Monday, April 26, 2021

Berita Kematian

Semalam, kapal selam Indonesia Nanggala 402 yang hilang dua hari lepas ditemukan sedalam lebih 800 meter di laut, dan 53 krunya disahkan meninggal dunia. 

Seisi alam bersedih dengan kedukacitaan ini, yang sungguh mengejutkan semua apatah lagi ahli keluarganya. Hanya doa agar mereka yang pergi ditempatkan di tempat yang mulia.

Pagi ini, seusai sahur satu lagi berita kematian menyentuh jiwa saya.

Sahabat saya ini, Ustazah Noor Aini Yahya (Ain) yang berkhidmat di SMK Tendong dipanggil pulang pada jam 11 malam tadi selepas seminggu berperang dengan Covid19. Allahu akbar.

Ain ialah sahabat saya di UKM dulu dan muda setahun dari saya (lahir pada 25 November 1973). Dia pelajar SMK Naim Lilbanat, dan menyambung pengajian di UKM dalam pengajian Islam. Kami seasrama dan sama-sama menjadi AJK Pusat Komputer Kamsis Ungku Omar. Kakaknya, Noor Ashikin (Shyne) satu sekolah dengan saya di MRSM dulu. Mereka berdua sangat rapat kerana jarak usia yang dekat.

Selepas tamat UKM kami terputus hubungan hinggalah bertemu kembali di Facebook. Pun kami tidaklah serapat dulu kerana kekangan yang pelbagai.

Hari ini, Ain sudah tiada dan pemergiannya agak mengejut. Terkedu saya seketika antara mahu percaya atau tidak. Keluarga yang ditinggalkan tentulah lebih-lebih lagi sedihnya.

Semoga Ain tenang di sana, dan semoga keluarganya kuat dan tabah menerima kehilangan yang tiba-tiba ini.

Sunday, April 25, 2021

Ajarkan Aku

Lelaki, ajarkan untuk menjaga perempuan.

Perempuan, ajarkan untuk ada harga diri.

Mudah berkata-kata, tetapi semudah itukah?

Sebagai perempuan, saya amat mengharapkan ini. Agar lelaki tahu perempuan itu ada harga dan perlu dijaga, juga agar perempuan tahu nilai diri mereka bukan sesen dua.

Ketabahan

Untuk sahabat seperjuanganku, adinda Wan Nor Akhmal.

Saat Ramadan baru kedua hari, tanggal 14 April 2021 pada petang Rabu yang muram, adinda Akhmal bersedih dengan kepulangan insan tersayang yang seiring bersama-sama sejak 16 tahun lalu. Pada usia 47 tahun, suaminya Ezzat Fahmi pergi meninggalkannya dan tiga cahaya mata yang masih mentah, secara tiba-tiba.

Pilu usah dihitung. Kami yang mendengar ini pun bercucuran air mata, apatah lagi Akhmal yang menghadapinya.

Hanya doa buatmu dik, agar tabah selalu. Semuda usiamu yang baru mencecah 40 tahun engkau diuji dengan kehilangan seberat ini. Sesungguhnya Allah mengasihimu dan anak-anakmu.

Semoga roh Allahyarham Ezzat Fahmi dicucuri rahmat.



Saturday, April 24, 2021

Calit

Dulu masa saya di asrama, saya pernah dengar kalau murid perempuan beri alasan uzur sebab tak pergi solat jemaah nanti warden akan raba untuk sahkan betul-betul uzur.

Saya tak pernahlah mengalaminya, cuma mendengar di angin lalu sahaja cerita dari kakak-kakak senior. Selalu bila saya betul-betul uzur dan warden buat spot check, dia percaya je kat saya. Muka baik kot. Lagi pun saya tak pernah bohong bab uzur ni sebab takut Allah marah. Baik tak saya?

Okaylah, sebenarnya saya terusik dengan ketularan episod menge'check' betul ke tak murid perempuan uzur dengan cara yang tak bertamadun - calit di tisu untuk bukti.

Geramnyalah saya dengan kaedah puak-puak agama yang akal pendek ni. Nampak sangat belajar agama demi ego aje, bukan belajar sungguh-sungguh pun. Setakat tau sikit-sikit dah sibuk nak hukum sana sini. Teruknya!

Saya rasa malu, malah benci dengan perangai mereka yang sangat tidak patut. Mereka umpama tidak berakal, membuat perkiraan kerana emosi semata.

Kalau budak tu betul-betul uzur, tetapi tak sanggup tunjuk bukti, terpaksalah dia pura-pura solat. Jadi? 

Cukup-cukuplah menganggap perkara salah ini betul kerana dakwah. Terpesong benar rasanya kaedah dakwah golongan tiada otak ini.

Hai, tak terluah dah. Nak marah!

Friday, April 23, 2021

Mengganas

Semalam - 22 April 2021 - 662 kes Covid 19 dilaporkan di Kelantan, menjadikan kami sebagai juara di Malaysia. 

Sungguh ini bukan mainan. Ia semakin menakutkan tetapi sekeliling saya masih terlihat biasa.

Di jalan raya saban petang, kereta tetap bertali arus. Entah hala ke mana semuanya pada hal kami diminta tidak keluar jika tiada urusan penting.

Saya dan suami mencuba sedaya untuk kekal di rumah jika tiada keperluan untuk keluar. Malangnya tidak semua seperti kami. Bebas sungguh mereka ke sana ke mari tanpa rasa bersalah. PKP hanyalah sekadar PKP, segala SOP dilanggar sesuka hati.

Apabila memikirkan situasi di sekolah saya - lebih 60 orang murid dijangkiti Covid sejak dua minggu lalu dan masih bertambah dari hari ke hari - saya terpana. Nasib kami baik kerana tiada seorang pun guru yang terjangkiti dan ini meyakinkan saya jika SOP dipatuhi wabak ini boleh dikekang. Saya sentiasa mencuba untuk tidak menghampiri murid semasa mengajar (walaupun sukar) dan hanya berdiri di hadapan kelas. Alhamdulillah, kami terhindar dari jangkitan walaupun 6 orang murid dari tingkatan 5C1 dan 5 orang murid 5C2 (dua daripada empat kelas yang saya ajar) dikesan positif Covid.

Entah bilalah Covid akan berakhir jika semua enggan bekerjasama. Jika kenduri masih mahu dirai, jika majlis masih mahu dihadiri. Sabarlah sekejap wahai rakyat Malaysia. Tanpa kenduri pun nikah tetap sah. Tanpa majlis pun hidup masih boleh diteruskan. 

Semoga Allah melindungi negeri Kelantan juga negara Malaysia.

Sunday, April 18, 2021

Kuarantin

Inilah yang berlaku, saya terima saja.

Apabila seorang yang positif Covid ada dalam persekitaran kita, terpalitlah semua yang lain. Bukan saya mahu menyalahkan dia, tetapi jika diputar masa ia boleh dielak.

Anak gadis ini datang dari rumah yang ada kes positif Covid. Sepatutnya dia dikuarantin dulu, jangan lapor diri di asrama. Tambah pula dia memang bergejala, tetapi tiada siapa yang menasihatinya begitu. Keluarganya juga membiarkan dia kembali ke asrama pada Sabtu 3/4 itu.

Ahad hingga Selasa, dia ke kelas seperti biasa. Selain rakan asrama, dia juga membahayakan rakan sekelas dan guru. Apabila gejala semakin teruk barulah dia membuka cerita. Habis kalut kami di sekolah. Dia dihantar untuk swab, dan rakan-rakan kontak rapatnya turut dihantar ke pusat kuarantin dan diswab. Guru-guru yang mengajar kelasnya pun diberi arahan sama.

Selang tiga hari, keputusan positif baginya dan juga bagi 19 orang lagi rakan kontak rapatnya. Maka berangkailah sehingga ke kelas lain kerana 19 orang itu datang dari pelbagai tingkatan.

Saya pun termasuklah juga kerana mengajar mereka. Dan penularan semakin tidak terkawal sehingga setiap hari ada yang dikuarantin dan positif. Sehingga hari saya menulis ini, sudah lebih lima puluh murid yang positif. Alhamdulillah masih belum ada dalam kalangan guru, dan saya sendiri sudah memotong gelang merah jambu saya pagi tadi.

Doa saya semoga semuanya dilindungi Allah. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan terimalah dengan reda.

Hari ini, sekolah di daerah pkp negeri Kelantan ditutup seminggu. Bertabahlah untul berpdpr lagi sekali.

Berbuat Baik

Berbuat baik dan membantu non muslim yang kesusahan seperti membantu manusia lainnya yang diperintahkan Islam seperti kepada kerabat, anak yatim, orang miskin, dan semisalnya. Bahkan membantu non muslim yang demikian, terkadang, menjadi wajib jika ia sebagai kerabat, tetangga, atau teman sejawat. Karena masing-masing mereka memiliki hak yang harus dijaga oleh seorang muslim.    

Allah Subahanahu Wa Ta'ala berfirman, 

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ 

"Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada  emerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil." (QS. Al-Mumtahanah: 8)

Islam menjadikan setiap perbuatan baik kepada setiap makhluk hidup adalah sedekah. Masuk di dalamnya, berbuat baik dan membantu non muslim; terlebih yang sedang kesusahan.

Sejumlah sahabat bertanya kepada Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam, "Apakah kami dapat pahala dalam berbuat baik ke binatang?" Beliau menjawab,

في كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أجْرٌ

"(Berbuat baik) terhadap setiap makhluq bernyawa diberi pahala." (Muttafaq 'Alaih)

Berbuat baik dan membantu non muslim yang tidak memusuhi Islam bisa menghantnarkan dirinya kepada hidayah sehingga ia akan dirahmati. Inilah salah satu aplikasi islam rahmatan lil'alamin. Wallahu A'lam.


Friday, April 16, 2021

Kisah Kapal

Ini bukan rasis ya. Sekadar gurauan, tetapi ambillah pengajaran.

Kisah tiga buah kapal yang hampir karam.

Kapal pertama milik nakhoda Cina.

"Haiyaaa Taukei! Kapal sudah mau karam punya, apa mau bikin?" jerit anak kapal.

"Kasi angkat semua duit dan harta, jangan kasi tenggelam punya!" arah nakhoda tersebut.

Kesimpulan: Kepimpinan cina memang mementingkan harta dan keuntungan.

Kapal kedua pula milik saudagar Arab.

"MasyaAllah masya Allah, tuan Syed kapal kita sudah mau tenggelam, apa yang perlu kita buat ini?" jerit anak kapal.

"Selamatkan semua perempuan! Jangan sampai lemas!" arah saudagar Arab tersebut.

Kesimpulan: Orang Arab memang menghargai perempuan. Yang penting perempuan mesti ada.

Dan kapal ketiga milik peniaga Melayu.

"Tuan! Tuan! Kapal kita nak karam, apa kita nak buat sekarang?"  

"Cepat tubuhkan satu jawatankuasa bertindak, adakan mesyuarat tergempar, jangan lupa beli karipap untuk jamuan lepas mesyuarat." Arah peniaga itu. 

Kesimpulan: Orang Melayu semua benda nak kena mesyuarat, yang penting mesti ada karipap.

Monday, April 12, 2021

HUSM dan Daku

Hari ini saya mencutikan diri sehari demi sebuah temujanji dengan pakar kardiologi di HUSM pada jam 8 pagi.

Seawal jam 6.40 pagi lagi suami menghantar saya ke sana dan pesan saya padanya, tidak usah tunggu. Tinggalkan saja saya di situ dan nanti pandailah saya pulang sendiri. Dia okay saja, maklum benar dia yang suri hatinya ini berdikari amat. Cuma pesan dari dia pula, berhati-hati dengan beg tangan tu. Ya, saya ini pelupa, selalu saja tertinggal barang di mana-mana. Eh, beg tangan pun pernah tertinggal tau, di kedai makan. Teruk betul. Nasib baik kereta belum gerak dan meja makan tu belum diduduk orang. Selamat!

Menunggu memang menyiksakan tetapi jika sendirian resah itu berkurang. Kalau berteman, asyik kesiankan si dia yang terpaksa menunggu bersama-sama. Stress pulak kita.

Jam 9.55 barulah nombor saya dipanggil. Dekat tiga jam menunggu, bertemu doktor hanya lima belas minit. Semuanya baik-baik. Gula darah normal, kolesterol je tinggi. Hmm, salah sendiri juga sebab malas makan ubat atorvastatin tu. So malam ni kena start makan dengan penuh disiplin.

Tentang SVT, saya masih belum memberi keputusan sama ada mahu melakukan ablation atau tidak. Doktor pun macam tak kisah je saya nak ke tak. Katanya, ramai pesakit yang sedang queue jadi tak tau bila turn saya. Kalau tak nak pun tak apa. Saya pun rasa macam sihat je, tu yang malas nak proceed dengan rawatan yang menakutkan itu. Menakutkan ke? Ya, saya takut.

Seterusnya saya ke farmasi untuk mengambil ubat dan pada jam 10.40 pagi barulah saya ke kopitiam untuk bersarapan. Laparnya, tetapi entah kenapa tidak lalu pula melihat menu di situ. Saya cuma makan bubur ayam (tak habis pun) dan tart telur sahaja. Cukuplah.

Menanti Grab agak lama, jam 11.40 baru tiba. Saya menuju ke G-Orange, singgah sekejap sahaja untuk membeli mi kari di Chicken Rice Shop dan Zinger Burger di KFC. Saya terus pulang menaiki Grab ke rumah saya di Chenok. Hati meronta-ronta mahu ke rumah ma, tetapi sabar dulu. Saya masih belum yakin untuk mendekati ma kerana terasa diri berisiko. In shaa Allah hujung minggu ini ya ma!

Jam 12.35 sampailah saya ke syurga saya. Tenangnya, bolehlah saya bergolek di katil tanpa gangguan kerana suami saya masih belum pulang.

Begitulah hari ini. Esok Ramadan tiba untuk kisah yang lain pula.

Saturday, April 10, 2021

Kembali

Ahad lepas, 4 April 2021 bersamaan dengan hari lahir suami saya yang ke-56, kami kembali ke sekolah. Kepala saya yang pening sejak petang Sabtu akibat terlalu lama menghadap laptop demi menyiapkan Pelan Strategik Sekolah, mujur tidak berpanjangan ke pagi Ahad ini. Dapatlah saya ke sekolah dengan seronoknya.

Jadual waktu saya kali ini mesra sungguh, saya diberi cuma 24 waktu seminggu, berbanding 32 waktu pada hujung tahun lepas. Kelas pun sangat menarik kerana saya mengajar kelas pertama dan kedua sahaja yang murid-muridnya baik dan bersemangat. Alhamdulillah.

Tugas guru relief masih saya pegang dan saya seronok menjawatnya.

Seminggu pertama berlalu dengan lancar, dipenuhi aktiviti seperti yang dirancang. Minggu Orientasi Tingkatan 1 dan Asimilasi Tingkatan 4, sambutan hari jadi sahabat saya Hanani yang dibuat secara kejutan, juga kemesraan yang terukir di sisi sahabat dan teman menjadi warna indah pemula sebuah tugas.

Semoga hari mendatang menjanjikan ceria dan bahagia berpanjangan, dan dalam lindungan Allah sentiasa.