Apabila seorang yang positif Covid ada dalam persekitaran kita, terpalitlah semua yang lain. Bukan saya mahu menyalahkan dia, tetapi jika diputar masa ia boleh dielak.
Anak gadis ini datang dari rumah yang ada kes positif Covid. Sepatutnya dia dikuarantin dulu, jangan lapor diri di asrama. Tambah pula dia memang bergejala, tetapi tiada siapa yang menasihatinya begitu. Keluarganya juga membiarkan dia kembali ke asrama pada Sabtu 3/4 itu.
Ahad hingga Selasa, dia ke kelas seperti biasa. Selain rakan asrama, dia juga membahayakan rakan sekelas dan guru. Apabila gejala semakin teruk barulah dia membuka cerita. Habis kalut kami di sekolah. Dia dihantar untuk swab, dan rakan-rakan kontak rapatnya turut dihantar ke pusat kuarantin dan diswab. Guru-guru yang mengajar kelasnya pun diberi arahan sama.
Selang tiga hari, keputusan positif baginya dan juga bagi 19 orang lagi rakan kontak rapatnya. Maka berangkailah sehingga ke kelas lain kerana 19 orang itu datang dari pelbagai tingkatan.
Saya pun termasuklah juga kerana mengajar mereka. Dan penularan semakin tidak terkawal sehingga setiap hari ada yang dikuarantin dan positif. Sehingga hari saya menulis ini, sudah lebih lima puluh murid yang positif. Alhamdulillah masih belum ada dalam kalangan guru, dan saya sendiri sudah memotong gelang merah jambu saya pagi tadi.
Doa saya semoga semuanya dilindungi Allah. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan terimalah dengan reda.
Hari ini, sekolah di daerah pkp negeri Kelantan ditutup seminggu. Bertabahlah untul berpdpr lagi sekali.
No comments:
Post a Comment