2 Januari 2018.
Hari ini Selasa, hari kedua bekerja pada tahun baru 2018 ini. Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik walaupun batuk masih ada lagi. Sekurang-kurangnya, tidur malam tadi lebih lena daripada malam sebelumnya.
Selamat ulangtahun yang pertama buat Huda Hana, dan kelima buat Amal. Semoga kalian dewasa dalam kasih sayang yang mendamaikan.
Dua puluh tahun lalu, pada tarikh ini saya bernikah. Biar pun dia lelaki yang tidak saya kenali, tetapi atas dasar percaya dan yakin kepada pilihan ibu dan ayah, juga menerima dia sebagai jawapan Allah kepada doa-doa saya bertahun lamanya, saya menerima penuh redha. Sungguh.
Mencecah dua puluh tahun usia pernikahan ini, saya tetap dan terus mengaguminya sebagai lelaki terbaik untuk saya. Mungkin jika lelaki lain, sudah lama menduakan saya atas kekurangan saya ini, tetapi dia masih setia menjaga saya tanpa pernah mahu menoleh kepada pilihan lain yang ada. Biar pun saya tidak sempurna, dia masih ada di sisi memberi segala yang saya mahu. Untuk itu, syukur saya melimpah ruah. Terima kasih, Tuhan!
Saya bahagia, sesungguhnya.
Terima kasih ibu dan ayah. Terima kasih saudara sedarah daging. Terima kasih teman dan sahabat. Terima kasih yang sungguh-sungguh kerana mewarnai dunia saya hingga saya lupa segala kekurangan diri.
Entah berapa lama lagi saya diberi ruang menghuni dunia, saya tidak pernah mahu kisah. Saya mahu mengisi ruang itu dengan damai dan bahagia seadanya, tanpa secalit benci atau dengki. Jika saya berpulang pada-Nya nanti, saya mahu sejahtera di sisi-Nya jua.
Amin.
No comments:
Post a Comment