memberi arahan penuh terperinci.

“Cikgu, ulang semula, tak sempat ni!”

Saya ulang.

“Dah dapat jawapan tu, tekan punca kuasa dua pula,” saya bersuara selantang yang boleh.

“Hah? Apa tu?”

“Punca kuasa dua! Ada kat button kalkulator kamu tu. Tak nampak?” Geram pula saya bila punca kuasa dua pun tak tahu.

“Mana? Simbol dia macam mana cikgu?”

Saya lukis di papan tulis tanda punca kuasa dua. Tak jumpa juga dia. Aduh! Saya merapati pelajar ini da menunjukkan simbol itu di kalkulatornya. Dia lantas menekan.

“Syntax error cikgu!”

Saya mengeluh dan menggeleng. Jika boleh mahu menggaru kepala tetapi saya bertudung pula. Sudah satu-satu saya beri arahan, masih salah tekan lagi!

“Tengok sini.” Saya menekan kalkulatornya satu persatu, dan dia memerhati. Jadi. Jawapannya tujuh belas.

Dia tersengih.

Begitulah. Kadang-kadang benda kecil begini amat mencabar kesabaran saya. Mereka ini sangat perlahan sehingga menekan kalkulator pun perlu dinotakan dalam buku. Pun saya tidak pernah mahu berputus asa. Mereka tetap anak-anak didik saya yang saya kasihi. Saya tidak mahu kekurangan mereka itu mengganggu semangat saya untuk terus membantu, walaupun ada kalanya saya rasa seperti tidak berdaya.

Semoga mereka berjaya juga di dunia dan di akhirat, walaupun SPM mereka tidak semegah mana. Dunia ini luas anak-anakku. Jangan sempitkannya, laluilah jalan pilihanmu dengan penuh keimanan. Semoga Allah redha.

Monday, September 11, 2017

UPSR 2017

Selamat menduduki peperiksaan wahai anak-anakku. Semoga tenang dan tenteram selalu.

Saya masih berpegang yang UPSR bukanlah medan penentu. Ia cuma satu langkah daripada beribu-ribu lagi langkah yang akan dilalui di hadapan nanti. Jangan ditekan keterlaluan. Mereka hanyalah anak-anak kecil yang baru mengenal seperkara dua dalam hidup. Beri mereka masa untuk mengenal diri, mengenal persekitaran, berfikir, mencari rasional dan tahu untuk memimpin diri sendiri menempuh setiap cabaran. Semua itu tiada dalam kertas peperiksaan. Ia ada dalam perjalanan kehidupan.

Bantulah mereka seadanya. Jika tiada A, bukanlah tiada kecemerlangan. Mungkin jiwa mereka masih mencari-cari dan kitalah yang seharusnya menjadi penunjuk arah. Bukan penunjuk jalan ke gred A sahaja.

Ibu dan bapa, kalianlah yang lebih wajar mendekati anak-anak dalam sekolah kehidupan. Kami guru hanya memberi ilmu yang sekuman cuma, yang ada dalam sukatan dan yang akan ditanya dalam dewan peperiksaan. Sentuhan kami pada sisi selain itu terlalu minimum kerana dunia sekarang keterlaluan memaksa kami membina jujukan A dalam sijil anak-anak murid kami, iaitu anak-anak kalian. Kami tiada pilihan, terpaksa mengikut arus yang diarahkan walaupun pada banyak ketika kami terasa mahu memberontak. Siapalah kami untuk bersuara.

Ibu dan bapa, pandulah anak-anak kalian pada landasan ketakwaan. Mereka dahagakan semua itu kerana di sini kami tidak mampu. Kami hanya ada doa yang tulus mengiring mereka pada setiap waktu. Semoga masa depan mereka tidak kelam dan suram.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, September 10, 2017

Keputeraan

Nampaknya, hanya Kelantan dan Terengganu sahaja yang menikmati cuti sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Yang di-Pertuan Agong pada setiap kali.

Apa tidaknya, sejak lama Hari Keputeraan ini diletakkan pada Sabtu yang sudah sedia menjadi cuti umum  di seluruh negara. Bagi Kelantan dan Terengganu, jika cuti umum jatuh pada hari Sabtu maka ia dibawa ke Ahad. Bagi Kedah dan Johor, jika cuti umum jatuh pada Jumaat, ia akan dibawa ke Ahad. Bagi negeri-negeri lain (yang hujung minggunya Sabtu dan Ahad), jika cuti umum jatuh pada Ahad maka ia akan dibawa ke hari Isnin. 

Saya tidak pasti siapa yang menetapkan peraturan begitu, tetapi ia berpihak kepada kami di Kelantan dan Terengganu.

Sewaktu saya masih di sekolah rendah, saya berasa pelik kerana tarikh Hari Keputeraan tidak sama pada setiap tahun. Pada 1981, tarikhnya ialah pada 3 Jun, tetapi pada 1982 ia menjadi 2 Jun. Kenapa begitu? Saya pun bertanya pada arwah ayah.

Kata ayah, Hari Keputeraan bukan ikut tarikh, tetapi ikut hari. Ia akan disambut pada hari Rabu pertama bulan Jun pada setiap tahun tanpa mengira siapa Agongnya. Oh begitu, baru saya faham.

Beberapa tahun kemudian (saya tidak pasti tahun bila), kerajaan Malaysia meminda harinya daripada Rabu kepada Sabtu pertama setiap Jun. Tujuannya supaya cuti itu tidak mengganggu hari persekolahan. Pada ketika itu, hari Sabtu merupakan hari bekerja tetapi bukan hari persekolahan. Jadi cuti itu hanya melibatkan jabatan-jabatan selain daripada sekolah. Pada ketika itu juga, bulan Jun bukan bulan cuti persekolahan.

Ketetapan hari dan bulan untuk sambutan Hari Keputeraan itu kekal sehingga 2016 sebelum diubah menjadi pada 9 September pada tahun ini. Harinya masih lagi Sabtu. Untuk tahun depan, ia masih lagi misteri.

Apa pun, mimggu hadapan kami di Kelantan dan Terengganu akan menerima cuti seperti ini lagi sempena Hari Malaysia pula. Alhamdulillah. Mungkin ruang itu nanti akan saya gunakan untuk bercuti bersama suami di tempat-tempay menarik sekitar sini. In shaa Allah. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, September 05, 2017

Tingkatan Empat

Waktu ini, saya sedang berada di klinik O&G HUSM untuk temujanji dengan doktor pakar. Temujanji saya pada jam dua petang. Tentunya saya akan ke sekolah dahulu sebelum bersegera ke hospital.

Ada juga sesekali saya mengambil cuti rehat, atau meminta MC daripada doktor semasa temujanji begini kerana mahu berehat dan tenangkan fikiran dahulu sebelum berjumpa doktor. Tetapi sejak kebelakangan ini, saya rasa tidak seronok begitu. Saya akan ke sekolah juga, dan keluar pada jam 1 tengah hari. Makan dan solat Zohor di HUSM, sebelum menanti giliran di klinik. Rasa kurang selesa juga kerana badan berpeluh-peluh dan kepenatan dek bertugas dahulu di sekolah.

Pun begitulah. Ada rasa sayang untuk meninggalkan mereka - anak-anak murid saya - begitu sahaja. 

Tingkatan 4 Ibnu Rushd contohnya. Saya mengajar mereka Matematik dan kerana mereka pelajar aliran Sains yang mengambil Matematik Tambahan maka sangat mudah mata pelajaran ini. Sebelum cuti Ogos baru-baru ini, saya sudah tamatkan sukatan. Masa yang masih berbaki dua bulan sebelum peperiksaan akhir akan saya manfaatkan dengan ulangkaji dan latih tubi.

Jam 12.10 tadi ialah waktu Matematik dan saya cuma memberi mereka soalan latihan. Saya tidak sempat untuk mengajar kerana perlu keluar ke klinik. Nampak benar mereka sedikit kecewa. Dan di klinik ini, saya teringat-ingat pada mereka.

Saya tahu mereka rajin. Soalan latihan yang saya beri itu tentunya mereka jawab dengan baik. Cuma saya terkilan kerana tidak dapat bersama-sama dengan mereka untuk menyelesaikan semuanya. Saya tinggalkan mereka begitu sahaja.

Saya rasa bersalah.

Minggu depan, baru saya akan berjumpa mereka lagi. Kelas saya dengan mereka ialah pada Ahad, Isnin dan Selasa. Ahad dan Isnin semalam cuti, jadi tinggallah hari ini sahaja, tetapi tidak dapat mengajar pula. Ahad minggu depan pun cuti, jadi tinggallah Isnin dan Selasa sahaja. Kasihan mereka!

Apa pun, saya tetap akan memberikan yang terbaik dalam masa yang masih berbaki ini agar kesemua mereka mendapat sekurang-kurangnya 70 markah untuk mata pelajaran mudah ini.

Begitu doa saya, seorang guru yang sentiasa kasihkan anak-anak muridnya.

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, September 04, 2017

Kembali

Hari terakhir bercuti, menjadi hari yang paling santai buat saya. Kesantaian sebegini menerbit rasa berat untuk kembali bertugas esok. Terasa ingin terus bersantai begini lagi!

Awal pagi, sarapan saya ialah nasi belauk. Habis sebungkus, saya kekenyangan. Selesai memasukkan timbunan kain ke dalam mesin basuh, saya kembali ke bilik, membuka radio sinar di Astro, dan tidur. Jam sepuluh baru saya bangkit. Suami saya sibuk dengan hal dia sendiri, tanpa perlu saya kisah.

Saya teruskan hari saya dengan melipat kain baju yang penuh dalam bakul. Sempatlah saya menyelesaikan semuanya hari ini, Alhamdulillah. Saya ke dapur pula menyediakan bahan untuk memasak tengah hari. Suami saya cuma mahu daging goreng. Saya seimbangkan dengan ulam kacang panjang dicecah sambal durian. 

Usai makan dan solat Zohor, saya menonton AF Megastar, yang diulang siar. Langsungnya malam tadi tetapi saya sempat menonton separuh sahaja kerana lagu-lagunya yang tidak menepati selera saya menyebabkan mata saya mengantuk, maka tidurlah saya. Petang ini saya habiskan tontonan kerana tiada rancangan lain yang lebih menarik untuk ditonton. Seterusnya, saya lena juga!

Jam 5.15 petang baru saya bangun. Selepas Asar saya menggosok pakaian untuk kerja esok, dan berehat lagi. Pada awalnya suami mengajak saya makan di kedai malam ini. Wah, saya setuju sahaja! Terus saya pilih kedai makan KST untuk menikmati ikan siakap. Dia pun ok sahaja. Tetapi kemudiannya baru dia teringat ada ceramah di masjid oleh ustaz Arab yang berloghat Kelantan malam ini. Saya kata pergi masjidlah, saya masak di rumah. Dia serba salah tetapi saya meyakinkan dia yang saya ok.

Ya, saya ok. Saya masak mihun goreng sahaja untuk makan malam dan ia sangat mudah. Tidak susah pun.

Sekarang saya sedang menunggu dia pulang dari masjid untuk sama-sama menikmati mihun goreng istimewa itu.

Esok, kami akan kembali ke sekolah.

Selamat malam.





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, September 01, 2017

Korban

Salam Aidiladha. 

Hari saya bermula seawal jam lima. Menyediakan diri untuk hari mulia ini tentunya perlu dimulai dengan yang baik dan indah. 

Ma dan adik-adik saya pulang beraya di kampung. Mek pula tidak berapa sihat jadi dia tidak dapat bersolat sunat aidiladha di masjid. Saya dan suami keluar dari rumah terus menuju ke masjid pada jam 7.45 pagi. Damainya pagi-pagi begini, masjid pun masih lengang. Solat akan bermula jam 8.30 pagi, saya masih punya banyak waktu untuk menyendiri. Saya memilih tempat yang istimewa, di tepi tiang untuk sedikit ruang dan berhadapan pendingin udara. Untung datang awal begini, boleh pilih tempat mana-mana tanpa perlu bersesak. 

Jam 9.30 pagi, selesailah solat sunat aidiladha di masjid ini. Kami bergerak ke rumah mek, dan berkunjung pula ke rumah-rumah ipar duai yang cuma sebelah menyebelah. Jam 11 pagi, kami ke rumah Pak Su Mat memenuhi jemputan untuk jamuan aqiqah cucunya. Tidak lama pun, jam 11.30 pagi kami pulang ke rumah.

Sementara menunggu suami ke masjid untuk solat Jumaat, saya sempat lena sebentar. Jam 1 tengah hari baru saya bangun menyiapkan makan tengah hari seringkas yang boleh.

Paru goreng, sambal durian, ulam kacang panjang dan ikan masin amat menyelerakan. Alhamdulillah. 

Hujan turun mencurah-curah dengan lebatnya sekitar jam 3.30 petang. Nyaman dan damai sekali suasana. Begini hari raya yang indah, rupanya.

Selepas Asar, saya menggoreng keropok lekor sebagai minum petang. Sebentar lagi, suami saya akan menghantar saya ke rumah mek sementara dia ke masjid untuk bersolat maghrib dan isyak. Malam ini kami dijemput makan malam di rumah kak Zan, jadi saya menunggu sahaja majlis itu sambil bersantai di rumah mek. Harap-harap ma dan adik-adik sudah pulang pada waktu itu dan saya bolehlah bermesraan di rumah ma juga.

Sekian.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.