Thursday, August 13, 2020

Next to Neelofa

Hari ini saya masih bercuti sakit. Jika semalam saya berada di rumah ma, hari ini saya mahu berehat di rumah sendiri pula.

Semalam, semasa di rumah ma saya berjalan ke rumah Kak Zan dan rumah Mek. Terkejut mereka apabila orang sakit yang datang, tapi saya kata saya tak sakit dah. Jadi kesempatan itu sudah cukup untuk dikira ziarah bagi mereka. Tidak perlulah mereka datang ke rumah saya lagi.

Hari ini, apabila di rumah sendiri adalah tetamu yang datang. Begitu lumrah dan saya menerima dengan hati terbuka.

Jam 11.30 pagi Ma datang bersama-sama Mok Yah, Ayah Chik dan Mok Nik. Lama tidak bersua mereka, syukur melihat mereka sihat-sihat belaka. Semoga Allah melindungi mereka selalu.

Jam 2.20 petang pula, rakan-rakan guru datang menziarah. Kak Rohana, Marina dan Hanisah disertai anak-anak mereka menceriakan hari saya. Terima kasih semua. Allah jualah membalas setiap kebaikan kalian pada saya

Usai makan tengah hari, saya berehat sambil menonton Lom Sorn Ruk, drama bersiri Thailand yang pernah saya tonton tiga tahun lepas tetapi masih teruja untuk menonton lagi. Mahu tidur tetapi tidak lena. Saya masih keuzuran hari ini, harap-harapnya cepatlah tamat.

Suami saya akan berurut malam ini dan tukang urut akan datang ke rumah. Saya sediakan mihun goreng dan teh o suam sahaja. Tetapi proses mengurut ini lama, jam 11.00 pun belum siap. Sempatlah saya menonton tv lagi.

Kali ini saya menonton Next to Neelofa episod 3, dan tetamunya ialah Dato' Seri Siti Nurhaliza.

Sungguh tersentuh saya dengan temubual mereka. Walaupun mereka berdua itu artis tetapi intipati perbualan mereka penuh dengan inspirasi yang memberi saya satu rasa. Air mata saya turut sama mengalir, seperti ada emosi yang berombak-ombak. Mereka bukan ustazah, bukan pakar motivasi, tetapi sentuhan pengalaman mereka seperti lebih bererti.

Terima kasih Neelofa dan Dato' Siti. Siapa pun kita, biar Allah sahaja yang menilai. Selagi kita mampu menjadi inspirasi dan memberi motivasi, teruskanlah. 

No comments:

Post a Comment