Jam 5.44 pagi, saya sudah selesai mandi dan berwangi-wangi, sekarang merehatkan diri di katil 33 wad 7 utara untuk pagi yang keempat.
Malam tadi tidaklah selena selalu, tetapi saya ok sahaja. Tenang juga begini. Saya lupa seketika segala urusan kerja dan rumah tangga dan hanya merehatkan fikiran dari segala keserabutan.
Benar saya sedang sakit tetapi saya tidak mahu tertekan kerananya. Saya mahu positif dan sentiasa ceria biar apa pun dugaan melanda. Allah menjadi inspirasi kerana hanya dia yang mengerti.
Syukur sungguh rasanya dikelilingi insan-insan yang prihatin dan menyayangi. Terima kasih segala doa, ingatan dan pesanan. Saya benar-benar menghargai semuanya.
Di sini saya tenang. Setiap hari bahu saya dicucuk, lengan saya disuntik dan jantung saya dipantau oleh doktor dan jururawat yang kacak dan manis, saya tidak kisah malah senang sekali. Walaupun tidur saya dikejut pada tengah malam untuk diberi ubat atau diambil darah, saya biarkan. Malah saya tenang melihat senyuman manis jururawat juga mendengar kata-kata semangat dari doktor. Teman-teman di sekitar bersilih ganti, menambah kenalan dan pengalaman.
Esok yang akan tiba masih misteri, tetapi doa sentiasa saya iringi. Semoga hari mendatang terang bersinar selalu.
No comments:
Post a Comment