Khamis, 6 Ogos. Saya ke sekolah seperti biasa. Selesai menyiapkan jadual relief, saya sarapan. Jam 8.00 saya masuk kelas 5IBS dan tamat sejam kemudian. Kelas seterusnya pada jam 10.30 jadi saya ada waktu senggang selama sejam setengah.
Perut saya memulas. Sudah beberapa kali saya ke tandas hari ini. Badan pun rasa lemah. Sejam setengah masa senggang saya itu saya tidak buat apa pun, rehat sahaja selain berulang ke tandas. Di kelas pun saya mengajar sikit sahaja, kebetulan cuma satu masa dan tamat jam 11.00.
Perut masih memulas. Saya tidak selesa. Kelas seterusnya jam 12.00 tapi saya betul tidak larat. Saya mohon kebenaran untuk ke klinik dari pentadbir dan diizinkan. Suami datang menjemput pada jam 11.45 dan saya dihantar ke rumah, bukan ke klinik. Saya mahu rehat dulu. Nanti petang sikit kalau belum elok perut saya ini baru saya ke klinik. Saya tak larat sebenarnya. Saya mahu rebahkan badan di katil dan tidur dahulu.
Di rumah, saya perlu alas perut dulu sebelum tidur. Saya ke dapur, ada nasi malam tadi dan lauk daging goreng. Sikit je nasi tu, tak sampai pun sesenduk. Habis saya makan. Alhamdulillah.
Jam baru 12.30, saya pun rehat di katil hingga tertidur. Jam 1.40 terjaga, saya bangun ke bilik air dan solat. Sempat saya mengaji dua muka surat sebelum tiba-tiba jantung saya berdetak laju selajunya.
Waktu itu jam menunjukkan pukul 2.05 petang. Suami saya ada mesyuarat, lambat lagilah pulang. Jantung saya masih laju. Saya mengambil pil GTN dan meletakkan di bawah lidah tetapi tiada perubahan. Saya mencuba untuk tidur tetapi tidak berjaya.
Saya pernah kena begini, ada yang lama dan ada yang sekejap. Kali ini ia lama. Suami saya pulang jam 3.30 saya masih begitu. Suami mengajak saya ke klinik tetapi saya tidak larat untuk bergerak. Saya kata biar dulu, kalau malam ini masih begini baru kita pergi.
Selama saya baring saya rasa okay tetapi bila bergerak saya akan sakit dada dan berpeluh. Keadaan masih tidak berubah sampai ke jam 6.00, dan usai solat Asar saya memberitahu suami saya mahu ke unit kecemasan HUSM selepas Maghrib nanti.
Saya solat jamak tamam Maghrib dan Isyak di rumah. Jam 7.50 kami turun dan setiba di unit kecemasan saya langsung tidak menunggu, terus dibawa ke zon merah. Sekumpulan doktor dan petugas perubatan mengerumuni saya dan mencuba pelbagai kaedah untuk menurunkan nadi saya yang setinggi 156/minit.
Saya tidak pasti kaedah apa namanya yang mereka guna tetapi saya diminta meniup picagari sekuat hati sambil kaki saya diangkat setingginya sehingga kepala saya ke bawah. Gagal.
Kaedah kedua, leher saya diurut, lengan saya dicucuk (lama mereka mencari urat yang betul menggunakan kamera, dan ini menakutkan saya sungguh-sungguh) dan ubat dimasukkan melalui lengan itu menjadikan jantung saya terasa seperti berhenti sekejap. Dada saya ketat dan sakit tetapi sekejap sahaja, dan kali ini mereka berjaya. Alhamdulillah nadi saya turun ke bacaan 97.
Suami saya dibenarkan masuk untuk melihat saya selepas saya stabil. Alhamdulillah, saya sudah rasa normal dan tidak sakit dada lagi. Saya kena duduk wad ke doktor? Ya, kami perlu monitor keadaan puan.
Saya dibiarkan berehat sebelum dipindah ke wad 7 utara katil 33. Suami saya pulang berehat di rumah dan pagi esok akan datang semula.
Jumaat, 7 Ogos. Saya sudah rasa okay tetapi masih perlu berada di wad untuk meneruskah ubat. Ubat fondaparinux akan disuntik di bahu saya setiap hari sehingga lima hari. Ubat-ubat lain pun banyak perlu saya ambil. Saya reda. Semoga Allah memberi kesembuhan dan keampunan untuk saya.
Semoga Allah menjaga suami saya yang begitu bersusah payah sehari dua ini. Terima kasih kekasih.
Terima kasih doa semua. Ibu, adik beradik, mentua, ipar duai, saudara mara, sahabat dan semua. Amin, semoga Allah perkenankan doa kalian.
Sakit begini, hati mudah tersentuh. Semoga semua yang saya sayang terjaga dalam lindungan Allah selalu.
Amin.