Tuesday, August 18, 2020

Klinik

Hari ini saya ada dua temujanji di dua klinik di HUSM. Temujanji pertama ialah di klinik O&G, untuk pemantauan sista dan fibroid saya. Sepatutnya ia berlaku pada 5 Mei lalu tetapi ditunda ke hari ini kerana PKP.

Temujanji kedua ialah di klinik rawatan keluarga, untuk ambil darah bagi ujian buah pinggang kerana saya diberi ubat baru iaitu Valsartan 800 untuk darah tinggi. Ahad nanti baru jumpa doktor.

Dek kerana dua tempat perlu saya pergi, maka saya memutuskan untuk bercuti rehat (CRK) sahaja. Jadi saya boleh bersantai di rumah sebelum keluar ke HUSM pada jam 11 pagi, dihantar suami.

Begitu yang berlaku. Jadi pagi ini saya sangat relaks dan tenang menanti suami pulang pada jam 11 untuk membawa saya ke HUSM.

Pun ada juga rasa ralat kerana di sekolah hari ini berjalan bengkel Add Maths SPM dan saya sepatutnya bertindak sebagai fasilitator. Apalah daya, saya tidak punya pilihan selain membiarkan Kak Rohana sendirian mengendalikan 38 orang murid itu. Ya, saya rasa ralat benar. Sempat saya meminta cikgu Ramli menggantikan saya supaya Kak Rohana ada pembantu, dan mujurlah cikgu Ramli bersetuju. Semoga bengkel hari ini berlangsung cemerlang dan memberi hasil positif untuk anak-anak didik saya.

Sekarang saya sedang menanti untuk bersolat Zohor. Saya sudah selesai mengambil darah di klinik KRK dan temujanji di klinik O&G pada jam 2 petang. Saya sudah makan tengah hari dan selesa benar berjalan sendirian begini. Tenangnya, Tuhan yang tahu!

Saya bebas ke mana-mana tanpa perlu hiraukan siapa-siapa. Tadi, di Kopitiam Lestari saya membeli mihun soto dan nasi goreng. Saya makan mihun soto di meja kopitiam, kemudian nasi goreng saya makan di kerusi batu di taman rehat. Senangkan, suka hati saya saja mahu makan di mana. Jika berteman, letih saya menurut kehendak orang. Makan di taman? Eh malulah. Agaknya begitu reaksi teman saya dan saya akan terpaksa mencari tempat lain.

Jujurnya, saya lebih selesa bergerak sendiri. Saya senang mengikut kata hati sendiri. Saya akan serabut bila ada pelbagai cadangan yang perlu dipilih. Begitu saya.

Masih belum Zohor lagi. Tadi surau masih berkunci, harap-harap sekarang sudah buka. Jam sudah 12.45 tengah hari. Enak juga kalau boleh bersandar di surau sekejap.

1 comment:

  1. Boleh tahu, fibroid berapa cm? Berkesan Tak ubat visanne tu sbb akak Baru mkn 5 hari

    ReplyDelete