Hari ini saya mencutikan diri sehari demi sebuah temujanji dengan pakar kardiologi di HUSM pada jam 8 pagi.
Seawal jam 6.40 pagi lagi suami menghantar saya ke sana dan pesan saya padanya, tidak usah tunggu. Tinggalkan saja saya di situ dan nanti pandailah saya pulang sendiri. Dia okay saja, maklum benar dia yang suri hatinya ini berdikari amat. Cuma pesan dari dia pula, berhati-hati dengan beg tangan tu. Ya, saya ini pelupa, selalu saja tertinggal barang di mana-mana. Eh, beg tangan pun pernah tertinggal tau, di kedai makan. Teruk betul. Nasib baik kereta belum gerak dan meja makan tu belum diduduk orang. Selamat!
Menunggu memang menyiksakan tetapi jika sendirian resah itu berkurang. Kalau berteman, asyik kesiankan si dia yang terpaksa menunggu bersama-sama. Stress pulak kita.
Jam 9.55 barulah nombor saya dipanggil. Dekat tiga jam menunggu, bertemu doktor hanya lima belas minit. Semuanya baik-baik. Gula darah normal, kolesterol je tinggi. Hmm, salah sendiri juga sebab malas makan ubat atorvastatin tu. So malam ni kena start makan dengan penuh disiplin.
Tentang SVT, saya masih belum memberi keputusan sama ada mahu melakukan ablation atau tidak. Doktor pun macam tak kisah je saya nak ke tak. Katanya, ramai pesakit yang sedang queue jadi tak tau bila turn saya. Kalau tak nak pun tak apa. Saya pun rasa macam sihat je, tu yang malas nak proceed dengan rawatan yang menakutkan itu. Menakutkan ke? Ya, saya takut.
Seterusnya saya ke farmasi untuk mengambil ubat dan pada jam 10.40 pagi barulah saya ke kopitiam untuk bersarapan. Laparnya, tetapi entah kenapa tidak lalu pula melihat menu di situ. Saya cuma makan bubur ayam (tak habis pun) dan tart telur sahaja. Cukuplah.
Menanti Grab agak lama, jam 11.40 baru tiba. Saya menuju ke G-Orange, singgah sekejap sahaja untuk membeli mi kari di Chicken Rice Shop dan Zinger Burger di KFC. Saya terus pulang menaiki Grab ke rumah saya di Chenok. Hati meronta-ronta mahu ke rumah ma, tetapi sabar dulu. Saya masih belum yakin untuk mendekati ma kerana terasa diri berisiko. In shaa Allah hujung minggu ini ya ma!
Jam 12.35 sampailah saya ke syurga saya. Tenangnya, bolehlah saya bergolek di katil tanpa gangguan kerana suami saya masih belum pulang.
Begitulah hari ini. Esok Ramadan tiba untuk kisah yang lain pula.
No comments:
Post a Comment