Monday, September 30, 2019

Mengisi Cuti

Enam hari berturut-turut saya bercuti sejak Rabu. Dua hari pertama ialah cuti rehat kerana suami tidak sihat, dua hari kedua cuti hujung minggu dan dua hari terakhir ini cuti berkabung atas kemangkatan ayahanda Sultan.

Cuti berkabung ini sememangnya di luar jangka tetapi ia mengujakan kami. Apa tidaknya, suami saya bercadang mahu mengambil cuti sakit sehari lagi pada Ahad kerana masih lemah dan mahu berehat, tetapi apabila dikhabarkan ada cuti berkabung selama dua hari pada Ahad dan Isnin oleh kerajaan negeri, tentulah ia sesuatu yang penuh hikmah.

Ahad itu kami penuhi dengan berada di rumah sahaja. Sayq mengqmbil peluang ini untuk menyiapkan analisis peperiksaan percubaan SPM sekolah saya. Mungkin post mortemnya akan diadakan pada minggu ini jadi saya tidak boleh bertangguh.

Memandangkan kami diarahkan berpakaian untuk berkabung selama 40 hari iaitu tudung putih untuk wanita dan songkol hitam kemuncak putih untuk lelaki, kami manfaatkan hari ini untuk menyempurnakan perkara itu seadanya. Tudung putih saya cuma ada sehelai, itupun yang sepuluh tahun dulu dan kali terakhir saya memakainya ialah pada 2009. Saya lantas mencari sehelai dua lagi di Lazada dan Shopee, harap-harap sempatlah tiba hujung minggu ini.

Suami saya pula bertungkus lumus melekatkan kain putih pada kemuncak songkoknya. Saya hanya membantu mencari bahan sahaja - kain putih, kertas tebal, gunting, jarum dan benang. Kreatif juga dia dan songkoknya boleh tahan menjadi.

Hari ini Isnin, kami sedang bersiap untuk membeli lauk di kedai Berangan apabila sahabat suami saya tiba berdua dengan isterinya untuk bertanya khabar suami saya. Sempatlah kami berempat berbual-bual sambil menikmati kek dan teh o.

Tengah hari ini saya menyediakan asam pedas ikan tenggiri seperti yang suami saya mahu. Sedang saya memasak di dapur dan suami bersolat zohor di masjid, rakan lamanya dari Kuala Krai tiba bertiga. Saya terus menambahkan kuantiti masakan saya supaya cukup untuk semua tetamu. Asam pedas, sayur goreng, ikan selar goreng, telur itik goreng dan tembikai saya hidangkan kepada mereka. Harap-harap mereka berselera menikmati air tangan saya.

Sekarang mereka sedang makan di luar dan saya menyejukkan diri di bilik. Mata pun terasa layu, mahu tidurlah sebentar. Sekian.

Sunday, September 29, 2019

Sultan Ismail Mangkat


AYAHANDA Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, pagi tadi.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, baginda mangkat pada 8.11 pagi.

“Dengan sangat kedukaan dan kemashyuran dilafazkan iaitu Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra yang dihormati dan dikasihi telah mangkat pada jam 8.11 pagi hari ini bersamaan 28 Muharram 1441 Hijrah.

“Oleh itu ketahuilah bahawa dengan perintah titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V adalah ditentukan perkabungan kerana kemangkatan Sultan Ismail iaitu mulai hari ini.

“Istiadat pengebumian akan dilakukan selepas solat Asar hari ini,” katanya dalam sidang media Pengumuman Kemangkatan di Bilik Gerakan Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk istiadat pengebumian, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan akan melakukan perbincangan rasmi selepas ini.

“Bagi menghormati perkabungan, kita juga mengisytiharkan cuti peristiwa selama dua hari bermula esok,” katanya.

Saturday, September 28, 2019

Tidak Terjangka

Apabila ketetapan Tuhan itu berlaku, maka berlakulah. Hamba yang reda akan menerima dan melalui meskipun berliku. Dan itulah yang saya rasai dalam hidup saya ini.

Saya dan suami diuji Tuhan dengan sesuatu yang tidak terjangka, dan kami menerima penuh reda. Mungkin ujian ini bukanlah sebesar mana tetapi ia sebenarnya satu titik peringatan buat kami agar tidak leka dan terlalu mengejar dunia.

Selasa itu semuanya seperti biasa sehinggalah malamnya, suami saya mengadu ada yang tidak kena pada dirinya. Tangan kanannya menjadi lemah, apabila diangkat jatuh sendiri. Kepalanya berpusing-pusing kepeningan. Selalunya sebelum tidur dia gemar menonton tv tetapi kali ini dia tidak mampu. Saya menyangka mungkin dia terlalu penat dengan kerjanya sepanjang hari ini, lalu meminta dia berehat dan tidur.

Pagi Rabu, terjaganya dengan rasa yang semakin teruk. Lidahnya terasa pendek dan tuturnya sedikit telor. Saya mula risau dan terus memaklumkan kepada PKP yang saya mahu cuti, suami saya sakit. Suami juga menelefon Pengetuanya memaklumkan dia perlu ke klinik.

Tanpa lengah selepas sarapan lebih kurang, kami turun menuju ke Klinik Kesihatan Perol. Saya mahu meminta bantuan anak saudara di seberang jalan sana untuk memandu kami ke klinik tetapi kata suami saya dia boleh memandu sendiri. Saya akur walaupun dalam bimbang.

Di klinik, doktor yang memeriksa suami saya mengatakan suami saya mengalami strok ringan iaitu ada salur darah ke otak yang tersumbat menyebabkan pengaliran oksigen tersekat. Dia memberi ubat Aspirin 150mg dan Simvastatin 40mg untuk tempoh sebulan dan berpesan, jika makin teruk kena pergi hospital. Suami saya juga diberi MC dua hari.

Pulang ke rumah dia mahu berehat jadi kami tidak memberitahu siapa-siapa pun tentang keadaannya. Biar dia tidur dan menenangkan diri untuk beberapa ketika. Sehingga maghrib barulah dia menghubungi Mek untuk memberitahu keadaannya.

Terus pada malam itu keluarganya datang menziarah. Risau juga mereka. Tiga buah kereta singgah pada jam 9 malam itu untuk melihat keadaan suami saya. 

Khamis, saya masih bercuti untuk meneman suami saya. Hari ini tukang urut datang ke rumah untuk mengurut dan keadaan suami saya nampak semakin baik. Mek masih mahu melihat anak lelaki tunggalnya ini dan datang ke rumah kami dihantar cucunya. 

Suami saya walaupun belum seratus peratus pulih tetapi perkembangannya positif. Selepas berurut, dia memandu ke G-Orange untuk membawa saya membeli belah di sana. Saya mahu sahaja pergi dengan Grab tetapi dia tidak membenarkan. Saya tiada pilihan kerana barang dapur sudah habis, jika tidak membelinya hari ini kami ketiadaan bahan untuk memasak!

Di G Orange saya biarkan dia berehat di dalam kereta sementara saya sendirian membeli belah di TF. Mek kami tinggalkan sendirian di rumah.

Jumaat tiba, dan dia semakin pulih. Ma dan Aziah bersama Muiz datang menziarah bersama nasi impit kuah kacang yang lazat sungguh. Terima kasih. Kata Ma Husna juga mahu datang petang nanti tetapi suami saya kata tidak perlu susah-susah kerana dia okay sahaja. Lagi pun selepas Jumaat nanti ada dua rumah di kejiranan kami ini mengadakan jamuan makan, nanti jalan akan sibuk dan susah untuk masuk.

Alhamdulillah, saya rasa lega melihat suami saya semakin pulih. Semoga esok tiba dengan cahaya yang indah dan nyaman.

Tuesday, September 24, 2019

Adik Balik

Adik bongsu saya yang seorang ini memang suka balik kampung. Tak cuti pun dia tak kisah, hujung minggu yang dua hari itu pun dia selit. Memang kebongsuannya amat ketara dalam bab ini, tak boleh kalau tak jumpa ma lama sangat.

Jumaat lepas, dia sampai dari JB naik bas. Kebetulan saya ada ruang untuk bersantai di rumah ma sebab suami saya ada kelas tambahan. Terus saya memohon izinnya untuk berada di rumah ma sampai tengah hari,  memasak dan makan ramai-ramai dengan adik-adik yang lain juga. Dia takde hal, okay je.

Perkara pertama yang perlu dilakukan sebaik sampai di rumah ma ialah shopping. Kali ini saya dan si bongsu ini keluar ke G Orange menaiki grab kerana tiada kenderaan. Okay je, semuanya berjalan lancar. Lepas shopping, acara seterusnya ialah memasak. Ringkas dan mudah je menu pilihan kami, yang penting ada rencah kasih sayang.

Lepas Jumaat, kami sama-sama menikmati hidangan yang disediakan dengan penuh rasa kesyukuran.

Sunday, September 22, 2019

Duduknya Seorang Guru

Selalu kami para guru Malaysia Abad 21 ini diingatkan agar sentiasa berdiri semasa mengajar dalam bilik darjah. Sebolehnya, jangan duduk langsung.

Ingin saya sarankan agar latihlah robot untuk menjadi guru, saya pasti robot-robot itu tidak akan merungut langsung jika disuruh berdiri berjam-jam.

Sedang saya, maaflah, saya tidak mampu. Saya mahu juga bertanya, tidak sampai ilmukah jika saya duduk?

Mendera guru dengan menyuruh mereka berdiri sepanjang sesi pengajaran adalah tidak wajar. Saya bukan mahu duduk tak bangun-bangun, saya cuma tidak mahu lutut saya dipaksa bekerja di luar upaya. Sewaktu memberi penerangan dan menyemak kerja murid tentulah saya berdiri dan berjalan, tetapi semasa murid menulis, berbincang atau membuat latihan biarlah saya duduk seketika. Kalau semasa duduk itu saya memberi penerangan atau arahan kepada murid, bukanlah ia sesuatu yang tidak baik. Pembelajaran masih berlaku dan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dengan mengajar seperti itu.

Itulah yang dinamakan Pengajaran Abad ke 21.

Friday, September 20, 2019

Rindu Luar Biasa

Saya tidak tahu kenapa ia tiba. Selalu rindu ini mengganggu sehingga saya tersedu menahan tangis.

Selepas arwah Reda pergi, saya dilanda rindu tiba-tiba pada arwah uminya, bonda Asma'. Dan ia berlarut-larut sehingga kepada semua yang tiada. Arwah ayah, arwah Pak Su, arwah datuk, semua tiba dalam ingatan yang pilu. Saya rindu, sungguh rindu tetapi tiada apa yang boleh saya lakukan untuk menghilang rindu itu. Hanya tangisan yang mengiring rasa tidak terperi.

Dalam lara mencari penawar rasa, saya terimbau ke suatu tempat untuk saya hadir memohon segala. Tanah Suci Makkah. Saya mahu ke sana lagi. Saya rindu tanah haram dan saya mahu menghadiahkan umrah buat semua yang saya rindu, seupaya yang saya ada. Lalu saya suarakan pada dia, suami tercinta. Abang, bawalah saya pergi umrah.

Suami saya setuju, Alhamdulillah.

Kali ini saya mencari yang lebih selesa dek kesihatan yang tidak seberapa. Selepas berbincang dan mengambilkira segala faktor, kami memilih Emraz Travel yang menawarkan pakej Safwah. Jaraknya dekat dengan masjid dan harganya berpatutan.

Setakat ini kami sudah menghubungi pihak Emraz dan sudah pun berkunjung ke pejabatnya di Bandar Baru Tunjong. Kami masih memikirkan tarikh yang sesuai dan setakat ini kami berhajat untuk memilih Januari 2020.

Tuhan, permudahkanlah, agar terlerai rindu ini.




Kisah 19

Semalam 19 September 2019 - comel je tarikhnya kan? Terasa ingin dinukilkan di sini apa yang berlaku pada tarikh indah ini.

Khamis sememangnya hari yang amat dinanti kerana ia hari terakhir bekerja setiap minggu. Walaupun pengisiannya sama sahaja tetapi auranya berbeza. Rutin di sekolah tetap serupa, sentiasa mengikut jadual yang ada. Tidak perlulah ditulis perkara yang sama berulang-ulang, bukan? Nanti bosan pula.

Ada beberapa perkara bukan rutin yang ingin saya simpan di sini.

Pertama, hari ini hari terakhir Nurul Afiqah bertugas sebagai guru ganti di sekolah ini. Terasa juga kehilangan dia, yang sentiasa menjadi teman bual saya selama lima minggu di sini. Teman-teman guru pun perasan betapa akrabnya kami, dan mengumpamakan saya sebagai penjaga yang baik untuk seorang anak saudara. Ya, saya sentiasa mahu menjaganya semampu saya dan doa untuk dia sentiasa ada. Anak yang baik begitu, siapa pun akan sayang bukan?

Kedua, sahabat lama saya yang amat saya kasihi, Azlin Ruzaini menjalani pembedahan fibroid hari ini. Awalnya dia tidak memberitahu tetapi membaca status medianya saya dapat menebak. Lantas saya bertanyanya dan dia mengiakan serta memohon doa saya agar semuanya selamat. Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar dan selesai seperti yang dirancang. Doa saya untuk sahabat yang satu ini sentiasa mencurah-curah. Walaupun jarang berjumpa, kenangan yang dilakar lebih tiga puluh tahun lalu indah sentiasa. Allah akan menjagamu, sahabat.

Ketiga, dua orang rakan guru di sekolah ini sedang dirawat di hospital. Suriana dan Hairoul.

Suriana sedang dirawat di PPUKM, susulan pemindahan sum sum tulang yang dilaluinya dua tahun lalu. Rawatannya lebih kepada pemantauan dan saya sentiasa mendoakan Suriana akan sembuh sepenuhnya dari Leukemia yang dideritainya itu.

Hairoul pula sedang berada di wad 7S HUSM kerana komplikasi pelbagai penyakit yang dihidapinya. Semoga Allah memudahkan urusan Hairoul dan memberi kesembuhan untuknya yang masih muda dan memiliki anak-anak yang masih kecil. 

Keempat, cerita tentang kesihatan saya sendiri. Alhamdulillah batuk saya sudah semakin mengurang walaupun belum hilang sepenuhnya, dan badan saya juga terasa lebih bertenaga. Terasa seperti sihat tanpa penyakit, walaupun masih menanti rawatan jantung yang seterusnya. Semoga Allah mengangkat penyakit saya ini dan memulihkan saya kembali. Amin.

Monday, September 16, 2019

Batuk Lagi

Malam tadi saya ke klinik, jumpa doktor dan memberitahu saya batuk. Berapa lama sudah? Tanyanya. Lebih dua minggu, jawab saya.

Saya tidak berapa pasti tempoh sebenar batuk ini mula menghuni badan saya, tetapi saya terseksa sungguh. Sudah dua botol ubat batuk jenis berbeza saya habiskan tetapi ia belum mahu sembuh. Mungkin kali ini tidak seteruk yang pernah saya alami pada Januari 2018 dulu, yang mana saya tak boleh tidur langsung kerana batuk menggila. Batuk saya kali ini agak baik hati kerana membenarkan saya tidur lena pada malam hari. Hanya terjaga sekali dua apabila tekak kegatalan.

Doktor seperti terkejut bila saya kata sudah lebih dua minggu saya batuk. Langsung dia meminta saya membuat pemeriksaan TB jika masih belum sembuh selepas memakan ubat yang diberi nanti.

Tiga jenis ubat diberi kali ini, ubat batuk expectorant bena, antibiotik amoxyclav dan lozenge. Saya dikenakan bayaran sebanyak RM48.

Saya berdoa agar batuk ini sembuh dan saya tidak terjangkit TB. Saya sudah diuji dengan banyak penyakit Ya Allah, janganlah ada lagi kesakitan lain untuk saya.

Amin. Amin. Amin.

Tuesday, September 10, 2019

Boikot Lagi?

Boikotlah korang. Aku tak kuasa...

Aku Melayu, sayang dengan Melayu tapi aku tak benci bangsa lain. Aku benci orang jahat je. Kalau Melayu tu jahat aku boikot. Kalau bangsa lain yang baik aku tak boikot.

Aku orang Islam. Aku ikut perintah Tuhan aku. Tuhan aku ajar aku berkasih sayang tanpa mengira bangsa atau agama. Tuhan aku suruh hormat bangsa lain, hidup dengan harmoni dan jangan cari pasal.

Nabi aku pun berurusniaga dan berjual beli dengan orang Yahudi. Kenapa pula aku boikot?

Aku tak nak boikot. Aku nak hidup aman. Aku nak berkawan dengan semua orang. Aku tak nak bangsa aku jadi bodoh, jadi pak turut. Aku nak bangsa aku sentiasa kuat dan bijak. Sentiasa mencari nilai-nilai yang baik walaupun daripada bangsa lain. Itu ajaran Tuhan aku.

Korang tak nak? Lantak koranglah!

Kasih Tak Terhurai

Kau temui jalanmu, apakah kau pasti itu yang kau cari? Aku tak menyalahkan, bahkan merelakan, takdir itu takdir.

Namun ke mana dan bagaimana kubawa cintaku?

Pedih yang menampar, menambahkan luka padaku yang terlalu mencintaimu. Gemersik menikam tersayat sembilu, apakah ini kan berakhir?

Namun tangisanmu yang pernah kau titiskan waktu perpisahan, memberikanku tanda satu keraguan kian bergelora.

Namun siapakah bisa huraikan pertanyaan ini?

Hanyalah dirimu yang menyimpan rahsia, jawapan pasti yang kunantikan. Ku tetap menanti saat kau kembali ke asalmu, pangkuanku.

Sunday, September 08, 2019

Sabtu Lalu

Sudah Ahad rupanya hari ini. Sudah perlu saya meneruskan tugas saya di sekolah. Seperti selalu, berada di sekolah ada keseronokan yang tersendiri, tetapi bukan tentang itu cerita saya kali ini. 

Saya mahu menulis tentang betapa indahnya Sabtu saya semalam apabila hanya terperuk di rumah. Sungguh, begitu cara saya memanjakan diri dengan me time yang berkualiti, tanpa perlu bercuti ke mana-mana. Seawal pagi, selepas bersarapan suami saya keluar untuk urusan servis keretanya. Saya benar-benar menikmati kebersendirian yang enak. Tidak tahu mahu ungkapkan bagaimana, terasa bebas dan aman sekali fikiran. Lalu apa perlunya saya bercuti jika berada di rumah amat mendamaikan jiwa?

Khamis lalu, saya pulang ke rumah emak selepas tamat sekolah kerana suami saya ada jamuan tahunan. Pulang menumpang Afiqah sungguh memudahkan, terima kasih Afiqah. Emak mengkhabarkan dia mahu pulang ke Golok barang semalam dua untuk menziarah setelah lama benar tidak ke sana. Cadangnya hari Jumaat dia akan bertolak dan Alhamdulillah Husna sekeluarga sudi memenuhi hasrat emak itu. Sedang saya, terpaksa memenuhi harapan anak didik tingkatan lima saya yang mahukan kelas Matematik Tambahan dari lapan hingga sebelas pagi Jumaat itu.

Maka Sabtu sahajalah hari untuk saya berehat sepenuh hati. Nikmatnya bersama diri sendiri tidak terbanding dengan apa pun. Sungguh!

Esok Isnin, ialah cuti hari Keputeraan. Saya akan tetap ke sekolah untuk mengadakan kelas Matematik Tambahan. Harap Tuanku tidak marah dengan saya kerana saya bukan tidak mahu meraikan Tuanku, cuma anak-anak murid saya ini tidak boleh dibiar belajar sendiri. Apa nak buat, saya reda sahaja.

Friday, September 06, 2019

Kecindan

"Cikgu, kenapa cikgu lukis bulatan tu cantik aje. Saya lukis tak jadi!"

Anak murid saya di Tingkatan 4 itu spontan bertanya. Saya baru memulakan topik Sukatan Membulat dan menerangkan konsep radian ketika itu.

"Laa, mestilah cantik sebab cikgu kan orang beriman."

Saya menjawab selamba.

Serentak satu kelas pecah ketawa. Rupa-rupanya kelakar benar jawapan selamba saya itu. Lama tawa mereka bergema, dan saya tersenyum bahagia.

Begitu momen tercipta, tanpa satu perancangan, ia terhasil spontan. Bukan mereka sahaja tercuit hati, saya pun turut terhibur mendengar tawa mereka. Tetapi setakat itu sahajalah, tiada sambungan lagi kerana saya meneruskan proses PdPc saya dengan serius.

Saya bukanlah guru yang kelakar, malah saya tidak pandai berjenaka. Mungkin kerana saya ini jenis yang tidak gemar belajar dengan guru yang kelakar lebih-lebih. Saya suka suasana serius dan fokus. 

Pun, saya perlu sedar yang bukan semua orang sama seperti saya. Suka atau tidak, unsur kecindan perlu ada walaupun sedikit dalam pengajaran. Buat hilang mengantuk, katanya. Cuma, saya tidak suka kelakar yang dibuat-buat, seperti dipaksa untuk ketawa. 

Sehingga kini pun, saya tidak berminat dengan kelucuan sebegitu. Kadang-kadang saya berasa hairan melihat mereka yang tertawa menonton video yang dikongsi dalam WhatsApp atau Facebook, sedangkan pada saya tidak lucu pun. Sama juga dengan gambar-gambar lucu yang dikongsi, sukar untuk saya tergeletek hati.

Begitu seriuskah saya dengan kehidupan ini?

Tuesday, September 03, 2019

Kuantan dan Kuala Terengganu

Pagi Sabtu 31 Ogos itu, tepat jam 9 pagi kami bergerak keluar dari kediaman kami menuju ke destinasi percutian yang telah kami rancang. Dek badan yang sudah penat sejak malam tadi, saya terus rasa mengantuk dan sekitar jam 10 lebih saya mula lena dibuai ayunan kereta Mercedes CLA180 yang dipandu suami.

Perjalanan kami kali ini melalui LPT dan ini pengalaman pertama saya. Mulanya saya cuak untuk melalui LPT ini kerana takut. Maklumlah pelbagai cerita tidak enak saya baca tentang laluan ini tetapi saya cekalkan hati untuk meneruskannya. Benarlah jalannya teruk, terasa diri dilambung-lambung walaupun lena. Kepada pemandu-pemandu yang menggunakan jalan ini, tolonglah berhati-hati. 

Jam 12 kami berhenti di RnR Paka untuk makan tengah hari. Sepinggan nasi berlaukkan ikan cencaru sambal dan sayur goreng cukup untuk mengisi perut yang kelaparan.

Perjalanan diteruskan dan kami tiba di Greenlast Hotel sekitar jam 2.30 petang. Selepas berehat seketika, kami bergerak ke Pantai Teluk Cempedak pada jam 4 petang. Di sana kami menikmati hidangan petang yang agak berat. Saya memesan kue teow kunvfu dan jus epal susu manakala suami saya meminta nasi lemak dan jus oren.

Malam ini kami berkunjung ke rumah sepupu saya Bahri. Kebetulan dia mengadakan solat hajat untuk anaknya yang akan menduduki UPSR tidak lama lagi, kami pun turut melibatkan diri. Jam 10 baru kami pulang.

Esok pagi, kami keluar sarapan di Tanjung Api dan berkunjung pula ke rumah sepupu saya Kak Halimah. Bermakna rasanya percutian kali ini kerana dipenuhi agenda bersua kaum keluarga.

Jam 11 pagi kami turun dari Hotel menuju ke Kuala Terengganu pula. Seperti semalam kami singgah makan tengah hari di Hentian Paka pada jam 12.30 dan meneruskan perjalanan sehingga tiba di Hotel Seri Malaysia pada jam 2.30 petang.

Jam 4 kami keluar ke pantai Batu Buruk dan menikmati minum petang di Medan Selera Mayang. Kami sama-sama memesan roti oblong dan teh o ais.

Untuk makan malam kami cuma menuju ke Restoran Hotel sahaja. Saya meminta mi kari dan sirap limau manakala suami memesan chicken chop dan jus oren. Harganya cuma RM29.50. Alhamdulillah.

Pagi Isnin, kami bersiap untuk pulang. Selepas sarapan di restoran Hotel dan bersiap-siap, jam 10.30 kami turun. Sebelum pulang, kami meronda-ronda kawasan sekitar dan melalui juga Drawbridge yang masyhur itu. Jam 11.30 kami bergerak pulang ke Kota Bharu.

Kami singgah makan tengah hari di Restoran Hasnik, Penarek (nasi ayam, ikan celup tepung dan air kelapa) dan tiba di rumah pada jam 2.30 petang.

Begitu catatan percutian kami kali ini.

Sunday, September 01, 2019

Tangis Ini

Tersentuh benar saya dengan kepergian Reda sepupu saya pada Khamis lalu. Sebaik membaca pesanan WhatsApp yang ditulis Ayah Su dalam grup keluarga kami, air mata saya berderai-derai. Sepanjang perjalanan pulang dari hospital itu saya hiba benar. Mujur suami saya tidak menegur apa-apa melihat saya menangis begitu. Dia biarkan saya melayan perasaan saya, walaupun sebenarnya saya cuba menahan. 

Sehingga ke malam, saya masih tidak mampu menghentikan kesedihan saya. Malah menjelang pagi pun, saya masih menangis bila mengenangkan Reda.

Sejak dia sakit, namanya sentiasa ada dalam doa saya. Entah kenapa saya yakin dia akan sembuh. Melihat sahabat saya Suriana (yang diuji penyakit sama pada dua tahun lepas) kini sembuh dan sudah kembali mengajar di sekolah, saya menjangkakan Reda juga akan begitu. Apatah lagi Reda jauh lebih muda dan tentunya lebih kuat melawan sakitnya berbanding Suriana yang diuji pada usia empat puluh lima tahun. Kerana itu apabila Reda pergi, saya seperti tidak mahu percaya.

Takdir Allah tertulis usia Reda setakat dua puluh satu sahaja. Saya sedih bukan kerana tidak reda dengan takdir ini, tetapi hati menjadi syahdu saat mengenang pedihnya kehilangan seorang anak yang dikasihi. Terbayang wajah Ayah Su yang tentunya sedih dalam tabah menerima kehilangan. Bukan mudah menahan rasa diuji begini, Allah jua yang tahu.

Walaupun singkat tempoh Reda berada di dunia ini, saya tahu dia sudah memberi yang sehabis baik. Saya yakin dia kini sedang bahagia di dalam jagaan Allah. Kita yang ditinggal ini perlu terus tabah menempuh kehidupan, sehinggalah nanti akan ke sana jua.