Alhamdulillah, syukur emak masih sihat
pada usia enam puluh enam tahun ini. Raut wajah emak masih berseri-seri
meski disulam ketuaan yang pasti. Semoga Allah merahmati emak dan
memberi sepenuh perlindungan dan keselamatan sepanjang hidup emak.
Emak
akan bertolak ke Kuala Lumpur menaiki penerbangan Air Asia pada jam
3.45 petang Sabtu 27 Januari ini. Lusa. Emak mahu menziarah anak-anak
emak yang berada di luar Kelantan. Ismah di Putrajaya, Abang Lutfi di
Shah Alam, Rifqi dan Zahidah di Johor Bahru dan Muhammad di Teluk Intan.
Kami di Kelantan sudah selalu-selalu emak jumpa, tentu emak rindu pada
yang jauh.
Saya
akan menghantar emak ke lapangan terbang, dan emak akan diberi kerusi
roda. Emak bersendirian kali ini, tanpa ditemani anak-anaknya walaupun
emak ada anak lapan orang. Terfikir juga saya, sibuk benar kami hingga
membiarkan emak berpergian sendiri.
Awalnya
saya mahu cuba mencari ruang meneman emak ke sana. Mungkin saya boleh
turun pada malam Jumaat bersama-sama dan saya pulang sendirian pada
petang Sabtu. Tetapi belum sempat perancangan saya selesai, adinda saya
di Putrajaya itu telah sedia menempah tiket untuk emak bersama-sama
khidmat kerusi roda. Emak pula dengan penuh keyakinan, menerima dan
bersedia untuk ke KL bersendirian.
Cekal dan berani sungguh emak saya. Semoga Allah melindunginya.
Selamat
bercuti emak. Saya akan merindui emak, dan sungguh saya sentiasa
merindui emak. Setiap hari. Walaupun ketika bersama-sama emak, rindu itu
tetap ada. Saya sayang emak saya lebih daripada segalanya, kerana dia
anugerah Allah paling indah buat saya.
Indah. Sungguh indah.
Saya dan emak di Perbukitan Uhud, Madinah pada Jun 2013. |
Semoga ada peluang untuk bersama-sama emak ke sini lagi nanti. Amin. |
No comments:
Post a Comment